General_F_W_Messervy_receives_the_sword_of_General_Itagaki-800px
Sejarah

Permulaaan Pentadbiran Tentera British Di Tanah Melayu

12 September 1945 – Pada tahun 1945, Pentadbiran Tentera British telah memulakan Pentadbiran Tentera bagi menggantikan pemerintahan pendudukkan Jepun di Tanah Melayu dengan adanya Pentadbiran Tentera British ini, diharapkan penjajahan Inggeris di Tanah Melayu seperti sebelum pendudukan Jepun akan dapat diperluaskan. Mengikut sumber Inggeris, objektif utama Pentadbiran Tentera British di antaranya ialah untuk:

  • Mengembalikan keamanan dan undang-undang serta memupuk semangat dan kecekalan rakyat jelata.
  • Membentuk Mahkamah Jenayah secepat mungkin bagi membicarakan kes-kes jenayah.
  • Menyediakan bantuan bekalan hidup harian kepada orang-orang awam.
  • Memulihkan semula Tanah Melayu dengan secepat mungkin supaya sebuah kerajaan awam dapat diwujudkan.

Pentadbiran Tentera British adalah dibawah kuasa Pegawai Pemerintahan Angkatan Tentera di Tanah Melayu dengan arahan langsung dari Pemerintah Tertinggi Bersekutu, South East Asia Command. Di bawah Pentadbiran Tentera British ini juga Perkhidmatan Hal-Ehwal Awam atau Civil Affairs Service diwujudkan untuk menguruskan kebajikan orang-orang awam. Perkhidmatan Hal-Ehwal Awam ini di ketuai oleh Major General H.R.Hone dan dibantu oleh Brigadier H.C.William, Brigadier Newboult dan Brigadier Mc.Kerron.

Dalam menjalankan dasar-dasar pentadbirannya, British telah menghadapi pelbagai tentangan dan rintangan dari berbagai arah termasuk dari golongan Menengah Melayu dan aristokrat dan juga golongan Colonial Old Guard. Dengan itu pentadbiran Tentera British terpaksa memberi kompromi dalam usahanya untuk mengekalkan sokongan golongan-golongan tersebut di satu pihak dengan keperluan untuk memodenkan ekonomi kolonial di pihak yang lain. Akhirnya kompromi ini terjalin dalam bentuknya yang formal dengan terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
The_British_Army_in_Malaya-800px
Sejarah

Pengumuman Pengampunan Beramai-Ramai

08 September 1955 – Pada tahun 1955, Kerajaan telah mengumumkan Perisytiharan Pengampunan Beramai-ramai kepada pengganas-pengganas komunis di seluruh Persekutuan Tanah Melayu. Pengumuman ini telah dibuat oleh Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivary.

Risalah perisytiharan pengampunan beramai-ramai itu telah ditandatangani bersama oleh Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan Leftenan Jeneral Bourne, Pengarah Gerakan menentang pengganas-pengganas komunis di Tanah Melayu.

Jeneral Bourne dalam satu kenyataannya mendakwa, “bahawa tawaran pengampunan beramai-ramai ini adalah tawaran kerajaan Inggeris”. Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri dan pemimpin kerajaan Perikatan UMNO, MCA, MIC menafikan dakwaan Jeneral Bourne itu. Dalam satu sidang akhbar pada hari ini dalam tahun 1955 Tunku telah menjelaskan, “bahawa tawaran pengampunan beramai-ramai ini adalah daripada fikiran pihak Perikatan dan mengemukakan kepada kerajaan Inggeris apabila Parti Perikatan menang dalam pilihanraya bulan Julai 1955.”

Sebanyak 30 juta risalah mengenai pengampunan beramai-ramai telah diedarkan dan disebarkan di seluruh Persekutuan Tanah Melayu. Risalah-risalah itu mengandungi perutusan-perutusan dari Ketua Menteri, Tunku Abdul Rahman dan perisytiharan pengampunan beramai-ramai serta pasukan keselamatan untuk pengganas-pengganas yang ingin menyerah diri yang ditandatangani oleh Jeneral Bourne.

Risalah perutusan daripada Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu berhubung dengan pengampunan beramai-ramai itu menjelaskan beberapa perkara.

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu sekarang adalah sebuah kerajaan yang dibentuk dan dipilih oleh rakyat. Oleh itu adalah sia-sia bagi pihak pengganas komunis hendak menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Orang-orang yang menerima pengampunan beramai-ramai tidak akan didakwa bersabit sebarang kesalahan yang dilakukan selama ini berhubung dengan darurat. Kerajaan akan menolong mereka yang bertaubat daripada menjalankan gerakan komunis, dan orang-orang yang bertaubat akan dibenarkan bawa ke tempat masing-masing untuk hidup aman bahagia, seperti sediakala di samping keluarga.

Seseorang pengganas yang menerima pengampunan beramai-ramai dengan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan, dapat membuktikan dianya benar-benar jujur dan boleh menjadi rakyat Persekutuan Tanah Melayu yang taat setia boleh juga mendapatkan pekerjaan dalam angkatan tentera Kerajaan, dan sekiranya mereka berhajat untuk balik ke negeri asal mereka kerajaan akan memberi pertimbangan dan bantuan yang perlu.

Perisytiharan pengampunan beramai-ramai itu membuktikan hasrat Kerajaan Perikatan dengan penuh jujur dan ikhlas untuk membentuk sebuah negara Persekutuan Tanah Melayu ke arah mencapai kemerdekaan dan keamanan serta kemakmuran.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jata_johor-800px
Sejarah

Sultan Ibrahim Johor Diisytiharkan Menjadi Sultan

07 September 1895 – Pada tahun 1895, Tengku Mahkota Johor, Tengku Ibrahim diisytiharkan menjadi Sultan Johor menggantikan almarhum ayahanda baginda diistiadat pemakaman jenazah Sultan Abu Bakar di Istana Besar, Johor Bahru. Sempena perisytiharan ini satu istiadat pertabalan dan memahkotakan baginda sebagai Sultan Yang di-Pertuan Negeri Johor telah diadakan pada 2 November 1895. Ketika itu baginda baru sahaja berusia 22 tahun.

Sebelum ini baginda bergelar Tengku Mahkota Johor iaitu gelaran yang disandang sejak tahun 1891. Sebelum menjadi sultan, baginda pernah memasuki perkhidmatan Pasukan Askar Johor sebaik sahaja tamat persekolahan. Setelah menerima tauliah sebagai Leftenan Muda dalam pasukan tersebut baginda telah berkhidmat sebagai ‘edikong’ kepada ayahanda baginda almarhum Sultan Abu Bakar.

Johor-Ibrahim

Baginda merupakan seorang raja yang tegas dan mementingkan disiplin. Kakitangan di bawah kerajaan baginda sering diingatkan supaya tidak bertindak sesuka hati malah mereka dikehendaki menjalankan tugas dengan betul dan menepati waktu serta berpakaian lengkap dan kemas. Untuk itu lawatan-lawatan sering dilakukan oleh baginda sendiri bagi melihat keadaan ini.

Di awal pemerintahan baginda ini kebanyakkan negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu telah berada di bawah naungan British atau setidak-tidaknya telah menerima Penasihat Am British namun ketegasan dan kebijaksanaan baginda telah dapat menjamin negeri Johor daripada kawalan pengaruh Inggeris. Baginda bersikap merdeka dan tidak suka dikawal malah jarang mengikut nasihat daripada pejabat Jajahan di London apatah lagi nasihat-nasihat daripada pegawai-pegawai Inggeris di negeri-negeri Selat.

Pada awal tahun 1910 barulah baginda menerima Penasihat Am British atas sebab-sebab tertentu tetapi hanyalah bermakna memasuki lingkungan pentadbiran dan pengawalan Inggeris di peringkat boleh menasihati tetapi tidak dimestikan diikuti. Kehadiran pegawai British hanyalah menunjuk ajar kaedah pentadbiran cara moden sahaja.

Baginda telah melalui zaman pemerintahan yang lama iaitu sepanjang 64 tahun. Baginda sama-sama meniti sejarah kemasukan Inggeris bahana Perang Dunia Pertama dan Kedua, pemerintahan Jepun dan kehadiran semula Inggeris di Tanah Melayu. Malah baginda juga turut sama menandatangani Perjanjian Persekutuan yang membatalkan kewujudan ‘Malayan Union’ di Tanah Melayu.

Baginda seorang raja yang memandang tinggi nilai kemerdekaan negerinya dan mempercayai hubungan baik dengan negara luar terutama kerajaan Inggeris dapat membantu baginda mempertahankan maruah negerinya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
sungai_endau-800px
Sejarah

Perjanjian Mengenai Sempadan Pahang-Johor

01 September 1868 – Pada tahun 1868, satu perjanjian mengenai sempadan Pahang-Johor telah ditandatangani oleh Bendahara Wan Ahmad yang menjadi Raja Pahang dan Sultan Abu Bakar, Sultan Johor dan disaksikan oleh Sir Harry Ord, Gabenor Negeri-Negeri Selat. Pertikaian sempadan antara Pahang dan Johor berlarutan beberapa lama antara Bendahara Wan Ahmad dengan Sultan Abu Bakar, Johor.

Wan Ahmad juga berjaya menaiki tahta kerajaan Pahang setelah berjaya mengalahkan saudaranya Wan Mutahir telah mendakwa beberapa buah pulau di Laut China Selatan kepunyaan Pahang. Ini kerana pulau-pulau seperti Pulau Tioman, Pulau Tinggi, Pulau Aur dan lain-lain itu diserahkan oleh Wan Mutahir kepada Johor semasa pemerintahannya dan Bendahara Wan Ahmad yang menggantikan Wan Mutahir tidak mengiktirafnya. Wan Ahmad tetap menuntut pulau-pulau itu hak Pahang.

sungai endau

Sungai Endau / Sempadan Pahang – Johor

Pertikaian ini hampir mencetuskan peperangan tetapi Inggeris di Singapura telah campurtangan sebagai orang tengah. Bagaimanapun usaha Gabenor Cavanagh tidak berjaya membawa kedua-dua pihak ke meja perundingan.

Pada bulan Oktober 1863 Bendahara Wan Ahmad mengutus surat kepada Gabenor Inggeris di Singapura menjemputnya datang ke Pahang untuk menyaksikan sendiri keadaan di Pahang. Hasil dari laporan Gabenor Inggeris di Singapura tentang persetujuan Orang Besar Empat Pahang mengakui Wan Ahmad sebagai Raja, Kerajaan Inggeris kemudiannya mengiktiraf Pahang. Pengiktirafan ini meredakan sedikit pertikaian Johor-Pahang tetapi masih lagi tidak mencapai keputusan muktamad. Walaupun mengiktiraf kerajaan Pahang tetapi Gabenor Inggeris di Singapura juga tidak mengakui tuntutan Pahang ke atas pulau-pulau tersebut.

Dalam tahun 1867 Johor bersetuju mengadakan perundingan. Dalam tahun 1868 Sir Harry Ord yang menjadi Gabenor baru Negeri-Negeri Selat berjaya memujuk Pahang mengadakan perundingan. Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1868, satu perjanjian ditandatangani antara Johor dan Pahang yang telah menyelesaikan masalah sempadan di mana Sungai Endau menjadi sempadan darat dan bahagian tengah Kuala Sungai Endau menjadi sempadan laut kedua-dua negeri.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
dewan_bahasa-800px
Sejarah

Perisytiharan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Rasmi Negara

01 September 1967 – Pada tahun 1967, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Negara yang tunggal bagi Persekutuan Malaysia. Perisytiharan ini adalah ekoran daripada tindakan Parlimen yang telah meluluskan Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan dalam sidangnya yang berlangsung pada bulan Mac 1967.

Dalam warkah perisytiharan melalui titah Diraja yang disiarkan melalui radio dan televisyen, baginda mensifatkan pendaulatan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi yang tunggal merupakan permulaan suatu zaman baru dalam sejarah kemerdekaan negara ini. Baginda telah menyeru seluruh rakyat supaya mengguna dan memajukan bahasa Melayu dengan bersungguh-sungguh sebagai bahasa rasmi negara ini.

Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pula dalam satu kenyataannya telah menegaskan bahawa pendaulatan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi menjadikan kemerdekaan Malaysia lengkap apabila penggunaannya sudah dapat diterima sepenuhnya oleh rakyat.

Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tercatat dengan jelas sebagai Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan telah dimuatkan dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan sebagai bahasa rasmi dan pengantar yang tunggal di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi melalui Penyata Razak 1956 dan disokong kuat oleh Penyata Rahman Talib 1960.

Usaha-usaha untuk mendaulatkan dan memperluaskan penggunaan Bahasa Kebangsaan ini telah dijalankan dengan lebih giat dan serius melalui minggu dan bulan Bahasa Kebangsaan perjuangan politik bahasa, serta menambahkan buku-buku ilmu pengetahuan dalam Bahasa Melayu. Usaha-usaha mendaulatkan Bahasa Kebangsaan ini telah menghadapi berbagai kesulitan yang lahir dari soal-soal politik bahasa itu, soal sikap dan penerimaan rakyat terhadap masalah bahasa itu sendiri dan juga sikap tidak tegas pegawai-pegawai, guru-guru dan kakitangan-kakitangan kerajaan dalam menggunakan bahasa itu.

Bagaimanapun hasil dari sikap dan pendirian tegas Kerajaan dalam soal ini, pada hari ini dalam tahun 1967 DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi yang tunggal bagi Persekutuan Malaysia.

Berikutan dari pengisytiharan baginda itu, pada hari yang sama, Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan surat Pekeliling Am No. 12 Tahun 1967 yang mengarahkan bahawa daripada tarikh itu, Bahasa Kebangsaan iaitu bahasa Melayu sahaja hendaklah digunakan untuk maksud-maksud rasmi dalam pentadbiran sehari-hari yang dijalankan oleh kementerian-kementerian, Jabatan-Jabatan Kerajaan, Kerajaan-kerajaan Negeri, Kerajaan-kerajaan tempatan dan Badan-badan berkanun di Negeri-negeri Tanah Melayu kecuali di Parlimen, Dewan-dewan Negeri dan Mahkamah di mana bahasa Inggeris boleh digunakan setakat masa yang telah diperuntukan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Jikalau Bahasa Kebangsaan tidak dapat digunakan sepenuhnya Surat Pekeliling itu membolehkan penggunaan bahasa Inggeris mengikut yang diperuntukkan dalam Sek. 4 Akta tersebut.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
merdeka-800px
Sejarah

Pengisytiharaan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

31 Ogos 1957 – Pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang pertama telah dibuat oleh Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu tepat pada pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur.

Pengisytiharan itu telah diiringi dengan laungan ‘MERDEKA’ yang bergema dengan penuh bersemangat dan menandakan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat dan merdeka.

Upacara pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu sepenuhnya telah dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada pukul 9.30 pagi di hadapan Raja-Raja Melayu dan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel.

Di akhir pengisytiharan tersebut Tunku telah meneriakkan ‘MERDEKA’ sebanyak tujuh kali dan disambut dengan bergemuruh oleh rakyat yang hadir.

Serentak dengan itu, lambang perpaduan, keutuhan dan kedaulatan bangsa iaitu Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan dan diiringi oleh lagu kebangsaan ‘Negaraku’. Ini diikuti pula dengan seruan azan dan tembakan meriam seratus satu das.

Dengan pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Queen ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun.

Pada hari ini juga Pesuruhjaya Tinggi British terakhir di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray dan isterinya telah meninggalkan negara ini dan pulang ke England.

Pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada hari ini dalam tahun 1957 telah membuka satu lembaran baru Tanah Melayu mara ke hadapan mengambil tempat yang hak baginya sebagai anggota yang bebas dan merdeka dalam lingkungan negara-negara di dunia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

 

Standard
union_jack_diturunkan-800px
Sejarah

Bendera Union Jack Diturunkan Di Melaka

30 Ogos 1957 – Pada tahun 1957, bendera Union Jack diturunkan di Padang Bandar Hilir, Melaka. Upacara penurunan bendera dilakukan tepat pada pukul 6.30 petang, iaitu lebih awal dari tempoh berakhirnya pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu yang sepatutnya bermula pada tengah malam.

Upacara penurunan bendera Union Jack itu berlangsung dalam suasana hening, disaksikan oleh Residen Commisioner Inggeris di Melaka, Encik H. G. Hammett, bersama-sama dengan beribu-ribu rakyat jelata.

Penurunan bendera telah dilakukan oleh dua orang anak kapal dari kapal perang H. M. S. Saint Brides Bay, kemudiannya diserahkan kepada Residen Commissioner Inggeris, Encik Hammett.

union jack diturunkan

Union Jack diturunkan

Penyerahan bendera Union Jack kepada En. Hammett itu melambangkan berakhirnya penjajahan Inggeris di Tanah Melayu.

Pada malamnya pula, pekikan “merdeka” dilaungkan dari Padang Kelab Selangor di Kuala Lumpur, iaitu tempat berlangsungnya acara kemuncak, bagi menurunkan bendera Inggeris yang merupakan lambang kedaulatan Baginda Queen.

Turunnya ‘Union Jack’ pada hari ini dalam tahun 1957, bermakna kibaran bendera itu tidak lagi menaungi negeri Melaka serta Tanah Melayu keseluruhannya.

Maka Tanah Melayu adalah sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta lepas bebas dari belenggu penjajah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
sultan_ahmad_and_frederic_duberly_1902-800px
Sejarah

Campur Tangan Inggeris Di Pahang

24 Ogos 1888 – Pada tahun 1888, Sultan Pahang, Sultan Ahmad di dalam keadaan serba salah telah terpaksa menandatangani sepucuk surat meminta Inggeris memberi perlindungan ke atas Negeri Pahang seperti mana Inggeris memberi perlindungan ke atas Negeri Perak, Selangor dan Sungai Ujong.

Akibat dari surat ini bermulalah campur tangan Inggeris di Pahang dan John P. Rodger telah dilantik menjadi Residen Inggeris di negeri Pahang.

Kekayaan hasil bumi Pahang telah menarik minat penjajah Inggeris, tetapi telah beberapa kali gagal dalam usahanya untuk menakluki negeri itu.

Pada tahun 1885 Frank Swettenham telah diutuskan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat untuk mengadakan perjanjian dengan Sultan Ahmad, tetapi gagal.

Pada tahun 1887 Hugh Clifford pula telah diutuskan untuk mengikat Perjanjian Pertahanan tetapi telah juga ditolak oleh Sultan Ahmad.

Akhirnya Sir Frederick Weld, Gabenor Negeri-Negeri Selat sendiri telah pergi ke Pahang mengadap Sultan Ahmad dan telah mendesak baginda menandatangani perjanjian dengan Inggeris.

Sultan Ahmad yang telah dipengaruhi oleh Sultan Johor, Sultan Abu Bakar, akhirnya terpaksa menandatangani perjanjian menerima seorang wakil Inggeris di negeri Pahang.

Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah

Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah

Inggeris masih belum puas hati terhadap penglibatannya dalam negeri Pahang.

Pada bulan Februari 1888 telah berlaku satu peristiwa yang tidak disangka-sangka berhampiran dengan istana di Pekan iaitu pembunuhan ke atas Goh Hui, seorang berbangsa Cina.

Pihak Inggeris telah memberikan perhatian yang sungguh serius terhadap peristiwa ini dan mendakwa bahawa mangsa pembunuhan itu adalah seorang rakyat Inggeris, dan telah menuntut ganti rugi dan mendakwa Sultan Ahmad bertanggungjawab di atas pembunuhannya.

Inggeris juga telah meminta supaya wakil Inggeris di Pahang dinaikkan tarafnya sebagai Residen untuk menjaga dan menjamin keselamatan rakyat Inggeris di Pahang.

Tuntutan-tuntutan ini dibuat sendiri oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, Cecil Smith yang datang bersama-sama dengan Frank Swettenham dan Pickering ke Pahang pada bulan Jun 1888.

Sultan Ahmad telah diberi tempoh oleh Cecil Smith selama 10 hari untuk memberi kata putus.

Dalam masa yang sama Inggeris telah meminta jasa baik Sultan Johor, Sultan Abu Bakar, supaya campur tangan di atas perselisihan ini.

Sultan Abu Bakar sendiri telah berangkat ke Negeri Pahang mengadap Sultan Ahmad. Sultan Abu Bakar menasihatkan Sultan Ahmad supaya menerima Residen Inggeris dan memberitahu bahawa untuk berperang dengan Inggeris adalah merupakan pekerjaan yang sia-sia saja.

Sultan Ahmad sebagaimana kebiasaannya terlebih dahulu terpaksa mendapatkan pandangan dari pembesar-pembesar baginda sebelum membuat keputusan.

Pembesar-pembesar Pahang seperti Datuk Bahaman, Maharaja Perba Jelai, Datuk Kaya Chenor, Imam Perang Indera Gajah telah meminta Sultan menolak permintaan Inggeris dan mereka bersedia berperang dengan Inggeris.

Akhirnya, dalam keadaan yang serba salah pada hari ini dalam tahun 1888 Sultan Ahmad terpaksa menandatangani sepucuk surat menerima perlindungan dan bantuan Inggeris di dalam urusan pentadbiran dan menjalankan sistem yang sama ke atas negeri Pahang seperti mana yang telah dijalankan ke atas negeri-negeri Melayu yang lain iaitu Negeri Perak, Selangor dan Sungai Ujong.

Sultan Ahmad juga telah mengakui bertanggungjawab ke atas pembunuhan Goh Hui. Dengan surat ini bermakna negeri Pahang terpaksa menerima seorang Residen Inggeris.

Pada bulan Oktober, 1888, John Pickersgill Rodger telah dilantik menjadi Residen Inggeris yang pertama di negeri Pahang dan bermulalah campur tangan Inggeris di Pahang secara langsung di dalam hal-hal pentadbiran, politik dan ekonomi negeri Pahang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Royal_Standard_of_the_Sultan_of_Selangor-800px
Sejarah

Perjanjian Perdagangan Inggeris-Selangor 1818

22 Ogos 1818 – Pada tahun 1818, Walter Sewell Crocroft selaku agen kepada Gabenor Inggeris di Pulau Pinang, John Alexander Bannerman dan bagi pihak Syarikat Hindia Timur Inggeris telah membuat Perjanjian Perdagangan Inggeris-Selangor dengan Sultan Ibrahim Shah, Raja Selangor ketika itu.

perjanjian selangor 1818

Perjanjian Selangor 1818

Perjanjian Perdagangan Inggeris-Selangor ini mengandungi lapan perkara yang bermaksud:

  1. Bahawa keamanan dan persahabatan yang sedia wujud di antara Syarikat Hindia Timur Inggeris dengan Raja Selangor akan dikekalkan.
  2. Kapal-kapal dan barang-barang dagangan kepunyaan rakyat British atau orang-orang di bawah perlindungan Syarikat Hindia Timur Inggeris akan sentiasa menikmati segala kemudahan dan keistimewaan di pangkalan-pengkalan dan jajahan takluk Raja Selangor.
  3. Kapal-kapal dan barang-barang dagangan kepunyaan rakyat Raja Selangor akan menerima peruntukan dan keistimewaan yang sama di pelabuhan Cornwallis dan mana-mana tempat di bawah jajahan Pulau Pinang.
  4. Raja Selangor bersetuju tidak akan memperbaharui sebarang perjanjian dengan lain-lain negara, badan-badan awam, atau orang-orang persendirian di mana ianya akan mengancam perdagangan rakyat British. Rakyat British juga tidak akan dikenakan cukai yang lain daripada apa yang dikenakan ke atas rakyat lain-lain negeri.
  5. Raja Selangor bersetuju tidak akan memberikan hak-hak monopoli perdagangan di Selangor kepada lain-lain bangsa asing, dan hendaklah membenarkan rakyat British berdagang di Selangor seperti mana bangsa-bangsa lain.
  6. Syarikat Hindia Timur Inggeris bersetuju tidak akan membuat apa-apa perjanjian atau persetujuan di mana ianya akan mengancam perdagangan rakyat Raja Selangor atau memberikan hak monopoli perdagangan kepada lain-lain bangsa tetapi akan membenarkan rakyat Selangor berdagang di Pulau Pinang.
  7. Rakyat Selangor atau Rakyat British tidak dibenarkan dijual sebagai hamba di Selangor ataupun di Pulau Pinang.
  8. Perjanjian ini adalah bertujuan memupuk perdamaian dan persahabatan di antara Selangor dengan Pulau Pinang dan untuk menjamin kebebasan perdagangan dan pelayaran di antara rakyat kedua belah pihak bagi kepentingan mereka bersama.

Perjanjian perdagangan Inggeris-Selangor ini adalah hasil daripada persahabatan baik di antara Sultan Ibrahim iaitu Raja Selangor dengan orang-orang Inggeris di Pulau Pinang.

Pihak Syarikat Hindia Timur Inggeris di Pulau Pinang telah menghantar Waiter Sewell Crocroft pergi mengadap dan mempengaruhi Sultan Ibrahim.

Pengarah Inggeris telah dapat menarik perhatian baginda terhadap orang-orang Inggeris, hingga Crocroft bagi pihak Syarikat Hindia Timur Inggeris di Pulau Pinang dapat membuat perjanjian dengan Baginda pada hari ini dalam tahun 1818.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tin_mining-1-800px
Sejarah

Perbalahan Pelombong-Pelombong Bijih Timah Sungai Ujong

21 Ogos 1860 – Pada tahun 1860 telah berlaku perbalahan di antara pelombong-pelombong tempatan iaitu Dato Kelana Sending Sungai Ujong, pembesar-pembesar Rembau dan Sri Menanti.

Perbalahan pelombong-pelombong bijih timah yang akhirnya mengakibatkan pergaduhan antara dua pihak itu adalah berpunca dari tindakan pembesar-pembesar tempatan mengenakan cukai tambahan sebanyak 4,000 ringgit kepada pelombong-pelombong itu yang dahulunya hanya dikenakan cukai 1 ringgit satu kepala di samping bayaran tol yang tetap dan cukai ke atas bijih.

Kemarahan pelombong-pelombong itu tidak dapat dibendung dan tanpa mengendahkan nasihat Penghulu Rembau dan Dato Kelana Sending. Mereka telah mula mengancam ketenteraman orang-orang tempatan.

Akibatnya pada hari ini dalam tahun 1860 kedua belah pihak telah bertempur dan mengakibatkan kematian salah seorang ketua kumpulan pelombong-pelombong itu ialah Kapitan Sheng Meng Li.

Setelah mengalami kekalahan yang teruk pelombong-pelombong itu telah melarikan diri ke negeri-negeri jiran dan meminta perlindungan dan campur tangan British. Mereka menuntut ganti rugi akibat peristiwa itu.

Walaupun tidak ada usaha dibuat untuk mendapatkan ganti rugi itu tetapi pihak berkuasa British di Melaka telah cuba memujuk agar Dato Kelana Sending melepaskan kuasanya ke atas Sungai Linggi.

Menyedari yang kekuasaannya tidak begitu kuat, Dato Kelana Sending telah menyatakan hasratnya untuk membuat perjanjian perniagaan dengan pihak Kerajaan British di mana pihak British dikehendaki mengawal Sungai Linggi dan dibenarkan mengenakan cukai 10% kepada semua bijih yang dibawa dari lombong-lombong di Sungai Ujong.

Kerajaan Negeri-Negeri Selat bukan sahaja telah bersetuju dengan cadangan perjanjian itu malah telah mencadangkan pula supaya seorang Penolong Residen ditempatkan di Linggi bagi menyelesaikan masalah perniagaan di antara pedagang-pedagang British dengan pedagang-pedagang bumiputera dan juga untuk membina sebuah balai polis di Simpang.

Bagaimanapun semua hasrat dan cadangan itu tidak menjadi kenyataan. Namun, pada akhir tahun 1860 seramai 5,000 orang pelombong telah kembali ke Sungai Ujong dan mula bekerja semula di lombong-lombong yang ditinggalkan itu.

Peristiwa seperti ini merupakan salah satu faktor-faktor penting mengenai campur tangan Inggeris di Sungai Ujong dalam tahun 1874.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard