tunku_abdul_rahman_rtm-800px
Sejarah

Hari Keputeraan Tunku Abdul Rahman

08 Februari 1903 – Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dilahirkan di Istana Tiga Tingkat atau lebih dikenali sebagai Istana Pelamin, Alor Star. Tunku merupakan putera Ke-14 kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang Ke-26. Bonda Tunku, Cik Manjalara, adalah anak kepada Luang Naraborirak, seorang pegawai daerah Thailand.

Tunku mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Star. Beliau meneruskan pelajarannya di Sekolah Kerajaan Inggeris iaitu Kolej Sultan Abdul Hamid. Tunku kemudiannya dihantar ke Sekolah Debsirin, Bangkok. Tunku kembali ke tanahair pada 1915 dan menyambung pengajiannya di Penang Free School, Pulau Pinang.

Garis Masa Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

1903 – Dilahirkan pada 8 Februari di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin.

1909 – Belajar di sebuah sekolah rendah Melayu di Jalan Baharu, Alor Setar. Tunku kemudian berpindah ke Kolej Sultan Abdul Hamid.

1913 – Beliau dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, iaitu abang sulung Tunku Abdul Rahman. Tunku belajar di Sekolah Thebsirintrawat (Debsirindir School), Bangkok.

1915 – Pulang ke Kedah dan meneruskan pendidikannya Penang Free School.

1919 – Tunku menerima Biasiswa Negeri Kedah untuk melanjutkan pendidikannya di Kolej St Catharine di Universiti Cambridge dan merupakan penuntut pertama yang menerima pendidikan di United Kingdom dibawah tajaan Kerajaan Negeri Kedah.

1925 – Memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) dengan bantuan dan kerjasama dari sahabatnya Taib Andak.

1927 – Dihantar semula ke England untuk belajar undang-undang di Universiti Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusannya yang lalu.

1930 – Lulus semester pertama, jurusan undang-undang di Inner Temple.

1931 – Berkhidmat sebagai pegawai latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kedah dengan gaji sebanyak RM300.00 sebulan, dan kemudiannya sebagai Penolong Pegawai Jajahan di Kulim.

1932 – Berkhidmat sebagai Pegawai Jajahan di Kuala Nerang.

1933 – Berkahwin dengan Mariam, gadis kacukan Cina-Siam, anak tauke lombong Cina di Alor Setar. Akhir 1933, Mariam melahirkan anak perempuan dan dinamakan Tunku Khatijah ibni Tunku Abdul Rahman. Kemudian anak lelaki bernama Tunku Ahmad Nerang ibni Tunku Abdul Rahman.

1934 – Mariam meninggal dunia kerana penyakit malaria di Kuala Nerang, Kedah. Tunku berkahwin dengan kekasih lamanya Violet Coulson di Geylang Serai, Singapura.

1935 – Dipindahkan ke Pulau Langkawi oleh Penasihat British, Clayton. Selain itu, perkahwinan Tunku dengan Violet kurang direstui.

1937 – Bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani.Beliau juga bertindak sebagai hakim daerah Sungai Petani dan Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani.

1938 – Pergi ke England buat kali ke-3 untuk menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang. Antara temannya ialah Saadon Zubir. Tunku berbaik semula dengan isterinya yang telah diceraikan , Violet Coulson.

1939 – Kembali ke Kedah kerana ada berita perang akan meletus di Eropah. Berkahwin dengan Syarifah Rodziah binti Syed Barakbah. Syarifah Rodziah Syed Syeikh Barakbah ialah adik rakan sekuliahnya di England iaitu Syed Omar Barakbah. Perkahwinan ini tidak mendapat seorang anak pun.

1940 – Dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan Kedah.

1941Jepun menyerang Kota Bharu , Kelantan pada 8 Disember.

1947 – Berangkat semula ke England untuk menyambung pengajian di Inner Temple. Tunku bertemu dengan Abdul Razak Hussein. Beliau dipilih sebagai presiden Persatuan Pelajar Melayu Britain, manakala Abdul Razak, yang berumur 26 ketika itu, dipilih sebagai setiausaha.

1948 – Dipanggil ke bar di Inner Temple.

1949 – Pulang ke Tanah Melayu. Pada mulanya, beliau dihantar ke pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Star. Kemudian beliau memohon untuk bertukar ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, Tunku menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan kemudiannya, dilantik sebagai Presiden Mahkamah Sesi.

1946 –  Menyertai UMNO.

1951 – Menjadi Presiden UMNO pada Oktober sewaktu Datuk Onn Jaafar meletakkan jawatan. Menganjurkan Pertandingan Membaca Al-Quran peringkat negeri yang pertama di Kedah.

1954 – Mengetuai satu rombongan ke England untuk berbincang bagi menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu, tetapi kunjungan itu tidak berhasil.

1955Pilihan raya persekutuan yang pertama diadakan, dan Parti Perikatan(Barisan Nasional) memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Dengan majoriti ini, Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Ketua Menteri Tanah Melayu yang pertama. Satu lagi rombongan ke London diadakan.

1956 – England bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sebaik pulang dari England, Tunku mengisytiharkan berita gembira ini buat kali pertamanya pada 20 Februari di Bandar Hilir, Melaka.

1957 – Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Memperkenalkan kejohanan Pestabola Merdeka, yang merupakan pertandingan bolasepak antarabangsa.

1958 – Dilantik sebagai Presiden pertama Asian Football Confederation (AFC) (1958 – 1976).

1960 – Menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM), sebuah pertubuhan untuk membantu golongan mualaf dalam menyesuaikan hidup baru sebagai Muslim.

1961 – Memulakan penubuhan Association of Southeast Asia (ASA) yang menggabungkan Tanah Melayu, Thailand dan Filipina. Menjadi tuan rumah Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang pertama.

1963Membentuk Malaysia pada 16 September, apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (sekarang Sabah).

1967 – ASA dibubarkan untuk memberi laluan kepada persatuan yang lebih besar, iaitu Association of Southeast Asian Nations (ASEAN).

1969 – Membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan dilantik sebagai Setiausaha Agungnya yang pertama.

1971 – Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dan digantikan oleh timbalannya, Datuk Abdul Razak Hussein.

1982 – Menjadi Presiden Majlis Dakwah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) (1982 – 1988).

1990Mangkat pada 6 Disember, dan disemadikan di Makam Diraja Langgar di Alor Star.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
ariane-800px
Sejarah

Pelancaran Measat–2

14 November 1996 – Pada tahun 1996, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah menyaksikan Satelit Asia Timur Kedua (Measat-2) dilancarkan ke orbit dari Pusat Angkasa Lepas Eropah di Kourou, French Guiana pada pukul 6.40 pagi waktu Malaysia.

Ariane

Ariane

Pelancaran satelit ini adalah merupakan rentetan kejayaan melancarkan Satelit Asia Timur Pertama (Measat-1) yang turut dilancarkan di tapak pelancaran serupa. Satelit Measat-2 ini telah dibina oleh syarikat Hughes Space and Communications Inc.dari Amerika Syarikat. Semasa proses pelancaran satelit ini Measat-2 akan dihantar menggunakan roket pelancar Ariane 44L milik konsortium Eropah ‘Arianespace’ dan berada di kedudukan 36,000 kilometer dari atas garisan khatulistiwa di orbit 148 darjah timur.

Ariane42P_rocket

Ariane42P

Measat-2 yang dilancarkan ini menjalankan fungsi komunikasi dan penyiaran secara serentak meliputi ASEAN, Myanmar, Hong Kong, Kemboja, Laos, Guam, Korea Selatan, Selatan China, Hawaii dan Australia. Satelit ini akan berada dalam orbitnya mengelilingi bumi selama 11 tahun 6 bulan.

Hari ini kejayaan melancarkan satelit sendiri ke orbit bukan sahaja menjadikan negara ini mampu menikmati kemudahan komunikasi yang berkesan malah Malaysia turut dapat bergerak seiring dengan negara lain di dunia yang memiliki kemudahan satelit.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
asean_para_sport_federation-800px
Sejarah

Perasmian Sukan Para Asean Yang Pertama

26 Oktober 2001 – Pada hari ini dalam tahun 2001, Temasya sukan Para Asean yang pertama telah dibuka dengan rasminya oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Al-Wathiqu Billah Al-Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dalam suasana gilang gemilang di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Turut berangkat di majlis perasmian tersebut ialah Permaisuri Tuanku Nur Zahirah. Hadir sama ialah Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Fauzi Abdul Rahman serta Presiden Persekutuan Sukan Para Asean (APSF), Lt. Jeneral Pisarn Wattanawongkeeree.

asean_para_games

Temasya pertama kali diperkenalkan di peringkat Asia Tenggara ini, dilangsungkan selepas menyaksikan kejayaan Sukan SEA XXI Kuala Lumpur yang berjaya di adakan pada bulan September 2001. Obor kejohanan dibawa masuk oleh empat atlet yang terdiri daripada Ahmad Amil Usin, Mohd. Hisham Khairani, V. Jayan Subramaniam dan Ibrahim Majid.

Dalam temasya ini Kontinjen Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan Para ASEAN Pertama apabila berjaya memperolehi 143 pingat emas, 136 perak dan 92 gangsa secara. Kejohanan Sukan Para ASEAN, yang diadakan pada kali ini, berjaya meningkatkan mutu dan prestasi sukan orang-orang kurang upaya serta mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
rabuan_pit-800px
Sejarah

Malaysia Pemenang Pertama Piala Suharto

28 September 1980 – Pada tahun 1980, usaha gigih pelbagai pihak yang terlibat di dalam bidang olahraga Malaysia telah memenangi Piala Suharto yang diadakan buat pertama kali di Jakarta, Indonesia.

Piala Suharto ini telah disampaikan oleh Menteri Penyelaras Pertahanan dan Keselamatan Indonesia Jeneral Moradean Panggabean di Stadium Senayan, Jakarta.

Piala Suharto yang dimenangi oleh Malaysia dihadiahkan oleh Suharto, lengkap dengan tandatangannya di atas piala tersebut, ianya bersalut emas 22 karat bersimbolkan ASEAN.

Kejohanan Piala Suharto ini, yang pertama kali diadakan merupakan kejohanan olahraga di kalangan anggota-anggota ASEAN. Ianya tidak memberi pingat tetapi mereka diberi mata berdasarkan acara-acara yang dimenangi.

Antara atlet yang membawa kejayaan kepada Malaysia di kejohanan pada kali ini ialah Rabuan Pit dalam acara 200, 400 dan 4 x 100 meter, V. Angamah dalam acara 1500 meter dan M. Raju dalam acara 5000 meter.

Kejayaan itu pada hari ini dalam tahun 1980, membuktikan semangat kesukanan yang tinggi di kalangan atlit negara dan sentiasa berusaha untuk mencipta nama di peringkat ASEAN.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tun_abdul_razak_1968-800px
Sejarah

Tun Abdul Razak Dilantik Sebagai Perdana Menteri

22 September 1970 – YAB Tun Abdul Razak dilantik sebagai Perdana Menteri yang kedua bagi menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra yang bersara dari arena politik pada tahun 1970. Upacara pelantikan ini telah berlangsung di Istana Negara dalam satu majlis ringkas di hadapan DYMM Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Tunku Abdul Rahman Putra.

Semasa menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah memperkenalkan beberapa dasar, seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), iaitu satu strategi pembangunan ekonomi bagi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat Malaysia dari segi pengenalan kaum mengikut kegiatan ekonomi.

Bagi memupuk perpaduan rakyat, Tun Abdul Razak telah memesatkan lagi pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan dengan menambah bilangan sekolah dan institusi pengajian kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar serta menggubal Rukunegara.

Bagi memantapkan politik Malaysia, beliau telah mengembangkan gagasan dan gabungan Parti Perikatan melalui gabungan dan kerjasama dengan lebih banyak parti politik sehingga tertubuhnya Barisan Nasional pada 1 Januari 1973.

Di peringkat antarabangsa, beliau mengukuhkan lagi ASEAN dengan mengemukakan gagasan Rantau Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) dalam persidangan ASEAN di Kuala Lumpur pada tahun 1971.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard