Tambunan_Sabah_Welcome-800px

Serangan Ke Atas Kubu Mat Salleh Di Ranau

13 Disember 1897 – Pada tahun 1897, Syarikat Inggeris Borneo Utara telah menghantar satu pasukan polis untuk menyerang Kubu Mat Salleh di Ranau bagi menghapuskan penentangan yang dilakukan oleh Mat Salleh. Serangan ini dilakukan setelah Mat Salleh melancarkan serangan ke atas pusat pentadbiran Syarikat Inggeris Borneo Utara di Pulau Gaya pada 9 Julai 1897. Selain itu Mat Salleh juga telah menyerang dan membakar kawasan penempatan Syarikat Inggeris Borneo Utara di Ambong pada November 1897.

Setelah serangan-serangan yang dilakukan oleh Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya, mereka berpindah dan membina kubu di Ranau. Pada 13 Disember 1897, Syarikat Inggeris Borneo Utara telah menghantar satu pasukan polis untuk menyerang kubu tersebut. Seramai 250 Iban dan Kadazandusun mengelilingi kubu tersebut manakala 30 orang Sikh dan Pathan menanti untuk melancarkan serangan. Kubu tersebut ditembak bertubi-tubi pada sebelah pagi.

Menjelang tengah hari arahan dikeluarkan untuk menyerbu kubu tersebut. Namun mereka tidak dapat menembusi pertahanan kubu tersebut. 4 orang Sikh dan Pegawai polis Jones yang mengetuai serangan tersebut telah terbunuh dalam percubaan tersebut. Serangan tersebut terpaksa dibatalkan dan mereka kembali ke Sandakan.

Pada 9 Januari 1898, pasukan yang lebih besar telah dihantar dari Sandakan. Percubaan kali kedua ini berjaya menawan kubu tersebut. Bagaimanapun, Mat Salleh serta pengikut-pengikutnya telah pun meninggalkan kubu tersebut dan melepaskan diri. Mat Salleh kemudiannya telah membina tempat kediaman baru di Tambunan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.