pocket-watch-800px
Sejarah

Rang Undang-Undang Waktu Standard Malaysia Diluluskan

18 Disember 1981 – Pada tahun 1981, Dewan Negara telah meluluskan Rang Undang-Undang Waktu Standard Malaysia. Rang Undang-undang ini adalah bertujuan untuk menyelaraskan zon waktu antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak yang akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 1982. Rang Undang-undang Waktu Standard Malaysia ini dikemukakan untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Tak Berportfolio di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Haji Mohamed Nasir.

Dewan_Rakyat_Malaysia

Seramai sepuluh orang senator termasuk dari Sabah dan Sarawak telah mengambil bahagian dalam perbahasan rang undang-undang ini. Datuk Mohamed ketika mengemukakan rang undang-undang tersebut menyatakan bahawa waktu Sabah dan Sarawak dipilih sebagai waktu Standard Malaysia kerana ia didapati paling sesuai dari segi penjimatan ke atas waktu siang. Waktu ini akan hanya mendatangkan gangguan yang minima ke atas keselesaan dan kebiasaan hidup rakyat pada keseluruhannya.

Rang Undang-undang Waktu Standard Malaysia yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada hari ini dalam tahun 1981 sesungguhnya dapat mempercepatkan usaha kerajaan melaksanakan program intergrasi nasional antara penduduk-penduduk di Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tengku_kudin-800px
Sejarah

Raja Ismail Menyerang Raja Mahadi Di Kelang

17 Disember 1869 – Pada tahun 1869, Raja Ismail telah menyerang Raja Mahadi di Kelang. Raja Ismail menyerang Raja Mahadi kerana membalas serangan Raja Mahadi yang telah mengakibatkan ayahandanya Raja Abdullah terpaksa mengundur diri dari Kelang ke Melaka.

Raja Ismail juga bercita-cita untuk merampas semula daerah Kelang yang dimiliki oleh bapanya yang dikurniakan oleh Sultan Abdul Samad. Sebelum ini Daerah Kelang dikuasai oleh Raja Sulaiman, bapa Raja Mahadi tetapi setelah beliau meninggal dunia, Kelang diserahkan kepada Raja Abdullah.

Ketika Raja Abdullah memerintah, Kelang bertambah maju. Raja Abdullah telah membuka banyak perusahaan melombong bijih dan membawa masuk ramai pelombong Cina ke Kelang untuk membuka lombong bijih di kawasan-kawasan pendalaman. Raja Abdullah bertambah kaya apabila banyak hasil kutipan cukai diterimanya setelah lombong-lombong bijih di kawasan Ulu Kelang dan Ampang mengeluarkan hasil. Kuasa dan kekayaannya telah menambahkan cemburu kepada Raja Mahadi yang tidak puas hati kerana Sultan Abdul Samad telah mengenepikan dirinya dari mewarisi Kelang.

Tengku Kudin (duduk)

Dengan bantuan orang-orang Melayu Sumatera suku Mandahiling, Rawa, Batu Bara dan pengikut-pengikutnya beliau berjaya mengusir Raja Abdullah dalam tahun 1866. Serangan Raja Mahadi telah mengakibatkan berlakunya Perang Kelang.

Pada hari ini dalam tahun 1869, Raja Ismail menyerang Raja Mahadi untuk merampas kembali Kelang dari Raja Mahadi tetapi gagal mengusir Raja Mahadi. Peperangan berterusan dan melibatkan orang-orang luar yang diminta bantuan seperti Pahang, Kedah, negeri Sembilan, Inggeris dan Riau.

Peperangan Kelang berakhir pada tahun 1871 apabila angkatan Raja Mahadi dikalahkan oleh Yamtuan Tengku Kudin, menantu Sultan Abdul Samad dengan bantuan tentera upahan Inggeris dan pengikut-pengikutnya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
upsi_800px
Sejarah

Pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris Melancarkan Mogok

16 Disember 1949 – Pada tahun 1949 para pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjong Malim telah memulaukan kelas dan pulang ke kampung. Mogok ini telah dilakukan oleh pelajar-pelajar tahun pertama dan tahun ketiga sebagai tanda simpati mereka terhadap tindakan yang diambil oleh pihak pentadbiran Maktab khususnya pentadbiran Inggeris ke atas pelajar-pelajar tahun kedua.

Hal ini berlaku adalah ekoran dari demontrasi yang dilakukan oleh para pelajar pada 10 Disember 1949 yang menyebabkan kesemua pelajar tahun kedua digantung persekolahannya dan diarah pulang. Ini menyebabkan pelajar-pelajar tahun pertama dan ketiga turut memulaukan kelas menyebabkan Maktab tersebut terpaksa ditutup selama tiga bulan.

Demontrasi yang dilancarkan itu adalah bertujuan menuntut diberikan hak-hak yang lebih luas kepada para pelajar. Kesedaran para pelajar yang berjuang menuntut hak-haknya itu jua ada kaitannya dengan percambahan semangat nasionalisme yang mula tumbuh subur selepas Perang Dua Kedua itu.

Maka untuk membendungnya Pentadbiran Inggeris yang menguasai pentadbiran Maktab Perguruan Sultan Idris telah bertindak menggantung pelajar-pelajar yang mengadakan demontrasi. Sebagai tindakbalas para pelajar telah melancarkan mogok menyebabkan Maktab terpaksa ditutup dan hanya dibuka semula pada 16 Mac 1950 iaitu kira-kira 3 bulan ditutup.

Dengan tindakan berani pelajar-pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris itu pada hari ini dalam tahun 1949 menyebabkan pentadbiran Inggeris khususnya pentadbiran Maktab telah melayani tuntutan-tuntutan pihak pelajar selepas ianya dibuka semula itu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
1st_Batalion-Rejimen-Persekutuan-800px
Sejarah

Penubuhan Batalion Pertama Regimen Persekutuan

16 Disember 1953 – Dalam tahun 1953, Batalion Pertama Regimen Persekutuan telah ditubuhkan dengan rasminya bersempena dengan perbarisan ulungnya di Taiping, Perak. Upacara berwarna-warni ini telah mencatatkan satu detik yang bersejarah ke arah perkembangan angkatan tentera yang menjadi benteng pertahanan di negara ini.

General Sir Gerald Templer yang merupakan ‘bapa’ kepada regimen ini tidak dapat turut bersama di hari yang bersejarah ini kerana uzur. Beliau telah diwakili oleh General Sir Hugh Stockwell yang telah menerima tabik kehormatan dan membaca perutusan Sir Gerald Templer.

Di dalam perutusannya, Sir Gerald Templer antara lain telah mengingatkan anggota-anggota tentera bahawa tingkah laku, disiplin dan keberanian mereka adalah perkara yang penting yang mempengaruhi keadaan negara ini yang sedang menuju ke arah kemajuan dan pembentukan identitinya.

Batalion Pertama Regimen Persekutuan ini merupakan pasukan tentera yang julung-julung kalinya dianggotai oleh semua kaum. Anggota- anggotanya terdiri dari 40 peratus Melayu, 40 peratus Cina dan 20 peratus India serta kaum-kaum lain. Kumpulan pelatih pertama seramai 140 orang mula menjalani latihan dalam bulan September 1952. Jurulatihnya dipinjam dari Pasukan Tentera British dan Pasukan Askar Melayu. Seramai 440 orang anggota lain-lain pangkat telah menyertai perbarisan tamat latihan ini. Pegawai Pemerintah Pertama bagi Batalion ini ialah Leftenan Kolonel T. H. Trevor.

Upacara perbarisan dan penubuhan Batalion Regimen Persekutuan ini sesungguhnya merupakan satu catatan bersejarah dalam perkembangan angkatan tentera di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
voc_ship-800px
Sejarah

Perjanjian Perdagangan Di Antara Belanda Dengan Sultan Perak 1953

15 Disember 1653 – Pada tahun 1653, satu Perjanjian Perdagangan di antara Belanda yang diwakili oleh Joan Truijtman dengan Sultan Perak, Sultan Mahmud Iskandar Shah telah ditandatangani. Perjanjian Perdagangan di antara Belanda dengan Sultan Perak pernah dibuat sebelum ini oleh Almarhum Sultan Muzaffar Shah II dalam tahun 1650. Perjanjian ini dibuat ketika negeri Perak masih lagi diawasi oleh pihak Belanda.

Pihak Belanda telah menuntut gantirugi daripada Sultan Mahmud Iskandar Shah kerana dalam tahun 1651, semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah II, orang-orang Perak telah membinasakan loji-loji Belanda di Kuala Perak. Perjanjian ini juga menyatakan bahawa hanya pihak Belanda sahaja dibenarkan membeli bijih timah di Perak.

Walaubagaimanapun orang-orang Perak tidak pernah menepati perjanjian tersebut. Mereka masih menjual bijih timah kepada saudagar-saudagar bangsa lain dengan mendapat harga yang lebih tinggi. Keadaan ini menyebabkan perniagaan Belanda terganggu dan merosot. Pihak Belanda terpaksa meninggalkan loji-loji perniagaan mereka di Kuala Perak dan seterusnya telah menyekat dan mengepung Kuala-kuala sungai dan perairan laut di sepanjang pantai Perak dengan tujuan untuk menyekat saudagar-saudagar bangsa lain datang membeli bijih timah di Perak.

Semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah juga orang-orang Belanda telah menduduki Pulau Pangkor dan membina sebuah kota di Teluk Gedung bertentangan dengan pantai Teluk Muruk. Pihak Belanda berharap dengan adanya kota yang kuat mereka akan dapat mengawal urusan perniagaan di perairan Perak. Tetapi dalam tahun 1690 orang-orang Perak dengan diketuai oleh Panglima Kulub telah menyerang kota Belanda di Teluk Gedung dan berjaya mengusir orang-orang Belanda dari kota tersebut.

Perjanjian demi perjanjian diadakan di antara Belanda dengan negeri Perak, tetapi orang-orang Perak masih enggan mematuhi syarat-syarat yang terkandung di dalam perjanjian-perjanjian tersebut. Begitu juga dengan perjanjian perdagangan di antara Belanda dengan Sultan Mahmud Shah yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1653 juga tidak mendatangkan apa-apa faedah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
malayan_union_kb-800px
Sejarah

Perarakan Menentang Malayan Union Di Kota Bharu

15 Disember 1945 – Pada tahun 1945, sekitar 10,000 orang Melayu di bawah anjuran Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan telah mengadakan perarakan menentang Malayan Union Di Kota Bharu.

Perarakan ini diadakan berikutan perjumpaan Sir Harold MacMichael dengan Sultan Kelantan untuk menandatangani Perjanjian Penubuhan Malayan Union yang akan membuka pintu kepada bangsa-bangsa asing dan mempunyai hak yang sama dengan orang Melayu.

Sir Harold Alfred MacMichael

Sir Harold Alfred MacMichael

Perarakan tersebut telah menuju ke rumah Ketua Pegawai Hal Ehwal Awam Kelantan untuk menyampaikan bantahan orang Melayu seluruhnya. Hasilnya Ketua Pegawai Hal Ehwal Awam Kelantan bersetuju akan menyampaikan bantahan tersebut kepada Sir Harold MacMichael.

Perarakan tersebut kemudiannya menuju ke Istana Sultan Kelantan dan menyembahkan bantahan penubuhan Malayan Union kepada Baginda Sultan Kelantan dan diperkenankan.

Sesungguhnya hari ini dalam tahun 1945, adalah satu tarikh bersejarah bagi orang-orang Melayu Kelantan dalam usaha menentang dasar penjajahan Inggeris.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
wan_muhammad_saman-800px
Sejarah

Wan Muhammad Saman Meninggal Dunia

14 Disember 1898 – Pada tahun 1898, Wan Muhammad Saman, tokoh yang terkenal dengan jasanya membangunkan ekonomi negeri Kedah melalui projek-projek pertanian telah meninggal dunia dan dimakamkan di Makam diRaja Langgar.

Wan Muhammad Saman telah berkhidmat sebagai Menteri Besar negeri Kedah semasa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin dan meneruskan khidmatnya dibawah dua lagi pemerintah negeri Kedah iaitu Sultan Zainal Abidin Muadzam Shah II dan Sultan Abdul Hamid Shah.

Beliau bertanggungjawab dalam mengutarakan idea untuk membina sebuah terusan di sepanjang Kota Setar hingga ke Gurun pada tahun 1885. Terusan yang dikenali sebagai terusan Wan Mohd Saman ini telah mengubah negeri Kedah kepada sebuah negeri Jelapang Padi.

Terusan ini juga turut berperanan sebagai laluan perdagangan di antara Alor Setar ke Sungai Petani hinggalah ke Butterworth. Malah terusan ini juga telah menjadi asas kepada pembinaan jalan raya utama bagi negeri Kedah.

Sesungguhnya, jasa dan sumbangan beliau terhadap kemajuan negeri Kedah adalah amat besar dan layak digelar sebagai Bapa Pembangunan Negeri.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Giam_Siak_Kecil_Bukit_Batu-800px
Sejarah

Sultan Sulaiman Menyerahkan Siak Kepada Belanda

14 Disember 1745 – Pada tahun 1745, Sultan Sulaiman, Sultan bagi Kerajaan Johor- Riau telah menyerahkan Siak kepada Belanda. Penyerahan itu adalah sebagai balasan kepada Belanda yang akan membantu Sultan Sulaiman memerangi musuhnya, iaitu orang-orang Bugis.

Tindakan orang-orang Bugis menguasai bidang ekonomi dan juga politik di negeri-negeri Melayu menimbulkan perasaan tidak senang hati di kalangan orang-orang Melayu dan Belanda. Dengan berpengkalan di Selangor maka pengaruh Bugis mula merebak ke Kedah dan Perak.

Menyedari akan keadaan itu, Sultan Sulaiman mengalihkan perhatian kepada pihak Belanda yang sememangnya biasa membuat perjanjian dengan kerajaan Johor. Pada masa yang sama Sultan Sulaiman sendiri terhutang budi dengan orang-orang Bugis yang membantu Baginda mendapatkan semula takhta kesultanan Johor-Riau. Sebagai balasan, gelaran Yang Di Pertuan Muda Riau diberikan kepada keturunan Bugis.

Namun begitu, tindakan Bugis yang sentiasa berusaha meluas pengaruh, menimbulkan rasa cemburu di kalangan orang-orang Melayu termasuklah Sultan Sulaiman sendiri. Oleh yang demikian, Sultan Sulaiman tidak mempunyai pilihan lain, kecuali meminta pertolongan Belanda.

Dengan itu, pada hari ini dalam tahun 1745, Baginda menyerahkan Siak kepada Belanda sebagai memenuhi kehendak Belanda. Dengan perjanjian itu juga, Baginda berjanji untuk mengkaji semula perjanjian yang pernah dibuat dengan Syarikat Hindia Timur Belanda, dengan memberikan keutamaan kepada monopoli bijih timah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Tambunan_Sabah_Welcome-800px
Sejarah

Serangan Ke Atas Kubu Mat Salleh Di Ranau

13 Disember 1897 – Pada tahun 1897, Syarikat Inggeris Borneo Utara telah menghantar satu pasukan polis untuk menyerang Kubu Mat Salleh di Ranau bagi menghapuskan penentangan yang dilakukan oleh Mat Salleh. Serangan ini dilakukan setelah Mat Salleh melancarkan serangan ke atas pusat pentadbiran Syarikat Inggeris Borneo Utara di Pulau Gaya pada 9 Julai 1897. Selain itu Mat Salleh juga telah menyerang dan membakar kawasan penempatan Syarikat Inggeris Borneo Utara di Ambong pada November 1897.

Setelah serangan-serangan yang dilakukan oleh Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya, mereka berpindah dan membina kubu di Ranau. Pada 13 Disember 1897, Syarikat Inggeris Borneo Utara telah menghantar satu pasukan polis untuk menyerang kubu tersebut. Seramai 250 Iban dan Kadazandusun mengelilingi kubu tersebut manakala 30 orang Sikh dan Pathan menanti untuk melancarkan serangan. Kubu tersebut ditembak bertubi-tubi pada sebelah pagi.

Menjelang tengah hari arahan dikeluarkan untuk menyerbu kubu tersebut. Namun mereka tidak dapat menembusi pertahanan kubu tersebut. 4 orang Sikh dan Pegawai polis Jones yang mengetuai serangan tersebut telah terbunuh dalam percubaan tersebut. Serangan tersebut terpaksa dibatalkan dan mereka kembali ke Sandakan.

Pada 9 Januari 1898, pasukan yang lebih besar telah dihantar dari Sandakan. Percubaan kali kedua ini berjaya menawan kubu tersebut. Bagaimanapun, Mat Salleh serta pengikut-pengikutnya telah pun meninggalkan kubu tersebut dan melepaskan diri. Mat Salleh kemudiannya telah membina tempat kediaman baru di Tambunan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sir_Frank_Swettenham_1904-800px
Sejarah

Frank Swettenham Menamatkan Tugasnya Sebagai Residen General Negeri-Negeri Melayu Bersekutu

12 Disember 1901 – Frank Swettenham telah menamatkan tugasnya sebagai Residen General Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang meliputi Negeri-negeri Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang pada tahun 1901. Beliau telah memulakan perkhidmatan pada 1 Januari 1901 sebagai Residen General pertama Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang ditubuhkan dalam tahun 1896.

frank swettenham

Sir Frank Athelstane Swettenham dilahirkan di Belper, Derbyshire, England sebagai anak keempat James Oldham Swettenham, Swettenham menjadi kadet Perkhidmatan Awam Negeri-Negeri Selat pada tahun 1870. Tiba di Singapura pada Januari 1871, beliau lulus dalam peperiksaan akhir pengajian Melayu pada Julai 1872 dan menjadi Penolong Pemungut Hasil Tanah. Beliau merupakan salah satu daripada hampir empat puluh orang pegawai Empayar British yang menentang Malayan Union.

Sebelum beliau dilantik sebagai Residen General Negeri-negeri Melayu Bersekutu, beliau juga pernah memangku dan memegang jawatan Residen Selangor dari 2 Oktober 1882 sehingga 31 Mei 1889. Beliau turut memangku jawatan Residan Perak pada masa yang sama juga iaitu dari 22 Mac 1884 sehingga Januari 1886. Manakala dari 1 Jun 1889 hingga 30 Jun, Frank Swettenham telah dilantik sebagai Residen Perak. Beliau kemudiannya telah digantikan oleh W.H. Treacher yang mula bertugas pada 13 Disember 1901.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard