Penyata Razak Diluluskan

07 Mac 1957 – Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan Tanah Melayu telah sebulat suara meluluskan Penyata Razak pada 07 Mac 1957. Cadangan yang dikemukakan oleh Penyata Razak ini diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran 1957.

Penyata ini adalah hasil daripada kajian Jawatankuasa Pelajaran yang dibentuk dalam bulan September 1955 yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Abdul Razak bin Dato’ Hussein, Menteri Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu. Jawatankuasa ini ditugaskan untuk mengkaji dan menilai sistem pelajaran yang sedia ada dan mengemukakan syor-syor yang sesuai bagi mewujudkan satu dasar pelajaran yang boleh diterima oleh semua pihak.

Tun_Razak_color

Di antara Cadangan Penyata Razak

  • Semua sekolah di tanah air mempunyai sukatan yang sama
  • Bahasa Melayu dijadikan bahasa Kebangsaan dan menjadi bahasa pengantar utama.
  • Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris diwajibkan bagi semua sekolah rendah dan sekolah menengah.
  • Bagi sekolah jenis kebangsaan, bahasa Inggeris, Cina dan Tamil menjadi bahasa pengantar.
  • Sekolah-sekolah rendah ditukar kepada sekolah kebangsaan dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.
  • Penubuhan satu jenis sekolah sahaja yang terbuka kepada semua kaum.
  • Guru-guru sekolah rendah dan menengah adalah berkelayakan.
  • Sistem pendidikan sekolah menengah adalah Sekolah Menengah Rendah (SMR), Sekolah
    Menengah Atas (SMA) dan Pra Universiti.
  • Semua guru diletakkan di bawah satu perkhidmatan profesional dan Jemaah Nazir Persekutuan ditubuhkan.

Objektif Penyata Razak adalah untuk melahirkan sekolah-sekolah yang ‘bercorak Tanah Melayu’ dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa penghantar utama tanpa merosakkan kebudayaan dan bahasa-bahasa lain.

Semangat dasar pelajaran inilah yang menjadi asas mewujudkan generasi muda yang sihat dan berpelajaran sebagai sumber tenaga untuk membangunkan negara. Ini merupakan usaha awal kerajaan bagi menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan membentuk identiti kebangsaan menjelang kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen