mat_salleh-800px
Sejarah

Mat Salleh Menyerang Pulau Gaya

09 Julai 1897 – Pada tahun 1897 Mat Salleh menyerang Pulau Gaya.  Serangan tersebut telah memusnahkan pusat pentadbiran Syarikat Inggeris Borneo Utara di Pulau Gaya, Sabah.

Serangan mengejut ini telah dilakukan pada jam 4.00 pagi dengan bantuan orang-orang Bajau dari Inanam dan Mengkabong.

Punca serangan ini adalah akibat dari cadangan pihak Inggeris yang ingin membina jalan raya, jalan keretapi dan talian telegraf menghubungi pantai Brunei dengan Pelabuhan Cowel.

Cadangan ini telah mengakibatkan rasa tidak puas hati rakyat Sabah kerana pihak Inggeris mengambil tanah dan mengenakan cukai yang tinggi ke atas mereka bagi menampung kos pembinaan tersebut.

Serangan Mat Salleh ini bukanlah yang pertama malah telah banyak serangan dilakukan terhadap pihak Inggeris antaranya pada tahun 1894 dan 1896 yang mana pihak Inggeris gagal mematahkan serangan-serangan tersebut.

Dalam peristiwa Mat Salleh menyerang Pulau Gaya ini, seluruh pusat pentadbiran syarikat ini musnah sama sekali dan kerugian ditaksirkan kira-kira $100,000 dolar Selat. Mereka juga menculik kerani perbendaharaan F. S. Neubronner sebagai tebusan.

Akibat daripada serangan tersebut Gabenor L. P. Beaufort dan Pengarah Urusan Cowie telah menemui Sultan Brunei untuk meminta pampasan dengan dakwaan bahawa sebahagian penyerang tersebut berasal daripada kawasan Sultan Brunei.

Hasil rundingan tersebut telah mengakibatkan pengurusan kawasan Mengkabong, Menggatal dan Api-Api diserahkan kepada Syarikat Inggeris Borneo Utara.

Setelah Mat Salleh menyerang Pulau Gaya, mereka telah memindahkan kubu mereka ke Soan di Labuk, kemudian ke Parachangan di Sugut. Pada November 1897 mereka telah menyerang dan membakar kawasan penempatan Syarikat Inggeris Borneo Utara di Ambong.

Setelah itu mereka berpindah dan membina kubu di Ranau. Pada 13 Disember 1897, Syarikat Inggeris Borneo Utara telah menghantar satu pasukan polis untuk menyerang Kubu Mat Salleh di Ranau bagi menghapuskan penentangan yang dilakukan oleh Mat Salleh.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard