replika_tahta_perak-800px
Sejarah

Pemansuhan Jawatankuasa Penasihat British Di Perak

19 Disember 1956 – Pada tahun 1956, DYMM Sultan Perak, Raja Sir Yusuf ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil telah menandatangani dua dokumen yang memansuhkan jawatan Penasihat British di Perak. Upacara tersebut berlangsung di Istana Iskandariah Kuala Kangsar. Kedua-dua dokumen itu ialah mengenai pindaan-pindaan kepada Perlembagaan Negeri Perak dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.

Perak merupakan negeri pertama di Tanah Melayu menerima seorang pegawai British sebagai penasihat kerajaan. Penasihat yang dikenali sebagai Residen itu mempunyai kuasa pentadbiran yang lebih besar daripada Sultan sendiri. Bidang kuasa Sultan terhad pada hal-hal Agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja.

Yusuf Izzuddin Shah

Pegawai British yang dikenali sebagai Residen British itu dilantik melalui Perjanjian Pangkor yang ditandatangani oleh Sultan Abdullah ibni Almarhum Sultan Jaafar pada 20 Januari 1874. Jawatan Residen itu kekal sehinggalah tamat Perang Dunia Kedua (1945) apabila ia ditukarkan kepada Penasihat British.

Pada hari ini dalam tahun 1956 jawatan Penasihat British di Perak telah dimansuhkan. Dengan itu tamatlah sejarah campurtangan pegawai British secara langsung selama 82 tahun dalam pentadbiran negeri Perak yang bermula pada tahun 1874 dengan J.W.W. Birch sebagai Residen British yang pertama dan berakhir pada tahun 1956 dengan Dato’ I.W. Blelloch, Penasihat British.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard