merdeka-800px

Perlantikan Pertama Anggota Pengurus Communities Liaison Committee

10 Januari 1949 – Pelantikan pertama anggota ‘Communities Liaison Committee’ terdiri dari 9 orang anggota telah diadakan di pertemuan kedua Jawatankuasa tersebut bertempat di Pulau Pinang pada tahun 1949.

Onn_jaafar_700
Dato’ Onn Jaafar

Dari 9 orang anggota pengurus tersebut, 5 orang adalah terdiri dari orang Melayu iaitu Dato’ Onn Jaafar, Dato’ Panglima Bukit Gantang (Menteri Besar Perak dan Ahli Jawatankuasa UMNO), Encik Salleh Halim (Ahli Jawatankuasa Kerja UMNO dan Ahli Dewan Undangan Persekutuan), Dr. Mustaffa Osman (Ahli Jawatankuasa Kerja UMNO) dan Dato’ Zainal Abidin Abbas (Setiausaha Agong UMNO).

Anggota-anggota lain ialah Dato’ Tan Cheng Lock mewakili masyarakat Cina dan Dato’ E. Thuraisingham mewakili masyarakat India.

Penubuhan Communities Liasion Committee

Communities Liaison Committee telah ditubuhkan pada 31 Disember 1948 hasil dari pertemuan Sir Malcom Mac Donald (Pesuruhjaya Tinggi Jajahan Inggeris di Asia Tenggara) dan Dato’ Onn Jaafar dengan 21 orang pemimpin terkemuka berbilang bangsa di Tanah Melayu dan Singapura.

malcom_macdonald
Malcom MacDonald

Pertemuan tersebut diadakan di rumah Dato’ Onn Jaafar di Johor Bahru yang ketika itu menjadi Pengerusi UMNO merangkap Menteri Besar Johor. Di antara pemimpin lain yang turut hadir ialah Dato’ Tan Cheng Lock, Dato’ E. Thuraisingham dan Sir Ronald Bradel (Penasihat Undang-Undang UMNO).

Usaha menubuhkan jawatankuasa ini dibuat adalah bertujuan untuk melenyapkan suara-suara tidak puas hati dan rasa anti perkauman di kalangan penduduk semua kaum di Tanah Melayu. Bagi Inggeris suasana keruh begini akan membahayakan pemerintahan mereka di Tanah Melayu.

Sir_Henry_Gurney
Sir Henry Gurney

Sir Henry Gurney berpendapat, situasi unik di Tanah Melayu dapat dipulihkan sekiranya orang-orang Cina dapat dipujuk menyebelahi kerajaan, sementara orang-orang Melayu pula diinsafkan bahawa Persekutuan Tanah Melayu hanya akan dapat status berkerajaan sendiri kalau kerjasama antara tiga ras terbesar iaitu Melayu, Cina dan India dapat diwujudkan.

Salah seorang pemimpin Melayu yang menyedari bahaya perkauman ketika itu ialah Dato’ Onn Jaafar. Sebagai seorang penentang Malayan Union dan pemimpin Melayu yang sangat kuat mempertahankan hak-hak orang Melayu, beliau sedaya upaya berusaha untuk menghindarkan bahaya api perkauman dari merebak dan merosakkan keamanan negeri.

Dengan penubuhan Communities Liaison Committee yang menjadi badan setengah rasmi untuk mengadakan kerjasama antara berbagai ras di Tanah Melayu adalah diharapkan cita-cita untuk berkerajaan sendiri akan terlaksana dengan lebih cepat lagi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.