masjid_jamek-800px
Sejarah

Upacara Perletakan Batu Asas Masjid Jamek, Kuala Lumpur

23 Mac 1908 – DYMM Sultan Selangor, Sultan Alauddin Sulaiman Shah berkenan menyempurnakan peletakan batu asas Masjid Jamek Kuala Lumpur. Turut hadir di upacara itu ialah Residen British Negeri Selangor, H.C.Belfield pada tahun 1908.

Masjid yang terletak di pertemuan Sungai Kelang dengan Sungai Gombak itu mempunyai ciri-ciri seni bina Moghul dan merupakan hasil rekaan A.B. Hubbock iaitu pembantu arkitek di Jabatan Kerja Raya.

Balai sembahyangnya dibina seluas 30.48 meter lebar dan 12.19 meter panjang. Di sebelah depan balai ini terdapat suatu kawasan yang panjangnya 17.07 meter dan luasnya 30.79 meter lebar yang terletaknya kolam bagi kegunaan mengambil wuduk.

masjid_jamek

Terdapat dua buah menara dibina setinggi 25.30 meter dengan tangga berpusing untuk naik ke atas menara tersebut. Bumbung masjid Jamek ini dibentuk dengan tiga kubah dengan kubah yang di tengah dibina setinggi 21.34 meter dan di sebelah dinding atasnya dikelilingi oleh tingkap-tingkap cermin.

Masjid Jamek itu siap dibina pada bulan Disember 1909 dan telah di rasmikan oleh Sultan Selangor, DYMM Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Masjid tersebut telah diwartakan di bawah Akta Bendapurba 1976 dalam P.U.(A) 423 pada tahun 1983.

Pembinaan masjid tersebut telah memberi kemudahan kepada petempatan orang Melayu terutamanya di kawasan Jalan Jawa (kini Jalan Tun Perak), Jalan Melayu dan kakitangan kerajaan di Bangunan Sultan Abdul Samad untuk mengerjakan ibadah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard