pustaka_p_ramlee-800px
Sejarah

Perasmian Pustaka Peringatan P. Ramlee

22 Mac 1986 – Pustaka Peringatan P. Ramlee yang terletak di No 22, Jalan Dedap, Taman Furlong, Setapak dibuka dengan rasminya oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Dr. Sulaiman Daud. Pustaka ini yang ditadbir oleh Arkib Negara Malaysia ditubuhkan dengan tujuan untuk memperingati sumbangan dan jasa Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee terhadap dunia seni tanah air serta menggalakkan kajian dan penyelidikan dalam aspek seni dan budaya negara.

Bangunan Pustaka ini pada asalnya adalah bekas rumah kediaman beliau dan telah diubah suai dan dijadikan pustaka yang mempamerkan bahan-bahan dan maklumat mengenai Tan Sri P. Ramlee yang sememangnya sinonim dengan perkembangan seni muzik dan perfileman tanah air dalam era 50an.

Bahan-bahan yang dipamerkan termasuk surat menyurat, dokumen, buku, filem, piring hitam, pita rakaman, Anugerah Kebesaran serta hadiah-hadiah yang diterima Allahyarham sepanjang pembabitannya dalam dunia seni. Selain dari itu, terdapat juga baju-baju milik Tan Sri P.Ramlee dan biduanita Saloma dipamerkan.

Penubuhan Pustaka Peringatan P. Ramlee ini bukan sahaja sebagai penghargaan paling tinggi terhadap jasa dan bakti Allahyarham dalam perkembangan dunia seni tetapi juga akan dapat meningkatkan martabat seni tanah air.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Projek Pusat Bandaraya Pulau Pinang

22 Mac 1975 – Pada tahun 1975, Ketua Menteri Pulau Pinang Dr. Lim Chong Eu telah mengumumkan projek raksasa pusat Bandaraya Pulau Pinang sebagai Kompleks Angkasa Perdana kerana mengambil sempena nama Perdana Menteri Tun Abdul Razak yang telah melakukan upacara menanam tiang asas projek itu pada tahun 1973 lalu.

Lim_Chong_Eu

Lim Chong Eu

Perlaksanaan projek ini sebenarnya adalah untuk memenuhi kehendak bangunan-bangunan pentadbiran, tatarakyat, kebudayaan serta perdagangan ke arah menyusun semula masyarakat di bandaraya Georgetown sejajar dengan kehendak Dasar Ekonomi Baru.

Ketua Menteri semasa berucap merasmikan bengkel daerah yang pertama mengenai Malaysia dalam tahun 2000 pagi ini menyifatkan bahawa projek ini merupakan salah satu perkara penting untuk memenuhi kehendak pembangunan sosio-ekonomi bandar Georgetown bukan sahaja untuk 10 tahun tetapi menjangkau hingga ke kurun ke-21.

Projek Pusat Bandaraya yang bernilai kira-kira 200 juta ringgit ini terletak di kawasan 22.4 ekar merangkumi Jalan Pinang, Jalan Perangin, Lebuh Bridge dan Jalan Magazine. Ia akan dilaksanakan dalam lima peringkat.

Perlaksanaan dan kejayaan projek ini memperlihatkan keupayaan kerajaan menjalankan proses kemajuan tanpa mengubah corak dan mutu kehidupan rakyat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
abdullah_badawi-1-800px
Sejarah

Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri

22 Mac 2004 – YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengangkat sumpah jawatan dan sumpah menyimpan rahsia sebagai Perdana Menteri selepas Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Kesebelas pada tahun 2004. Acara yang penuh dengan adat istiadat ini telah berlangsung di Balairong Seri, Istana Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

abdullah_badawi

Turut berangkat pada upacara tersebut ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid. YAB Perdana Menteri diiringi isteri, Datin Seri Endon Mahmood.

Pilihan Raya Umum kesebelas yang berlangsung pada 21 Mac 2004 ini merupakan Pilihan Raya yang pertama bagi Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi. Pada Pilihan raya ini Barisan Nasional mencatatkan kejayaan paling gemilang dalam sejarah pilihan raya negara apabila memenangi 198 buah kerusi daripada 219 buah kerusi Parlimen dan pada masa yang sama menguasai 452 daripada 505 kerusi Dewan Undangan Negeri di seluruh negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
briggs_plan-800px
Sejarah

Pelantikan Briggs Sebagai Pengarah Gerakan Menentang Pengganas Komunis

21 Mac 1950 – Pada tahun 1950, Leftenan General Sir Harold Rawdon Briggs dilantik sebagai Pengarah Gerakan menentang pengganas komunis. Beliau ditugaskan untuk merancang, menyelaras dan mengarah gerakan-gerakan anti pengganas yang sedang dijalankan oleh pasukan polis dan angkatan bersenjata.

Briggs yang berpengalaman luas dalam peperangan di Eropah dan Perang Jepun, mengemukakan rancangannya setelah dua minggu tiba di Kuala Lumpur dan setelah melawat dan bertukar pendapat dengan rakyat di kawasan-kawasan yang terlibat. Rancangan beliau ialah untuk mengasingkan musuh dari mendapat bekalan makanan dan maklumat risikan, memancing mereka ke kawasan pertempuran yang ditentukan oleh pasukan keselamatan, dan memberikan perlindungan kepada orang ramai yang terdedah kepada ancaman dan sebagai sumber maklumat dan bekalan makanan. Beliau menetapkan dengan jelas dan terperinci peranan pihak polis dan tentera dan menggunakan kedua-duanya untuk merancang dan menyelaras gerakan menentang komunis.

Briggs juga menubuhkan “Kabinet Perang” di semua peringkat. Di peringkat atas ialah Majlis Perang Persekutuan (Federal War Council) yang terdiri daripada beliau sendiri, Ketua Setiausaha Kerajaan, Pesuruhjaya Polis, Pemerintah-pemerintah Angkatan Bersenjata dan Tentera Udara di Tanah Melayu.

Di peringkat negeri pula terdapat jawatankuasa Kerja Perang Negeri (State War Executive Committee-SWEC) yang terdiri daripada Menteri Besar/Ketua Menteri sebagai Pengerusi, Ketua Pegawai Polis dan Pemerintah tentera tempatan (negeri). Di tiap-tiap negeri juga ditubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa Kerja Perang Daerah (District War Executive Committee-DWEC) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah (British/ Melayu) dengan ahli-ahlinya terdiri daripada Pegawai Kanan Polis dan Pemerintah tentera daerah.

Ketiga-tiga bahagian ini iaitu perkhidmatan awam, polis dan tentera disatukan untuk mengumpulkan maklumat risikan, merancang dan melaksanakan gerakan menentang musuh yang sama. Briggs hanya berada lapan belas bulan di Tanah Melayu dan terpaksa meninggalkan rancangannya kerana sakit dan kecewa dengan sikap kerajaan yang tidak memberikan kepadanya kuasa-kuasa eksekutif sepertimana yang dijanjikan sebelum beliau bersetuju menerima tugas dan jawatan Pengarah Gerakan itu.

Antara tindakan yang dijalankan ialah dengan memindahkan penduduk Cina dari kawasan-kawasan terpencil yang bertaburan dan menempatkan mereka di kawasan penempatan semula atau di Kampung Baru supaya tidak diugut oleh komunis untuk memberi maklumat dan bekalan makanan serta ubat-ubatan. Kampung-kampung baru ini dipagar dengan kawat berduri serta dikawal oleh pasukan keselamatan.

Penduduk Kampung Baru diberi banyak kemudahan seperti pendidikan, perkhidmatan kesihatan, tempat tinggal serta bekalan elektrik dan air paip. Jumlah penduduk yang terbabit dalam rancangan ini adalah seramai 470,509 orang yang ditempatkan di 440 buah kampung baru. Persatuan Cina Malaya (MCA) yang ditubuhkan pada tahun 1949 banyak membantu usaha kerajaan menempatkan semula orang Cina. Akibat yang nyata daripada Rancangan Briggs ini ialah wujudnya Kampung-kampung Baru Cina sebagai satu ciri penempatan yang kekal hingga kini.

Walau bagaimanapun, rancangan peninggalan beliau itu, Rancangan Briggs telah diteruskan oleh pengganti-penggantinya sehingga menghasilkan kejayaan 10 tahun kemudian apabila Darurat diisytiharkan tamat pada 31 Julai 1960.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
al-quran_tok-mencalang-800px
Sejarah

Al-Quran Tulisan Tangan Berusia 380 Tahun Dijumpai

21 Mac 1983 – Terdapat banyak kitab dan al-Quran tulisan tangan yang ditulis oleh ulama-ulama yang tersimpan di beberapa tempat seperti pusat-pusat pengajian tinggi, madrasah, pondok-pondok dan ada juga disimpan oleh kaum keluarga mereka. Kitab-kitab tersebut akan diwarisi oleh kaum keluarga dari satu generasi ke satu generasi seterusnya.

Pada tahun 1983, dua buah kitab Al-Quran yang berusia dalam lingkungan 150 hingga 380 tahun dijumpai di sebuah rumah penduduk di Pulau Tiga, Parit, Perak. Kajian oleh Pegawai Kebudayaan, Belia dan Sukan Perak menunjukkan Al-Quran tulisan tangan ini ditulis dalam tahun 1603 dan selesai pada 1653. Al-Quran ini dikatakan ditulis oleh 3 orang penulis tempatan.

Al_Quran_tok_mencalang

Al-Quran Tok Mencalang

Dua daripada penulis ini tidak diketahui namanya sementara seorang lagi penulisnya dikenali sebagai Tok Mencalang. Sementara sebuah lagi al-Quran dipercayai ditulis oleh seorang pendakwah yang kuat dan gigih bernama Sheikh Hussein Alyamani. Beliau berasal dari negara Arab dan sangat terkenal di daerah ini. Beliau hidup sekitar tahun 1860 dan meninggal dunia sebaik sahaja selesai menulis al-Quran tersebut.

Penulisan buku-buku dan kitab-kitab agama telah mula berkembang pesat, serta menjayakan panduan dan pedoman penduduk tempatan untuk mendalami ilmu-ilmu agama. Dengan terjumpanya kitab-kitab ini menjelaskan lagi tentang bukti-bukti mengenai penyebaran agama Islam di Nusantara oleh para pedagang dan tentang penglibatan penduduk tempatan dalam menyebarkan agama Islam keseluruh rantau ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jata_johor-800px
Sejarah

Panchor Ditawan Oleh Raja Kecil

21 Mac 1718 – Ibu kota Empayar Johor-Riau-Lingga, Panchor ditawan oleh Raja Kecil dari negeri Siak pada tahun 1718. Raja Kecil kemudian telah mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Empayar Johor-Riau-Lingga dengan nama Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah.

Pertelingkahan di antara Empayar Johor dan negeri Siak sebenarnya bermula di antara tahun 1708 dan 1715. Dalam tempoh 2 tahun Sultan Johor, Sultan Abdul Jalil yang bersemayam di Pulau Riau, telah mengarah Yamtuan Muda Tun Mahmud menyerang negeri-negeri di Pulau Sumatera seperti Inderagiri, Batu Bara dan Deli. Kebetulan pula pada masa itu Raja Kecil baru saja menguasai negeri-negeri tersebut dari Raja Pagar Ruyong di Minangkabau. Setelah mendapat kejayaan Sultan Abdul Jalil telah balik ke negeri Johor dan mendirikan kota baru di Panchor, di Kuala Sungai Tukul.

Pada tahun 1717, Raja Kecil telah menguatkan angkatan tenteranya untuk menyerang Johor. Sebelum melancarkan serangannya ke atas Panchor, Raja Kechil telah mengutuskan beberapa orang pembesarnya berjumpa dengan Raja Negara, iaitu ketua Orang Laut di Singapura dan rakyat Melayu untuk bersubahat dengan Raja Kecil. Orang-orang Raja Kecil juga telah menyebarkan berita angin kononnya Raja Kecil itu adalah putera Sultan Mahmud Shah Mangkat di Julang.

Rancangan Raja Kecil untuk mengganggu ketenteraman dengan berita angin itu akhimya berjaya. Orang laut yang menjadi tulang belakang pertahanan Empayar Johor-Riau-Lingga telah bersetuju untuk berpaling tadah.

Rancangan Raja Kecil ini kemudiannya diketahui oleh Yamtuan Muda Tun Mahmud dan terus menyerang angkatan Raja Kecil di Kuala Sungai Johor. Dalam pertempuran ini Raja Kecil mendapat kejayaan dan mula menyusun strategi untuk menawan kota Panchor di mana Sultan Abdul Jalil masih bertahan.

Setelah merancang dan menunggu selama tiga bulan maka pada hari ini dalam tahun 1718, Raja Kecil telah menyerang kota Panchor dan akhirnya berjaya menawan kota itu. Sultan Abdul Jalil sempat berundur ke Pahang. Sejurus selepas itu Raja Kecil telah menjadi Sultan Empayar Johor-Riau-Lingga dan beliau telah dapat memegang takhta itu untuk selama empat tahun. Raja Kecil telah diusir dari Empayar Johor-Riau-Lingga oleh Raja Sulaiman, salah seorang putera Sultan Abdul Jalil, dengan bantuan orang-orang Bugis pada tahun 1722.

Walaupun Raja Kecil telah terusir dari takhta kerajaan Johor kemudiannya, tetapi beliau telah sempat menduduki takhta kerajaan Johor buat beberapa ketika. Hal ini berlaku berikutan dengan tertawannya Panchor pada hari ini dalam tahun 1718. Bagaimanapun selepas itu waris sah kerajaan Johor dapat merampas kembali takhta pada tahun 1722.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jambatan_victoria-800px
Sejarah

Pembukaan Rasmi Jambatan Victoria

21 Mac 1900 – Jambatan Victoria yang menyambungkan Enggor dan Kuala Kangsar telah dibuka dengan rasminya oleh Sir Frank Swettenham, Residen General Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1900. Perasmian jambatan ini turut dihadiri oleh Sultan Perak, Sultan Idris Mursyidul Azam Shah dan Raja Perempuan Perak, Residen Perak, J.P. Rodger dan isteri, orang-orang kenamaan dan orang awam.

jambatan_victoria_signboard

Jambatan yang dinamakan sempena nama Queen Victoria itu dianggap sebagai jambatan terbaik dari segi kejuruteraannya yang terdapat di Timur Jauh pada masa itu. Jurutera yang bertanggungjawab dalam pembinaan jambatan ini ialah G.W. Fryer, Divisional Engineer dan C.R. Hanson.

Jambatan kereta api yang bermula di Karai itu telah mula dibina pada 1897 dan merupakan rancangan bagi menghubungkan Ipoh dan Taiping melalui Kuala Kangsar. Ianya telah menjadi penghubung bagi laluan utara ke selatan Semenanjung Tanah Melayu dan memberi banyak faedah kepada perkembangan ekonomi.

jambatan_victoria

Jambatan Victoria

Dengan pembukaan rasmi jambatan yang bernilai 325,000 ringgit ini pada tahun 1900 ianya telah membuka laluan bagi pembangunan lebih pesat dan pertumbuhan bandar-bandar timah di Semenanjung Tanah Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
reid_commision
Sejarah

Pembentukan Suruhanjaya Perlembagaan Reid

21 Mac 1956 – Pada tahun 1956, sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Perlembagaan Reid telah dibentuk untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sebagai persediaan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Suruhanjaya Perlembagaan Reid telah dipengerusikan oleh Lord William Reid, Hakim Mahkamah Rayuan England dan dianggotai oleh Sir Ivor Jennings, Sir William Mac Kell, Hakim Abdul Hamid dan B. Malik. Sehingga Oktober 1956, suruhanjaya ini telah menerima 131 memorandum dari pelbagai lapisan individu dan organisasi untuk dikaji.

Tempoh untuk menyiapkan draf perlembagaan ialah selama lapan bulan dan Suruhanjaya tersebut telah mengemukakannya kepada sebuah Jawatankuasa Kerja untuk diperhalusi sebelum dirujuk oleh Majlis Raja-raja untuk disahkan.

Majlis Raja-raja telah memperkenankan perlembagaan tersebut pada bulan Jun 1957 dan Majlis Perundangan Persekutuan telah menerima dan meluluskannya pada 15 Ogos 1957.

Perlembagaan tersebut telah dikuatkuasakan pada 27 Ogos dan secara rasminya dilaksanakan apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Putatan-800px
Sejarah

Perjanjian Antara Pengiran Muda Damit Tajuddin Dengan Syarikat Borneo Utara British

20 Mac 1884 – Pada tahun 1884, Pengiran Muda Damit Tajuddin bin Pengiran Muda Hashim menandatangani satu perjanjian di mana ia menyerahkan kawasan Sungai Putatan di Sabah kepada Syarikat Borneo Utara British.

Kawasan yang dimaksudkan ialah semua kawasan Sungai Putatan dari hulu hingga ke hilir termasuk pulau-pulau yang di dalam lingkungan 6 batu ke laut dari kuala sungai itu. Sebagai gantinya Syarikat Borneo Utara British membayar sebanyak satu ribu ringgit tiap-tiap tahun kepada Pengiran Muda Damit.

Mengikut perjanjian itu Syarikat Borneo Utara British diberi hak milik ke atas kawasan tersebut termasuk hak pengeluaran sebarang galian, tanaman dan haiwan; membuat undang-undang; mengeluarkan mata wang; mewujudkan tentera darat dan laut; mengenakan cukai ke atas perdagangan di dalam dan luar negeri; dan mengenakan cukai ke atas penduduknya. Wilayah tersebut dan segala hak yang termaktub adalah menjadi kepunyaan Syarikat Borneo Utara British buat selama-lamanya mengikut kehendak Syarikat itu.

perjanjian_putatan

Perjanjian Putatan

Pengiran Muda Damit bersetuju dan berjanji akan membantu Syarikat Borneo Utara British mewujudkan sebuah Kerajaan di kawasan itu. Beliau juga akan memastikan supaya penduduk-penduduk di situ mengakui Kerajaan Syarikat Borneo Utara British. Jika timbul apa-apa bantahan dari mana-mana pihak terhadap hak berkerajaan oleh Syarikat Borneo Utara British, beliau akan bertanggungjawab terhadapnya.

Perjanjian ini adalah merupakan kejayaan pertama bagi Syarikat Borneo Utara British dalam usaha mengembangkan perdagangan dan politik penjajah Inggeris. Sebelum dari itu, semasa ia ditubuhkan dan direstui oleh Ratu Victoria pada tahun 1881, Syarikat itu telah mewarisi beberapa wilayah yang telah dijajahi oleh Gustav Baron von Overback dan Alfred Dent.

Seterusnya Syarikat Borneo Utara British juga berjaya melalui perjanjian-perjanjian yang lain mendapatkan wilayah-wilayah baru dan sehinggalah pada tahun 1903 seluruh Negeri Sabah berjaya diperolehinya.

 Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Flag_of_the_British_Army-800px
Sejarah

Perjanjian Penarikan Keluar Tentera British Dari Malaysia

20 Mac 1968 – Satu perjanjian penarikan keluar tentera British dari Malaysia telah ditandatangani di antara Yang Dipertua Persatuan Kakitangan Jabatan Perang, Encik S.J.H. Zaidi bagi pihak kerajaan Malaysia dengan Setiausaha Pasukan Tentera, Encik C.E. Starling bagi pihak British. Upacara yang diadakan pada 20 Mac 1968 ini disaksikan bersama oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Sir Michael Walker dan Menteri Buruh, Encik V. Manickavasagam.

Berikutan dengan penarikan keluar tentera British dari Malaysia ini telah mengakibatkan 20,000 orang kehilangan pekerjaan. Seramai 8,000 orang dari jumlah itu terdiri dari orang awam. Menurut perjanjian ini bekas anggota tentera akan dibayar faedah pemberhentian mereka.

Adalah dianggarkan pembayaran faedah ini melibatkan perbelanjaan sebanyak 60 juta ringgit yang dibayar mengikut kelayakan di antara 6 ribu hingga 60 ribu ringgit. Ramai di antara mereka yang telah diberhentikan kerja itu terutama sekali yang masih muda diserap masuk ke rancangan-rancangan kemajuan tanah bagi memulakan hidup baru.

Walaupun Malaysia tidak puas hati dengan syarat-syarat perjanjian itu tetapi terpaksa menerimanya memandangkan kepada keadaan politik dan ekonomi yang tidak memuaskan, terutama akibat daripada kejatuhan harga getah.

Dengan termeterainya perjanjian ini maka tamatlah hubungan ketenteraan dengan British. Bagaimanapun hubungan baik antara kedua negara terus kekal hingga ke hari ini.

Perjanjian penarikan keluar tentera British dalam tahun 1968 ini membuktikan kemampuan Malaysia berdikari di bidang pertahanan tanpa sebarang bantuan asing.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard