11 Januari 1941 – Tentera Jepun mula memasuki Malaya pada 8 Disember 1941 dengan pendaratan pertama tentera lautnya di Pantai Dasal dekat Kota Bharu, Kelantan. Di sini mereka terus mara ke selatan dengan matlamat untuk menawan Singapura sebagai destinasi terakhir mereka.
Pada hari ini dalam tahun 1942 tentera Jepun telah pun sampai ke Muar, Johor. Bandar Muar telah dibom oleh tentera Jepun. Pengeboman Bandar Muar itu menandakan saat-saat terakhir kejatuhan Tanah Melayu ke tangan Jepun oleh kerana kedudukan Muar dan Johor yang strategik bagi pertahanan akhir di Tanah Melayu. Serangan bom ini telah dilakukan oleh Pasukan tentera udara Jepun.
Barisan Pertahanan Muar
Barisan pertahanan British ditubuhkan di utara Johor antara Muar di barat sehingga Segamat, dan sehingga Mersing di sebelah timur. Briged Ke-45 ditempatkan di bahagian barat antara Muar dan Segamat. Pasukan Australia diletakkan pada kedudukan tengah dan bergerak maju ke utara dari Segamat ke Gemas di mana mereka bertembung dengan pasukan tentera Jepun yang sedang mara pada 14 Januari 1942.
Pada 15 Januari, Divisyen Ke-5 Jepun yang merupakan pasukan utama tentera Jepun tiba dan bertempur buat pertama kali dengan pasukan Australia Division ke 8, di bawah pemerintahan Mejar Jeneral Gordon Bennett. Semasa pertempuran dengan Australian Imperial Force di Gemas, tentera Jepun mengalami kekalahan taktikal buat pertamanya kalinya.
Dalam pertempuran sengit tersebut yang berpusat di sekitar Jambatan Gemencheh, tentera Jepun telah mengalami angka korban yang besar iaitu sekitar 600 nyawa terkorban. Walaubagaimanapun Jambatan Gemencheh yang telah dimusnahkan semasa pertempuran tersebut telah diperbaiki semula dalam tempoh enam jam.
Kelemahan Pertahanan
Pihak tentera Jepun kemudiannya cuba mengelilingi pertahanan pasukan Australia di barat Gemas, dengan itu memulakan pertempuran paling sengit dalam kempen penaklukan Tanah Melayu yang bermula 15 Januari di persisiran pantai barat Semenanjung Tanah Melayu berhampiran Sungai Muar. Mejar Jeneral Gordon Bennett meletakkan Briged India Ke-45 yang tidak berpengalaman dan masih mentah bagi mempertahankan tebing Selatan sungai Muar. Unit tersebut dipintas oleh unit Jepun yang mendarat dari laut dan Briged tersebut hampir musnah sepenuhnya dan komandernya Brigadier H.C. Duncan terbunuh.
Akibat serangan ini tentera Jepun kemudian telah menguasai tebing utama Sungai Muar. Penduduk Muar telah diarahkan oleh pihak berkuasa supaya berpindah ke kawasan pendalaman dan kampung. Serangan udara tentera Jepun ini telah dibantu pula oleh kemaraan pasukan ke-15 tentera berjalan kaki Jepun yang diketuai oleh General Nishimura.
Kelemahan pihak British ini menyebabkan tentera Jepun dapat menawan Bandar Muar dengan mudah sekali tanpa tentangan hebat. Dengan menggunakan jambatan yang dibina di atas perahu, pasukan tentera berjalan kaki dan kereta kebal tentera Jepun kemudiannya menyeberangi Sungai Muar dan pada 16 Januari 1942 berjaya menguasai tebing Sungai Muar sepenuhnya.
Pengunduran
Pihak British mengarah Batalion 2/19 dan 2/29 menyerang balas di Bakri pada 17 Januari 1942. Operasi tersebut menemui kegagalan apabila tentera Jepun telah melakukan serang hendap sebelum ianya bermula. Diketuai oleh Leftenan Kolonel Anderson, tentera India yang terpaksa berundur disokong oleh tentera Australia lalu membentuk Pasukan Muar (Muar Force) dan bertempur sengit selama empat hari bagi membenarkan sisa tentera Komanwel berundur dari utara Tanah Melayu, dengan itu mengelakkan daripada dipintas dan berundur melalui tentera Jepun ke kawasan selamat.
Apabila Pasukan Muar sampai ke jambatan di Parit Sulong dan mendapati ia berada di tangan musuh, Anderson, dengan jumlah anggotanya yang mati dan tercedera meningkat, mengarahkan setiap orang cuba ‘menyelamatkan diri masing-masing’. Mereka yang mampu merentas hutan, paya, dan ladang getah bagi sampai ke markas batalion di Yong Peng. Mereka yang tercedera ditinggalkan kepada ihsan Jepun dan kesemua 140 anggota yang ditinggalkan, kecuali tiga atau empat orang, disiksa dan dibunuh dalam pembunuhan beramai-ramai di Parit Sulong. Lt Kol Anderson dianugerahkan Victoria Cross bagi perjuangannya semasa berundur.
Pertempuran berlanjutan sehingga 18 Januari, dan pada 20 Januari, pendaratan lanjut tentera Jepun dilakukan di Endau walaupun menerima tentangan hebat dari serangan udara pengebom torpedo Vickers Vildebeest. Pertahanan terakhir Komanwel di Johor yang tertumpu pada garis Batu Pahat-Kluang-Mersing kini diserang sepanjang barisan pertahanannya.
Di sebalik cubaan Batalion Ke-19 dan Ke-29, garisan pertahanan Johor telah roboh. Jeneral Archibald Wavell memerintah pengunduran dengan menyeberangi Selat Johor ke pulau Singapura. Menjelang 31 Januari 1942, keseluruhan Tanah Melayu jatuh ke dalam tangan Jepun.
Dengan pengunduran ini, maka berakhirlah pertahanan British di Tanah Melayu. Tentera Jepun yang sudah menguasai seluruh Semenanjung Tanah Melayu, hanya menunggu masa untuk terus menyerang Singapura.
Sumber : Arkib Negara Malaysia