old_penang_hill_railway-800px
Sejarah

Perasmian Keretapi Bukit Bendera

01 Januari 1924 – Perkhidmatan Keretapi Bukit Bendera, Pulau Pinang dirasmikan oleh Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Lawrence Nums Guillemard pada tahun 1924. Perkhidmatan keretapi Bukit Bendera memulakan perkhidmatannya pada 21 Oktober 1923 dan merupakan bukit yang pertama mempunyai stesen keretapi dengan ketinggian 830 meter dari aras laut.

Kereta Api Bukit Bendera atau funikular pada mulanya dibina untuk golongan penjajah British bagi menikmati udara sejuk Bukit Bendera Pulau Pinang. Percubaan pertama funikular di Bukit Bendera ini bermula dengan cadangan oleh tiga penduduk British iaitu D. Logan, Joseph Heim dan Alan Wilson. Sebuah syarikat swasta diwujudkan pada tahun 1897 dengan pembiayaan daripada pentadbiran penjajah.Percubaan pertama menggunakan enjin stim dan bukan funikular akan tetapi percubaan tersebut menemui kegagalan. Laluan ini telah dibina antara 1901 dan 1905 tidak berjaya kerana kesilapan teknikal.

penanghill_train

Projek Baharu Kerajaan Negeri-Negeri Selat

Kerajaan Negeri-negeri Selat kemudiannya melancarkan satu projek baharu pada tahun 1909. Kereta Api Funikular Bukit Bendera telah direka oleh Arnold R Johnson berdasarkan reka bentuk Switzerland. Beliau juga merupakan seorang jurutera Persekutuan Kereta Api Tanah Melayu. Pembinaan kereta api kedua menelan belanja sebanyak 1.5 juta Dolar Selat. Landasan funikular sepanjang 2,007m beroperasi secara tidak rasmi pada 21 Oktober 1923.

Selepas berjaya dalam tempoh percubaan, pada 1 Januari 1924, kereta api itu telah dirasmikan oleh bekas Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir L.N. Guillemard. Pada tahun pertama operasinya ia membawa 35,201 penumpang dan beroperasi sebanyak 4021 perjalanan.

Pentadbiran

Keretapi Bukit Bendera telah diwartakan pada tahun 1950 di bawah Penang Hill Railway Ordinance No. 42/1950. Sejak memulakan perkhidmatannya, keretapi Bukit Bendera merupakan satu badan yang tersendiri di bawah Kerajaan Negeri dan pentadbiran penyeliaan operasinya diletakkan di bawah Jabatan Lektrik, Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan telah diambil alih oleh Lembaga Lektrik Negara pada 1 Januari 1976. Bermula pada 1 Februari 1977, kerja-kerja pengurusan operasi Keretapi Bukit Bendera telah diambil alih oleh Jabatan Kerja Raya dan kemudianya di tadbir oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pada 1 Januari 1982, manakala urusan penyelenggaraan masih dibawah Jabatan Kerja Raya.

Sehingga tahun 2010, Kereta Api funicular Bukit Bendera mempunyai dua bahagian kerana perbezaan kecerunan antara bahagian bawah dan atas. Penumpang perlu menukar kereta api di stesen bahagian tengah. Bahagian atas dan bawah masing-masing mempunyai dua pengimbang balas kereta api 40 penumpang. Landasan keretapi itu mempunyai tempat berselisih di mana terdapat 4 landasan. Kereta api funikular itu ditarik oleh kabel keluli pacuan elektrik dengan kuasa 500 volt. Landasannya melalui terowong sepanjang 258 kaki yang juga merupakan landasan tercuram di dunia. Ia mengambil masa 30 minit untuk naik ke atas bukit dengan pertukaran kereta api di stesen tengah.

keretapi_bukit_bendera_selisih

Gerabak pertama diperbuat daripada kayu dengan dibahagikan kepada 2 petak untuk kelas pertama dan kedua. Empat gerabak telah digunakan pada kereta api ini selama lebih 50 tahun sehingga ianya bersara pada 1977. Ia digantikan dengan gerabak baharu berwarna merah yang mempunyai kipas dan pintu gelangsar automatik. Setiap satu daripada gerabak buatan Switzerland berwarna merah ini boleh menampung sehingga 80 orang yang kebanyakannya berdiri. Gerabak ini digunakan selama lebih 30 tahun sehingga 2010.

Naiktaraf

Selepas beberapa siri kerosakan, idea baik pulih sistem kereta api funikular baru telah diilhamkan. Pada 22 Februari 2010, kereta api funikular yang berusia telah 87 tahun ini ditutup untuk menaik taraf kepada sistem yang baru dengan kos RM63 juta. Landasan baru dipasang dan kereta api baru dibeli untuk meningkatkan kapasiti penumpang dan kelajuan kereta api. Stesyen baru dan tempat letak kereta awam turut dibina. Kayu daripada landasan kereta api lama telah digunakan semula dalam pembinaan yang bangunan baru empat tingkat iaitu Pusat Melawat Bukit Bendera.

Funicular_at_Penang_Hill

Kereta api baharu ini tidak lagi memerlukan penumpang menukar kereta api di pertengahan stesyen. Penumpang boleh menikmati perkhidmatan tanpa henti dalam kereta api berwarna biru dan putih buatan Switzerland ini yang mampu membawa sehingga 100 penumpang pada satu masa serta dilengkapi dengan pendingin hawa dan boleh sampai ke atas dalam masa lima minit. Beban maksimum kereta api funikular kerja telah ditetapkan pada 7,500 kg. Ia boleh membawa 1,000 penumpang sejam berbanding 250 di bawah sistem lama.

Pada 25 April 2011, sistem kereta api yang baru disambung semula perkhidmatan, walaupun pada mulanya terdapat beberapa masalah teknikal yang menyebabkan perkhidmatan itu tergendala buat sementara waktu. Perkhidmatan kereta api ini bermula pada jam 6:30 pagi hingga 10:00 malam setiap hari. Penaiktarafan ini membawa kepada jumlah peningkatan penumpang yang besar. Pada tahun 2014, jumlah penumpang mencapai 1.37 Juta berbanding dengan bilangan pengunjung ke Bukit Bendera kira-kira setengah juta pada tahun 2008.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard