jata_johor-800px
Sejarah

Perang Johor-Jambi

15 Mei 1673 – Pada tahun 1673, berlaku satu peperangan di antara Johor dengan Jambi. Johor ketika itu di bawah Sultan Abdul Jalil Shah telah dibantu oleh Raja Indragiri yang telah takluk kepada Johor. Jambi pula diketuai oleh rajanya sendiri, Pengiran Pati Enum yang mendapat bantuan dari Belanda di Betawi.

Perang Johor-Jambi ini berlaku disebabkan oleh pembatalan perkahwinan Yamtuan Muda Raja Bajau, bakal Sultan Johor yang memerintah Pahang dengan salah seorang puteri kepada Pengiran Jambi. Angkatan perang Jambi yang mengandungi sebanyak 15 buah perahu perang telah datang dengan mengejut dan melakukan serangan ke Batu Sawar ibu kota Johor pada masa itu.

Askar-askar Jambi telah dapat merampas sebanyak 100 pucuk meriam dan emas yang ditaksirkan berharga 100,000 rupiah Belanda ketika itu; 2,500 orang Johor termasuk Bendahara Johor telah ditawan oleh askar-askar Jambi. Bagaimanapun seramai hampir 1,200 orang daripada orang-orang tawanan itu telah dapat melarikan diri.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
naval_war-800px
Sejarah

Johor Meminta Belanda Membantu Mengalahkan Jambi

30 Julai 1673 – Pada tahun 1673, Gabenor Belanda di Melaka, Gabenor Balthasar Bort telah menerima surat dari Sri Bija Diraja, seorang pembesar Johor meminta Belanda membantu mengalahkan Jambi. Permintaan itu dibuat atas perintah Sultan Abdul Jalil Syah Johor.

Permusuhan Johor dan Jambi sebenarnya bermula sejak tahun 1664 apabila Sultan Johor enggan merestui perkahwinan Yam Tuan Muda Raja Bajau iaitu bakal Sultan Johor dengan Puteri Jambi. Sejak tarikh itu kedua kerajaan ini sentiasa berperang tetapi tidaklah sampai merugikan kedua belah pihak.

Walau bagaimanapun pembunuhan seorang pembesar Jambi yang merupakan seorang keluarga diraja pada tahun 1671 menyemarakkan kemarahan Jambi yang membawa kepada serangan besar-besaran ke atas beberapa bandar di Johor. Ini ditambah pula dengan keengganan Sultan Johor datang meminta maaf kepada Sultan Jambi yang kononnya bersedia memaafkan baginda.

Akibat dari serangan yang merosakkan banyak bandar di Johor pada 1670 ini Sultan Johor yang berundur ke Pahang ketika itu terpaksa meminta bantuan Belanda. Malangnya permintaan ini tidak dilaksanakan oleh Gabenor Bort yang menyatakan bahawa Belanda berada dalam kedudukan serba salah memandangkan kedua negara yang berperang adalah sekutu Belanda. Maka itu Belanda tidak boleh membantu mana-mana kerajaan tanpa mengenepikan pihak yang lain.

Jawapan Gabenor Belanda itu memang mengecewakan Sultan Johor. Demi menyekat serangan Jambi ke atas Muar baginda terpaksa mencadangkan agar Muar diletakkan di bawah pengawasan Belanda buat sementara.

Kegagalan Johor mendapatkan bantuan dan kerosakan yang dialami oleh beberapa bandarnya tidak melemahkan semangat sesetengah orang besar Johor untuk kembali semula berkerajaan. Laksamana Tun Abdul Jamil yang berlindung di pulau berdekatan sentiasa memastikan pengawasan yang berterusan di Johor.

Akhirnya pada tahun 1679 Laksamana Tun Abdul Jamil atas titah Sultan Ibrahim Shah Johor telah memerangi dan mengalahkan Jambi. Kedua kerajaan akhirnya berdamai dan Jambi telah mengaku tunduk di bawah kekuasaan Johor yang berpusat di Riau.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard