Kimanis_Sabah_Colony-Ellena-800px
Sejarah

Baron Von Overbeck Dilantik Menjadi Maharaja Sabah dan Raja Gaya dan Sandakan

29 Disember 1877 – Baron von Overbeck dilantik menjadi Maharaja Sabah dan Raja Gaya dan Sandakan dalam perjanjian yang ditandatangani oleh Sultan Abdul Momin dari Brunei. Baron von Overbeck juga seorang Konsul bagi Austria-Hungary di Hong Kong.

Pada Januari 1876, beliau membeli hak pajakan tanah dari pemilik Syarikat Perdagangan Amerika Borneo, Joseph William Torrey dengan harga $15,000. Pada tahun 1877, Baron von Overbeck telah ke Brunei untuk membuat perjanjian pajakan baru dengan Sultan Brunei, Sultan Abdul Momin.

Perjanjian daripada Sultan Brunei (kiri), Sulu (kanan)

Perjanjian daripada Sultan Brunei (kiri), Sulu (kanan)

Pelantikan

Sultan Abdul Momin kemudiannya telah melantik beliau menjadi Maharaja Sabah dan Raja Gaya dan Sandakan pada 29 Disember 1877. Baron von Overbeck bersama Alfred Dent kemudiannya menubuhkan the Dent & Co. (juga dikenali sebagai Dent & Overbeck Company / Overbeck & Co.).

Dent_&_Co's

Dent & Co. British Hong Kong, 1858.

Ketika Baron melakukan explorasi pengambilalihan hak wilayah dan sumber-sumber mineral di wilayah tersebut, beliau telah bertemu dengan Sultan Sulu, Sultan Jamalulazamdan. Satu lagi perjanjian ditandatangani dan beliau dilantik oleh pihak Sulu sebagai Raja Sandakan dan Dato Bendahara pada 22 Januari 1878.

Bayaran Pajakan

Duit pajakan wilayah Sabah yang dibayar oleh Baron von Overbeck kepada Sultan Brunei ialah $12,000 setahun dan $3,000 kepada Temenggong Brunei. Bayaran kepada Sultan Sulu pula ialah $5,000 setahun mengikut perjanjian Baron dengan Sultan Sulu pada 1878. Kawasan di bawah pentadbiran Overbeck meliputi keseluruhan Borneo Utara iaitu dari Teluk Kimanis di sebelah barat sehingga Sungai Seboekoe di sebelah timur.

Baron von Overbeck kemudian menjual kesemua haknya kepada Alfred Dent, pengasas Syarikat Borneo Utara British yang mentadbir Sabah (North Borneo) dari tahun 1882-1946. Selepas itu Syarikat Borneo Utara British menyerahkannya kepada Kerajaan British.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Tambunan_Sabah_Welcome-800px
Sejarah

Serangan Ke Atas Kubu Mat Salleh Di Ranau

13 Disember 1897 – Pada tahun 1897, Syarikat Inggeris Borneo Utara telah menghantar satu pasukan polis untuk menyerang Kubu Mat Salleh di Ranau bagi menghapuskan penentangan yang dilakukan oleh Mat Salleh. Serangan ini dilakukan setelah Mat Salleh melancarkan serangan ke atas pusat pentadbiran Syarikat Inggeris Borneo Utara di Pulau Gaya pada 9 Julai 1897. Selain itu Mat Salleh juga telah menyerang dan membakar kawasan penempatan Syarikat Inggeris Borneo Utara di Ambong pada November 1897.

Setelah serangan-serangan yang dilakukan oleh Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya, mereka berpindah dan membina kubu di Ranau. Pada 13 Disember 1897, Syarikat Inggeris Borneo Utara telah menghantar satu pasukan polis untuk menyerang kubu tersebut. Seramai 250 Iban dan Kadazandusun mengelilingi kubu tersebut manakala 30 orang Sikh dan Pathan menanti untuk melancarkan serangan. Kubu tersebut ditembak bertubi-tubi pada sebelah pagi.

Menjelang tengah hari arahan dikeluarkan untuk menyerbu kubu tersebut. Namun mereka tidak dapat menembusi pertahanan kubu tersebut. 4 orang Sikh dan Pegawai polis Jones yang mengetuai serangan tersebut telah terbunuh dalam percubaan tersebut. Serangan tersebut terpaksa dibatalkan dan mereka kembali ke Sandakan.

Pada 9 Januari 1898, pasukan yang lebih besar telah dihantar dari Sandakan. Percubaan kali kedua ini berjaya menawan kubu tersebut. Bagaimanapun, Mat Salleh serta pengikut-pengikutnya telah pun meninggalkan kubu tersebut dan melepaskan diri. Mat Salleh kemudiannya telah membina tempat kediaman baru di Tambunan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jesselton_1911-800px
Sejarah

Penukaran Nama Jesselton Kepada Kota Kinabalu

30 September 1968 – Penukaran nama Jesselton kepada Kota Kinabalu telah dilakukan pada tahun 1968. Ia merupakan kesinambungan daripada cadangan Tun Mustapha bin Datu Harun pada tahun 1966 dalam satu Perhimpunan rakyat di Tambunan, Sabah.

Kota Kinabalu dinamakan sempena Gunung Kinabalu, yang terletak kira-kira 50 kilometer ke arah timur laut bandar yang menjadi mercu tanda negeri Sabah. Kinabalu berasal daripada nama Aki Nabalu. Aki pula bermaksud “datuk” dan Nabalu ialah nama untuk gunung dalam bahasa Dusun. Terdapat juga sumber yang mengatakan bahawa istilah ini berasal daripada Ki Nabalu iaitu Ki bermaksud “ada” atau “wujud”, dan Nabalu bermaksud “semangat orang mati”.

Kota ialah perkataan Melayu untuk “kubu”, “pekan”, atau “bandar”. Perkataan Kota juga digunakan secara tidak rasmi untuk merujuk kepada mana-mana pekan atau bandar. Nama Kota Kinabalu disyorkan supaya ia tidak tersilap dengan Gunung Kinabalu, iaitu gunung yang tertinggi di Asia Tenggara.

Kina Balu from Pinokok Valley 1862

Kina Balu from Pinokok Valley – 1862

Nama Asal Jesselton

Selain Jesselton, ada beberapa teori lain tentang nama asal Kota Kinabalu. Yang paling terkenal, seperti yang dinyatakan di atas, ialah Api-Api, atau hanya Api. Ia dinamakan seperti itu oleh penduduk tempatan, terutamanya kaum Bajau, sempena memperingati pembakaran pejabat pentadbiran British di Pulau Gaya oleh Mat Salleh, serta kejadian pembakaran lain yang biasanya dilakukan oleh lanun.

Terdapat dakwaan bahawa kawasan Kota Kinabalu sekarang sebenarnya dinamakan sempena sungai berdekatan yang dipanggil Sungai Api-Api. Selain Api-Api, satu lagi nama yang dikatakan ialah Deasoka, yang bermaksud “di bawah pokok kelapa”. Penduduk tempatan Bajau menggunakan nama ini bagi merujuk pada sebuah kampung di bahagian selatan bandar yang dipenuhi pokok kelapa.

Nama lain ialah Singgah Mata yang bermaksud “mata transit”, tetapi boleh juga diterjemahkan sebagai “menyenangkan mata”. Ia ialah nama yang diberikan oleh nelayan dari Pulau Gaya yang merujuk kepada kawasan yang hari ini merupakan pusat bandar Kota Kinabalu. Hari ini, semua nama ini digunakan sebagai nama jalan atau bangunan di sekitar bandar. Beberapa contohnya ialah Lintasan Deasoka, Api-Api Centre dan Jalan Singgah Mata.

Memorial Clock Tower Jesselton

Sejarah Awal Jesselton

Syarikat Borneo Utara British (SBUB) telah mengasaskan sebuah penempatan kecil di kawasan yang dikenali sebagai Teluk Gaya yang didiami oleh suku kaum Bajau. Petempatan pertama telah dibakar dan dimusnahkan oleh pejuang kebebasan Bajau, iaitu Mat Salleh pada tahun 1897.

Selepas kemusnahan Pulau Gaya, SBUB pada asalnya memutuskan untuk berpindah ke Teluk Gentisan pada tahun 1898. Apabila ia didapati tidak sesuai, Pesuruhjaya Tanah, Encik Henry Walker telah menggantikannya dengan sebuah tapak seluas 30 ekar dan SBUB telah berpindah ke sebuah perkampungan nelayan yang dinamakan Api-Api pada tahun 1899. Ia dipilih kerana terletak berhampiran dengan Perkhidmatan Kereta Api Borneo Utara dan merupakan pelabuhan semula jadi yang dilindungi daripada angin. Pusat pentadbiran yang baru ini dinamakan Jesselton selaras dengan nama Tuan Charles Jessel, yang merupakan Naib Pengerusi SBUB pada ketika itu.

Jesselton telah menjadi sebuah pos perdagangan utama Borneo Utara pada ketika itu dengan perdagangan getah, rotan, madu, dan lilin giat dijalankan. Keretapi baharu telah digunakan bagi mengangkut barang-barang ke pelabuhan Jesselton. Kebangkitan orang Melayu dan Bajau pada masa itu tidak begitu ketara dan SBUB juga bekerja keras untuk membanteras ancaman lanun yang telah lama berlaku di rantau ini.

Jesselton 1914

Jesselton 1914

Perang Dunia Kedua

Ketika Perang Dunia Kedua, British telah membakar bandar Jesselton untuk mengelakkannya jatuh ke tangan Jepun. Ketika pendudukan Tentera Jepun nama Jesselton telah ditukar kepada Api. Beberapa pemberontakan terhadap pentadbiran tentera Jepun berlaku ketika itu terutamanya pada 10 Oktober 1943 yang dilakukan oleh Gerila Kinabalu yang terdiri daripada penduduk tempatan. Ia dipatahkan oleh Tentera Jepun selepas pemimpinnya, Albert Kwok, ditangkap dan dihukum bunuh pada tahun 1944.

Bandar ini dimusnahkan sekali lagi oleh Tentera Bersekutu dibom siang dan malam selama lebih enam bulan sebagai sebahagian daripada Kempen Borneo pada tahun 1945. Kemusnahan teruk bandar Jesselton menyaksikan hanya tinggal tiga bangunan yang kekal berdiri pada masa tersebut. Perang di Borneo Utara berakhir dengan penyerahan diri Tentera Darat Jepun yang ke-37 oleh Leftenan Jeneral Baba Masao di Labuan pada 10 September 1945.

Jesselton Bomb Damage

Tamat Perang Dunia Kedua

Selepas perang tamat, SBUB kembali untuk mentadbir Jesselton tetapi tidak mampu untuk membiayai kos pembinaan semula yang sangat besar. Kawalan Borneo Utara diserahkan kepada Mahkota British (British Crown Colony) pada 15 Julai 1946. Kerajaan kolonial baharu telah dipilih bagi membina semula Jesselton sebagai pusat pemerintahan baharu selain daripada Sandakan yang juga telah dimusnahkan sewaktu perang.

Pada tempoh 1948-1955, sebuah Pelan Pembangunan Semula dan Pembangunan untuk Borneo Utara telah ditubuhkan oleh kerajaan British. Kerajaan British telah meluluskan dana sebanyak £ 6,051.939 – £ 2,232.882 bagi membina semula dan £ 3,819.057 bagi pembangunan baharu. Jalan raya telah dibina, pelabuhan dibersihkan dan lapangan terbang dibaiki. Pembangunan semula pekan dan sektor pertanian juga diberi tumpuan. Roy Edgardo Parry, Pengarah Pendidikan pertama, telah dilantik untuk menyediakan pelan lima tahun bagi pembangunan pendidikan.

KotaKinabalu_CityHall-800px

Apabila Borneo Utara bersatu dengan Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu bagi membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, negeri ini bertukar nama dan dikenali sebagai Sabah, dengan Jesselton kekal sebagai pusat pemerintahan utama. Penukaran nama Jesselton  kepada Kota Kinabalu telah dilakukan pada 30 September 1968 dan menerima status bandar raya daripada kerajaan Malaysia pada 2 Februari 2000.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
William-Burges-Pryer-800px
Sejarah

Permulaan Penempatan Inggeris Di Sandakan

21 Jun 1879 – Pada tahun 1879, William Pryer, seorang wakil syarikat yang dikenali sebagai North Borneo Provisional Association yang kemudiannya menjadi British North Borneo Chartered Company telah membuka sebuah tapak penempatan yang baru di pinggir Teluk Sandakan. Dengan ini bermulalah penempatan Inggeris di Sandakan yang merupakan sebuah bandar tertua di Sabah.

Sebelum membuka penempatan baru di Sandakan, William Pryer telah membuat penempatan awal di sebuah tempat yang dikenali sebagai Kampung Jerman.  Kampung Jerman terletak di Pulau Timbang lebih kurang 12 batu dari bandar Sandakan.

Penduduk tempatan mengenali pulau ini sebagai Pulau Jerman. Nama ini timbul apabila dalam tahun 1872, seorang bangsa Scots bernama Cowie bersama beberapa orang Jerman mendirikan sebuah gudang di pulau ini untuk memudahkan penyeludupan senjata ke Sulu.

Semasa pendaratan awalnya di Kampung Jerman, William Pryer mendapati hanya terdapat sebanyak 17 buah rumah sahaja di penempatan tersebut dan bilangan penduduknya adalah kecil.

Berhampiran Kampung Jerman terdapat kampung orang-orang Sulu iaitu Kampung Timbang dan masyarakat Bajau merupakan ahli-ahli perniagaan yang berulang-alik di Teluk Sandakan.

Di peringkat awal penempatannya, William Pryer menghadapi beberapa ancaman terutamanya dari lanun-lanun yang bermaharajalela di perairan Teluk Sandakan dan di Sungai Kinabatangan. William Pryer terpaksa mendapatkan sokongan daripada orang-orang Bajau dan Sulu serta membuka Sungai Kinabatangan yang merupakan sungai yang terpanjang di Sabah menjadi nadi utama kepada kebanyakan perniagaan hasil-hasil hutan.

Walaupun Pryer cuba mengubah nama penempatan baru ini kepada ‘Elopura’ yang bermakna ‘Bandar yang indah’ tetapi nama itu cuma kekal beberapa tahun dan kembali dikenali sebagai Sandakan yang telah terkenal kira-kira 200 tahun sebelumnya.

Setelah beberapa lama, penempatan William Pryer di Kampung Jerman bertambah maju dan ancaman-ancaman lanun dari kawasan Teluk Sandakan serta sekitarnya telah dapat diatasi.

Walau bagaimanapun penempatan William Pryer ini telah mengalami bencana apabila berlaku kebakaran yang memusnahkan penempatan tersebut pada 15 Jun 1879. Dengan bantuan orang-orang Sulu dan Bajau, William Pryer telah berpindah dan membuka penempatan baru di Sandakan.

Sandakan adalah ibu negeri British North Borneo dari tahun 1884. hinggalah Januari 1942, apabila tentera Jepun menawannya.

Selepas pendudukan Jepun, dalam tahun 1946, Kota Kinabalu yang sebelumnya dikenali sebagai Jesselton telah diisytiharkan sebagai ibu negeri disebabkan Sandakan telah musnah akibat serangan Tentera Berikat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard