pleno-800px
Sejarah

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu Diumumkan

23 Disember 1946 – Pada tahun 1946, Perjanjian Persekutuan yang kemudiannya dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948, telah diumumkan oleh Kerajaan British. Perjanjian ini penting bukan sahaja kerana ia memansuhkan Malayan Union tetapi juga menyatukan negeri-negeri Melayu dalam sebuah Persekutuan untuk pertama kali.

Perjanjian Persekutuan telah digubal oleh Sidang Pleno Inggeris Melayu sejak bulan Jun hingga awal bulan Disember 1946. Seterusnya Perjanjian Persekutuan telah diumumkan dan diedarkan kepada penduduk-penduduk Tanah Melayu, terutama sekali untuk orang-orang bukan Melayu.

Tujuan pengumuman ini ialah untuk mendapatkan pandangan orang-orang bukan Melayu yang tidak diwakili dalam Sidang Pleno itu. Antara lain Perjanjian Persekutuan menyatakan:-

  • Persekutuan Tanah Melayu akan dianggotai oleh sembilan buah negeri-negeri Melayu dan dua buah negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka.
  • Pembukaan Dewan Perundangan Persekutuan yang akan diwakili oleh semua kaum di Persekutuan Tanah Melayu.
  • Mengenai kewarganegaraan, Perjanjian Persekutuan memberi dasar yang longgar. Antara lain orang-orang yang mengaku Tanah Melayu sebagai tanah airnya akan diberi kewarganegaraan dengan beberapa syarat yang lain.

Perjanjian Persekutuan juga menetapkan kuasa-kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Hal-hal kewangan mestilah dikendalikan oleh negeri masing-masing. Sultan-sultan negeri Melayu diberi kuasa penuh ke atas hal-hal agama dan adat istiadat. Masalah luar negeri dan pertahanan pula masih dikuasai oleh Kerajaan Inggeris.

Walaupun menerima banyak tentangan daripada pelbagai pihak seperti AMCJA dan PUTERA, tetapi akhirnya Perjanjian Persekutuan telah berjaya dijadikan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan dengan rasminya pada 1 Februari 1948.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
hartal_headline-800px
Sejarah

AMCJA Ditubuhkan

22 Disember 1946 – Pada tahun 1946, Pan Malayan Council of Joint Action (PMCJA) ditubuhkan untuk menentang perlembagaan dan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu. Dalam bulan Ogos 1947, PMCJA telah menukarkan namanya kepada All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA).

Pertubuhan-pertubuhan yang bergabung dalam AMCJA kebanyakannya adalah berhaluan kiri seperti Pan-Malaya Federation of Trade Union, New Democratic Youth League, Malayan Democratic Union, Ex-MPAJA Comrades Association, Women Federation dan Malayan Indian Congress. Sepanjang riwayatnya yang singkat AMCJA telah dipimpin oleh Tan Cheng Lock sebagai Pengerusi dan John Eber sebagai Setiausaha.

hartal

AMCJA ditubuhkan selepas perlembagaan dan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dibincang dan dirangka oleh pihak Inggeris, UMNO dan DYMM Raja-raja Melayu dalam satu sidang Pleno. Pada 12 Disember 1946, Kerajaan Inggeris mengumumkan bahawa perlembagaan tersebut telah selesai digubal dan akan disiarkan untuk mendapatkan pandangan dari orang-orang bukan Melayu.

Maka pada hari ini dalam tahun 1946, pertubuhan-pertubuhan bukan Melayu telah menubuhkan AMCJA untuk menentang perlembagaan baru itu. AMCJA ingin menyatukan Singapura dan Tanah Melayu, mahukan sebuah negara berkerajaan sendiri dan juga kewarganegaraan yang sama. Kesemua ini adalah bertentangan dengan rangka perlembagaan yang diputuskan oleh Sidang Pleno Inggeris-Melayu.

Dalam bulan Januari 1947, AMCJA telah mendekati Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) untuk sama-sama menentang perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Hasrat AMCJA untuk bekerjasama dengan orang-orang Melayu akhirnya menjadi kenyataan bila PKMM bergabung dengan API, AWAS, GERAM dan Hizbul Muslimin untuk menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) pada 22 Februari 1947. PUTERA kemudian bergabung dengan AMCJA.

pmcja_hartal_news

Hasil daripada gabungan AMCJA-PUTERA ini perbahasan-perbahasan terbuka dan kempen-kempen telah berjaya diadakan di seluruh Tanah Melayu. Dalam bulan Oktober 1947 AMCJA-PUTERA telah mengeluarkan ‘Perlembagaan Rakyat’ (The People’s Constitution) sebagai pengganti kepada Perlembagaan Persekutuan.

Pada 20 Oktober 1947 mereka telah menganjurkan hartal (mogok) yang hampir melumpuhkan keseluruhan jentera ekonomi dan pentadbiran Inggeris. Sungguhpun begitu usaha AMCJA dan kemudian usaha AMCJA-PUTERA untuk menghapuskan perlembagaan yang digubal oleh Sidang Pleno Inggeris-Melayu itu menemui kegagalan.

Perlembagaan yang digubal oleh Sidang Pleno mula berkuatkuasa pada 1 Februari 1948, bila Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan dengan rasminya. Dengan itu juga lenyaplah sejarah AMCJA.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard