malayan_union_protest-800px

Pembubaran Malayan Union

21 Januari 1948 – Sir Edward Gent, bagi pihak Kerajaan British, dan Raja-Raja Melayu telah menandatangani perjanjian Pembubaran Malayan Union pada tahun 1948. Pembubaran itu telah memberi jalan kepada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu Malayan Union yang ditubuhkan berasaskan kepada triti yang dibuat di antara Harold MacMichael dengan Raja-Raja Melayu tanpa mengikut perlembagaan, tradisi, kebudayaan dan pengertian tentang Negeri-Negeri Melayu telah mendapat tentangan hebat dari orang-orang Melayu.

Semenjak lahirnya Malayan Union itu orang-orang Melayu telah berpegang teguh kepada haknya dan apa juga yang datang dan berlaku tidak berjaya merubah pendirian mereka malah terus ditentang oleh mereka habis-habisan.

Tentangan orang-orang Melayu menjadi semakin kuat dan padu dengan tertubuhnya UMNO pada 11 Mei, 1946. Tentangan hebat dan tersusun dari orang-orang Melayu melalui UMNO itu sangat membimbangkan pihak British. Mereka mula sedar bahawa sokongan orang-orang Melayu amat perlu sekiranya Malayan Union mahu wujud dan terus wujud.

Menyedari hakikat ini Kerajaan British telah menghantar Kapten L. D. Gammans dan Lt. Col. D. R. Rees-Williams selaku wakil Parlimen Kerajaan. British bagi meninjau pendapat orang-orang Melayu. Kemana saja kedua-dua wakil ini pergi sentiasa saja diburu oleh tunjuk perasaan orang-orang Melayu. Bagaimanapun, tentangan hebat orang-orang Melayu itu tidak begitu memberi kesan dan tidak begitu membimbangkan pihak Kerajaan British di United Kingdom; apa yang lebih membimbangkan mereka ialah tentangan pegawai-pegawainya sendiri di Tanah Melayu yang akan melaksanakan dasar dan rancangan Malayan Union itu.

Ada di antara mereka telah lama berada di Tanah Melayu dan lebih memahami kehendak dan akibat tentangan orang-orang Melayu jika tidak diendahkan. Ralph Hone (Ketua Pegawai Hal Ehwal Awam BMA) sebelum lagi Malayan Union itu menjadi kenyataan, telah melaporkan kepada Pejabat Tanah jajahan bahawa Sultan-Sultan yang menandatangani Perjanjian MacMichael itu tidak menyedari sepenuhnya akibat perjanjian itu dan dengan itu beberapa pindaan hendaklah dilakukan terhadap cadangan Malayan Union itu.

Hinggakan Gabenor Sir Edward Gent sendiri, setelah berunding dengan Raja-raja Melayu di Kuala Kangsar pada 24hb Mei, 1946, berani memberikan persetujuannya dengan cadangan-cadangan Raja-Raja Melayu itu terhadap penubuhan Persekutuan Tanah Melayu.

Demikian juga dengan Mr Malcolm McDonald, Gabenor Jeneral, dan beberapa orang Pegawai Tinggi British di Tanah Melayu; mereka menyokong sepenuhnya rancangan Persekutuan Tanah Melayu oleh UMNO.

Akhirnya, bimbang dengan tentangan-tentangan hebat yang tidak henti-henti dari orang-orang Melayu dan atas desakan para pegawainya sendiri pihak Kerajaan British di London terpaksa mengubah dasarnya terhadap Malayan Union.

Rundingan-rundingan mulai diadakan di antara UMNO dan Raja-Raja Melayu dalam rangka pembentukan satu rupa Kesatuan yang baharu. Rundingan-rundingan itu telah menghasilkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dan pada hari ini dalam tahun 1948 DYMM Raja-Raja Melayu menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bertempat di bilik jamuan King’s House (Carcosa sekarang) dan Sir Edward Gent menandatangani bagi pihak Kerajaan British.

Dengan itu maka tamatlah riwayat Malayan Union dan wujud Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari, 1948 dengan kuatkuasa Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang baru ditandatangani itu.

Garis Masa

  • 14 Ogos 1941: Britain memeterai “Piagam Atlantik” yang mengisytiharkan hak negara-negara untuk penentuan diri.
  • penghujung 1942: Pembentukan “Unit Perancangan Tanah Melayu” di United Kingdom untuk menyediakan pembinaan semula Tanah Melayu selepas Perang Dunia II.
  • Januari 1944: Cadangan untuk Malayan Union dikemukakan buat pertama kali oleh Edward Gent, Penolong Setiausaha Rendah Tetap bagi Tanah Jajahan British, di Parlimen United Kingdom.
  • Musim bunga: Pejabat Kolonial menjemput Sir Harold MacMichael untuk mengetuai perwakilan ke Tanah Melayu selepas peperangan untuk memperoleh perjanjian yang baru daripada sultan-sultan untuk bersetuju dengan Malayan Union.
  • 3 September 1945: Kabinet British memberikan kebenaran untuk dasar Tanah Melayu yang baru dan bersetuju dengan misi MacMichael.
  • 21 Disember 1945: Setiap Sultan atau Pemangku Raja telah memeterai perjanjian baru untuk membentukkan Malayan Union.
  • Januari 1946: Pihak British mendedahkan rancangan Malayan Union melalui sebuah Kertas Putih.
  • 1 Mac 1946: Kira-kira 200 orang Melayu yang mewakili 41 buah persatuan berhimpun di Kuala Lumpur untuk Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu (Pan-Malayan Malay Congress). Kongres itu membincangkan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) serta kempen terselaras untuk menentang Malayan Union.
  • 1 April 1946: Malayan Union diisytiharkan oleh kerajaan jajahan British.
  • 11 Mei 1946: Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ketiga diadakan di Johor Bahru. Penubuhan UMNO diisytiharkan dan Dato Onn Jaafar, Menteri Besar Johor, dipilih sebagai Presiden pertama. Kongres ini juga mengisytiharkan bahawa perjanjian-perjanjian MacMichael tidak sah dan mendesak bahawa Malayan Union dimansuhkan.
  • 1 Februari 1948: Malayan Union dibatalkan secara keseluruhannya dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu seperti yang telah dipersetujui dengan UMNO dan Raja-raja Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.