jata_malaysia-800px
Sejarah

Dewan Rakyat Meluluskan Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967

03 Mac 1967– Pada tahun 1967, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan dengan 95 undi menyokong dan 11 undi menentang. Tujuan Rang Undang-undang ini digubal adalah bagi melaksanakan ketetapan di dalam Bab 152 Perlembagaan Persekutuan, iaitu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi yang tunggal.

Rang Undang-undang ini digubal setelah genap tempoh 10 tahun penggunaan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi sebagaimana yang termaktub di dalam Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan. Rang Undang-undang Bahasa ini menetapkan bahawa mulai 1 September 1967 hanya bahasa Kebangsaan yang boleh digunakan dalam urusan rasmi.

dewan rakyat

Namun, demi kepentingan awam, bahasa-bahasa lain masih boleh digunakan, iaitu melalui penggunaan terjemahan daripada bahasa-bahasa tersebut. Ahli-ahli Dewan Rakyat yang tidak fasih berbahasa Melayu juga dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris.

Perbicaraan yang dijalankan di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Tinggi atau mana-mana Mahkamah Rendah boleh dijalankan sama ada dalam bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris atau sebahagian dalam bahasa Kebangsaan dan sebahagian lagi dalam bahasa Inggeris.

Seksyen-Seksyen Akta

Akta ini mengandungi 11 seksyen iaitu:-

  1. Tajuk ringkas, pemakaian dan mula berkuat kuasa.
  2. Bahasa kebangsaan digunakan bagi maksud-maksud rasmi.
  3. Menggunakan terjemahan.
  4. Penggunaan bahasa Inggeris boleh dibenarkan dilanjutkan.
  5. Penggunaan bahasa Inggeris boleh dibenarkan dalam Parlimen dan Dewan Undangan.
  6. Teks yang sahih bagi undang-undang.
  7. Undang-undang bertulis yang dikanunkan sebelum 1 September 1967.
  8. Bahasa mahkamah.
  9. Tulisan bagi bahasa kebangsaan.
  10. Bentuk angka.
  11. Borang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia, AKTA BAHASA KEBANGSAAN 1963/67(pdf)

Standard