malayan-union-1-800px
Sejarah

Penubuhan Pergerakan Melayu Semenanjung Di Johor

03 Januari 1946 – Sebuah Kesatuan Melayu yang mempunyai semangat baru telah ditubuhkan dengan nama Pergerakan Melayu Semenanjung di Johor pada tahun 1946. Penubuhan ini hasil dari persetujuan yang telah dicapai di antara 8 buah Persatuan Melayu di seluruh negeri Johor iaitu di bawah pimpinan Dato’ Onn bin Jaafar.

Onn_jaafar_700

Pertubuhan-pertubuhan tersebut termasuklah :

  • Persatuan Melayu Kluang
  • Kesatuan Melayu Johor
  • Persatuan Melayu Johor Baharu
  • Lembaga
  • Wakil Batu Pahat
  • Persatuan Melayu Segamat
  • Wakil Mersing
  • Wakil Pontian.

Tujuan Penubuhan Pergerakan Melayu Semenanjung di Johor

Tujuan penubuhan Pergerakan Melayu Semenanjung di Johor yang dipimpin oleh Dato’ Onn Bin Jaafar adalah untuk :

  • Menentang Malayan Union
  • Menyatukan dan mengawal keselamatan orang-orang Melayu akibat dari pergaduhan kaum yang pada mulanya berlaku di Batu Pahat dan kemudian merebak ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan, ke Lambar Kanan di Teluk Anson (kini dikenali Teluk Intan) dan Daerah Kuala Kangsar, Perak, dan ke Daerah Raub Pahang
  • Menyatukan orang-orang Melayu dan berjuang serta mempertahankan hak-hak dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu
  • Menjadi badan dan penyuara dalam memperjuangkan hak-hak serta kehidupan orang-orang Melayu keseluruhannya.

Penubuhan UMNO

Pergerakan Melayu Semenanjung Johor di bawah pimpinan Dato’ Onn Bin Jaafar telah menjadi penganjur kepada perhimpunan Kongres Melayu Se Tanah Melayu (Se Malaya) yang diadakan pada 1 hingga 4  Mac 1946. Kongres yang dihadiri oleh para wakil 41 buah pertubuhan Melayu dari seluruh Tanah Melayu, termasuk Singapura telah memutuskan untuk menubuhkan sebuah badan yang mewakili seluruh orang-orang Melayu dalam gerakan menentang Malayan Union.

umno

Badan itu lahir dengan nama “Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu” atau “United Malays National Organization” (UMNO) iaitu semasa Kongres bersidang buat kali yang ke 3 pada 11 hingga 12 Mei 1946, di Istana Besar, Johor Bahru.

Dengan penubuhan UMNO di bawah pimpinan Dato’ Onn Bin Jaafar sebagai Presidennya yang pertama maka Kongres Melayu Se Tanah Melayu dimansuhkan mengikut ketetapan Majlis Mesyuarat yang bersidang pada 11 Mei 1946. Segala perjuangan Pergerakan Melayu Semenanjung di Johor disalurkan dan menjadi perjuangan UMNO.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard