Northport_Malaysia-800px

Port Swettenham, Klang Dibuka

15 September 1901 – Pada tahun 1901, Port Swettenham Kelang telah dibuka dengan rasminya kepada lalu lintas. Ia merupakan salah satu daripada pelabuhan terpenting di Malaya selepas Singapura dan Pulau Pinang.

Sebelum pelabuhan ini dibuka, kebanyakan kapal-kapal yang berdagang antara negeri Selat dengan Selangor berlabuh di Klang melalui Sungai Kelang. Pada awal tahun 1890an akibat pertambahan dalam perdagangan import dan eksport, jeti-jeti di Klang ini telah tidak dapat menampungnya. Setelah beberapa cadangan dikemukakan, akhirnya Kuala Kelang telah dipilih untuk pembinaan pelabuhan, di kawasan pantai.

Northport

Pada mulanya pembinaan hanyalah meliputi dermaga-dermaga dan apabila landasan keretapi dibina dari Kuala Lumpur ke Kelang, pembinaan kemudiannya meliputi gudang-gudang, perhentian keretapi dan kemudahan-kemudahan lain.

Oleh kerana bertambahnya kemudahan-kemudahan ini, kod pembinaan yang pada awalnya dianggar sebanyak $422,188 telah meningkat sehingga $1,108,791 apabila siap dan ia telah diletakkan di bawah tanggungjawab dan pentadbiran Jabatan Kerja dan Lalu Lintas Keretapi.

Pelabuhan ini dinamakan Pelabuhan Swettenham mengambil nama Residen General bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-negeri Melayu iaitu Sir Frank Swettenham. Dengan pembinaan pelabuhan ini telah memudahkan lagi perdagangan bagi negeri-negeri Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.