800px_sutera_harbour_sunset_kk
Sejarah

Pengisytiharan Kota Kinabalu Sebagai Bandaraya

seal_kota_kinabalu

02 Februari 2000 – Kota Kinabalu diisytihar sebagai bandar raya pada tahun 2000. Watikah pengisytiharan Kota Kinabalu sebagai bandaraya diserahkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ong Ka Ting kepada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran bin Dandai di Istana Negeri. Watikah pengisytiharan ini kemudiannya diserahkan oleh Yang Dipertua Negeri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Osu Sukam.

Lanjutan daripada pengisytiharan ini juga Datuk Abdul Ghani bin Abdul Rashid dilantik sebagai Datuk Bandar Kota Kinabalu yang pertama. Upacara perlantikan telah diadakan pada 2 Februari 2000 di Dewan Undangan Negeri Sabah, di Likas.

800px_Jesselton_circa_1911

Jasselton 1911

Sejarah Ringkas Kota Kinabalu

Mengimbas kembali sejarah silam, Kota Kinabalu berasal dari sebuah perkampungan kecil kaum nelayan dengan nama Api-Api sempena sejenis hutan bakau yang menggambarkan kekayaan tumbuhan. Ia juga dikenali sebagai “Singgah Mata” mencerminkan kecantikan asli persekitaran berkenaan manakala “Dia Soka” yang dalam bahasa suku Bajau bererti “tempat berehat” menunjukkan tempat yang selesa, damai dan memberi ketenangan kepada penghuninya.

Setelah tahun 1899, kampung ini diambil-alih oleh pentadbiran koloni Inggeris dan dinamakan Jesselton. Pada tahun 1968 nama ibu kota ini bertukar kepada Kota Kinabalu setelah Sabah mencapai kemerdekaan melalui Malaysia pada tahun 1963. Di sepanjang tempoh satu abad yang berlalu, Kota Kinabalu telah tumbuh dan berkembang pesat berlipat kali ganda, wajahnya kini berubah kepada yang kita kenali pada hari ini.

1Borneo_kota_Kinabalu

1Borneo

Usaha menaikkan taraf Kota Kinabalu kepada sebuah bandaraya dalam tahun 1994. Pada mulanya, sasaran yang ditetapkan ialah pada tahun 1997. Namun demikian pada masa itu, Kerajaan Persekutuan berpendapat masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan sebelum bandar Kota Kinabalu dapat melayakkan diri sebagai bandaraya.

Pada pertengahan tahun 1999, sekali lagi Kerajaan Negeri mengutarakan cadangan awal tersebut. Setelah menilai dan mendapati Kota Kinabalu memenuhi semua syarat bertaraf bandaraya, Kerajaan Persekutuan secara rasmi bersetuju dan menyampaikan kelulusan pada bulan Oktober 1999. Hasil kerja keras dan persediaan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri tarikh Pengisytiharan Kota Kinabalu Sebagai Bandaraya ditetapkan pada tahun 2000.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jesselton_1911-800px
Sejarah

Penukaran Nama Jesselton Kepada Kota Kinabalu

30 September 1968 – Penukaran nama Jesselton kepada Kota Kinabalu telah dilakukan pada tahun 1968. Ia merupakan kesinambungan daripada cadangan Tun Mustapha bin Datu Harun pada tahun 1966 dalam satu Perhimpunan rakyat di Tambunan, Sabah.

Kota Kinabalu dinamakan sempena Gunung Kinabalu, yang terletak kira-kira 50 kilometer ke arah timur laut bandar yang menjadi mercu tanda negeri Sabah. Kinabalu berasal daripada nama Aki Nabalu. Aki pula bermaksud “datuk” dan Nabalu ialah nama untuk gunung dalam bahasa Dusun. Terdapat juga sumber yang mengatakan bahawa istilah ini berasal daripada Ki Nabalu iaitu Ki bermaksud “ada” atau “wujud”, dan Nabalu bermaksud “semangat orang mati”.

Kota ialah perkataan Melayu untuk “kubu”, “pekan”, atau “bandar”. Perkataan Kota juga digunakan secara tidak rasmi untuk merujuk kepada mana-mana pekan atau bandar. Nama Kota Kinabalu disyorkan supaya ia tidak tersilap dengan Gunung Kinabalu, iaitu gunung yang tertinggi di Asia Tenggara.

Kina Balu from Pinokok Valley 1862

Kina Balu from Pinokok Valley – 1862

Nama Asal Jesselton

Selain Jesselton, ada beberapa teori lain tentang nama asal Kota Kinabalu. Yang paling terkenal, seperti yang dinyatakan di atas, ialah Api-Api, atau hanya Api. Ia dinamakan seperti itu oleh penduduk tempatan, terutamanya kaum Bajau, sempena memperingati pembakaran pejabat pentadbiran British di Pulau Gaya oleh Mat Salleh, serta kejadian pembakaran lain yang biasanya dilakukan oleh lanun.

Terdapat dakwaan bahawa kawasan Kota Kinabalu sekarang sebenarnya dinamakan sempena sungai berdekatan yang dipanggil Sungai Api-Api. Selain Api-Api, satu lagi nama yang dikatakan ialah Deasoka, yang bermaksud “di bawah pokok kelapa”. Penduduk tempatan Bajau menggunakan nama ini bagi merujuk pada sebuah kampung di bahagian selatan bandar yang dipenuhi pokok kelapa.

Nama lain ialah Singgah Mata yang bermaksud “mata transit”, tetapi boleh juga diterjemahkan sebagai “menyenangkan mata”. Ia ialah nama yang diberikan oleh nelayan dari Pulau Gaya yang merujuk kepada kawasan yang hari ini merupakan pusat bandar Kota Kinabalu. Hari ini, semua nama ini digunakan sebagai nama jalan atau bangunan di sekitar bandar. Beberapa contohnya ialah Lintasan Deasoka, Api-Api Centre dan Jalan Singgah Mata.

Memorial Clock Tower Jesselton

Sejarah Awal Jesselton

Syarikat Borneo Utara British (SBUB) telah mengasaskan sebuah penempatan kecil di kawasan yang dikenali sebagai Teluk Gaya yang didiami oleh suku kaum Bajau. Petempatan pertama telah dibakar dan dimusnahkan oleh pejuang kebebasan Bajau, iaitu Mat Salleh pada tahun 1897.

Selepas kemusnahan Pulau Gaya, SBUB pada asalnya memutuskan untuk berpindah ke Teluk Gentisan pada tahun 1898. Apabila ia didapati tidak sesuai, Pesuruhjaya Tanah, Encik Henry Walker telah menggantikannya dengan sebuah tapak seluas 30 ekar dan SBUB telah berpindah ke sebuah perkampungan nelayan yang dinamakan Api-Api pada tahun 1899. Ia dipilih kerana terletak berhampiran dengan Perkhidmatan Kereta Api Borneo Utara dan merupakan pelabuhan semula jadi yang dilindungi daripada angin. Pusat pentadbiran yang baru ini dinamakan Jesselton selaras dengan nama Tuan Charles Jessel, yang merupakan Naib Pengerusi SBUB pada ketika itu.

Jesselton telah menjadi sebuah pos perdagangan utama Borneo Utara pada ketika itu dengan perdagangan getah, rotan, madu, dan lilin giat dijalankan. Keretapi baharu telah digunakan bagi mengangkut barang-barang ke pelabuhan Jesselton. Kebangkitan orang Melayu dan Bajau pada masa itu tidak begitu ketara dan SBUB juga bekerja keras untuk membanteras ancaman lanun yang telah lama berlaku di rantau ini.

Jesselton 1914

Jesselton 1914

Perang Dunia Kedua

Ketika Perang Dunia Kedua, British telah membakar bandar Jesselton untuk mengelakkannya jatuh ke tangan Jepun. Ketika pendudukan Tentera Jepun nama Jesselton telah ditukar kepada Api. Beberapa pemberontakan terhadap pentadbiran tentera Jepun berlaku ketika itu terutamanya pada 10 Oktober 1943 yang dilakukan oleh Gerila Kinabalu yang terdiri daripada penduduk tempatan. Ia dipatahkan oleh Tentera Jepun selepas pemimpinnya, Albert Kwok, ditangkap dan dihukum bunuh pada tahun 1944.

Bandar ini dimusnahkan sekali lagi oleh Tentera Bersekutu dibom siang dan malam selama lebih enam bulan sebagai sebahagian daripada Kempen Borneo pada tahun 1945. Kemusnahan teruk bandar Jesselton menyaksikan hanya tinggal tiga bangunan yang kekal berdiri pada masa tersebut. Perang di Borneo Utara berakhir dengan penyerahan diri Tentera Darat Jepun yang ke-37 oleh Leftenan Jeneral Baba Masao di Labuan pada 10 September 1945.

Jesselton Bomb Damage

Tamat Perang Dunia Kedua

Selepas perang tamat, SBUB kembali untuk mentadbir Jesselton tetapi tidak mampu untuk membiayai kos pembinaan semula yang sangat besar. Kawalan Borneo Utara diserahkan kepada Mahkota British (British Crown Colony) pada 15 Julai 1946. Kerajaan kolonial baharu telah dipilih bagi membina semula Jesselton sebagai pusat pemerintahan baharu selain daripada Sandakan yang juga telah dimusnahkan sewaktu perang.

Pada tempoh 1948-1955, sebuah Pelan Pembangunan Semula dan Pembangunan untuk Borneo Utara telah ditubuhkan oleh kerajaan British. Kerajaan British telah meluluskan dana sebanyak £ 6,051.939 – £ 2,232.882 bagi membina semula dan £ 3,819.057 bagi pembangunan baharu. Jalan raya telah dibina, pelabuhan dibersihkan dan lapangan terbang dibaiki. Pembangunan semula pekan dan sektor pertanian juga diberi tumpuan. Roy Edgardo Parry, Pengarah Pendidikan pertama, telah dilantik untuk menyediakan pelan lima tahun bagi pembangunan pendidikan.

KotaKinabalu_CityHall-800px

Apabila Borneo Utara bersatu dengan Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu bagi membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, negeri ini bertukar nama dan dikenali sebagai Sabah, dengan Jesselton kekal sebagai pusat pemerintahan utama. Penukaran nama Jesselton  kepada Kota Kinabalu telah dilakukan pada 30 September 1968 dan menerima status bandar raya daripada kerajaan Malaysia pada 2 Februari 2000.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jata_johor-800px
Sejarah

Perang Johor-Jambi

15 Mei 1673 – Pada tahun 1673, berlaku satu peperangan di antara Johor dengan Jambi. Johor ketika itu di bawah Sultan Abdul Jalil Shah telah dibantu oleh Raja Indragiri yang telah takluk kepada Johor. Jambi pula diketuai oleh rajanya sendiri, Pengiran Pati Enum yang mendapat bantuan dari Belanda di Betawi.

Perang Johor-Jambi ini berlaku disebabkan oleh pembatalan perkahwinan Yamtuan Muda Raja Bajau, bakal Sultan Johor yang memerintah Pahang dengan salah seorang puteri kepada Pengiran Jambi. Angkatan perang Jambi yang mengandungi sebanyak 15 buah perahu perang telah datang dengan mengejut dan melakukan serangan ke Batu Sawar ibu kota Johor pada masa itu.

Askar-askar Jambi telah dapat merampas sebanyak 100 pucuk meriam dan emas yang ditaksirkan berharga 100,000 rupiah Belanda ketika itu; 2,500 orang Johor termasuk Bendahara Johor telah ditawan oleh askar-askar Jambi. Bagaimanapun seramai hampir 1,200 orang daripada orang-orang tawanan itu telah dapat melarikan diri.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
naval_war-800px
Sejarah

Johor Meminta Belanda Membantu Mengalahkan Jambi

30 Julai 1673 – Pada tahun 1673, Gabenor Belanda di Melaka, Gabenor Balthasar Bort telah menerima surat dari Sri Bija Diraja, seorang pembesar Johor meminta Belanda membantu mengalahkan Jambi. Permintaan itu dibuat atas perintah Sultan Abdul Jalil Syah Johor.

Permusuhan Johor dan Jambi sebenarnya bermula sejak tahun 1664 apabila Sultan Johor enggan merestui perkahwinan Yam Tuan Muda Raja Bajau iaitu bakal Sultan Johor dengan Puteri Jambi. Sejak tarikh itu kedua kerajaan ini sentiasa berperang tetapi tidaklah sampai merugikan kedua belah pihak.

Walau bagaimanapun pembunuhan seorang pembesar Jambi yang merupakan seorang keluarga diraja pada tahun 1671 menyemarakkan kemarahan Jambi yang membawa kepada serangan besar-besaran ke atas beberapa bandar di Johor. Ini ditambah pula dengan keengganan Sultan Johor datang meminta maaf kepada Sultan Jambi yang kononnya bersedia memaafkan baginda.

Akibat dari serangan yang merosakkan banyak bandar di Johor pada 1670 ini Sultan Johor yang berundur ke Pahang ketika itu terpaksa meminta bantuan Belanda. Malangnya permintaan ini tidak dilaksanakan oleh Gabenor Bort yang menyatakan bahawa Belanda berada dalam kedudukan serba salah memandangkan kedua negara yang berperang adalah sekutu Belanda. Maka itu Belanda tidak boleh membantu mana-mana kerajaan tanpa mengenepikan pihak yang lain.

Jawapan Gabenor Belanda itu memang mengecewakan Sultan Johor. Demi menyekat serangan Jambi ke atas Muar baginda terpaksa mencadangkan agar Muar diletakkan di bawah pengawasan Belanda buat sementara.

Kegagalan Johor mendapatkan bantuan dan kerosakan yang dialami oleh beberapa bandarnya tidak melemahkan semangat sesetengah orang besar Johor untuk kembali semula berkerajaan. Laksamana Tun Abdul Jamil yang berlindung di pulau berdekatan sentiasa memastikan pengawasan yang berterusan di Johor.

Akhirnya pada tahun 1679 Laksamana Tun Abdul Jamil atas titah Sultan Ibrahim Shah Johor telah memerangi dan mengalahkan Jambi. Kedua kerajaan akhirnya berdamai dan Jambi telah mengaku tunduk di bawah kekuasaan Johor yang berpusat di Riau.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
mat_salleh-800px
Sejarah

Mat Salleh Menyerang Pulau Gaya

09 Julai 1897 – Pada tahun 1897 Mat Salleh menyerang Pulau Gaya.  Serangan tersebut telah memusnahkan pusat pentadbiran Syarikat Inggeris Borneo Utara di Pulau Gaya, Sabah.

Serangan mengejut ini telah dilakukan pada jam 4.00 pagi dengan bantuan orang-orang Bajau dari Inanam dan Mengkabong.

Punca serangan ini adalah akibat dari cadangan pihak Inggeris yang ingin membina jalan raya, jalan keretapi dan talian telegraf menghubungi pantai Brunei dengan Pelabuhan Cowel.

Cadangan ini telah mengakibatkan rasa tidak puas hati rakyat Sabah kerana pihak Inggeris mengambil tanah dan mengenakan cukai yang tinggi ke atas mereka bagi menampung kos pembinaan tersebut.

Serangan Mat Salleh ini bukanlah yang pertama malah telah banyak serangan dilakukan terhadap pihak Inggeris antaranya pada tahun 1894 dan 1896 yang mana pihak Inggeris gagal mematahkan serangan-serangan tersebut.

Dalam peristiwa Mat Salleh menyerang Pulau Gaya ini, seluruh pusat pentadbiran syarikat ini musnah sama sekali dan kerugian ditaksirkan kira-kira $100,000 dolar Selat. Mereka juga menculik kerani perbendaharaan F. S. Neubronner sebagai tebusan.

Akibat daripada serangan tersebut Gabenor L. P. Beaufort dan Pengarah Urusan Cowie telah menemui Sultan Brunei untuk meminta pampasan dengan dakwaan bahawa sebahagian penyerang tersebut berasal daripada kawasan Sultan Brunei.

Hasil rundingan tersebut telah mengakibatkan pengurusan kawasan Mengkabong, Menggatal dan Api-Api diserahkan kepada Syarikat Inggeris Borneo Utara.

Setelah Mat Salleh menyerang Pulau Gaya, mereka telah memindahkan kubu mereka ke Soan di Labuk, kemudian ke Parachangan di Sugut. Pada November 1897 mereka telah menyerang dan membakar kawasan penempatan Syarikat Inggeris Borneo Utara di Ambong.

Setelah itu mereka berpindah dan membina kubu di Ranau. Pada 13 Disember 1897, Syarikat Inggeris Borneo Utara telah menghantar satu pasukan polis untuk menyerang Kubu Mat Salleh di Ranau bagi menghapuskan penentangan yang dilakukan oleh Mat Salleh.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
William-Burges-Pryer-800px
Sejarah

Permulaan Penempatan Inggeris Di Sandakan

21 Jun 1879 – Pada tahun 1879, William Pryer, seorang wakil syarikat yang dikenali sebagai North Borneo Provisional Association yang kemudiannya menjadi British North Borneo Chartered Company telah membuka sebuah tapak penempatan yang baru di pinggir Teluk Sandakan. Dengan ini bermulalah penempatan Inggeris di Sandakan yang merupakan sebuah bandar tertua di Sabah.

Sebelum membuka penempatan baru di Sandakan, William Pryer telah membuat penempatan awal di sebuah tempat yang dikenali sebagai Kampung Jerman.  Kampung Jerman terletak di Pulau Timbang lebih kurang 12 batu dari bandar Sandakan.

Penduduk tempatan mengenali pulau ini sebagai Pulau Jerman. Nama ini timbul apabila dalam tahun 1872, seorang bangsa Scots bernama Cowie bersama beberapa orang Jerman mendirikan sebuah gudang di pulau ini untuk memudahkan penyeludupan senjata ke Sulu.

Semasa pendaratan awalnya di Kampung Jerman, William Pryer mendapati hanya terdapat sebanyak 17 buah rumah sahaja di penempatan tersebut dan bilangan penduduknya adalah kecil.

Berhampiran Kampung Jerman terdapat kampung orang-orang Sulu iaitu Kampung Timbang dan masyarakat Bajau merupakan ahli-ahli perniagaan yang berulang-alik di Teluk Sandakan.

Di peringkat awal penempatannya, William Pryer menghadapi beberapa ancaman terutamanya dari lanun-lanun yang bermaharajalela di perairan Teluk Sandakan dan di Sungai Kinabatangan. William Pryer terpaksa mendapatkan sokongan daripada orang-orang Bajau dan Sulu serta membuka Sungai Kinabatangan yang merupakan sungai yang terpanjang di Sabah menjadi nadi utama kepada kebanyakan perniagaan hasil-hasil hutan.

Walaupun Pryer cuba mengubah nama penempatan baru ini kepada ‘Elopura’ yang bermakna ‘Bandar yang indah’ tetapi nama itu cuma kekal beberapa tahun dan kembali dikenali sebagai Sandakan yang telah terkenal kira-kira 200 tahun sebelumnya.

Setelah beberapa lama, penempatan William Pryer di Kampung Jerman bertambah maju dan ancaman-ancaman lanun dari kawasan Teluk Sandakan serta sekitarnya telah dapat diatasi.

Walau bagaimanapun penempatan William Pryer ini telah mengalami bencana apabila berlaku kebakaran yang memusnahkan penempatan tersebut pada 15 Jun 1879. Dengan bantuan orang-orang Sulu dan Bajau, William Pryer telah berpindah dan membuka penempatan baru di Sandakan.

Sandakan adalah ibu negeri British North Borneo dari tahun 1884. hinggalah Januari 1942, apabila tentera Jepun menawannya.

Selepas pendudukan Jepun, dalam tahun 1946, Kota Kinabalu yang sebelumnya dikenali sebagai Jesselton telah diisytiharkan sebagai ibu negeri disebabkan Sandakan telah musnah akibat serangan Tentera Berikat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard