malaysian_soldier-800px
Sejarah

Peristiwa Malam Natal

25 Disember 1972 – Pada tahun 1972, telah berlaku satu pertempuran hebat di antara Platun Harimau Batalion ke 9 Rejimen Askar Melayu Diraja dengan segerombolan pengganas komunis di Jambusan, Bahagian Pertama, Sarawak. Dalam gerakan tersebut, sebanyak 4 orang anggota komunis telah mati dan beberapa orang lagi mendapat kecederaan.

Kejadian ini berlaku sebagai tindak balas kepada serang hendap yang dibuat oleh segerombolan pengganas komunis ke atas anggota pasukan keselamatan pada 20 Disember. Berikutan dengan peristiwa tersebut, anggota Platun Harimau telah ditugaskan bagi mengesan kumpulan pengganas itu yang dipercayai menuju ke kawasan tertentu di bahagian pertama.

pingat panglima gagah berani

Kejayaan gerakan ini sebenarnya bergantung kepada keberanian dan kebijaksanaan Sarjan Jantan b. Nyamat salah seorang anggota Platun Harimau yang banyak pengalaman di hutan. Sehubungan itu berlakulah tembak menembak yang menyebabkan 4 orang anggota komunis dan beberapa orang lagi cedera.

Peristiwa Malam Natal itu sesungguhnya memaparkan keberanian Sarjan Jantan yang membawa kepada penganugerahan Pingat Pahlawan Gagah Berani sebagai menghargai jasa yang dilakukannya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
malayan-union-1-800px
Sejarah

Kesatuan Melayu Pulau Pinang Menentang Malayan Union

24 Disember 1945 – Pada tahun 1945, Kesatuan Melayu Pulau Pinang mengadakan mesyuarat bertujuan menyatakan pendirian menentang cadangan Kesatuan Malaya atau Malayan Union. Mesyuarat ini diadakan di Madrasah Mashhurul Islamiyah Pulau Pinang. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Naib Yang DiPertua Kesatuan itu, iaitu Tuan Haji Ahmad bin Haji Yunus. Beberapa ahli Jawatankuasa Kesatuan dan ahli-ahli Kesatuan menghadiri mesyuarat ini.

Dalam mesyuarat ini, Kesatuan Melayu Pulau Pinang dengan sebulat suara menolak cadangan British untuk mewujudkan Malayan Union kerana ianya memberi taraf kerakyatan yang sama rata kepada semua bangsa. Ini akan menghapuskan hak keistimewaan kepada orang-orang Melayu. Walaubagaimanapun mereka tidak membangkang jika ada cadangan mewujudkan Kesatuan Negeri-negeri Melayu (United Malay States) yang bermakna hak orang-orang Melayu.

Dengan pendirian yang diambil pada hari ini dalam tahun 1945, maka tentangan terhadap Rancangan Malayan Union telah bertambah dan Kesatuan Melayu Pulau Pinang sendiri mengikut jejak langkah Kesatuan-kesatuan Melayu di negeri-negeri lain menentang Malayan Union.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
pleno-800px
Sejarah

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu Diumumkan

23 Disember 1946 – Pada tahun 1946, Perjanjian Persekutuan yang kemudiannya dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948, telah diumumkan oleh Kerajaan British. Perjanjian ini penting bukan sahaja kerana ia memansuhkan Malayan Union tetapi juga menyatukan negeri-negeri Melayu dalam sebuah Persekutuan untuk pertama kali.

Perjanjian Persekutuan telah digubal oleh Sidang Pleno Inggeris Melayu sejak bulan Jun hingga awal bulan Disember 1946. Seterusnya Perjanjian Persekutuan telah diumumkan dan diedarkan kepada penduduk-penduduk Tanah Melayu, terutama sekali untuk orang-orang bukan Melayu.

Tujuan pengumuman ini ialah untuk mendapatkan pandangan orang-orang bukan Melayu yang tidak diwakili dalam Sidang Pleno itu. Antara lain Perjanjian Persekutuan menyatakan:-

  • Persekutuan Tanah Melayu akan dianggotai oleh sembilan buah negeri-negeri Melayu dan dua buah negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka.
  • Pembukaan Dewan Perundangan Persekutuan yang akan diwakili oleh semua kaum di Persekutuan Tanah Melayu.
  • Mengenai kewarganegaraan, Perjanjian Persekutuan memberi dasar yang longgar. Antara lain orang-orang yang mengaku Tanah Melayu sebagai tanah airnya akan diberi kewarganegaraan dengan beberapa syarat yang lain.

Perjanjian Persekutuan juga menetapkan kuasa-kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Hal-hal kewangan mestilah dikendalikan oleh negeri masing-masing. Sultan-sultan negeri Melayu diberi kuasa penuh ke atas hal-hal agama dan adat istiadat. Masalah luar negeri dan pertahanan pula masih dikuasai oleh Kerajaan Inggeris.

Walaupun menerima banyak tentangan daripada pelbagai pihak seperti AMCJA dan PUTERA, tetapi akhirnya Perjanjian Persekutuan telah berjaya dijadikan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan dengan rasminya pada 1 Februari 1948.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
hartal_headline-800px
Sejarah

AMCJA Ditubuhkan

22 Disember 1946 – Pada tahun 1946, Pan Malayan Council of Joint Action (PMCJA) ditubuhkan untuk menentang perlembagaan dan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu. Dalam bulan Ogos 1947, PMCJA telah menukarkan namanya kepada All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA).

Pertubuhan-pertubuhan yang bergabung dalam AMCJA kebanyakannya adalah berhaluan kiri seperti Pan-Malaya Federation of Trade Union, New Democratic Youth League, Malayan Democratic Union, Ex-MPAJA Comrades Association, Women Federation dan Malayan Indian Congress. Sepanjang riwayatnya yang singkat AMCJA telah dipimpin oleh Tan Cheng Lock sebagai Pengerusi dan John Eber sebagai Setiausaha.

hartal

AMCJA ditubuhkan selepas perlembagaan dan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dibincang dan dirangka oleh pihak Inggeris, UMNO dan DYMM Raja-raja Melayu dalam satu sidang Pleno. Pada 12 Disember 1946, Kerajaan Inggeris mengumumkan bahawa perlembagaan tersebut telah selesai digubal dan akan disiarkan untuk mendapatkan pandangan dari orang-orang bukan Melayu.

Maka pada hari ini dalam tahun 1946, pertubuhan-pertubuhan bukan Melayu telah menubuhkan AMCJA untuk menentang perlembagaan baru itu. AMCJA ingin menyatukan Singapura dan Tanah Melayu, mahukan sebuah negara berkerajaan sendiri dan juga kewarganegaraan yang sama. Kesemua ini adalah bertentangan dengan rangka perlembagaan yang diputuskan oleh Sidang Pleno Inggeris-Melayu.

Dalam bulan Januari 1947, AMCJA telah mendekati Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) untuk sama-sama menentang perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Hasrat AMCJA untuk bekerjasama dengan orang-orang Melayu akhirnya menjadi kenyataan bila PKMM bergabung dengan API, AWAS, GERAM dan Hizbul Muslimin untuk menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) pada 22 Februari 1947. PUTERA kemudian bergabung dengan AMCJA.

pmcja_hartal_news

Hasil daripada gabungan AMCJA-PUTERA ini perbahasan-perbahasan terbuka dan kempen-kempen telah berjaya diadakan di seluruh Tanah Melayu. Dalam bulan Oktober 1947 AMCJA-PUTERA telah mengeluarkan ‘Perlembagaan Rakyat’ (The People’s Constitution) sebagai pengganti kepada Perlembagaan Persekutuan.

Pada 20 Oktober 1947 mereka telah menganjurkan hartal (mogok) yang hampir melumpuhkan keseluruhan jentera ekonomi dan pentadbiran Inggeris. Sungguhpun begitu usaha AMCJA dan kemudian usaha AMCJA-PUTERA untuk menghapuskan perlembagaan yang digubal oleh Sidang Pleno Inggeris-Melayu itu menemui kegagalan.

Perlembagaan yang digubal oleh Sidang Pleno mula berkuatkuasa pada 1 Februari 1948, bila Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan dengan rasminya. Dengan itu juga lenyaplah sejarah AMCJA.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
regimental_combat_team-800px
Sejarah

Perjanjian Di Antara Sultan Kedah Dengan Jepun

19 Disember 1941 – Pada tahun 1941, Baginda Sultan Kedah, DYMM Tuanku Abdul Hamid Halim Shah iaitu Sultan Kedah yang ke 25 telah menandatangani satu perjanjian dengan pihak Jepun di Kulim, Kedah. Perjanjian di antara Sultan Kedah dengan Jepun ini dibuat berikutan kejatuhan negeri Kedah ke tangan Jepun. Tentera Jepun mula bergerak ke negeri Kedah pada 8 Disember 1941 apabila mereka mendarat di Alor Setar dan mengebom Lapangan Terbang Sungai Petani.

Serangan Jepun di Alor Setar itu telah menyebabkan Baginda Sultan dan pihak kerajaan berpindah ke Kulim. Apabila keseluruhan Negeri Kedah telah ditakluki, maka Kedah terpaksa mengadakan satu perjanjian dengan pihak Jepun. Menurut perjanjian tersebut, pihak Jepun mengakui Sultan Abdul Hamid Halim Shah sebagai raja Negeri Kedah, tetapi pihak Jepun adalah pemegang kuasa dan semua arahan Jepun mesti dipatuhi.

sultan_abdul_hamid_kedah

Tuanku Abdul Hamid Halim Shah

Sesudah perjanjian itu ditandatangani, Baginda Sultan yang ketika itu dalam keadaan gering dan dibawa balik ke Alor Setar. Baginda diiringi oleh anakandanya Tunku Abdul Rahman Putra dan disertai oleh Tunku Badlishah, Raja Muda. Pada masa yang sama semua pegawai Kanan Melayu Kedah yang menjawat jawatan semasa pemerintahan British juga dibenarkan kembali ke jawatan masing-masing.

Dengan perjanjian yang ditandatangani di antara Sultan Kedah dan Gabenor Jepun pada hari ini dalam tahun 1941, maka bermulalah detik pemerintahan Tentera Jepun di Negeri Kedah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
replika_tahta_perak-800px
Sejarah

Pemansuhan Jawatankuasa Penasihat British Di Perak

19 Disember 1956 – Pada tahun 1956, DYMM Sultan Perak, Raja Sir Yusuf ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil telah menandatangani dua dokumen yang memansuhkan jawatan Penasihat British di Perak. Upacara tersebut berlangsung di Istana Iskandariah Kuala Kangsar. Kedua-dua dokumen itu ialah mengenai pindaan-pindaan kepada Perlembagaan Negeri Perak dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.

Perak merupakan negeri pertama di Tanah Melayu menerima seorang pegawai British sebagai penasihat kerajaan. Penasihat yang dikenali sebagai Residen itu mempunyai kuasa pentadbiran yang lebih besar daripada Sultan sendiri. Bidang kuasa Sultan terhad pada hal-hal Agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja.

Yusuf Izzuddin Shah

Pegawai British yang dikenali sebagai Residen British itu dilantik melalui Perjanjian Pangkor yang ditandatangani oleh Sultan Abdullah ibni Almarhum Sultan Jaafar pada 20 Januari 1874. Jawatan Residen itu kekal sehinggalah tamat Perang Dunia Kedua (1945) apabila ia ditukarkan kepada Penasihat British.

Pada hari ini dalam tahun 1956 jawatan Penasihat British di Perak telah dimansuhkan. Dengan itu tamatlah sejarah campurtangan pegawai British secara langsung selama 82 tahun dalam pentadbiran negeri Perak yang bermula pada tahun 1874 dengan J.W.W. Birch sebagai Residen British yang pertama dan berakhir pada tahun 1956 dengan Dato’ I.W. Blelloch, Penasihat British.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tengku_kudin-800px
Sejarah

Raja Ismail Menyerang Raja Mahadi Di Kelang

17 Disember 1869 – Pada tahun 1869, Raja Ismail telah menyerang Raja Mahadi di Kelang. Raja Ismail menyerang Raja Mahadi kerana membalas serangan Raja Mahadi yang telah mengakibatkan ayahandanya Raja Abdullah terpaksa mengundur diri dari Kelang ke Melaka.

Raja Ismail juga bercita-cita untuk merampas semula daerah Kelang yang dimiliki oleh bapanya yang dikurniakan oleh Sultan Abdul Samad. Sebelum ini Daerah Kelang dikuasai oleh Raja Sulaiman, bapa Raja Mahadi tetapi setelah beliau meninggal dunia, Kelang diserahkan kepada Raja Abdullah.

Ketika Raja Abdullah memerintah, Kelang bertambah maju. Raja Abdullah telah membuka banyak perusahaan melombong bijih dan membawa masuk ramai pelombong Cina ke Kelang untuk membuka lombong bijih di kawasan-kawasan pendalaman. Raja Abdullah bertambah kaya apabila banyak hasil kutipan cukai diterimanya setelah lombong-lombong bijih di kawasan Ulu Kelang dan Ampang mengeluarkan hasil. Kuasa dan kekayaannya telah menambahkan cemburu kepada Raja Mahadi yang tidak puas hati kerana Sultan Abdul Samad telah mengenepikan dirinya dari mewarisi Kelang.

Tengku Kudin (duduk)

Dengan bantuan orang-orang Melayu Sumatera suku Mandahiling, Rawa, Batu Bara dan pengikut-pengikutnya beliau berjaya mengusir Raja Abdullah dalam tahun 1866. Serangan Raja Mahadi telah mengakibatkan berlakunya Perang Kelang.

Pada hari ini dalam tahun 1869, Raja Ismail menyerang Raja Mahadi untuk merampas kembali Kelang dari Raja Mahadi tetapi gagal mengusir Raja Mahadi. Peperangan berterusan dan melibatkan orang-orang luar yang diminta bantuan seperti Pahang, Kedah, negeri Sembilan, Inggeris dan Riau.

Peperangan Kelang berakhir pada tahun 1871 apabila angkatan Raja Mahadi dikalahkan oleh Yamtuan Tengku Kudin, menantu Sultan Abdul Samad dengan bantuan tentera upahan Inggeris dan pengikut-pengikutnya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
1st_Batalion-Rejimen-Persekutuan-800px
Sejarah

Penubuhan Batalion Pertama Regimen Persekutuan

16 Disember 1953 – Dalam tahun 1953, Batalion Pertama Regimen Persekutuan telah ditubuhkan dengan rasminya bersempena dengan perbarisan ulungnya di Taiping, Perak. Upacara berwarna-warni ini telah mencatatkan satu detik yang bersejarah ke arah perkembangan angkatan tentera yang menjadi benteng pertahanan di negara ini.

General Sir Gerald Templer yang merupakan ‘bapa’ kepada regimen ini tidak dapat turut bersama di hari yang bersejarah ini kerana uzur. Beliau telah diwakili oleh General Sir Hugh Stockwell yang telah menerima tabik kehormatan dan membaca perutusan Sir Gerald Templer.

Di dalam perutusannya, Sir Gerald Templer antara lain telah mengingatkan anggota-anggota tentera bahawa tingkah laku, disiplin dan keberanian mereka adalah perkara yang penting yang mempengaruhi keadaan negara ini yang sedang menuju ke arah kemajuan dan pembentukan identitinya.

Batalion Pertama Regimen Persekutuan ini merupakan pasukan tentera yang julung-julung kalinya dianggotai oleh semua kaum. Anggota- anggotanya terdiri dari 40 peratus Melayu, 40 peratus Cina dan 20 peratus India serta kaum-kaum lain. Kumpulan pelatih pertama seramai 140 orang mula menjalani latihan dalam bulan September 1952. Jurulatihnya dipinjam dari Pasukan Tentera British dan Pasukan Askar Melayu. Seramai 440 orang anggota lain-lain pangkat telah menyertai perbarisan tamat latihan ini. Pegawai Pemerintah Pertama bagi Batalion ini ialah Leftenan Kolonel T. H. Trevor.

Upacara perbarisan dan penubuhan Batalion Regimen Persekutuan ini sesungguhnya merupakan satu catatan bersejarah dalam perkembangan angkatan tentera di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
malayan_union_kb-800px
Sejarah

Perarakan Menentang Malayan Union Di Kota Bharu

15 Disember 1945 – Pada tahun 1945, sekitar 10,000 orang Melayu di bawah anjuran Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan telah mengadakan perarakan menentang Malayan Union Di Kota Bharu.

Perarakan ini diadakan berikutan perjumpaan Sir Harold MacMichael dengan Sultan Kelantan untuk menandatangani Perjanjian Penubuhan Malayan Union yang akan membuka pintu kepada bangsa-bangsa asing dan mempunyai hak yang sama dengan orang Melayu.

Sir Harold Alfred MacMichael

Sir Harold Alfred MacMichael

Perarakan tersebut telah menuju ke rumah Ketua Pegawai Hal Ehwal Awam Kelantan untuk menyampaikan bantahan orang Melayu seluruhnya. Hasilnya Ketua Pegawai Hal Ehwal Awam Kelantan bersetuju akan menyampaikan bantahan tersebut kepada Sir Harold MacMichael.

Perarakan tersebut kemudiannya menuju ke Istana Sultan Kelantan dan menyembahkan bantahan penubuhan Malayan Union kepada Baginda Sultan Kelantan dan diperkenankan.

Sesungguhnya hari ini dalam tahun 1945, adalah satu tarikh bersejarah bagi orang-orang Melayu Kelantan dalam usaha menentang dasar penjajahan Inggeris.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Giam_Siak_Kecil_Bukit_Batu-800px
Sejarah

Sultan Sulaiman Menyerahkan Siak Kepada Belanda

14 Disember 1745 – Pada tahun 1745, Sultan Sulaiman, Sultan bagi Kerajaan Johor- Riau telah menyerahkan Siak kepada Belanda. Penyerahan itu adalah sebagai balasan kepada Belanda yang akan membantu Sultan Sulaiman memerangi musuhnya, iaitu orang-orang Bugis.

Tindakan orang-orang Bugis menguasai bidang ekonomi dan juga politik di negeri-negeri Melayu menimbulkan perasaan tidak senang hati di kalangan orang-orang Melayu dan Belanda. Dengan berpengkalan di Selangor maka pengaruh Bugis mula merebak ke Kedah dan Perak.

Menyedari akan keadaan itu, Sultan Sulaiman mengalihkan perhatian kepada pihak Belanda yang sememangnya biasa membuat perjanjian dengan kerajaan Johor. Pada masa yang sama Sultan Sulaiman sendiri terhutang budi dengan orang-orang Bugis yang membantu Baginda mendapatkan semula takhta kesultanan Johor-Riau. Sebagai balasan, gelaran Yang Di Pertuan Muda Riau diberikan kepada keturunan Bugis.

Namun begitu, tindakan Bugis yang sentiasa berusaha meluas pengaruh, menimbulkan rasa cemburu di kalangan orang-orang Melayu termasuklah Sultan Sulaiman sendiri. Oleh yang demikian, Sultan Sulaiman tidak mempunyai pilihan lain, kecuali meminta pertolongan Belanda.

Dengan itu, pada hari ini dalam tahun 1745, Baginda menyerahkan Siak kepada Belanda sebagai memenuhi kehendak Belanda. Dengan perjanjian itu juga, Baginda berjanji untuk mengkaji semula perjanjian yang pernah dibuat dengan Syarikat Hindia Timur Belanda, dengan memberikan keutamaan kepada monopoli bijih timah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard