umno_logo-800px
Sejarah

Penubuhan Umno

11 Mei 1946 – Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau United Malays National Organization (UMNO) telah ditubuhkan pada tahun 1946. Istana Besar Johor Bahru, telah menyaksikan kelahiran parti terbesar orang Melayu apabila ribuan orang Melayu berhimpun dan bertemu dalam Kongres Melayu Se-Malaya untuk kali ketiga.

Kongres ketiga ini diadakan berikutan penentangan keras orang Melayu terhadap penubuhan Malayan Union oleh penjajah British selepas berakhirnya pendudukan Jepun pada Ogos 1945.

Sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada Datuk Onn, Datuk Panglima Bukit Gantang, Datuk Nik Ahmad Kamil, Datuk Hamzah Abdullah dan Zainal Abidin Ahmad (Zaaba) yang dibentuk ketika Kongres Melayu Se-Malaya Pertama pada 1-4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur telah membentangkan Piagam atau Perlembagaan UMNO dan diluluskan oleh 29 anggota pertubuhan yang mewakili pertubuhan orang Melayu di Tanah Melayu dan Singapura.

Almarhum Sultan Ismail telah merasmikan penubuhan Umno pada 11 Mei 1946 dan Dato’ Onn Jaafar telah dipilih menjadi Presiden UMNO.

Penubuhan UMNO sekaligus membubarkan Kongres Melayu Se-Malaya yang sebelum ini menjadi gabungan seluruh persatuan orang Melayu. Kejayaan UMNO yang terbesar ialah memansuhkan Malayan Union seterusnya membentuk Persekutuan Tanah Melayu. Ia merintis laluan ke arah kemerdekaan Tanah Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard