upm_logo-800px
Sejarah

Penubuhan Universiti Pertanian Malaysia (UPM)

04 Oktober 1971 – Universiti Pertanian Malaysia (UPM) telah ditubuhkan pada tahun 1971. Penubuhan tersebut adalah berasaskan penggabungan Kolej Pertanian Malaya dan Fakulti Pertanian Malaya yang ketika itu di bawah kelolaan Universiti Malaya.

Tujuan penubuhannya adalah untuk memaju dan mengembangkan pelajaran tinggi dalam lapangan Pertanian, Perhutanan, Teknologi, Sains Kemasyarakatan, Bidang Kemanusiaan dan Pendidikan serta mengadakan penyelidikan untuk penyebaran pengetahuan. Kampus Universiti Pertanian Malaysia terletak di Serdang berhampiran dengan lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban dengan keluasan 3,000 ekar.

Universiti ini mempunyai 8 Fakulti seperti Fakulti Pertanian, Kejuruteraan Pertanian, Pengajian Pendidikan, Perhutanan, Perikanan dan Sains Samudera, Ekonomi Sumber dan Perniagaan Tani, Sains dan Pengajian Alam Sekitar serta Kedoktoran Veterinar dan Sains Penternakan beserta sebuah Pusat Pengembangan dan Pendidikan Lanjutan. UPM telah mengeluarkan graduan pertamanya pada Majlis Konvokesyen yang telah berlangsung pada 30 Julai 1977.

Berikutan dengan perkembangannya pada 3 April 1997, Universiti Pertanian telah diberi nama baru, iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir bin Mohammad.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
fama_logo-800px
Sejarah

Pelancaran Fama

30 September 1965 – Pada tahun 1965, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Dato Hussein, Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar melancarkan penubuhan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan atau FAMA (Federal Agricultural Marketing Authority) di Bilik Gerakan Pembangunan Negara, Kuala Lumpur.

Lembaga ini ditubuhkan di bawah kuatkuasa Undang-Undang Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965. FAMA ditubuhkan dengan tujuan untuk menyelia, menyelaras, mengawalselia dan memajukan pemasaran keluaran pertanian termasuk pengimportan dan pengeksportan.

Sesungguhnya, dengan pelancaran penubuhan FAMA pada hari ini dalam tahun 1965, telah dapat membantu melaksanakan pemasaran pertanian yang lebih berkesan dan sekaligus meningkatkan industri pertanian.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tun_abdul_razak_1968-800px
Sejarah

Tun Abdul Razak Dilantik Sebagai Perdana Menteri

22 September 1970 – YAB Tun Abdul Razak dilantik sebagai Perdana Menteri yang kedua bagi menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra yang bersara dari arena politik pada tahun 1970. Upacara pelantikan ini telah berlangsung di Istana Negara dalam satu majlis ringkas di hadapan DYMM Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Tunku Abdul Rahman Putra.

Semasa menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah memperkenalkan beberapa dasar, seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), iaitu satu strategi pembangunan ekonomi bagi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat Malaysia dari segi pengenalan kaum mengikut kegiatan ekonomi.

Bagi memupuk perpaduan rakyat, Tun Abdul Razak telah memesatkan lagi pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan dengan menambah bilangan sekolah dan institusi pengajian kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar serta menggubal Rukunegara.

Bagi memantapkan politik Malaysia, beliau telah mengembangkan gagasan dan gabungan Parti Perikatan melalui gabungan dan kerjasama dengan lebih banyak parti politik sehingga tertubuhnya Barisan Nasional pada 1 Januari 1973.

Di peringkat antarabangsa, beliau mengukuhkan lagi ASEAN dengan mengemukakan gagasan Rantau Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) dalam persidangan ASEAN di Kuala Lumpur pada tahun 1971.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tabung_haji_logo-800px
Sejarah

SPB Yang Di-Pertuan Agong Merasmikan Bangunan Ibu Pejabat Lembaga Urusan Dan Tabung Haji

19 September 1985 – DYMM Yang di-Pertuan Agong Sultan Iskandar merasmikan Bangunan Ibu Pejabat Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) di Jalan Tun Razak pada tahun 1985. Bangunan setinggi 38 tingkat ini berharga RM109.4 juta sebagai menggantikan bangunan lama LUTH di Jalan Ipoh yang kini menjadi Bangunan Cawangan LUTH Wilayah Persekutuan.

tabung haji

Bangunan Ibu Pejabat Tabung Haji adalah satu-satunya bangunan tinggi yang unik di bandar raya Kuala Lumpur kerana reka bentuknya yang melambangkan pendekatan revolusioner dan mengandungi falsafah yang berkaitan dengan kelima-lima rukun Islam. Ibu Pejabat Tabung Haji ini dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan moden seperti dewan serbaguna, kafeteria, pusat riadah, ruang pejabat dan ruang letak kereta bertingkat.

Selain menggunakan sendiri, pihak Tabung Haji juga menyewakan ruang pejabat di bangunan ini kepada pihak-pihak swasta sebanyak 75% ruang pejabat disewakan dengan mendapat hasil RM8.9 juta. Dengan perasmian Bangunan Ibu Pejabat Lembaga Urusan Dan Tabung Haji pada hari ini dalam tahun 1985 telah membuktikan kejayaan pengurusan pihak LUTH bagi meninggikan syiar dan meningkatkan penglibatan umat Islam dalam bidang ekonomi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Pelanggaran Kereta Api Dengan Gajah Di Teluk Anson
Sejarah

Pelanggaran Kereta Api Dengan Gajah Di Teluk Anson

17 September 1894 – Pada tahun 1894, satu pelanggaran kereta dengan gajah telah berlaku berhampiran Bandar Teluk Anson, Perak. Inilah satu-satunya pelanggaran dengan gajah yang pernah dialami oleh pihak Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Pelanggaran Kereta Api Dengan Gajah Di Teluk Anson

Kejadian yang tidak disangka-sangka ini berlaku pada sebelah petang semasa kereta api penumpang ini sedang dalam perjalanan dari Tapah Road menuju ke Teluk Anson. Walau bagaimanapun pelanggaran ini tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa. Hanya gerabaknya tergelincir dari landasan di tempat kejadian itu selama 2 minggu.

Pelanggaran Kereta Api Dengan Gajah Di Teluk Anson

Untuk memperingati kejadian yang bersejarah ini, satu papan tanda yang mencatatkan bagaimana peristiwa tersebut berlaku telah didirikan di tempat kemalangan itu. Tengkorak dan gading gajah yang dilanggar mati itu telah disimpan di Muzium Taiping. Bagi memudahkan orang ramai melihat tengkorak gajah itu, ia telah dipindah dan dipamerkan di Muzium Negara Kuala Lumpur.

Pelanggaran Kereta Api Dengan Gajah Di Teluk Anson

Peristiwa pelanggaran yang berlaku pada hari ini dalam tahun 1894 tidak melibatkan kemalangan nyawa tetapi ia telah menjejaskan pendapatan dan mengganggu perkhidmatan kereta api penumpang Tapah Road Teluk Anson. Malah ia juga boleh disifatkan sebagai faktor yang telah menjejaskan kemajuan perkembangan ekonomi KTM secara keseluruhannya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
sabah_hari_malaysia-800px
Sejarah

Pengisytiharan Penubuhan Malaysia

16 September 1963 – Pengisytiharan Penubuhan Malaysia telah diadakan oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, YTM Tunku Abdul Rahman Putra di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada tahun 1963. Gagasan penubuhan Malaysia telah dicetuskan oleh Tunku Abdul Rahman semasa berucap kepada Persatuan Wartawan Asing dalam persidangan Foreign Correspondent Association of Southeast Asia di Singapura pada 27 Mei 1961.

Penubuhan Malaysia dijadualkan pada 31 Ogos 1963 setelah perjanjian di antara wakil daripada Sarawak, Sabah, Singapura dan Malaya ditandatangani di London pada 9 Julai 1963. Namun begitu, tarikh ini terpaksa ditunda setelah mendapat tentangan daripada Filipina dan Indonesia.

hari malaysia

Pada 31 Julai 1963, persetujuan dicapai oleh Persekutuan Tanah Melayu, Filipina dan Indonesia bahawa Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, U-Thant atau wakil perlu meninjau sokongan daripada rakyat di negeri-negeri Borneo. Wakil Bangsa-Bangsa Bersatu selesai menjalankan tugas mereka pada 14 September 1963. Oleh itu, perisytiharan Malaysia tidak dapat dilaksanakan pada 31 Ogos 1963, sebaliknya diisytiharkan pada 16 September 1963 dan DYMM Yang di-Pertuan Agong telah menandatangani perisytiharan tersebut pada 29 Ogos 1963.

Pengisytiharan Penubuhan Malaysia pada hari ini dalam tahun 1963 bukan sahaja telah memerdekakan Singapura, Sabah dan Sarawak daripada British tetapi juga menunjukkan kelahiran sebuah negara baru di dunia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Northport_Malaysia-800px
Sejarah

Port Swettenham, Klang Dibuka

15 September 1901 – Pada tahun 1901, Port Swettenham Kelang telah dibuka dengan rasminya kepada lalu lintas. Ia merupakan salah satu daripada pelabuhan terpenting di Malaya selepas Singapura dan Pulau Pinang.

Sebelum pelabuhan ini dibuka, kebanyakan kapal-kapal yang berdagang antara negeri Selat dengan Selangor berlabuh di Klang melalui Sungai Kelang. Pada awal tahun 1890an akibat pertambahan dalam perdagangan import dan eksport, jeti-jeti di Klang ini telah tidak dapat menampungnya. Setelah beberapa cadangan dikemukakan, akhirnya Kuala Kelang telah dipilih untuk pembinaan pelabuhan, di kawasan pantai.

Northport

Pada mulanya pembinaan hanyalah meliputi dermaga-dermaga dan apabila landasan keretapi dibina dari Kuala Lumpur ke Kelang, pembinaan kemudiannya meliputi gudang-gudang, perhentian keretapi dan kemudahan-kemudahan lain.

Oleh kerana bertambahnya kemudahan-kemudahan ini, kod pembinaan yang pada awalnya dianggar sebanyak $422,188 telah meningkat sehingga $1,108,791 apabila siap dan ia telah diletakkan di bawah tanggungjawab dan pentadbiran Jabatan Kerja dan Lalu Lintas Keretapi.

Pelabuhan ini dinamakan Pelabuhan Swettenham mengambil nama Residen General bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-negeri Melayu iaitu Sir Frank Swettenham. Dengan pembinaan pelabuhan ini telah memudahkan lagi perdagangan bagi negeri-negeri Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
japanese_troop-800px
Sejarah

Pendudukan Jepun Di Tanah Melayu Tamat

13 September 1945 – Pada tahun 1945, satu upacara penyerahan kuasa oleh tentera Jepun kepada tentera British bagi menandakan tamatnya pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Upacara menandatangani surat – surat penyerahan kuasa tanpa syarat ini telah diadakan di Sekolah Victoria (Victoria Institution) Kuala Lumpur.

Pihak tentera Jepun telah diwakili oleh Panglima Besar Pasukan ke-29 tentera Jepun, Leftenan Jeneral Teizo Sishiguro, Ketua Turus Angkatan Tentera Major Jeneral Noaichi Kawahara dan Kolonel G-Oguri. Manakala Pihak tentera British pula diwakili oleh Pegawai Pemerintah Tentera British, Leftenan Jeneral Roberts berserta dua orang pegawai lain. Seramai 6,800 orang tentera Jepun telah melucutkan senjata mereka selaras dengan arahan Maharaja Jepun.

Penyerahan kuasa ini adalah ekoran daripada pengisytiharan tamat Perang Dunia Kedua dan tanda menyerah kalah tanpa syarat oleh Jepun pada bulan Ogos 1945 setelah kota Nagasaki dan Hiroshima dimusnahkan sama sekali oleh bom-bom atom pihak Berikat.

Sesungguhnya, pendudukan Jepun selama tiga setengah tahun di Tanah Melayu telah membangkitkan semangat nasionalisme dan anti kolonialisma yang telah membawa kepada kemerdekaan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajahan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
parlimen_pertama-800px
Sejarah

Sidang Pertama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu

11 September 1959 – Sidang Pertama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad, mengikut perkara (1) Fasa 55 Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1959. Persidangan ini telah diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur serta dihadiri oleh Ahli-ahli Parlimen yang berjaya terpilih dalam Pilihanraya Parlimen Persekutuan yang diadakan pada 19 Ogos 1959.

Dalam persidangan ini seramai 104 orang Ahli Parlimen telah mengangkat sumpah. Dalam persidangan itu, Dato’ Haji Mohammad Noah bin Omar telah dilantik menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dato’ Haji Abdul Rahman bin Mohd Yassin telah dilantik menjadi Yang di-Pertua Dewan Negara. Ahli-ahli Dewan Negara yang dipilih dan dilantik juga telah turut mengangkat sumpah dalam persidangan yang sama. Ekoran dari Perisytiharan itu pada 12 September 1959, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah merasmikan pembukaan Parlimen Persekutuan Tanah Melayu yang pertama.

Dengan pengisytiharan itu, maka dengan rasminya Parlimen Persekutuan Tanah Melayu telah wujud dan menjadi lambang demokrasi negara ini. Dengan terbentuknya Parlimen menurut Perlembagaan Persekutuan Bahagian 4 Fasa 44, Kuasa Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu adalah terserah kepada Parlimen yang mengandungi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Sesungguhnya kewujudan Parlimen Persekutuan ini maka negara ini telah sempurna menerima dasar berpegang kepada rukun demokrasi berparlimen.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
merdeka-800px
Sejarah

Pengisytiharaan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

31 Ogos 1957 – Pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang pertama telah dibuat oleh Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu tepat pada pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur.

Pengisytiharan itu telah diiringi dengan laungan ‘MERDEKA’ yang bergema dengan penuh bersemangat dan menandakan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat dan merdeka.

Upacara pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu sepenuhnya telah dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada pukul 9.30 pagi di hadapan Raja-Raja Melayu dan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel.

Di akhir pengisytiharan tersebut Tunku telah meneriakkan ‘MERDEKA’ sebanyak tujuh kali dan disambut dengan bergemuruh oleh rakyat yang hadir.

Serentak dengan itu, lambang perpaduan, keutuhan dan kedaulatan bangsa iaitu Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan dan diiringi oleh lagu kebangsaan ‘Negaraku’. Ini diikuti pula dengan seruan azan dan tembakan meriam seratus satu das.

Dengan pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Queen ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun.

Pada hari ini juga Pesuruhjaya Tinggi British terakhir di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray dan isterinya telah meninggalkan negara ini dan pulang ke England.

Pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada hari ini dalam tahun 1957 telah membuka satu lembaran baru Tanah Melayu mara ke hadapan mengambil tempat yang hak baginya sebagai anggota yang bebas dan merdeka dalam lingkungan negara-negara di dunia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

 

Standard