mohor_syarikat_hindia_timur_inggeris-800px
Sejarah

Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah Meminta Bantuan Gabenor Jeneral India

24 Disember 1810 – Pada tahun 1810, Baginda Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah meminta bantuan Gabenor Jeneral India dari kerajaan England bagi melindungi Kedah dari serangan Siam. Bantuan perlindungan tersebut dipinta menerusi sepucuk surat yang ditulis oleh Baginda Sultan dan ditujukan kepada Lord Minto, Gabenor Jeneral India.

Melalui surat tersebut baginda Sultan menuntut agar pihak Syarikat Hindia Timur Inggeris menunaikan janji untuk melindungi baginda (Sultan Abdullah) dengan pihak Inggeris dalam tahun 1785, pihak Inggeris akan memberi perlindungan dan apa sahaja permintaan Sultan Kedah. Sebagai balasan Sultan Kedah membenarkan pihak Inggeris menduduki Pulau Pinang iaitu sebagai pengkalan tentera Inggeris. Pihak Inggeris juga berjanji membayar sewa sebanyak $30,000 setahun kerana mengambil alih Pulau Pinang dari Kedah.

Setelah satu tahun berlalu Sultan tidak mendapat sebarang jawapan persetujuan dan bantuan England, namun Francis Light telah pun menduduki Pulau Pinang. Pihak England juga tidak menunaikan sebarang janjinya terhadap Kedah. Dalam tempoh itu Sultan Kedah hanya menerima bayaran sewa sebanyak 10,000 ringgit sahaja.

Setelah enam tahun lamanya pihak England juga tidak memberi sebarang perlindungan sepertimana yang dijanjikan itu, maka pada hari ini dalam tahun 1810, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah pula memohon bantuan perlindungan dari General India, dan menuntut agar syarat-syarat perjanjian tahun 1785 dipatuhi.

Walau bagaimanapun Gabenor Jeneral India, tidak dapat memberi perlindungan dan tidak berjaya mendamaikan persengketaan antara Siam dan Kedah. Namun begitu bagi mengelakkan serangan Siam tersebut kerajaan Kedah telah menghantar Bunga Emas dan Perak kepada Siam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
wan_muhammad_saman-800px
Sejarah

Wan Muhammad Saman Meninggal Dunia

14 Disember 1898 – Pada tahun 1898, Wan Muhammad Saman, tokoh yang terkenal dengan jasanya membangunkan ekonomi negeri Kedah melalui projek-projek pertanian telah meninggal dunia dan dimakamkan di Makam diRaja Langgar.

Wan Muhammad Saman telah berkhidmat sebagai Menteri Besar negeri Kedah semasa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin dan meneruskan khidmatnya dibawah dua lagi pemerintah negeri Kedah iaitu Sultan Zainal Abidin Muadzam Shah II dan Sultan Abdul Hamid Shah.

Beliau bertanggungjawab dalam mengutarakan idea untuk membina sebuah terusan di sepanjang Kota Setar hingga ke Gurun pada tahun 1885. Terusan yang dikenali sebagai terusan Wan Mohd Saman ini telah mengubah negeri Kedah kepada sebuah negeri Jelapang Padi.

Terusan ini juga turut berperanan sebagai laluan perdagangan di antara Alor Setar ke Sungai Petani hinggalah ke Butterworth. Malah terusan ini juga telah menjadi asas kepada pembinaan jalan raya utama bagi negeri Kedah.

Sesungguhnya, jasa dan sumbangan beliau terhadap kemajuan negeri Kedah adalah amat besar dan layak digelar sebagai Bapa Pembangunan Negeri.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tengku_kudin-800px
Sejarah

Tengku Kudin Meninggal Dunia

25 Mei 1909 – Pada tahun 1909, Tengku Dhiauddin Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin Halim Shah atau lebih dikenali sebagai Tengku Kudin meninggal dunia di Tanjung Kelawai, Pulau Pinang. Tengku Kudin yang berpendidikan Inggeris ini adalah adinda kepada Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, Sultan Negeri Kedah.

Dalam tahun 1867, Tengku Kudin telah berkahwin dengan puteri Sultan Abdul Samad dari Selangor dan telah menetap di Langat. Berikutan itu Tengku Kudin telah dilantik sebagai wakil mutlak Sultan Abdul Samad untuk memerintah dan menjalankan pentadbiran bagi pihak Sultan. Keadaan ini telah menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan pembesar hingga membawa kepada Perang Kelang pada 1869.

Tengku Kudin

Tengku Kudin

Ketika menghadapi peperangan ini Tengku Kudin telah meminta bantuan daripada Gabenor Negeri-negeri Selat. Pada 22 Disember 1873, Tengku Kudin telah menulis surat kepada Gabenor Negeri-negeri Selat meminta seorang Residen bagi Kelang dan Selangor. Akhirnya pada 18 Jun1874, Sir Frank Swettenham telah dilantik sebagai Penolong Residen Selangor dengan itu bermulalah campur tangan secara langsung Inggeris di Selangor.

Tengku Kudin juga adalah orang yang pertama daripada kalangan Pembesar-pembesar Melayu yang bertanggungjawab terhadap perlaksanaan pentadbiran British di negeri Selangor apabila ia telah dilantik sebagai Presiden pertama bagi Majlis Mesyuarat negeri Selangor pada 18 April 1877.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
lambang_kedah-800px
Sejarah

Tengku Abdullah Menyerang Markas Tentera Siam Di Kedah

28 April 1823 – Pada tahun 1823, Tengku Abdullah telah mengetuai bala tentera Kedah seramai 3,000 orang menyerang markas tentera Siam di Kedah. Serangan ini dilancarkan untuk mengembalikan takhta Kerajaan negeri Kedah kepada ayahandanya Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II yang telah melarikan diri ke Pulau Pinang untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan daripada Syarikat Hindia Timur Inggeris setelah Kedah ditawan oleh Siam pada tahun 1821.

Terdahulu dari itu pada tahun 1786, Sultan Ahmad Tajuddin telah membuat perjanjian dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris (E.I.C.) di mana baginda bersetuju menyerahkan Pulau Pinang kepada pihak Inggeris dengan tujuan untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan dari serangan musuh-musuhnya. Tetapi oleh kerana perjanjian itu tidak dipersetujui oleh Gabenor Jeneral di India, pihak Inggeris gagal membantu apabila Kedah diserang dan ditawan oleh Siam.

Semasa berada di Pulau Pinang, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah terus berusaha untuk mendapatkan takhtanya kembali. Dalam bulan April tahun 1831, baginda mengadakan satu pemberontakan terhadap Siam dengan bantuan orang-orang pelarian Kedah di Pulau Pinang dan juga orang-orang pelarian Melayu daripada Kelantan, Terengganu dan Petani. Walau bagaimanapun pemberontakan itu gagal. Kerana kegiatannya itu baginda kemudiannya dipaksa oleh Inggeris meninggalkan Pulau Pinang ke Melaka.

Setelah gagal menggunakan kekerasan Sultan Ahmad Tajuddin akhirnya mengambil keputusan untuk mendapatkan semula Kedah daripada tangan Siam secara diplomasi dengan menghantar putera sulungnya, Tengku Abdullah atau Tengku Daik ke Bangkok untuk berunding dengan Raja Siam.

Dalam tahun 1842, Siam bersetuju menyerahkan semula Kerajaan negeri Kedah kepada Sultan Ahmad dengan syarat Kedah di bawah pengaruh Siam dan dikehendaki menghantar bunga emas tiap-tiap tiga tahun sekali. Setul dan Perlis yang dahulunya termasuk dalam jajahan Kedah kini telah dipisahkan dari Kedah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
sultan_abdul_hamid_kedah-800px
Sejarah

Sultan Abdul Hamid Halim Shah Dilantik Sebagai Pemerintah Kedah

23 Mac 1882 – Pada tahun 1882 DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah telah disahkan pelantikannya sebagai pemerintah Kedah oleh Raja Siam. Pengesahan ini adalah ekoran perbalahan yang timbul mengenai pewarisan takhta Kerajaan Kedah setelah kemangkatan Almarhum Sultan Zainal Rashid Muazzam Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah.

Perbalahan bermula apabila Tunku Dhiauddin (Tengku Kudin) mengepalai perwakilan Kedah ke Bangkok untuk memujuk Raja Siam melantiknya sebagai Sultan Kedah. Perkara ini telah ditentang dengan kerasnya oleh Tunku Yaakub, Wan Muhammad Saman dan Wan Hajar di mana mereka mahukan Tunku Abdul Hamid Halim Shah dilantik sebagai pemerintah Kedah. Disebabkan oleh peranan Tengku Kudin semasa perang saudara di Selangor dan hubungan yang rapat dengan Inggeris, Raja Siam telah menolak permintaan Tengku Kudin untuk menjadi Sultan Kedah.

