rtm_2_bw-800px
Sejarah

Perasmian Saluran Dua Dan Bangunan Televisyen Malaysia

17 November 1969 – Dalam tahun 1969, Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra telah merasmikan saluran kedua dan Bangunan Televisyen Malaysia, Angkasapuri. Bangunan yang terletak di atas kawasan seluas 33 ekar ini telah dibina dengan kos sebanyak RM14.5 juta.

Ketika berucap pada majlis perasmian tersebut, Tunku Abdul Rahman memberi jaminan bahawa Bahasa Malaysia akan digunakan secara luas dalam rancangan-rancangan televisyen. Beliau juga menyatakan harapan agar dengan adanya saluran kedua ini, Televisyen Malaysia akan dapat memajukan program-program yang boleh membangkitkan perasaan nasional, bersemangat dan muhibbah di antara penduduk Malaysia.

rtm

Menteri Penerangan dan penyiaran, Encik Hamzah bin Dato’ Abu Samah pula menegaskan bahawa Projek Sebaran Am iaitu radio dan televisyen yang telah menelan perbelanjaan kerajaan yang paling tinggi ini sebenarnya memberi faedah yang besar kepada negara. Beliau juga menyatakan bahawa saluran kedua akan membuat lebih banyak siaran bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh kerajaan serta langkah-langkah sedang diambil untuk meluaskan siaran televisyen Malaysia ke kawasan-kawasan yang masih belum menikmati siaran televisyen dengan seberapa segera.

Televisyen Malaysia memikul tanggungjawab yang besar dalam usaha kerajaan mewujudkan perpaduan negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
scorpene_Tunku_Abdul_Rahman-800px
Sejarah

Kapal Selam Pertama Negara Secara Rasmi Dinamakan Kd Tunku Abdul Rahman

23 Oktober 2007 – Pada tahun 2007 Kapal selam pertama negara, Scorpene secara rasmi dinamakan Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman bagi mengenang jasa Perdana Menteri Malaysia pertama yang juga Bapa Kemerdekaan. Nama Tunku Abdul Rahman dipilih daripada sebanyak 801 cadangan nama daripada lebih 3,000 rakyat Malaysia yang menyertai pertandingan menamakan kapal selam tersebut sebelum ini.

Scorpene_Tunku_Abdul_Rahman

Scorpene Tunku Abdul Rahman

Penamaan kapal selam buatan Perancis dan Sepanyol itu disempurnakan oleh isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam satu majlis di Limbungan DCN Shipyard International (DCNS) di Cherbourg, Perancis dengan melepaskan botol kristal mengandungi air Yasin pada kapal selam tersebut. Turut menyaksikan acara bersejarah itu ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Scorpene_Tun_Razak

Scorpene Tun Razak

Kehadiran kapal selam itu merupakan era baru kepada Malaysia bukan sahaja dalam konteks untuk mempertahankan kedaulatan negara malah menjamin keselamatan serantau terutama di perairan Selat Melaka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
sabah_hari_malaysia-800px
Sejarah

Parlimen Membahaskan Cadangan Menubuhkan Gagasan Malaysia

16 Oktober 1961 – Pada tahun 1961, YTM Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra telah membentangkan satu usul bagi menubuhkan gagasan Malaysia. Usul itu berbunyi:
“Bahawa Dewan ini bersetuju pada prinsipnya dengan Konsep Malaysia itu mengandungi sebelas negeri Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak merestui usaha kerajaan untuk menjayakan gagasan tersebut di mana Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra akan memberitahu sebarang kemajuan kepada Dewan ini”.

Sebelum ia dibahaskan, Dewan telah menolak satu pindaan yang dikemukakan oleh Presiden PAS, Dr. Burhanuddin Al-Helmi, supaya Malaysia itu meliputi Republik Indonesia dan Filipina selain dari Tanah Melayu, Singapura dan tiga buah negeri di Borneo. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Hj. Mohd.

Noah Omar telah menolak pindaan tersebut berdasarkan Peraturan Tetap Dewan yang menurut beliau tidak kena pada tempatnya kerana usul Perdana Menteri itu hanya meminta Dewan memperkenankan pelaksanaan Persekutuan Melayu Raya. Ahmad Boestamam dari Barisan Sosialis pula berpendapat bahawa Malaysia anjuran Tunku itu bukanlah Melayu Raya. Bagaimanapun beliau menyokong kalau Malaysia itu sebagai peringkat awal untuk menubuhkan Melayu Raya atau Malaysia Raya.

Sewaktu membentangkan usul itu Perdana Menteri menegaskan bahawa dengan perpaduan dan keazaman, kita mungkin berjaya untuk mencapai matlamat menciptakan gabungan yang lebih besar iaitu Malaysia. Konsep asas gagasan itu merangkumi kesebelas negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu serta Brunei, Sabah dan Sarawak yang disatukan dalam satu Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan yang baru ini akan berasaskan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Sedikit perubahan akan dibuat untuk mengadakan peraturan-peraturan bagi masa peralihan kerana kepentingan ketiga-tiga Wilayah Kalimantan dan Singapura.

Dalam ucapannya semasa membentangkan usul itu Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman, menegaskan bahawa semua negeri dalam Malaysia akan menikmati taraf yang sama. Di bawah konsep Malaysia ini tidak ada negeri yang akan menjadi tanah jajahan, bahkan tidak akan ada negeri yang dipanggil Persekutuan Tanah Melayu kerana tempatnya digantikan oleh sebuah negara yang bergabung akan mempunyai taraf yang sama dan mengekalkan kuasa-kuasa tempatan seperti yang akan dipersetujui oleh negeri-negeri itu.

Usul ini telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 18 Oktober 1966. Ucapan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman itu telah menjadi kenyataan pada 16 September 1963 apabila gagasan ini diisytiharkan dengan rasminya dalam bentuk yang dikenali sebagai Persekutuan Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tudm_Cope_Taufan_2014-800px
Sejarah

Perasmian Empat Buah Pesawat Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia

13 Oktober 1967 – Selepas mencapai kemerdekaan, 31 Ogos 1957, Kerajaan Malaya menumpukan perhatian dalam dua aspek yang penting iaitu pembangunan dan keselamatan negara. Bagi keselamatan negara pasukan angkatan tentera telah ditubuhkan.

Di antara ketiga-tiga cabang angkatan tentera, tentera udara merupakan yang paling lewat ditubuhkan, setelah ditubuhkan pasukan ini telah membeli pelbagai peralatan terutamanya pesawat bagi memenuhi keperluan pasukan ini. Pada 1967, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra telah merasmikan nama empat buah pesawat Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia iaitu:

  • Sebuah pesawat jenis Cessna bernama Tirok
  • Tiga buah pesawat jenis De Havilland yang diberi nama Merbok, Punai dan Terkukur.

cessna 310f tirok

havilland

Upacara ini telah diadakan di pangkalan Angkatan Tentera Udara di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Turut hadir pada majlis ini ialah Menteri Pertahanan Tun Abdul Razak Hussein, Panglima Angkatan Tentera Udara Diraja Malaya Group, Kapten J.N. Stancey. Pasukan Tentera Udara ini yang diwujudkan, menjadi sangat penting dalam keadaan negara baru mencapai merdeka serta ancaman komunis yang masih lagi ada, pesawat yang ada akan dapat membantu pihak tentera mempercepatkan operasi menghapus kegiatan komunis di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
merdeka_stadium
Sejarah

Kerja-Kerja Pembinaan Stadium Merdeka Dimulakan

25 September 1956 – Kerja-kerja pembinaan Stadium Merdeka telah dimulakan pada tahun 1956. Pembinaan stadium ini dilakukan atas desakan Persatuan Bola Sepak Selangor dan Persatuan Bola Sepak Malaya selepas Perang Dunia Kedua kerana stadium yang terdapat di Jalan Ampang tidak dapat digunakan lagi.

Pada 15 September 1955, Jawatankuasa Perancangan Pembinaan Stadium diwujudkan bagi mengkaji pelan dan kos pembinaannya. Sebanyak 160 pelan cadangan dikemukakan kepada kerajaan dengan kos pembinaan dianggarkan berjumlah $ 2.3 juta. Tetuan K.C Boon Co. Ltd dan Tetuan Lim Quee and Sons telah dilantik sebagai kontraktor utama serta pengendaliannya dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya Tanah Melayu.

Stadium Merdeka

Pada 15 Februari 1957, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah meletakkan batu asas stadium ini. Pembinaan stadium ini dipercepatkan bagi membolehkan acara sambutan kemerdekaan Tanah Melayu dapat dilakukan pada 31 Ogos 1957.

Pada 21 Ogos 1957, pembinaan Stadium Merdeka selesai dilakukan dan pengendaliannya diserahkan kepada Lembaga Penguasa (Board of Control). Stadium Merdeka telah dibuka kepada orang ramai buat pertama kalinya pada 24 hingga 29 Ogos 1957.

Upacara perasmian stadium ini telah disempurnakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman pada 30 Ogos 1957. Pembinaan Stadium Merdeka pada hari ini dalam tahun 1957 menjadi lambang kemegahan negara kerana ia bukan sahaja menjadi lokasi bagi acara-acara sukan tetapi juga menjadi lokasi bagi acara-acara penting negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
pengkalan_tun_uda-800px
Sejarah

Pembukaan Pengkalan Feri Pulau Pinang Dan Butterworth

23 September 1959 – Pembukaan Pengkalan Feri Pulau Pinang dan Butterworth telah dirasmikan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tahun 1959. Sempena perasmiannya nama pengkalan tersebut telah diberi dengan nama Pengkalan Raja Tun Uda di Pulau Pinang dan Pengkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth. Kedua-dua pengkalan tersebut memulakan perkhidmatannya pada 1 Oktober 1959.

Dalam ucapan perasmiannya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memaklumkan bahawa beliau menamakan pengkalan baru Pulau Pinang dengan nama Raja Tun Uda, iaitu Gabenor Pulau Pinang yang pertama. Nama itu dipilih adalah sebagai memberi penghargaan dan penghormatan terhadap jasa yang telah dicurahkan sepanjang beliau menjalankan tugas sebagai Gabenor Pulau Pinang.

Manakala pengkalan baru di Butterworth dinamakan Pengkalan Sultan Abdul Halim adalah sempena mengambil nama Baginda Sultan Kedah Darul Aman, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badli Shah.

Dari segi sejarah, Pulau Pinang dan Seberang Perai pada asalnya, sebelum dirampas oleh penjajah Inggeris adalah hak dan jajahan Negeri Kedah dan dengan itu adalah kena pada haknya dinamakan pengkalan itu kepada nama Baginda Sultan.

Sesungguhnya dengan pembukaan dua buah pengkalan tersebut pada hari ini dalam tahun 1959, diharapkan dapat meningkatkan lagi ekonomi dan perdagangan kedua-dua pengkalan tersebut di samping memberi kemudahan-kemudahan yang lebih baik dan sempurna kepada rakyat setempat khasnya dan negara amnya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tun_abdul_razak_1968-800px
Sejarah

Tun Abdul Razak Dilantik Sebagai Perdana Menteri

22 September 1970 – YAB Tun Abdul Razak dilantik sebagai Perdana Menteri yang kedua bagi menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra yang bersara dari arena politik pada tahun 1970. Upacara pelantikan ini telah berlangsung di Istana Negara dalam satu majlis ringkas di hadapan DYMM Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Tunku Abdul Rahman Putra.

Semasa menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah memperkenalkan beberapa dasar, seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), iaitu satu strategi pembangunan ekonomi bagi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat Malaysia dari segi pengenalan kaum mengikut kegiatan ekonomi.

Bagi memupuk perpaduan rakyat, Tun Abdul Razak telah memesatkan lagi pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan dengan menambah bilangan sekolah dan institusi pengajian kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar serta menggubal Rukunegara.

Bagi memantapkan politik Malaysia, beliau telah mengembangkan gagasan dan gabungan Parti Perikatan melalui gabungan dan kerjasama dengan lebih banyak parti politik sehingga tertubuhnya Barisan Nasional pada 1 Januari 1973.

Di peringkat antarabangsa, beliau mengukuhkan lagi ASEAN dengan mengemukakan gagasan Rantau Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) dalam persidangan ASEAN di Kuala Lumpur pada tahun 1971.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
misc_logo-800px
Sejarah

Perjanjian Hutang Darah Pendudukan Tentera Jepun Ditandatangani

21 September 1967 – Pada tahun 1967, Malaysia dan Jepun telah menandatangani Perjanjian Bayaran Muhibah bagi melunaskan Hutang Darah Pendudukan Tentera Jepun di Tanah Melayu (1941-1945). Upacara itu telah diadakan di Jabatan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri, YTM Tunku Abdul Rahman Putera dan Tuan T. Kojima, Duta Jepun di Malaysia.

Perjanjian ini adalah hasil dari perbincangan awal di antara YTM Tengku Perdana Menteri dengan Perdana Menteri Jepun, Tuan Eiko Sato iaitu dalam rangka kerjasama ekonomi yang diadakan di Tokyo pada bulan Mei tahun 1967. Mengikut perjanjian yang ditandatangani itu Kerajaan Jepun akan menghadiahkan Malaysia dua buah kapal.

YTM Tunku Abdul Rahman menganggap perjanjian ini adalah penting dalam usaha untuk menubuhkan syarikat perkapalan sendiri. Beliau menegaskan bahawa sudah sampai masanya Malaysia perlu mempunyai sebuah syarikat perkapalannya sendiri. Tunku menyatakan kerajaan akan membukakan saham kepada para hartawan di Malaysia untuk membolehkan pembelian kapal-kapal laut yang lebih banyak lagi. Segala bantuan yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Jepun dalam perjanjian ini akan dikuatkuasakan mulai dari hari ini dalam tahun 1967 dan hendaklah diselesaikan dalam tempoh tiga tahun.

Duta Jepun ke Malaysia, Tuan T. Kojima dalam ucapannya setelah selesai menandatangani perjanjian itu berharap bahawa kapal yang diberikan oleh kerajaan Jepun itu akan dapat membantu Malaysia dalam menubuhkan Syarikat Perkapalan Kebangsaannya sendiri.

Bermula dari perjanjian ini dan diikuti dengan usaha-usaha yang gigih Malaysia kini telah berjaya mendirikan sebuah syarikat perkapalan kebangsaannya sendiri yang dikenali sebagai Malaysia International Shipping Corporation Berhad atau ringkasnya MISC yang bergerak sebagai sebuah syarikat swasta.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
sabah_hari_malaysia-800px
Sejarah

Pengisytiharan Penubuhan Malaysia

16 September 1963 – Pengisytiharan Penubuhan Malaysia telah diadakan oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, YTM Tunku Abdul Rahman Putra di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada tahun 1963. Gagasan penubuhan Malaysia telah dicetuskan oleh Tunku Abdul Rahman semasa berucap kepada Persatuan Wartawan Asing dalam persidangan Foreign Correspondent Association of Southeast Asia di Singapura pada 27 Mei 1961.

Penubuhan Malaysia dijadualkan pada 31 Ogos 1963 setelah perjanjian di antara wakil daripada Sarawak, Sabah, Singapura dan Malaya ditandatangani di London pada 9 Julai 1963. Namun begitu, tarikh ini terpaksa ditunda setelah mendapat tentangan daripada Filipina dan Indonesia.

hari malaysia

Pada 31 Julai 1963, persetujuan dicapai oleh Persekutuan Tanah Melayu, Filipina dan Indonesia bahawa Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, U-Thant atau wakil perlu meninjau sokongan daripada rakyat di negeri-negeri Borneo. Wakil Bangsa-Bangsa Bersatu selesai menjalankan tugas mereka pada 14 September 1963. Oleh itu, perisytiharan Malaysia tidak dapat dilaksanakan pada 31 Ogos 1963, sebaliknya diisytiharkan pada 16 September 1963 dan DYMM Yang di-Pertuan Agong telah menandatangani perisytiharan tersebut pada 29 Ogos 1963.

Pengisytiharan Penubuhan Malaysia pada hari ini dalam tahun 1963 bukan sahaja telah memerdekakan Singapura, Sabah dan Sarawak daripada British tetapi juga menunjukkan kelahiran sebuah negara baru di dunia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard