Sejarah

Cadangan Penukaran Nama Jesselton Kepada Kota Kinabalu

06 Mac 1966 – Cadangan penukaran nama Jesselton kepada Kota Kinabalu telah dinyatakan oleh Pengerusi Perikatan Sabah dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tun Mustapha bin Datu Harun pada tahun 1966. Cadangan tersebut telah diutarakan dalam ucapan beliau dalam satu Perhimpunan rakyat di Tambunan, Sabah.

Di dalam ucapannya, Tun Mustapha menyatakan bahawa nama Kota Kinabalu disyorkan supaya ia tidak tersilap dengan Gunung Kinabalu, iaitu gunung yang tertinggi di Asia Tenggara. Nama Kota Kinabalu juga dipilih bagi menghormati kaum Dusun yang merupakan kaum teramai yang tinggal berdekatan gunung tersebut.

Tun Mustapha bin Datu Harun

Tun Mustapha bin Datu Harun

Menurut Tun Mustapha lagi sikap bermegah-megahkan orang-orang asing harus dihapuskan kerana nama bandar Jesselton itu sendiri sebenarnya diberikan bagi memperingati seorang Naib Pengerusi Syarikat Borneo Utara British di Sabah, iaitu Sir Charles Jessel. Beliau berharap agar anak cucu dan keturunan yang akan datang berbangga dengan perjuangan serta kemajuan yang dilakukan oleh penduduk tempatan di masa lalu.

Di samping itu, Tun Mustapha turut mengesyorkan supaya setiap negeri di Malaysia menamakan jalan raya dengan nama negeri-negeri lain di Malaysia. Beliau juga mengesyorkan supaya sebatang jalan raya di ibu kota Kuala Lumpur diberi nama Jalan Kinabalu.

Usaha ini diharapkan dapat mengukuhkan lagi persefahaman dan dapat mengingatkan kembali serta mempelajari sejarah tempatan demi menghidupkan semangat kebangsaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jesselton_1911-800px
Sejarah

Penukaran Nama Jesselton Kepada Kota Kinabalu

30 September 1968 – Penukaran nama Jesselton kepada Kota Kinabalu telah dilakukan pada tahun 1968. Ia merupakan kesinambungan daripada cadangan Tun Mustapha bin Datu Harun pada tahun 1966 dalam satu Perhimpunan rakyat di Tambunan, Sabah.

Kota Kinabalu dinamakan sempena Gunung Kinabalu, yang terletak kira-kira 50 kilometer ke arah timur laut bandar yang menjadi mercu tanda negeri Sabah. Kinabalu berasal daripada nama Aki Nabalu. Aki pula bermaksud “datuk” dan Nabalu ialah nama untuk gunung dalam bahasa Dusun. Terdapat juga sumber yang mengatakan bahawa istilah ini berasal daripada Ki Nabalu iaitu Ki bermaksud “ada” atau “wujud”, dan Nabalu bermaksud “semangat orang mati”.

Kota ialah perkataan Melayu untuk “kubu”, “pekan”, atau “bandar”. Perkataan Kota juga digunakan secara tidak rasmi untuk merujuk kepada mana-mana pekan atau bandar. Nama Kota Kinabalu disyorkan supaya ia tidak tersilap dengan Gunung Kinabalu, iaitu gunung yang tertinggi di Asia Tenggara.

Kina Balu from Pinokok Valley 1862

Kina Balu from Pinokok Valley – 1862

Nama Asal Jesselton

Selain Jesselton, ada beberapa teori lain tentang nama asal Kota Kinabalu. Yang paling terkenal, seperti yang dinyatakan di atas, ialah Api-Api, atau hanya Api. Ia dinamakan seperti itu oleh penduduk tempatan, terutamanya kaum Bajau, sempena memperingati pembakaran pejabat pentadbiran British di Pulau Gaya oleh Mat Salleh, serta kejadian pembakaran lain yang biasanya dilakukan oleh lanun.

Terdapat dakwaan bahawa kawasan Kota Kinabalu sekarang sebenarnya dinamakan sempena sungai berdekatan yang dipanggil Sungai Api-Api. Selain Api-Api, satu lagi nama yang dikatakan ialah Deasoka, yang bermaksud “di bawah pokok kelapa”. Penduduk tempatan Bajau menggunakan nama ini bagi merujuk pada sebuah kampung di bahagian selatan bandar yang dipenuhi pokok kelapa.

Nama lain ialah Singgah Mata yang bermaksud “mata transit”, tetapi boleh juga diterjemahkan sebagai “menyenangkan mata”. Ia ialah nama yang diberikan oleh nelayan dari Pulau Gaya yang merujuk kepada kawasan yang hari ini merupakan pusat bandar Kota Kinabalu. Hari ini, semua nama ini digunakan sebagai nama jalan atau bangunan di sekitar bandar. Beberapa contohnya ialah Lintasan Deasoka, Api-Api Centre dan Jalan Singgah Mata.

Memorial Clock Tower Jesselton

Sejarah Awal Jesselton

Syarikat Borneo Utara British (SBUB) telah mengasaskan sebuah penempatan kecil di kawasan yang dikenali sebagai Teluk Gaya yang didiami oleh suku kaum Bajau. Petempatan pertama telah dibakar dan dimusnahkan oleh pejuang kebebasan Bajau, iaitu Mat Salleh pada tahun 1897.

Selepas kemusnahan Pulau Gaya, SBUB pada asalnya memutuskan untuk berpindah ke Teluk Gentisan pada tahun 1898. Apabila ia didapati tidak sesuai, Pesuruhjaya Tanah, Encik Henry Walker telah menggantikannya dengan sebuah tapak seluas 30 ekar dan SBUB telah berpindah ke sebuah perkampungan nelayan yang dinamakan Api-Api pada tahun 1899. Ia dipilih kerana terletak berhampiran dengan Perkhidmatan Kereta Api Borneo Utara dan merupakan pelabuhan semula jadi yang dilindungi daripada angin. Pusat pentadbiran yang baru ini dinamakan Jesselton selaras dengan nama Tuan Charles Jessel, yang merupakan Naib Pengerusi SBUB pada ketika itu.

Jesselton telah menjadi sebuah pos perdagangan utama Borneo Utara pada ketika itu dengan perdagangan getah, rotan, madu, dan lilin giat dijalankan. Keretapi baharu telah digunakan bagi mengangkut barang-barang ke pelabuhan Jesselton. Kebangkitan orang Melayu dan Bajau pada masa itu tidak begitu ketara dan SBUB juga bekerja keras untuk membanteras ancaman lanun yang telah lama berlaku di rantau ini.

Jesselton 1914

Jesselton 1914

Perang Dunia Kedua

Ketika Perang Dunia Kedua, British telah membakar bandar Jesselton untuk mengelakkannya jatuh ke tangan Jepun. Ketika pendudukan Tentera Jepun nama Jesselton telah ditukar kepada Api. Beberapa pemberontakan terhadap pentadbiran tentera Jepun berlaku ketika itu terutamanya pada 10 Oktober 1943 yang dilakukan oleh Gerila Kinabalu yang terdiri daripada penduduk tempatan. Ia dipatahkan oleh Tentera Jepun selepas pemimpinnya, Albert Kwok, ditangkap dan dihukum bunuh pada tahun 1944.

Bandar ini dimusnahkan sekali lagi oleh Tentera Bersekutu dibom siang dan malam selama lebih enam bulan sebagai sebahagian daripada Kempen Borneo pada tahun 1945. Kemusnahan teruk bandar Jesselton menyaksikan hanya tinggal tiga bangunan yang kekal berdiri pada masa tersebut. Perang di Borneo Utara berakhir dengan penyerahan diri Tentera Darat Jepun yang ke-37 oleh Leftenan Jeneral Baba Masao di Labuan pada 10 September 1945.

Jesselton Bomb Damage

Tamat Perang Dunia Kedua

Selepas perang tamat, SBUB kembali untuk mentadbir Jesselton tetapi tidak mampu untuk membiayai kos pembinaan semula yang sangat besar. Kawalan Borneo Utara diserahkan kepada Mahkota British (British Crown Colony) pada 15 Julai 1946. Kerajaan kolonial baharu telah dipilih bagi membina semula Jesselton sebagai pusat pemerintahan baharu selain daripada Sandakan yang juga telah dimusnahkan sewaktu perang.

Pada tempoh 1948-1955, sebuah Pelan Pembangunan Semula dan Pembangunan untuk Borneo Utara telah ditubuhkan oleh kerajaan British. Kerajaan British telah meluluskan dana sebanyak £ 6,051.939 – £ 2,232.882 bagi membina semula dan £ 3,819.057 bagi pembangunan baharu. Jalan raya telah dibina, pelabuhan dibersihkan dan lapangan terbang dibaiki. Pembangunan semula pekan dan sektor pertanian juga diberi tumpuan. Roy Edgardo Parry, Pengarah Pendidikan pertama, telah dilantik untuk menyediakan pelan lima tahun bagi pembangunan pendidikan.

KotaKinabalu_CityHall-800px

Apabila Borneo Utara bersatu dengan Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu bagi membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, negeri ini bertukar nama dan dikenali sebagai Sabah, dengan Jesselton kekal sebagai pusat pemerintahan utama. Penukaran nama Jesselton  kepada Kota Kinabalu telah dilakukan pada 30 September 1968 dan menerima status bandar raya daripada kerajaan Malaysia pada 2 Februari 2000.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard