replika_tahta_perak-800px

Penyiasatan Mengenai Kekacauan Yang Berlaku Di Perak

24 Mac 1876 – Pada tahun 1876, pihak Tanah jajahan Inggeris di London telah melantik Philippon Plunket dan Paul sebagai Pesuruhjaya bagi mengkaji kedudukan Sultan Ismail dan kekacauan yang berlaku di Negeri Perak.

Hasil dari kaiian itu pihak Inggeris mendapati bahawa kekacauan itu berlaku akibat dari penentangan pembesar-pembesar di Perak apabila termaktubnya Perjanjian Pangkor pada 1874. Sultan Abdullah yang menandatangani Perjanjian itu kemudiannya menyedari bahawa kuasa baginda mulai hilang kerana campur tangan Inggeris. Ini menyebabkan baginda mulai merancangkan satu pakatan penentangan terhadap Inggeris.

Sultan Abdullah Muhammad Shah
Sultan Abdullah Muhammad Shah

Keadaan ini menjadi bertambah kacau apabila Sultan Ismail juga bersetuju dengan pakatan tersebut. Ini menyebabkan timbulnya penentangan yang diketuai oleh Dato’ Maharaja Lela dengan dibantu oleh Pembesar-pembesar Negeri Perak yang lain. J.W.W. Birch telah dibunuh dan Inggeris bertindak balas terhadap penentangnya itu. Sultan Ismail telah melarikan diri bersama-sama dengan 180 orang pengikut-pengikut baginda dan membawa alat-alat kebesaran Kesultanan Negeri Perak.

William Jervois
William Jervois

Ketiadaan alat-alat kebesaran ini serta penglibatan pembesar-pembesar Perak dalam penentangan terhadap Inggeris, menyebabkan pihak Inggeris merasa lebih bimbang. William Jervois, Gabenor Negeri-negeri Selat telah menghantar surat kepada semua Sultan supaya jangan membantu sesiapa juga dari Perak jika meminta pertolongan.

Akhirnya Sultan Ismail menyerah diri kepada Colonel Anson pada 23hb Mac, 1876. Baginda kemudiannya dibawa ke Singapura dan menyerahkan alat-alat kebesaran kesultanan Perak kepada Gabenor. Sementara itu Dato’ Maharaja Lela ditangkap dengan bantuan Sultan Johor dan Sultan Abdullah telah dibuang negeri.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.