Sultan Abdul Hamid Halim Shah

Dengan kegagalan ini, Tengku Kudin kemudiannya telah mencadangkan pula Tengku Kassim untuk tujuan pelantikan tersebut. Setelah perbincangan berjalan selama lima bulan, Rama IV iaitu pemerintah Negeri Siam pada masa itu, telah melantik Tunku Abdul Hamid Halim Shah sebagai waris takhta Kerajaan Negeri Kedah yang sah.

Dengan pelantikan Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, pada hari ini dalam tahun 1882 bermulalah satu era baru dalam sejarah pembangunan dan kemajuan negeri Kedah di mana baginda kemudiannya dikenali sebagai Pengasas Kedah Moden.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
sultan_ahmad_tajuddin-800px
Sejarah

Siam Menyerang Negeri Kedah

12 November 1821 – Pada tahun 1821, negeri Siam menyerang negeri Kedah dan mula mentadbir Kedah secara langsung selama 21 tahun. Kedudukan Kedah yang berhampiran dengan Segenting Kra yang begitu strategik telah menarik perhatian kuasa-kuasa asing. Segenting Kra ketika itu merupakan kawasan yang boleh menghubungkan Teluk Benggala dengan Teluk Siam.

Selain daripada itu negeri Kedah adalah sebuah kawasan pertanian dan perhutanan yang baik, dengan kesuburan sawah padi dan lada hitamnya. Kedah juga merupakan pusat pembinaan kapal-kapal perang dari kayu terpilih. Oleh itu tidak hairanlah pada abad ke 17 hinggalah ke abad ke 19 kerajaan Acheh, Burma dan Siam tertarik untuk menakluki Kedah.

Sultan Ahmad Tajuddin

Sultan Ahmad Tajuddin

Untuk mengekalkan kedaulatannya, Kedah terpaksa mengamalkan dasar luar negeri suaifaedah. Dengan dasar ini Kedah hanya akan menerima kewibawaan kuasa asing dengan menghantar bunga emas dan perak setiap tahun. Cara ini juga dapat menyelamat Kedah daripada diserang dan dijajah oleh kuasa-kuasa asing.

Peperangan selalu terjadi di antara dua musuh ketat iaitu Burma dengan Siam dan peperangan ini turut mengancam Kedah. Pada tahun 1818 satu lagi peperangan meletus di antara Burma dengan Siam. Angkatan tentera negeri Burma di bawah Alongpaya mula bergerak ke selatan menuju Kedah dan kawasan di Segenting Kra.

Untuk menghadapi peperangan ini Siam mendesak Kedah supaya menghantar 300 koyan dan 100 buah perahu yang lengkap. Permintaan ini ditolak oleh Sultan Ahmad Tajuddin. Oleh itu, pada bulan Februari 1821, negeri Siam telah mengerahkan 6,000 orang askar dan kapal perang melanggar Kedah.

Pada hari ini dalam tahun 1821, Kuala Kedah telah digempur oleh kapal perang dan seluruh negeri Kedah pula diserbu oleh askar-askar negeri Siam. lari menyelamatkan diri ke Pulau Pinang. Maka bermulalah pentadbiran Siam di Kedah untuk tempoh selama 21 tahun yang berakhir pada tahun 1842.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
thailand-800px
Sejarah

Pemberontakan Terhadap Pentadbiran Siam Di Kedah

03 Ogos 1838 – Pada tahun 1838, satu pemberontakan terhadap pentadbiran Siam telah berlaku di negeri Kedah. Pemberontakan ini dipimpin oleh Tengku Muhammad Saad, anak saudara Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah.

Ketika pemberontakan ini berlaku Sultan Ahmad Tajuddin telah berundur ke negeri Melaka untuk menyelamatkan diri dari ditawan oleh Siam.

Negeri Kedah telah ditawan oleh Siam pada tahun 1821 kerana enggan menghantar ufti Bunga Emas kepada kerajaan Siam dan baginda juga enggan tunduk kepada arahan-arahan Raja Siam. Akibatnya Governor Ligor Chauphaya Nakhon di Thammarat telah diarahkan oleh Raja Siam menyerang negeri Kedah.

Serangan ini telah berjaya dan Sultan Ahmad Tajuddin berundur ke Pulau Pinang. Negeri Kedah pula telah ditadbir oleh pegawai-pegawai Siam.

Sultan Ahmad Tajuddin yang berada di Pulau Pinang berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan semula negeri Kedah. Baginda dan pengikut-pengikut baginda telah membuat serangan ke atas orang-orang Siam di negeri Kedah tetapi telah dihalang oleh pihak Inggeris yang mementingkan perhubungan baik dengan kerajaan Siam di Bangkok.

Dalam tahun 1826 Perjanjian Burney telah ditandatangani di antara pihak Inggeris dan Siam. Antara perkara yang ditetapkan dalam perjanjian ini ialah Kedah dikekalkan sebagai negeri jajahan takluk negeri Siam.

Akibatnya Sultan Ahmad Tajuddin semakin berusaha untuk mendapatkan takhta kerajaan baginda.

Dalam tahun 1831 dan 1836 Sultan Ahmad Tajuddin dan para pengikut baginda telah menyerang orang-orang Siam di negeri Kedah. Angkatan perang Sultan Ahmad Tajuddin telah berjaya menghalau orang-orang Siam keluar dari negeri Kedah.

Tetapi kejayaan-kejayaan ini telah dihalang oleh angkatan perang Inggeris kerana dalam perjanjian Burney telah dipersetujui bahawa Inggeris akan menghalang Sultan Kedah dari mengambil kembali takhta baginda. Inggeris juga telah berjanji akan menghalang Sultan Kedah dari menyerang takluk negeri Siam.

Seterusnya pada hari ini dalam tahun 1838, Tengku Muhammad Saad, anak saudara Sultan Ahmad Tajuddin telah mengetuai satu pemberontakan terhadap pemerintahan Siam di negeri Kedah. Pemberontakan ini telah berjaya menghalau orang-orang Siam dari negeri Kedah, Setul dan Perlis.

Kejayaan ini seperti juga kejayaan-kejayaan sebelumnya telah dihalang oleh pihak Inggeris. Pihak Siam pula telah menghantar angkatan tentera yang besar untuk menawan semula negeri Kedah. Dalam masa beberapa bulan sahaja dalam tahun 1839, Siam telah dapat menawan semula negeri Kedah.

Akhirnya Sultan Ahmad Tajuddin berjaya menyelamatkan negeri Kedah dengan cara diplomasi dan dalam tahun 1842 kerajaan Siam bersetuju memberikan semula takhta kerajaan Negeri Kedah kepada Sultan Ahmad Tajuddin. Pentadbiran Siam di Kedah juga telah dimansuhkan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
lambang_kedah-800px
Sejarah

Pengiriman Hadiah Sultan Kedah Kepada Gabenor Pulau Pinang

02 Julai 1818 – Pada tahun 1818, Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin telah menghantar hadiah berupa 4 ekor burung kepada Kolonel Bannerman, Gabenor Pulau Pinang. Pengiriman hadiah Sultan Kedah kepada Gabenor Pulau Pinang ini sebagai tanda terima kasih kepada Kolonel Bannerman di atas segala pertolongan beliau membebaskan negeri Kedah dari ancaman dan serangan Siam.

Sebelum ini pada bulan November 1816, Raja Siam telah mengarahkan Sultan Kedah memerangi dan memaksa Sultan Perak, Sultan Abdul Malik Mansur Shah menghantar bunga emas kepada Raja Siam. Sultan Kedah enggan mematuhi perintah ini kerana baginda tidak mahu memusuhi Sultan Perak. Oleh itu baginda telah meminta pertolongan Gabenor Pulau Pinang untuk mengatasi masalah tersebut.

Bunga Mas

Bunga Mas

Perak telah diserang oleh Siam tetapi Mr. Cracroft yang diutus oleh Kolonel Bannerman telah berjaya membuat perjanjian melindungi perdagangan bebas di Perak. Malah beliau juga telah berjaya memujuk Sultan Perak supaya bersetuju menghantar bunga emas kepada Siam. Kejayaan utusan Cracroft ini amat disenangi oleh Sultan Kedah. Ia bukan sahaja dapat mengekalkan hubungan baik antara Kedah dengan Perak malah ia juga dapat menjamin sebarang kemungkinan serangan Siam terhadap negeri Kedah.

Siam amat ditakuti pada waktu ini kerana ia bergiat berusaha meluaskan pengaruhnya ke atas negeri-negeri Melayu Utara. Dengan kejayaan Cracroft dan persetujuan Sultan Perak mengirim bunga emas pada Siam, maka keselamatan Kedah adalah terjamin. Oleh itu pada hari ini dalam tahun 1818, Sultan Kedah telah mengirimkan hadiah kepada Gabenor Pulau Pinang sebagai tanda kesyukuran.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard