menara_condong-800px
Sejarah

Pertukaran Nama Teluk Mak Intan Kepada Teluk Anson

15 Mac 1882 – Pada tahun 1882, mesyuarat Dewan Negeri Perak telah menukar nama Teluk Mak Intan kepada Teluk Anson.

Residen Inggeris di Negeri Perak, Hugh Low telah mencadangkan kepada Dewan Negeri supaya nama teluk ini ditukarkan kepada Teluk Anson sebagai mengenangkan jasa Jeneral Archibald Anson, Pegawai Daerah Hilir Perak.

Terdapat dua cerita bagaimana Teluk di Kuala Sungai Perak ini mendapat nama Teluk Mak Intan.

Asal Usul Nama Teluk Mak Intan

Cerita pertama mengisahkan nama Teluk Mak Intan diambil daripada seorang janda yang mempunyai rupa paras yang cantik iaitu Mak Intan. Beliau merupakan seorang saudagar yang berasal dari Mandahiling, Sumatera.

Beliau ialah peneroka yang membuka Teluk Intan di sekitar awal abad ke-19. Pada waktu itu, kawasan yang diterokai oleh Mak Intan dikenali sebagai Pekan Mak Intan.

Bermula daripada itu ramai orang dari berketurunan Jawa, Rawa, Mandahiling, Minangkabau, Kampar dan India-Bombay datang mendiami kawasan yang baru diterokai itu.

Kebanyakan daripada mereka ialah para petani dan para pedagang barangan tradisi seperti rempah ratus, kain, inggu, kacip, parang dan sebagainya.

Cerita yang kedua pula mengisahkan seorang gadis bernama Intan dari sebuah keluarga keturunan Sumatera yang berpengaruh. Bapanya berulang-alik dari Sumatera ke sini untuk berniaga kain batik.

Gadis ini mandi di tebing Sungai Perak bersama-sama rakan-rakannya. Cincin pemberian ibunya telah tenggelam dan lenyap di dalam lubuk Sungai Perak.

Maka apabila pedagang-pedagang bertanyakan nama teluk itu penduduk di situ akan mengatakan ‘Teluk Intan Hilang’. Singkatnya dipanggil Teluk Mak Intan sahaja.

Menara_Condong

Menara Jam Condong Teluk Intan

Dalam beberapa catatan lain pula tempat ini diberi nama yang berbeza-beza. Minit mesyuarat Dewan Negeri Perak pada tahun 1882 mencatatkan namanya sebagai Teluk Ma’ Hitam.

Residen Hugh Low pula memberi nama ‘Melintang’. Seorang penulis Melayu memanggil tempat ini sebagai ‘Teluk Mak Intan’.

Pada tahun 1880, enam tahun selepas campur tangan Inggeris di Negeri Perak, pusat pentadbiran Hilir Perak ialah di Durian Sebatang. Tetapi Jeneral Archibald Anson, Pegawai Daerah Hilir Perak mendapati Teluk Mak Intan lebih sesuai.

Beliau telah memindahkan pusat pentadbirannya ke situ. Beliau telah menyusun semula kedudukan dan pelan bandar Teluk Mak Intan.

Tetapi dengan adanya kesedaran untuk mewujudkan keperibadian sendiri maka pada 1 Januari 1982, setelah satu abad berlalu, Kerajaan Negeri Perak telah menggantikan nama Teluk Anson dengan nama Teluk Intan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
malayan-union-1-800px
Sejarah

Penubuhan Pergerakan Melayu Semenanjung Di Johor

03 Januari 1946 – Sebuah Kesatuan Melayu yang mempunyai semangat baru telah ditubuhkan dengan nama Pergerakan Melayu Semenanjung di Johor pada tahun 1946. Penubuhan ini hasil dari persetujuan yang telah dicapai di antara 8 buah Persatuan Melayu di seluruh negeri Johor iaitu di bawah pimpinan Dato’ Onn bin Jaafar.

Onn_jaafar_700

Pertubuhan-pertubuhan tersebut termasuklah :

  • Persatuan Melayu Kluang
  • Kesatuan Melayu Johor
  • Persatuan Melayu Johor Baharu
  • Lembaga
  • Wakil Batu Pahat
  • Persatuan Melayu Segamat
  • Wakil Mersing
  • Wakil Pontian.

Tujuan Penubuhan Pergerakan Melayu Semenanjung di Johor

Tujuan penubuhan Pergerakan Melayu Semenanjung di Johor yang dipimpin oleh Dato’ Onn Bin Jaafar adalah untuk :

  • Menentang Malayan Union
  • Menyatukan dan mengawal keselamatan orang-orang Melayu akibat dari pergaduhan kaum yang pada mulanya berlaku di Batu Pahat dan kemudian merebak ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan, ke Lambar Kanan di Teluk Anson (kini dikenali Teluk Intan) dan Daerah Kuala Kangsar, Perak, dan ke Daerah Raub Pahang
  • Menyatukan orang-orang Melayu dan berjuang serta mempertahankan hak-hak dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu
  • Menjadi badan dan penyuara dalam memperjuangkan hak-hak serta kehidupan orang-orang Melayu keseluruhannya.

Penubuhan UMNO

Pergerakan Melayu Semenanjung Johor di bawah pimpinan Dato’ Onn Bin Jaafar telah menjadi penganjur kepada perhimpunan Kongres Melayu Se Tanah Melayu (Se Malaya) yang diadakan pada 1 hingga 4  Mac 1946. Kongres yang dihadiri oleh para wakil 41 buah pertubuhan Melayu dari seluruh Tanah Melayu, termasuk Singapura telah memutuskan untuk menubuhkan sebuah badan yang mewakili seluruh orang-orang Melayu dalam gerakan menentang Malayan Union.

umno

Badan itu lahir dengan nama “Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu” atau “United Malays National Organization” (UMNO) iaitu semasa Kongres bersidang buat kali yang ke 3 pada 11 hingga 12 Mei 1946, di Istana Besar, Johor Bahru.

Dengan penubuhan UMNO di bawah pimpinan Dato’ Onn Bin Jaafar sebagai Presidennya yang pertama maka Kongres Melayu Se Tanah Melayu dimansuhkan mengikut ketetapan Majlis Mesyuarat yang bersidang pada 11 Mei 1946. Segala perjuangan Pergerakan Melayu Semenanjung di Johor disalurkan dan menjadi perjuangan UMNO.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
lean_tower-800px
Sejarah

Penukaran Nama Teluk Anson Kepada Teluk Intan

27 Disember 1981 – Pada hari ini, Yang Dipertua Majlis Daerah Hilir Perak (MDHP) Encik Abdul Samat Haji Sabri telah mengedarkan surat arahan penukaran nama Teluk Anson Kepada Teluk Intan. Semua jabatan-jabatan kerajaan, pihak swasta termasuk kilang-kilang, syarikat-syarikat persendirian serta kedai-kedai perniagaan perlu menggunakan nama Teluk Intan.

Mengikut surat arahan yang diedarkan tersebut penggunaan nama Teluk Intan akan mula berkuatkuasa 1 Januari 1982. Dengan pengedaran surat arahan itu diharapkan semua penduduk di daerah Hilir Perak amnya dan bandar Teluk Intan khususnya agar dapat mengubah tulisan nama bandar ini pada semua papantanda yang bertulis perkataan Teluk Anson kepada Teluk Intan.

mahkamah teluk intan

Arahan Perubahan

Arahan perubahan nama ini adalah sesuai dengan keadaan masyarakat negara ini lagipun nama Teluk Intan sememangnya telah digunakan sehinggalah pihak pentadbiran Inggeris menukarnya kepada nama Teluk Anson mengambil sempena nama seorang pegawai Inggeris yang bertugas di Perak.

Sesungguhnya arahan penukaran nama Teluk Anson kepada Teluk Intan pada hari ini dalam tahun 1981 itu adalah suatu yang baik ke arah mengurang atau menghapuskan nama-nama tempat yang berunsur penjajah di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Pelanggaran Kereta Api Dengan Gajah Di Teluk Anson
Sejarah

Pelanggaran Kereta Api Dengan Gajah Di Teluk Anson

17 September 1894 – Pada tahun 1894, satu pelanggaran kereta dengan gajah telah berlaku berhampiran Bandar Teluk Anson, Perak. Inilah satu-satunya pelanggaran dengan gajah yang pernah dialami oleh pihak Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Pelanggaran Kereta Api Dengan Gajah Di Teluk Anson

Kejadian yang tidak disangka-sangka ini berlaku pada sebelah petang semasa kereta api penumpang ini sedang dalam perjalanan dari Tapah Road menuju ke Teluk Anson. Walau bagaimanapun pelanggaran ini tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa. Hanya gerabaknya tergelincir dari landasan di tempat kejadian itu selama 2 minggu.

Pelanggaran Kereta Api Dengan Gajah Di Teluk Anson

Untuk memperingati kejadian yang bersejarah ini, satu papan tanda yang mencatatkan bagaimana peristiwa tersebut berlaku telah didirikan di tempat kemalangan itu. Tengkorak dan gading gajah yang dilanggar mati itu telah disimpan di Muzium Taiping. Bagi memudahkan orang ramai melihat tengkorak gajah itu, ia telah dipindah dan dipamerkan di Muzium Negara Kuala Lumpur.

Pelanggaran Kereta Api Dengan Gajah Di Teluk Anson

Peristiwa pelanggaran yang berlaku pada hari ini dalam tahun 1894 tidak melibatkan kemalangan nyawa tetapi ia telah menjejaskan pendapatan dan mengganggu perkhidmatan kereta api penumpang Tapah Road Teluk Anson. Malah ia juga boleh disifatkan sebagai faktor yang telah menjejaskan kemajuan perkembangan ekonomi KTM secara keseluruhannya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard