Sultan_Abdul_samad_Building-800px
Sejarah

Pembukaan Rasmi Mahkamah Agung

26 Mac 1984 – Pembukaan Rasmi Mahkamah Agung telah disempurnakan oleh DYMM Seri Paduka Baginda, Sultan Haji Ahmad Shah bertempat di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. Dalam upacara tersebut baginda telah berkenan memeriksa perbarisan kehormat 107 anggota Batalion 11 Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Mejar Ismail Haniffah dengan diiringi 60 anggota Pancaragam Pusat Kor Kovalri Diraja.

Keberangkatan baginda ke dalam Mahkamah Agung diiringi oleh Pemangku Perdana Menteri – Datuk Musa Hitam, Ketua Hakim Negara – Tan Sri Haji Mohd Salleh Abas, Hakim Mahkamah Persekutuan – Tan Sri Wan Sulaiman Pawan Teh, Hakim Besar Malaya – Tan Sri Abdul Hamid Omar dan Hakim Besar Borneo – Tan Sri Lee Hun Hoe. Baginda turut berkenan melawat ke Dewan Penghakiman, bilik Tan Sri Abdul Kadir Yusof dan bilik Tan Sri Abdul Hamid Omar.

Dalam titah perasmiannya baginda berharap agar dengan pembinaan bangunan mahkamah baru dan pembaikan mahkamah lama, urusan pentadbiran kehakiman dan perbicaraan dapat dijalankan dalam keadaan yang lebih selesa dan sesuai. Mahkamah Agung melambangkan kemuncak bidang kehakiman di negara ini dan mempunyai kedudukan istimewa dalam Perlembagaan Malaysia. Mulai daripada 1 April 2007, Mahkamah Agung telah berpindah ke Jalan Duta secara berperingkat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
masjid_jamek-800px
Sejarah

Upacara Perletakan Batu Asas Masjid Jamek, Kuala Lumpur

23 Mac 1908 – DYMM Sultan Selangor, Sultan Alauddin Sulaiman Shah berkenan menyempurnakan peletakan batu asas Masjid Jamek Kuala Lumpur. Turut hadir di upacara itu ialah Residen British Negeri Selangor, H.C.Belfield pada tahun 1908.

Masjid yang terletak di pertemuan Sungai Kelang dengan Sungai Gombak itu mempunyai ciri-ciri seni bina Moghul dan merupakan hasil rekaan A.B. Hubbock iaitu pembantu arkitek di Jabatan Kerja Raya.

Balai sembahyangnya dibina seluas 30.48 meter lebar dan 12.19 meter panjang. Di sebelah depan balai ini terdapat suatu kawasan yang panjangnya 17.07 meter dan luasnya 30.79 meter lebar yang terletaknya kolam bagi kegunaan mengambil wuduk.

masjid_jamek

Terdapat dua buah menara dibina setinggi 25.30 meter dengan tangga berpusing untuk naik ke atas menara tersebut. Bumbung masjid Jamek ini dibentuk dengan tiga kubah dengan kubah yang di tengah dibina setinggi 21.34 meter dan di sebelah dinding atasnya dikelilingi oleh tingkap-tingkap cermin.

Masjid Jamek itu siap dibina pada bulan Disember 1909 dan telah di rasmikan oleh Sultan Selangor, DYMM Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Masjid tersebut telah diwartakan di bawah Akta Bendapurba 1976 dalam P.U.(A) 423 pada tahun 1983.

Pembinaan masjid tersebut telah memberi kemudahan kepada petempatan orang Melayu terutamanya di kawasan Jalan Jawa (kini Jalan Tun Perak), Jalan Melayu dan kakitangan kerajaan di Bangunan Sultan Abdul Samad untuk mengerjakan ibadah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sultan-Abdul-Samad-Building-800px
Sejarah

Perletakan Batu Asas Bangunan Sultan Abdul Samad

6 Oktober 1894 – Pada tahun 1894, telah berlangsung upacara perletakan batu asas bangunan Bangunan Sultan Abdul Samad yang merupakan bangunan Pejabat-pejabat Kerajaan Negeri Selangor pada ketika itu. Upacara tersebut telah dilakukan oleh Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Charles B.H. Mitchell. Pada tahun 1893, kerajaan Inggeris di negeri Selangor telah mula merancang usaha untuk mendirikan sebuah bangunan kerajaan sebagai pusat pentadbirannya.

Tapak yang sesuai telah dipilih iaitu sebuah kawasan seluas 1.034 hektar, berhampiran dengan pertemuan antara Sungai Gombak dan Sungai Kelang, di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Jurutera Negeri Selangor C.E. Spooner telah ditugaskan melukis pelan bangunan tersebut. Bagaimanapun beberapa cadangannya di dalam pelan itu telah ditolak.

banggunan sultan abdul samad

Seorang arkitek Inggeris di Jabatan Kerja Raya Kuala Lumpur, A.C. Norman, telah diminta meneruskan tugas Encik Spooner, berdasarkan rekabentuk yang asal. Setelah reka bentuknya dipersetujui, maka pada hari ini dalam tahun 1894, berlangsunglah upacara perletakan batu asas bangunan ini.

Bangunan Sultan Abdul Samad dibina dengan harga $152 ribu dolar selat dan pembinaannya mengambil masa hampir tiga tahun yang bermula pada September 1894 dan siap pada tahun 1897. la dinamakan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai mengambil sempena nama DYMM Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad yang memerintah ketika itu.

Bangunan Sultan Abdul Samad 1902

Bangunan Sultan Abdul Samad 1902

Bangunan ini banyak dipengaruhi oleh reka bentuk seni bina Islam. Kubah bersalut tembaga dan diwarnakan hitam itu menyerupai kubah Taj Mahal di India. Tingkap dan pintu pula berbentuk melengkung, seperti masjid-masjid di Cordova dan Mesir. Menara jamnya setinggi 40.6 meter dan diapit oleh kubah kecil, menghasilkan pemandangan yang menarik.

Penggunaan Bangunan Sultan Abdul Samad

Sejak dibuka, Bangunan Sultan Abdul Samad ini telah dijadikan pusat pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Pejabat Residen-General dan Pejabat Besar Pos. Apabila negara mencapai kemerdekaan, ia dijadikan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Negeri dan Perbendaharaan Kerajaan. Kini, ia dijadikan bangunan kehakiman yang menempatkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Agung.

banggunan sultan abd samad

Peranannya berubah-ubah mengikut arus masa. Di hadapan bangunan inilah rakyat meraikan saat-saat kebebasan dari cengkaman penjajah buat kali pertama. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, upacara sambutan Hari Kemerdekaan berlangsung di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad menjadi mercu tanda istimewa bagi Kuala Lumpur kerana keindahan rekabentuk dan kedudukannya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard