onn_jaafar
Sejarah

Kelahiran Dato’ Onn Jaafar

12 Februari 1895 – Dato’ Onn bin Jaafar merupakan pengasas dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang pertama. Beliau pernah dilantik sebagai Menteri Besar Johor pada 1 Jun 1947 tetapi beliau telah meletakkan jawatan tiga tahun kemudian untuk menumpukan perhatiannya kepada UMNO.

Beliau dilahirkan pada 12 Februari 1895 di Batu Pahat, Johor serta merupakan anak kepada Datuk Jaafar bin Haji Muhammad, Menteri Besar Johor yang pertama. Beliau dipelihara oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar sejak kecil dan mendapat pendidikan Melayu sebelum melanjutkan pelajarannya ke England.

Garis Masa Dato Onn Jaafar

1895 – Dilahirkan di Seri Gambir, Johor Bahru .

1901 – Menjadi anak angkat Sultan Ibrahim dan menghabiskan masa di Istana Johor. Belajar bahasa Inggeris dengan wanita Inggeris.

1902 – Ibunya Rugayah meninggal dunia

1903 – Belajar di Alderburgh Lodge School, Suffolk, England . Dia ke sana sebagai pengiring putera-putera Sultan Johor.

25 Mac 1910 – kembali ke Johor dengan perawakan Barat.

1910 – 1911 – Belajar di di Maktab Melayu Kuala Kangsar.

1911 – Kerani sambilan di Jabatan Setiausaha Kerajaan Johor .
Berkahwin kali pertama Rafeah Abdullah (gadis Cina yang merupakan anak angkat bapanya). Mendapat empat orang anak dan isterinya meninggal dunia beberapa tahun kemudian.

1915 – Berkahwin kali kedua dengan Che Jamilah dan mendapat seorang anak iaitu Ismail bin Onn. Isterinya meninggal dunia.
Berkahwin kali ketiga dengan Che Kah, seorang pelakon bangsawan.

1917 – Menyertai Pasukan Tentera Johor dan ditempatkan di Pulau Belakang Mati, Singapura- markas JMF. Pangkat tertinggi adalah Leftenan.

1919 – Berkahwin kali keempat dengan Halimah Hussein, janda adiknya. Mendapat 3 anak termasuk Hussein Onn.

1920 – Bekerja semula di Pejabat Penasihat Johor tetapi dipecat oleh Sultan Ibrahim pada 31 Jun 1920 kerana membidas baginda tanpa berselindung berkaitan isu harta.

1922 – Diterima bekerja semula sebagai penolong pegawai di Pejabat Tanah Johor kerana pujukan Tengku Ismail.

1923 – Pegawai di Pejabat Tanah Muar

1924 – Penolong Pemungut Hasil Tanah Muar dengan gaji RM1440.00.

1927 – Pindah ke Johor Bahru dengan jawatan yang sama. Pegawai British menahan elaun RM200.00 setahun, tidak diberi motokar kerajaan dan tidak disediakan rumah kerajaan sedangkan pegawai British mendapat pelbagai kemudahan.

1927 – 1936 – Dibuang negeri ke Singapura oleh Sultan Ibrahim kerana menyiarkan berita Sultan Ibrahim memperalatkan JMF sebagai buruh paksa dalam akhbar Sunday Mirror. Sultan Ibrahim membina padang lumba kuda dan membuka ladang di Pagoh, Tasek Utara dan Pasir Pelangi menggunakan JMF.

1 Januari 1930 – Dilantik menjadi pengarang Warta Malaya

1934 – Menjadi pengarang Lembaga Malaya dan Harian Lembaga.

1936 – 1941 – Menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Johor

1942 – 1945 – Menjadi Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor

1945 – 1946 – Menjadi Pegawai Daerah Batu Pahat

03 Januari 1946 – Memimpin Pergerakan Melayu Semenanjung, Johor.

1 – 4 Mac 1946 – Menjadi Pengerusi Kongres Melayu Se-Malaya 1946 untuk menentang Malayan Union anjuran Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu, Kuala Lumpur.

11 Mei 1946Menubuhkan UMNO dan menjadi presidennya yang pertama ketika Kongres ketiga diadakan di Johor Bahru..

1 Jun 1947 – Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor.

10 Januari 1949 – Dilantik menjadi anggota ‘Communities Liasion Committee’

31 Mac 1949 – Dilantik sebagai salah seorang daripada Pro-Canselor Universiti Malaya.

18 Mei 1950 – Meletakkan jawatan Menteri Besar Johor dan menumpukan kepada UMNO.

1951 – Pengerusi Rural and Industrial Development Authority (RIDA).

26 Ogos 1951 – Cadangan membuka keahlian UMNO kepada semua kaum telah ditolak. Maka Dato’ Onn meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dalam persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam pada 25 dan 26 Ogos 1951.

26 Ogos, 1951 – Menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP).
Februari 1954 – Menubuhkan Parti Negara mengganti Parti Kemerdekaan Malaya. Tujuan penubuhan parti tersebut adalah untuk bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama pada tahun 1955.

1955 – Kalah dalam Pilihan raya Persekutuan 1955

1959 – Mendapat satu kerusi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam pilihan raya Persekutuan dengan bantuan parti PAS..

19 Januari 1962Meninggal dunia dan dikebumikan di Makam Mahmoddiah Johor Bahru.

Standard
templer_park-4-800px
Sejarah

Taman Rimba Templer Diwartakan Oleh Kerajaan Negeri Selangor

11 Februari 1955 – Templer Park atau lebih dikenali sebagai Taman Rimba Templer dibuka oleh Sir Gerald Templer pada tahun 1954. Pada hari ini Taman Rimba Templer Diwartakan Oleh Kerajaan Negeri Selangor yang terletak di bawah Warta Kerajaan No. 104-1955, Kawalan dan Pemeliharaan Alam Semulajadi.

Satu jawatankuasa yang terdiri daripada pegawai Jabatan Pertanian dan Perhutanan telah ditubuhkan untuk memelihara dan memajukan kawasan taman tersebut. Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman, Timbalan Perdana Menteri.

templer_park-2

Pada Oktober 1955, sebuah badan sukarela iaitu “Persatuan Sahabat Taman Templer” (Friends of Templer Park) telah mengambil alih peranan mengurus dan memelihara taman tersebut.

Pada tahun 1957 Taman Rimba Templer telah diletak dibawah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Persatuan Sahabat Taman Templer pula berperanan sebagai agen pada kementerian tersebut untuk membangunkan Taman Rimba Templer.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
malayan-union-1-800px
Sejarah

White Paper Malayan Union Diterbitkan

22 Januari 1946 – Apabila Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua, pihak British telah datang semula ke Tanah Melayu. Kedatangan kali ini, pihak British ingin memperkenalkan beberapa perubahan di dalam pentadbiran. Pada hari ini, 22 Januari 1946, satu white paper telah disiarkan dalam warta kerajaan. Rancangan ini dikenali dengan White Paper cmd 6724. White Paper ini membentangkan dasar-dasar yang terkandung dalam Malayan Union.

Pentadbiran Tanah Melayu akan dikendalikan oleh seorang gabenor akan dibantu oleh dua Majlis iaitu Majlis Mesyuarat Undangan dan Majlis Mesyuarat Kerja. Selain daripada itu, gabenor akan dibantu oleh sebuah badan penasihat yang terdiri daripada berbagai-bagai bangsa yang dilantik oleh beliau sendiri. Raja-raja Melayu hanyalah mempunyai kuasa dalam adat istiadat dan agama Islam sahaja. Dalam kedua-dua Majlis Gabenor mempunyai kuasa penuh.

Ekoran daripada cadangan ini, ianya telah ditentang hebat oleh orang-orang Melayu, melalui parti-parti politik khususnya Parti UMNO. Akhirnya pada tahun 1948, Malayan Union telah dibubarkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu.

White Paper Malayan Union

cmd_6724_pg1

Malayan Union cmd 6724_1

Malayan Union cmd 6724_2

Malayan Union cmd 6724_3

Malayan Union cmd 6724_4

Malayan Union cmd 6724_5

Malayan Union cmd 6724_6

Muat turun Kertas Putih cmd 6724

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jata_persekutuan_tanah_melayu-800px
Sejarah

Lambang Persekutuan Tanah Melayu Yang Baru Diwartakan.

30 Mei 1952 – Raja-raja Negeri Melayu telah memperkenankan lambang Persekutuan Tanah Melayu yang baru diwartakan pada 1952. Hal ini telah dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan iaitu Jeneral Sir Gerald Templer di Kuala Lumpur.

Reka bentuk lambang baru tersebut telah diusahakan oleh Jabatan Ukur bersama dengan Raja-raja Melayu dan Sir Henry Gurney. Ia menggunakan enam warna. Dalam lambang Persekutuan itu terdapat bintang pecah sebelas, yang mewakili 11 negeri dan bulan sabit melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi. Lima bilah keris di bawahnya menandakan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Di kirinya lambang Negeri Pulau Pinang – Prince Of Wales yang berlatarkan ombak laut. Di kanannya pula lambang Gerbang Kota Santiago yang mewakili Negeri Melaka. Kedua negeri dipisahkan oleh warna hitam, merah dan kuning yang merupakan warna-warna berasingan bagi Negeri-negeri Bersekutu.

Lambang harimau merupakan lambang yang digunakan bagi Negeri-negeri Melayu sejak sebelum perang lagi. Lambang Persekutuan yang baru ini telah menjadi lambang kemegahan dan menjadi tanda Persekutuan Tanah Melayu sehingga selepas kemerdekaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
upm_logo-800px
Sejarah

Pengisytiharan Nama Baru Universiti Pertanian Malaysia

03 April 1997 – Universiti Pertanian Malaysia menempa sejarah dengan pengisytiharan nama baru, iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.Mahathir Mohamad. Nama baru ini menggambarkan UPM menawarkan pelbagai bidang program termasuk sains dan teknologi di samping program berkaitan pertanian, perhutanan dan veterinar. Nama baru ini dipilih kerana lokasinya bersebelahan dengan Putrajaya dan mengambil sempena nama Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.

Sejarah penubuhan UPM bermula sejak penubuhan Sekolah Pertanian pada 21 Mei 1931 dengan tujuan untuk menyediakan pegawai-pegawai bagi Jabatan Pertanian. Pada 23 Jun 1947, Sekolah Pertanian dinaik taraf menjadi Kolej Pertanian Malaya. Pada 31 Mac 1969, Tun Abdul Razak Hussein telah mengutarakan penubuhan sebuah universiti pertanian yang menawarkan program pengajian di peringkat ijazah.

Sehubungan itu, penubuhan UPM telah menjadi kenyataan melalui Warta Kerajaan P.U. (A) 387 bertarikh 29 Oktober 1971 dan pada 23 Julai 1973, UPM memulakan sesi akademiknya dengan pengambilan seramai 1,559 pelajar. UPM mula mengeluarkan graduan pertamanya pada Majlis Konvokesyen pada 30 Julai 1977.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tanda_lalu_lintas-800px
Sejarah

Peraturan Tanda Isyarat Lalu Lintas Diwartakan

30 Mac 1946 – Pada tahun 1946, satu peraturan mengenai tanda isyarat lalu lintas bagi kenderaan bermotor telah diwartakan. Peraturan ini telah dibuat oleh Pesuruhjaya Pengangkutan Jalan yang menggunakan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 5 Pengisytiharan Pengangkutan Jalan dan telah disahkan oleh Timbalan Ketua Hal Ehwal Awam, Semenanjung Tanah Melayu.

Di bawah peraturan ini, tidak dibenarkan meletak sebarang tanda isyarat lalulintas di atas jalan raya, selain daripada tanda isyarat yang diletakkan atau mendapat persetujuan dari penguatkuasa jalan raya. Bagi tanda isyarat yang telah sedia ada pada 1 Mac 1946 di mana tidak termasuk dalam keperluan peraturan ini, Pesuruhjaya bolehlah membenarkan tanda isyarat tersebut disimpan dalam jangka masa yang ditentukan.

Peraturan juga menetapkan, tanda-tanda isyarat yang diletakkan berhampiran atau di atas jalan raya hendaklah mengikut saiz dan jenis tanda-tanda yang ditentukan dalam jadual. Juga ditetapkan perkataan-perkataan yang digunakan pada tanda-tanda isyarat hendaklah dalam Bahasa Inggeris. Terjemahan ke bahasa-bahasa lain adalah dibenarkan digunakan pada tanda-tanda isyarat tetapi hendaklah dituliskan di bawah perkataan Inggeris.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Perisytiharan Majlis Perbandaran Langkawi Sebagai Bandar Pelancongan

24 Mac 2001 – KDYMM Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan mengisytiharkan Majlis Perbandaran Langkawi sebagai Bandaraya Pelancongan. Upacara penuh adat istiadat ini diadakan di Menara Jam Kuah, Langkawi pada tahun 2001.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting. Sejarah pihak berkuasa tempatan di Langkawi bermula sebagai Kawasan Perkhidmatan Pekan Kuah yang dahulunya dikenali kawasan ‘Sanitary Board’.

majlis_perbandaran_langkawi

Ketika pemerintahan Inggeris ‘Sanitary Board’ telah ditukarkan kepada Pengurusan Town Board mulai tahun 1945. Pada 29 April 1987, pihak berkuasa tempatan langkawi dikenali sebagai Majlis Daerah Langkawi. Seluas 47,848 hektar yang meliputi 104 buah pulau seluruh gugusan Pulau Langkawi diwartakan sebagai kawasan di bawah pentadbiran Majlis Daerah Langkawi.

Pada 16 Disember 2000, Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan telah diwartakan. Sesungguhnya perisytiharan ini dapat menarik lebih ramai pelancong sama ada dari dalam dan luar negara dan sekaligus menjadikan Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
masjid_jamek-800px
Sejarah

Upacara Perletakan Batu Asas Masjid Jamek, Kuala Lumpur

23 Mac 1908 – DYMM Sultan Selangor, Sultan Alauddin Sulaiman Shah berkenan menyempurnakan peletakan batu asas Masjid Jamek Kuala Lumpur. Turut hadir di upacara itu ialah Residen British Negeri Selangor, H.C.Belfield pada tahun 1908.

Masjid yang terletak di pertemuan Sungai Kelang dengan Sungai Gombak itu mempunyai ciri-ciri seni bina Moghul dan merupakan hasil rekaan A.B. Hubbock iaitu pembantu arkitek di Jabatan Kerja Raya.

Balai sembahyangnya dibina seluas 30.48 meter lebar dan 12.19 meter panjang. Di sebelah depan balai ini terdapat suatu kawasan yang panjangnya 17.07 meter dan luasnya 30.79 meter lebar yang terletaknya kolam bagi kegunaan mengambil wuduk.

masjid_jamek

Terdapat dua buah menara dibina setinggi 25.30 meter dengan tangga berpusing untuk naik ke atas menara tersebut. Bumbung masjid Jamek ini dibentuk dengan tiga kubah dengan kubah yang di tengah dibina setinggi 21.34 meter dan di sebelah dinding atasnya dikelilingi oleh tingkap-tingkap cermin.

Masjid Jamek itu siap dibina pada bulan Disember 1909 dan telah di rasmikan oleh Sultan Selangor, DYMM Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Masjid tersebut telah diwartakan di bawah Akta Bendapurba 1976 dalam P.U.(A) 423 pada tahun 1983.

Pembinaan masjid tersebut telah memberi kemudahan kepada petempatan orang Melayu terutamanya di kawasan Jalan Jawa (kini Jalan Tun Perak), Jalan Melayu dan kakitangan kerajaan di Bangunan Sultan Abdul Samad untuk mengerjakan ibadah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
kastam_logo-800px
Sejarah

Jabatan Kastam Dan Eksais Diwartakan

22 Oktober 1934 – Pada tahun 1934, Akta Kastam dan Eksais diwartakan dan dengan itu terbentuklah Jabatan Kastam dan Eksais Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Pada awal penubuhannya pada 1 Januari 1907, Jabatan ini dikenali sebagai Jabatan Perdagangan dan Kastam (Trade and Custom Department).

Sebelum tahun 1907, cukai-cukai yang dipungut di Negeri-negeri Melayu Bersekutu tertakluk di bawah Enakmen Cukai Kastam. Namun begitu, tidak ada satu jabatan atau agensi khas untuk memungut cukai tersebut. Menjelang tahun 1931, Jabatan Kastam termasuk bahagian Candu, Kastam Eksais dan pencegahan telah disusun semula.

Penolong Pesuruhjaya Kastam telah dilantik di setiap Negeri-negeri Melayu Bersekutu untuk mengawal semua cawangan kastam. Selain daripada itu, seorang Penolong Pesuruhjaya dilantik bagi seluruh Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, susunan dan organisasi Jabatan Kastam telah diubahsuai selaras dengan cita-cita negara. Pada 16 September 1963, dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura dalam Persekutuan Tanah Malaysia, keseragaman diwujudkan antara Jabatan Kastam Sabah, Sarawak dan Singapura.

Pada 29 Oktober 1963, DYMM Yang di-Pertuan Agong telah menganugerahkan gelaran Diraja kepada Jabatan Kastam dan dengan rasminya dikenali sebagai Jabatan Kastam dan Eksais Diraja.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard