petagas_memorial-800px

Pembunuhan Beramai-Ramai Oleh Tentera Jepun Di Petagas

21 Januari 1944 – Lebih kurang seribu orang telah menjadi mangsa dalam peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Petagas, Sabah oleh Tentera Jepun pada tahun 1944. Pentadbiran tentera Jepun di Sabah khususnya di Kawasan Pantai Barat bermula pada 9 Januari 1942 apabila Jesselton, ibu negeri Sabah pada masa itu jatuh ke tangan Jepun. Bermula dari tarikh tersebut Jepun mula menguasai kawasan-kawasan lain di Sabah.

Kekejaman pentadbiran tentera Jepun telah menimbulkan kemarahan rakyat dan pergerakan-pergerakan menentang Jepun mula muncul. Pada bulan September 1943 Albert Kwok telah mengetuai pemberontakan secara gerila terhadap pendudukan tentera Jepun. Mereka telah menyerang kedudukan-kedudukan tentera Jepun di Tuaran, Menggatal, Jesselton dan Kota Belud di Pantai Barat Sabah.

Albert Kwok
Albert Kwok

Latar Belakang Dan Peristiwa Yang Membawa Kepada Penubuhan Gerakan Penentang

Dengan peraturan keras yang berterusan semasa pendudukan utara Borneo oleh Imperial Jepun Army (IJA), seorang doktor Cina kelahiran Kuching bernama Albert Kwok telah menubuhkan Gerakan Penentang yang dianggotai oleh lebih daripada 300 ahli selepas beliau berpindah ke Jesselton pada 15 Mei 1941.

Dengan bekalan senjata yang terhad, Gerakan Penentang terpaksa melancarkan pemberontakan lebih awal daripada jadual kerana pada 9 Oktober 1943 tentera Jepun telah mengeluarkan perintah untuk menangkap sesiapa sahaja yang menentang pentadbiran Jepun.

Pada malam sebelum Hari Kebangsaan Republik China iaitu pada 10 Oktober, serangan dilancarkan ke Jesselton dan menyebabkan lebih daripada 50 orang tentara Jepun terkorban, dengan majoritinya meninggal dunia melalui serangan parang, tombak dan keris.

Berang dengan pemberontakan yang ditunjukkan oleh masyarakat tempatan, tentera bantuan Jepun dihantar ke Borneo Utara dari Kuching dan mula melancarkan tindakan balas yang sistematik ke atas penduduk awam.

Selepas diugut dengan pembunuhan lebih ramai orang awam jika pemimpin pemberontakan itu tidak menyerah diri, Kwok dengan beberapa pemimpin pergerakan menyerah diri pada 19 Disember 1944. Pada mulanya mereka dipenjarakan di Penjara Tiga Batu sebelum dihukum bunuh di Taman Peringatan Perang Petagas pada 21 Januari 1944 bersama-sama dengan 175 orang lain. Sebahagian besar daripada mereka yang turut dihukum tidak mempunyai apa-apa kaitan pun dengan pemberontakan tersebut.

Petagas_War_Memorial_tomb1

Pembunuhan Orang Awam Dan Ahli-ahli Gerakan Pemberontak Di Petagas

Pada awal pagi 21 Januari 1944, Kwok dan 175 lelaki dari Penjara Batu Tiga telah dihantar menggunakan kereta api North Borneo Railway. Kereta api tersebut tiba di Jesselton dan berhenti pada pukul 5.30 pagi berhampiran Petagas. Dua lubang besar yang digali sehari sebelumnya telah pun dipenuhi oleh air hujan.

Para pemimpin pergerakan termasuk Kwok, Charles Peter, Tsen Tsau Kong, Kong Tze Phui dan Li Tet Phui dipaksa berbaris sambil membongkok ke hadapan. Empat pegawai Jepun dan anak seorang ahli perniagaan Jepun yang dibunuh semasa pemberontakan diarahkan untuk memancung kepala lima banduan tersebut dengan katana. Baki 170 banduan dipaksa berlutut di hadapan lubang dan telah dibunuh sama ada dengan menggunakan tembakan dari dua pucuk mesingan, sepuluh pucuk senjata api kecil atau dengan bayonet.

Saksi yang berada berhampiran tapak hukuman di Petagas melaporkan bahawa jeritan mereka yang dihukum kedengaran sepanjang hari dan malam.

Sebelum pembunuhan beramai-ramai di Petagas dilaksanakan, 96 orang yang terdiri daripada anggota gerila dan mereka yang disyaki menyokong gerila telah diseksa dan dibunuh di Penjara Batu Tiga. 131 orang lagi telah dipindahkan ke Penjara Tentera Labuan selepas pembunuhan beramai-ramai tersebut. Hanya tujuh daripada mereka terselamat, yang lainnya mati sama ada disebabkan oleh kekurangan zat makanan, penyeksaan ataupun telah dihukum bunuh.

Pembunuhan beramai-ramai di Petagas pada hari ini dalam tahun 1944 pihak Jepun di Sabah telah dapat menghapuskan penentang pendudukannya di Sabah buat sementara waktu sehinggalah kehadiran Tentera Bersekutu dalam tahun 1945 yang telah berjaya membebaskan Sabah dari Pendudukan Jepun.

petagas war memorial

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen