Dewan-Undangan-Negeri-Sarawak-800px
Sejarah

Bahasa Malaysia Dijadikan Bahasa Rasmi Sarawak

26 Mac 1974 – Penggunaan Bahasa Malaysia dalam urusan pentadbiran kerajaan telah mula diperkatakan sejak negara mencapai kemerdekaan. Kempen-kempen dan slogan mengenainya seperti Bulan Bahasa, ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ dan sebagainya telah lama dilaung-laungkan oleh pemimpin dan pejuang bahasa.

Di Semenanjung Malaysia, Bahasa Melayu memang menjadi bahasa perantaraan yang utama di kalangan penduduknya. Walau bagaimanapun Bahasa Inggeris tetap dipelajari dan digunakan di rumah, pejabat atau sekolah-sekolah. Ini kerana Bahasa Inggeris juga penting terutama dalam urusan-urusan yang berkaitan dengan negara-negara luar. Di negeri Sabah dan Sarawak langkah-langkah ke arah menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi juga diteruskan.

Pada 26 Mac 1974, Sarawak telah mengumumkan bahawa Bahasa Malaysia dijadikan bahasa rasmi di Sarawak. Majlis Undangan Negeri Sarawak telah mengumumkan keputusan ini dan berharap agar semua pihak mengambil perhatian mengenai perkara itu. Bahasa Malaysia akan digunakan dalam semua peringkat pentadbiran Kerajaan Sarawak dan juga institusi-institusi swasta.

Pengumuman tersebut disambut baik oleh rakyat dan pertubuhan-pertubuhan sukarela di Sarawak. Mereka berpendapat sebagai sebuah negeri yang telah sama-sama mengecap kemerdekaan serta membentuk penubuhan Malaysia, sudah tentu Sarawak juga perlu turut menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negeri itu.

Melalui penggunaannya Bahasa Malaysia akan dapat berkembang dan menaikkan mertabat Bahasa Malaysia setaraf dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Selain dari itu Bahasa Malaysia juga boleh menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum di seluruh negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
ktm_padang_besar-800px
Sejarah

Perjanjian Kerjasama Lalu Lintas Antara Siam Dengan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu

26 Mac 1919 – Perjanjian Kerjasama Lalu Lintas antara Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Kerajaan Siam telah ditandatangani pada 1919. Pihak Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu telah diwakili oleh Ketua Setiausaha Kerajaan, Edward Lewis Brockman dan Kerajaan Siam pula diwakili oleh Menteri Perhubungannya, Chao Phya Wongsa Nuprabath.

Perjanjian ini adalah untuk mewujudkan kerjasama di antara Jabatan Keretapi Siam dan Jabatan Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dalam perkara-perkara seperti:-

  • Perjanjian lalulintas dan guna sama, bagi kedua-dua buah perhentian di sempadan kedua- negara;
  • Laluan gerabak-gerabak keretapi dan kelengkapan-kelengkapannya dari dan ke perhentian keretapi kedua-dua negara dan sebaliknya;
  • Bayaran bagi menyewa gerabak-gerabak keretapi;
  • Perjalanan terus penumpang-penumpang, bungkusan, binatang-binatang ternakan dan lain-lain jenis barang yang dibawa;
  • Kadar pembahagian yang sama bagi tambang pengangkutan;
  • Bayaran ganti rugi bersabit dengan perjalanan terus;
  • Lain-lain perkara yang difikirkan perlu untuk dimasukkan, dengan tujuan untuk menentukan kelicinan dan penjimatan kerja di antara keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Keretapi Siam.

Perkara-perkara yang dipersetujui dalam perjanjian ini dimaktubkan dalam 7 fasal.

Sesungguhnya perjanjian ini memberi erti yang besar terhadap sejarah perkembangan perhubungan keretapi di tanah air, di samping merapatkan perhubungan persahabatan di antara kedua-dua negara. Seterusnya perkhidmatan keretapi Tanah Melayu telah dapat mengadakan perjalanan terus ke sempadan Siam melalui perhentian-perhentian Padang Besar dan Pasir Mas.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
kolej_melayu_kuala_kangsar-800px.jpg
Sejarah

Ulang Tahun Kolej Melayu Kuala Kangsar Ke 100

26 Mac 2005 – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan mengisytiharkan Kolej Melayu Kuala Kangsar (Malay College Kuala Kangsar/MCKK) sebagai Warisan Bangsa dan Negara dalam satu acara penuh adat istiadat Melayu pada tahun 2005. Pemasyhuran yang dilakukan di hadapan beberapa Raja Melayu dan kerabat diraja bersempena ulang tahun Kolej Melayu Kuala Kangsar ke 100.

kolej_melayu_kuala_kangsar_ke100

Antara Raja-raja Melayu yang hadir ialah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar. Majlis bermula di Istana Iskandariah dengan penyerahan watikah oleh Pemegang Mohor Raja-raja kepada Yang di-Pertuan Agong dan watikah itu diarak dengan tujuh ekor gajah sejauh tiga kilometer ke Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Perarakan itu turut disertai oleh 100 anggota tentera dan 300 pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar. Pemasyhuran itu tepat dengan sejarah dan kegemilangan Kolej Melayu Kuala Kangsar yang berjaya mengekalkan kecemerlangannya sebagai gedung ilmu bagi pelajar Melayu sejak penubuhan pada tahun 1905.

Sesungguhnya sepanjang usia penubuhannya, Kolej Melayu Kuala Kangsar telah melakar sejarah sebagai sebuah sekolah paling banyak melahirkan cerdik pandai Melayu daripada kalangan pemimpin, pentadbir dan tokoh korporat negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
logo_polis-800px
Sejarah

Penubuhan Pasukan Polis

25 Mac 1807 – Pada tahun 1807, pasukan polis yang pertama telah ditubuhkan di Pulau Pinang. Pasukan ini adalah asas kepada penubuhan pasukan Polis Diraja Malaysia yang ada pada hari ini. Ketua Pasukan Polis yang pertama dilantik adalah Mr. James Carnegy. Pasukan ini dianggotai sepenuhnya oleh anak tempatan ini telah menjadi perintis kepada pasukan polis di negeri-negeri lain.

Negeri Melaka telah menubuhkan pasukan polisnya pada 1827. Kedua-dua pasukan ini kemudiannya bergabung menjadi Pasukan Polis Negeri-negeri Selat. Pada 2 Jun 1896, Pasukan Polis Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditubuhkan dan Kapten H.C Syers dilantik sebagai Ketua Pasukan. Ketika ini satu pentadbiran pusat telah diwujudkan. Manakala penubuhan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu mula ditubuhkan di negeri Johor pada 1882, Kedah dan Kelantan 1909 dan Terengganu 1914. Pasukan Polis Sarawak pada 1862 manakala Sabah pada 1882.

Seterusnya pada 1948 seluruh pasukan polis Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bergabung dan membentuk Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pengorbanan dan komitmen yang ditunjukkan pasukan polis amat berharga terutama ketika negara masih baru merdeka dan seterusnya mengekalkan kemakmuran dan keamanan tanah air tercinta hingga hari ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
terengganu_dewan_undangan-800px
Sejarah

Pindaan Perlembagaan Negeri Terengganu Diluluskan

24 Mac 1959 – Majlis Mesyuarat Negeri Terengganu telah melangsungkan Persidangan dan telah meluluskan dengan sebulat suara pindaan kepada perlembagaan negeri Terengganu untuk mengadakan cara-cara baru dalam pentadbiran negeri itu.

Menurut sistem yang baru dan bakal diperkenalkan itu, negeri Terengganu akan mempunyai sebuah Dewan Undangan Negeri yang kesemua sekali ahli-ahlinya dipilih oleh rakyat bukannya dengan lantikan seperti sebelum ini. Perlembagaan negeri Terengganu yang dipinda ini akan berkuatkuasa pada 30 April 1959 apabila Majlis Mesyuarat Negeri yang ada sekarang yang diketuai oleh Menteri Besar Dato’ Haji Kamaruddin Idris dibubarkan.

Apabila Majlis Mesyuarat Negeri dibubarkan, sebuah kerajaan sementara akan dibentuk untuk menjalankan urusan pentadbiran negeri dari 30 April sehinggalah Dewan Undangan yang baru ditubuhkan. Dengan pembubaran majlis Mesyuarat Negeri itu juga membolehkan satu pilihanraya diadakan dan rakyat akan memilih wakil-wakil mereka sendiri dalam Dewan Undangan berdasarkan prinsip demokrasi yang diamalkan oleh kerajaan.

Dengan lulusnya pindaan Perlembagaan Negeri Terengganu pada hari ini dalam tahun 1959 telah membawa satu era baru dalam pentadbiran negeri tersebut iaitu memberi kebebasan kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang akan menerajui negeri Terengganu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
kota_kinabalu-800px
Sejarah

Persetujuan Damai Di Sabah

24 Mac 1986 – Pada tahun 1986, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa persetujuan damai dan formula kerjasama bagi menyelesaikan krisis politik Sabah telah dipersetujui oleh tiga parti utama di Sabah.

Datuk Seri Dr. Mahathir juga berkata melalui persetujuan damai ini, keadaan politik dan ekonomi di negeri Sabah dapat ditenteramkan. Beliau menambah formula kerjasama ada kaitan dengan cadangan Majlis Tertinggi UMNO yang bermesyuarat di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, dengan diiringi oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Pairan Ketingan, kemudian melawat tempat letupan bom dekat Wisma Sabah dan selepas itu ke Kompleks Gudang di Karamunsing yang terbakar dalam rusuhan pada 19 Mac 1986.

Formula kerjasama dan persetujuan damai bagi menyelesaikan krisis politik Sabah yang dipersetujui oleh Presiden PBS, Datuk Pairin Ketingan, Presiden USNO Datuk Tun Datu Haji Mustapha Harun dan Presiden Berjaya Haji Mohd Nor Mansoor akan membawa keamanan di negeri Sabah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
replika_tahta_perak-800px
Sejarah

Penyiasatan Mengenai Kekacauan Yang Berlaku Di Perak

24 Mac 1876 – Pada tahun 1876, pihak Tanah jajahan Inggeris di London telah melantik Philippon Plunket dan Paul sebagai Pesuruhjaya bagi mengkaji kedudukan Sultan Ismail dan kekacauan yang berlaku di Negeri Perak.

Hasil dari kaiian itu pihak Inggeris mendapati bahawa kekacauan itu berlaku akibat dari penentangan pembesar-pembesar di Perak apabila termaktubnya Perjanjian Pangkor pada 1874. Sultan Abdullah yang menandatangani Perjanjian itu kemudiannya menyedari bahawa kuasa baginda mulai hilang kerana campur tangan Inggeris. Ini menyebabkan baginda mulai merancangkan satu pakatan penentangan terhadap Inggeris.

Sultan Abdullah Muhammad Shah

Sultan Abdullah Muhammad Shah

Keadaan ini menjadi bertambah kacau apabila Sultan Ismail juga bersetuju dengan pakatan tersebut. Ini menyebabkan timbulnya penentangan yang diketuai oleh Dato’ Maharaja Lela dengan dibantu oleh Pembesar-pembesar Negeri Perak yang lain. J.W.W. Birch telah dibunuh dan Inggeris bertindak balas terhadap penentangnya itu. Sultan Ismail telah melarikan diri bersama-sama dengan 180 orang pengikut-pengikut baginda dan membawa alat-alat kebesaran Kesultanan Negeri Perak.

William Jervois

William Jervois

Ketiadaan alat-alat kebesaran ini serta penglibatan pembesar-pembesar Perak dalam penentangan terhadap Inggeris, menyebabkan pihak Inggeris merasa lebih bimbang. William Jervois, Gabenor Negeri-negeri Selat telah menghantar surat kepada semua Sultan supaya jangan membantu sesiapa juga dari Perak jika meminta pertolongan.

Akhirnya Sultan Ismail menyerah diri kepada Colonel Anson pada 23hb Mac, 1876. Baginda kemudiannya dibawa ke Singapura dan menyerahkan alat-alat kebesaran kesultanan Perak kepada Gabenor. Sementara itu Dato’ Maharaja Lela ditangkap dengan bantuan Sultan Johor dan Sultan Abdullah telah dibuang negeri.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Perisytiharan Majlis Perbandaran Langkawi Sebagai Bandar Pelancongan

24 Mac 2001 – KDYMM Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan mengisytiharkan Majlis Perbandaran Langkawi sebagai Bandaraya Pelancongan. Upacara penuh adat istiadat ini diadakan di Menara Jam Kuah, Langkawi pada tahun 2001.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting. Sejarah pihak berkuasa tempatan di Langkawi bermula sebagai Kawasan Perkhidmatan Pekan Kuah yang dahulunya dikenali kawasan ‘Sanitary Board’.

majlis_perbandaran_langkawi

Ketika pemerintahan Inggeris ‘Sanitary Board’ telah ditukarkan kepada Pengurusan Town Board mulai tahun 1945. Pada 29 April 1987, pihak berkuasa tempatan langkawi dikenali sebagai Majlis Daerah Langkawi. Seluas 47,848 hektar yang meliputi 104 buah pulau seluruh gugusan Pulau Langkawi diwartakan sebagai kawasan di bawah pentadbiran Majlis Daerah Langkawi.

Pada 16 Disember 2000, Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan telah diwartakan. Sesungguhnya perisytiharan ini dapat menarik lebih ramai pelancong sama ada dari dalam dan luar negara dan sekaligus menjadikan Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
sultan_abdul_hamid_kedah-800px
Sejarah

Sultan Abdul Hamid Halim Shah Dilantik Sebagai Pemerintah Kedah

23 Mac 1882 – Pada tahun 1882 DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah telah disahkan pelantikannya sebagai pemerintah Kedah oleh Raja Siam. Pengesahan ini adalah ekoran perbalahan yang timbul mengenai pewarisan takhta Kerajaan Kedah setelah kemangkatan Almarhum Sultan Zainal Rashid Muazzam Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah.

Perbalahan bermula apabila Tunku Dhiauddin (Tengku Kudin) mengepalai perwakilan Kedah ke Bangkok untuk memujuk Raja Siam melantiknya sebagai Sultan Kedah. Perkara ini telah ditentang dengan kerasnya oleh Tunku Yaakub, Wan Muhammad Saman dan Wan Hajar di mana mereka mahukan Tunku Abdul Hamid Halim Shah dilantik sebagai pemerintah Kedah. Disebabkan oleh peranan Tengku Kudin semasa perang saudara di Selangor dan hubungan yang rapat dengan Inggeris, Raja Siam telah menolak permintaan Tengku Kudin untuk menjadi Sultan Kedah.

Sultan Abdul Hamid Halim Shah

Dengan kegagalan ini, Tengku Kudin kemudiannya telah mencadangkan pula Tengku Kassim untuk tujuan pelantikan tersebut. Setelah perbincangan berjalan selama lima bulan, Rama IV iaitu pemerintah Negeri Siam pada masa itu, telah melantik Tunku Abdul Hamid Halim Shah sebagai waris takhta Kerajaan Negeri Kedah yang sah.

Dengan pelantikan Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, pada hari ini dalam tahun 1882 bermulalah satu era baru dalam sejarah pembangunan dan kemajuan negeri Kedah di mana baginda kemudiannya dikenali sebagai Pengasas Kedah Moden.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
masjid_jamek-800px
Sejarah

Upacara Perletakan Batu Asas Masjid Jamek, Kuala Lumpur

23 Mac 1908 – DYMM Sultan Selangor, Sultan Alauddin Sulaiman Shah berkenan menyempurnakan peletakan batu asas Masjid Jamek Kuala Lumpur. Turut hadir di upacara itu ialah Residen British Negeri Selangor, H.C.Belfield pada tahun 1908.

Masjid yang terletak di pertemuan Sungai Kelang dengan Sungai Gombak itu mempunyai ciri-ciri seni bina Moghul dan merupakan hasil rekaan A.B. Hubbock iaitu pembantu arkitek di Jabatan Kerja Raya.

Balai sembahyangnya dibina seluas 30.48 meter lebar dan 12.19 meter panjang. Di sebelah depan balai ini terdapat suatu kawasan yang panjangnya 17.07 meter dan luasnya 30.79 meter lebar yang terletaknya kolam bagi kegunaan mengambil wuduk.

masjid_jamek

Terdapat dua buah menara dibina setinggi 25.30 meter dengan tangga berpusing untuk naik ke atas menara tersebut. Bumbung masjid Jamek ini dibentuk dengan tiga kubah dengan kubah yang di tengah dibina setinggi 21.34 meter dan di sebelah dinding atasnya dikelilingi oleh tingkap-tingkap cermin.

Masjid Jamek itu siap dibina pada bulan Disember 1909 dan telah di rasmikan oleh Sultan Selangor, DYMM Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Masjid tersebut telah diwartakan di bawah Akta Bendapurba 1976 dalam P.U.(A) 423 pada tahun 1983.

Pembinaan masjid tersebut telah memberi kemudahan kepada petempatan orang Melayu terutamanya di kawasan Jalan Jawa (kini Jalan Tun Perak), Jalan Melayu dan kakitangan kerajaan di Bangunan Sultan Abdul Samad untuk mengerjakan ibadah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard