Sejarah

Perjanjian Pangkor Ditandatangani

20 Januari 1874 – Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 20 Januari 1874 antara Gabenor Negeri-Negeri Selat Sir Andrew Clarke di pihak Inggeris dan Raja Muda Abdullah yang berkuasa di Hilir Perak bersama-sama dengan pembesar-pembesar yang menyokong baginda iaitu Bendahara, Temenggung, Orang Kaya Menteri, Shahbandar, Raja Mahkota, Laksamana dan Dato’ Sagor.

Perjanjian ini memberi kebenaran untuk Inggeris mencampuri urusan negeri Perak dan membuka peluang kepada Inggeris untuk campur tangan secara rasmi dalam urusan negeri Melayu. Perjanjian ini telah ditandatangani di atas kapal HMS Pluto yang berlabuh di Selat Dinding, iaitu di kawasan perairan di antara Lumut dan Pulau Pangkor.

Kronologi Perjanjian Pangkor

Semasa kemangkatan Sultan Ali pada tahun 1871, Raja Abdullah, sebagai Raja Muda, sepatutnya dilantik sebagai sultan baru akan tetapi disebabkan baginda tidak menghadiri upacara pengebumian, Raja Bendahara Raja Ismail telah dilantik pada 28 Jun 1871. Raja Bendahara Ismail diangkat dan ditabalkan kerana mengikut istiadat pertabalan Raja-raja Melayu, baginda ialah sultan yang sah oleh kerana baginda memiliki alat-alat kebesaran diraja. Baginda berkuasa dan mempunyai pengikut yang ramai di Hulu Perak.

Pada masa yang sama, berlaku permusuhan dua kongsi gelap Cina, Ghee Hin yang dipimpin oleh Chin Ah Yam dan Hai San yang dipimpin oleh Chung Keng Quee untuk merebut lombong bijih timah.

Raja Abdullah yang ingin menuntut tahta kerajaan Perak telah meminta pertolongan Inggeris untuk menyelesaikan dua masalah tersebut. Pada 30 Disember 1873 Raja Abdullah telah menghantar sepucuk surat kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Andrew Clarke meminta Inggeris menyiasat Hal Ehwal Perak. Surat yang ditandatangani oleh baginda itu juga meminta Gabenor memulihkan keamanan negeri Perak dan membenarkan Perak berlindung di bawah naungan Inggeris.

Dengan kedatangan rombongan Inggeris ke Pulau Pangkor, satu perundingan telah diadakan di Pulau Pangkor yang kemudian termeterainya perjanjian di antara Raja Abdullah dan para Pembesar Perak dengan Inggeris yang kemudian dikenali dengan Perjanjian Pangkor pada 1874 yang memanfaatkan persengketaan di antara Pembesar-pembesar Melayu serta Kongsi Gelap Cina.

Sultan Abdullah Muhammad Shah

Sultan Abdullah Muhammad Shah

Syarat Perjanjian Pangkor

Syarat penuh Perjanjian Pangkor ialah :

  1. Raja Muda Abdulah diiktiraf sebagai Sultan Perak.
  2. Raja Bendahara Ismail, yang sekarang ini menjadi Pemangku Sultan, dibenar mengekalkan gelaran Sultan Muda dengan diberi pencen dan sebuah wilayah kecil diserahkan hak kepadanya.
  3. Segala perlantikan pegawai besar lain yang dibuat pada masa Raja Bendahara Ismail menerima alat kebesaran diraja hendaklah disahkan.
  4. Kuasa yang diberikan kepada Orang Kaya Menteri ke atas Larut oleh Al-Marhum Sultan hendaklah disahkan.
  5. Semua hasil negeri hendaklah dikutip dan semua perlantikan hendaklah dibuat atas nama Sultan.
  6. Sultan menerima dan menyediakan sebuah kediaman yang sesuai untuk seorang pegawai British yang dinamakan Residen. Pegawai ini akan ditauliahkan ke istana Sultan, dan nasihatnya mestilah diminta dan diambil tindakan atas semua persoalan selain yang menyentuh agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.
  7. Seorang Penolong Residen, iaitu seorang Pegawai British yang bertindak di bawah Residen Perak, dengan kuasa yang serupa dan tertakluk hanya kepada Residen tersebut hendaklah ditempatkan di istana Gabenor Larut.
  8. Pembiayaan untuk Residen-Residen ini dan Perjawatan mereka hendaklah ditentukan oleh Kerajaan Negeri-Negeri Selat dan menjadi tanggungjawab pertama daripada hasil Negeri Perak.
  9. Peruntukan diraja yang mengawal selia pendapatan yang akan diterima oleh Sultan, Bendahara, Menteri, dan Pegawai lain hendaklah menjadi tanggungan seterusnya daripada hasil tersebut.
  10. Pemungutan dan pengawalan segala hasil dan pentadbiran am negeri dikawal selia di bawah nasihat Residen-residen ini.
  11. Persetiaan di mana Pulau Dinding dan pulau-pulau Pangkor telah diserahkan kepada Great Britain telah tersalah faham, dan dengan yang demikian, maka perlulah diselaraskan semula supaya dapat dikuatkuasakan tujuan sebenar para penggubal Persetiaan itu, dan dengan ini maka diisytiharkan bahawa sempadan wilayah yang diserahkan itu hendaklah diperbetulkan seperti berikut: Dari Bukit Segari, seperti yang tertera dalam Lembaran Carta No. 1 Selat Melaka, yang salinannya dilampirkan, dengan bertanda A, merentas lurus hingga kelaut, kemudiannya di sepanjang [antai laut ke selatan, ke Pulau Katta di sebelah Barat, dan dari Pulau Katta merentang ketimur laut kira-kira sepanjang lima batu, dan kemudiannya ke utara, iaitu ke Bukit Segari.
  12. Bahawa legih selatan Sungai Krian, iaitu bahagian kawasan yang salirannya masuk ke sungai itu dari selatan diisytiharkan sebagai Wilayah British, sebagai membetulkan Sempadan Province Wellesley (Seberang Perai). Sempadan itu hendaklah ditandakan oleh Pesuruhjaya, seorang yang dinamakan oleh Kerajaan Negeri-Negeri Selat, dan seorang lagi dinamakan oleh Sultan Perak.
  13. Bahawa apabila keadaan kacau-bilau sekarang ini sudah terhenti di Negeri Perak dan keamanan dan ketenteraman telah kembali pulih dalam kalangan puak-puak yang berbalah di Negeri itu, maka langkah-langkah segara di bawah kawalan dan seliaan seorang atau lebih daripada seorang Pegawai British hendaklah dilaksanakan bagi memulihkan sejauh mana yang boleh dilakukan kerja-kerja perlombongan dan pemilikan alat jentera, dll., seperti keadaan sebelum berlaku kacau-bilau, serta bagi menguruskan pembayaran pampasan kerana kerosakan, dan keputusan pegawai atau pegawai-pegawai itu dalam hal sedemikian adalah muktamad.
  14. Menteri Larut berjanji mengaku sebagai hutangnya kepada Kerajaan Negeri-Negeri Selat untuk segala caj dan perbelanjaan yang ditanggung atas penyiasatan ini, dan juga atas caj dan perbelanjaan yang ditanggung oleh Tanah Jajahan Negeri-Negeri Selat dan Great Britain dalam usaha mereka bagi mewujudkan ketenteraan di Negeri Perak dan keselamatan perdagangan.
sir_andrew_clarke

Sir Andrew Clarke

Kesan Perjanjian Pangkor

Dengan persetujuan Sultan Abdullah, Gabenor Sir Andrew Clarke menurunkan Sultan Ismail yang berkuasa di Hulu Perak dan bersemayam di Tanjong Belanja, Parit, daripada pangkat sultan tetapi membenarkan Sultan Ismail memakai gelaran “Sultan Muda” dengan memberi pencen 1,000 ringgit tiap-tiap bulan. Che Ngah Ibrahim tidak lagi diakui sebagai pemerintah Larut.

Melalui perjanjian ini juga walaupun Sultan masih berkuasa ke atas negeri Baginda, kuasa itu dibatasi oleh pihak lain iaitu pegawai-pegawai British dimana Baginda terikat untuk mematuhinya. Tegasnya, sultan tidak lagi merupakan pemerintah yang mutlak dalam pentadbiran dan pemerintahan negeri, melainkan yang berkaitan dengan agama dan adat orang-orang Melayu.

j.w.w. birch

J.W.W. Birch

Campur tangan Residen Inggeris telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan orang Melayu, khasnya golongan istana yang berasa kuasa mereka telah hilang. Kesannya, orang Melayu Perak mula bertindak. Mereka telah berpakat membunuh J.W.W. Birch yang menjadi menjadi Residen Inggeris yang pertama di Perak. Pembunuhan tersebut dilakukan pada tahun 1875 di Pasir Salak. Kejadian ini telah mengakibatnya beberapa siri peperangan antara Melayu Perak dan Inggeris hingga tahun 1876.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Haji Abdullah Fahim Meninggal Dunia

28 April 1961 – Seorang ulama dan pemimpin besar tanahair Tuan Haji Abdullah Fahim bin Syeikh Ibrahim yang juga merupakan datuk kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1961. Allahyarham yang dilahirkan pada tahun 1880 di Mekah merupakan tokoh ulama yang tidak dapat disangkal ketinggian ilmunya.

Tuan_Haji_Abdullah_Fahim

Haji Abdullah Fahim telah banyak memberi jasa dan sumbangan kepada perkembangan Islam dan politik di Seberang Perai, Pulau Pinang. Pada tahun 1932 sehingga 1948, beliau pernah menjadi Pengetua di Madrasah Idrisiah yang terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak. Beliau juga menjadi Mufti Pulau Pinang yang pertama iaitu pada tahun 1951 hingga 1956. Dalam sejarah kemerdekaan negara, Haji Abdullah Fahim merupakan ulama yang telah menentukan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Tunku Abdul Rahman beranggapan bahawa beliau perlu berjumpa dengan Haji Abdullah Fahim yang pada pendapatnya mempunyai firasat dan kasyaf agar tarikh yang baik dapat dipilih bagi kemerdekaan Tanah Melayu. Di samping itu beliau juga telah mengambil bahagian yang cergas dalam perjuangan untuk memerdekakan Malaya. Tuan Haji Abdullah Fahim telah mencadangkan 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan selepas membuat pengiraan hisab berdasarkan takwim Hijrah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Jabatan_Telekom_Malaysia-800px
Sejarah

Jabatan Telekom Ditubuhkan

01 April 1946 – Pada tahun 1946, Jabatan Telekom ditubuhkan untuk memberikan perkhidmatan telefon dan telegraf yang lebih sempurna bagi keperluan di dalam dan ke luar negeri. Sebelum ini perkhidmatan telekom yang merangkumi perkhidmatan telegraf, telefon dan radio bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Selat adalah dibawah tanggungjawab Jabatan Pos dan Telegraf.

Kemajuan dan perkembangan perkhidmatan telekom telah bermula sebelum perang dunia kedua lagi di bawah pentadbiran seorang Pengarah Telekom. Sementara perkhidmatan pos dan telekom yang diletakkan di sebuah pejabat yang sama adalah dibawah tanggungjawab Ketua Pengarah Pos dan Telegraf. Selepas Perang Dunia Kedua, Perkhidmatan Pos dan Telekom telah diasingkan.

Telefon Lama - Sumber : Muzium Telekom

Telefon Lama – Sumber : Muzium Telekom

Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1946, Jabatan Telekom telah ditubuhkan dengan diketuai oleh seorang Ketua Pengarah. Jabatan ini telah dikemaskinikan untuk menyelaraskan perancangan dan projek. Disamping itu jabatan ini bertanggungjawab membekalkan alat-alat serta bahan kepada bahagian pentadbiran kewangan yang mempunyai fungsi-fungsi pengurusan kepada Jabatan Telekom Singapura.

Walaupun Singapura mempunyai Jabatan Telekom yang tersendiri selepas Perang Dunia Kedua, kerjasama antara Jabatan Telekom Persekutuan dengan Jabatan Telekom Singapura wujud dalam bentuk perlaksanaan polisi jabatan dan pentadbiran. Manakala ibu pejabat teknikal di Kuala Lumpur adalah dibiayai bersama oleh kedua belah pihak.

Perkhidmatan Telekom di Persekutuan Tanah Melayu dibahagikan kepada beberapa kawasan iaitu:

  • Kawasan Utara meliputi Pulau Pinang, Province Wellesley (Seberang Perai) dan Kedah
  • Kawasan Barat Daya meliputi negeri Perak dan Cameron Highlands
  • Kawasan Barat meliputi negeri Selangor dan Negeri Sembilan kecuali kawasan Tampin
  • Kawasan Timur meliputi negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu
  • Kawasan selatan yang meliputi negeri Johor, Melaka dan Tampin

Kawasan-kawasan ini kemudiannya dibahagikan kepada beberapa daerah yang ditadbirkan oleh Penolong Penguasa Telekom yang bertanggungjawab kepada Penguasa Telekom di kawasan-kawasan tersebut. Apabila sistem ahli dibentuk pada bulan April 1951 di Persekutuan Tanah Melayu, Jabatan Telekom telah diletakkan di bawah portfolio ahli bagi Tanah, Galian dan Pengangkutan.

Selepas tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Jabatan ini adalah bertanggungjawab kepada Kementerian Kerja raya, Pos dan Telekom dan pada masa kini Jabatan Telekom adalah di bawah Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
seberang_perai-800px
Sejarah

Perjanjian Sempadan Province Wellesley-Negeri Kedah

2 November 1831 – Pada tahun 1831, satu perjanjian yang menentukan sempadan Province Wellesley-Negeri Kedah ditandatangani di antara Robert Ibetson, Residen bagi Singapura, Pulau Pinang dan Melaka, dengan Pemerintah Ligor, Si Thammarat sebagai wakil Raja Siam.

Perjanjian itu menggariskan bahawa sempadan yang dipersetujui ialah bermula dari Sematol di tebing selatan Sungai Kuala Muda berhampiran dengan sebatang jalan yang menghala ke Sungai Perai hingga ke pertengahan Sungai Perai menuju ke Kuala hingga ke hulu Sungai Sintok.

Seberang Perai

Dari situ ia menuju ke arah timur hingga ke Bukit Mertajam, kemudian dari Bukit Mertajam melalui banjaran Bukit Berator hingga ke sebelah tebing utara Sungai Krian iaitu jarak lima orang di sebalik dan di sebelah timur Bukit Tunggal. Adalah juga dipersetujui supaya didirikan tiang-tiang sempadan daripada batu di tiga sempadan, iaitu di sempadan Sematul, di Sempadan Sungai Perai dan di Sempadan Sungai Krian.

Perjanjian ini adalah untuk mengesahkan dan melaksanakan kandungan Artikel 3 Perjanjian yang dibuat di antara Kerajaan British dengan Raja Siam Somdeth Phra Phuthi Chow Yu Hua. Dengan perjanjian ini, Siam yang dianggap oleh Inggeris sebagai penguasa ke atas kedah mengakui bahawa Province Wellesley adalah sebagai wilayah British dan tempat-tempat yang digariskan tadi sebagai sempadan-sempadannya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
pengkalan_tun_uda-800px
Sejarah

Pembukaan Pengkalan Feri Pulau Pinang Dan Butterworth

23 September 1959 – Pembukaan Pengkalan Feri Pulau Pinang dan Butterworth telah dirasmikan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tahun 1959. Sempena perasmiannya nama pengkalan tersebut telah diberi dengan nama Pengkalan Raja Tun Uda di Pulau Pinang dan Pengkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth. Kedua-dua pengkalan tersebut memulakan perkhidmatannya pada 1 Oktober 1959.

Dalam ucapan perasmiannya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memaklumkan bahawa beliau menamakan pengkalan baru Pulau Pinang dengan nama Raja Tun Uda, iaitu Gabenor Pulau Pinang yang pertama. Nama itu dipilih adalah sebagai memberi penghargaan dan penghormatan terhadap jasa yang telah dicurahkan sepanjang beliau menjalankan tugas sebagai Gabenor Pulau Pinang.

Manakala pengkalan baru di Butterworth dinamakan Pengkalan Sultan Abdul Halim adalah sempena mengambil nama Baginda Sultan Kedah Darul Aman, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badli Shah.

Dari segi sejarah, Pulau Pinang dan Seberang Perai pada asalnya, sebelum dirampas oleh penjajah Inggeris adalah hak dan jajahan Negeri Kedah dan dengan itu adalah kena pada haknya dinamakan pengkalan itu kepada nama Baginda Sultan.

Sesungguhnya dengan pembukaan dua buah pengkalan tersebut pada hari ini dalam tahun 1959, diharapkan dapat meningkatkan lagi ekonomi dan perdagangan kedua-dua pengkalan tersebut di samping memberi kemudahan-kemudahan yang lebih baik dan sempurna kepada rakyat setempat khasnya dan negara amnya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
HMS_Midge-800px
Sejarah

Serangan Ke Atas Kapal Midge British Di Larut, Perak

16 September 1873 – Pada tahun 1873, sebuah kapal British Midge telah diserang oleh sekumpulan lanun di perairan Larut, Perak. Dalam serangan tersebut dua orang askar British telah mendapat cedera parah.

Kekacauan di Larut ini berpunca dari pergaduhan puak-puak Hai San dan Ghee Hin yang bukan sahaja di Larut tetapi juga telah merebak ke jajahan Inggeris di Seberang Perai dan Pulau Pinang. Kekacauan oleh orang-orang China ini menyebabkan Inggeris telah campurtangan.

Kolonel Anson pernah mengusahakan mesyuarat di Pulau Pinang di antara puak-puak yang bertentangan di Larut itu. Walau bagaimanapun kekacauan masih juga berterusan. Oleh sebab itu Inggeris telah menghantar kapal Midge ke perairan Larut dan kemudiannya mudik ke Sungai Larut untuk membenteras lanun-lanun China yang sentiasa mengganggu pedagang-pedagang yang menggunakan jalan air tersebut. Dalam masa inilah kapal Midge telah diserang oleh lanun-lanun yang berkubu di tebing Sungai Larut.

HMS Thalia

HMS Thalia

Inggeris kemudiannya menghantar kapal Thalia pada 20 September 1873. Kapal Midge dan Thalia kemudiannya bergabung menyerang kubu-kubu lanun China di Larut dan memusnahkan kubu-kubu di tebing Sungai Larut serta merampas 2 tongkang China di situ. Kira-kira 3000 penduduk di Pekan Larut yang kebanyakkannya terdiri dari orang-orang China telah menyerah diri kepada Inggeris.

Dengan serangan lanun-lanun China ke atas kapal Midge pada hari ini dalam tahun 1873 telah menyebabkan campur tangan Inggeris secara serius di Larut dengan menyerang dan memusnahkan kubu-kubu lanun China di sana serta memaksa mereka berdamai dengan Inggeris.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
malaya_police-800px
Sejarah

Amaran Peras Ugut Komunis

27 Ogos 1952 – Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Gerald Templer telah mengeluarkan rayuan pertama kepada seluruh penduduk negeri ini supaya bersama-sama menghancurkan taktik peras ugut komunis.

Kenyataan Sir Gerald Templer itu disebarkan ke seluruh negara dalam semua bahasa. Ia dikeluarkan ekoran dari peristiwa pembunuhan seorang penduduk kampung Permatang Tinggi, Seberang Perai.

Peristiwa tersebut adalah dipercayai dari angkara pengganas komunis. Bagaimanapun tidak seorang pun daripada kalangan penduduk kampung mahu memberitahu polis hal sebenar.

Sir_gerald_templer

Sir Gerald Templer

Pengganas komunis biasanya mengancam penduduk kampung yang tidak berdosa dan membunuh mereka jika mereka tidak membantu komunis.

Apabila mereka telah benar-benar terperangkap dan terlibat, pengganas tersebut menakut-menakutkan pula penduduk-penduduk berkenaan, bahawa kerajaan akan menjatuhkan hukuman berat ke atas mereka jika mereka ditangkap.

Kenyataan oleh Sir Gerald Templer menafikan dakyah itu dan sebaliknya menjanjikan pengampunan kepada sesiapa saja yang tampil ke hadapan, membawa maklumat mengenai keganasan komunis.

Mereka termasuk mangsa-mangsa peras ugut komunis, sama ada yang telah menjadi pembekal makanan, mengutip wang atau orang suruhan pengganas.

Sir Gerald Templer juga mengingatkan seluruh penduduk akan bahaya perangkap peras ugut komunis dan mereka yang enggan memberitahu pihak polis layak dibicarakan atas kesalahan menyorokkan maklumat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
upsi-800px
Sejarah

Kongres Melayu Se Tanah Melayu

06 Ogos 1939 – Pada tahun 1939, Kongres Melayu Se Tanah Melayu telah diadakan di Kuala Lumpur. Persidangan yang julung-julung kalinya diadakan ini telah berjaya menghimpunkan Persatuan-Persatuan Melayu dari seluruh Tanah Melayu.

Penubuhan Maktab Sultan Idris Tanjung Malim pada tahun 1922 telah berjaya melahirkan ramai pemimpin-pemimpin dikalangan orang-orang Melayu, dan telah menjadi pemangkin kepada munculnya Persatuan-persatuan Melayu yang bersifat politik dan kebangsaan pada tahun 30-an.

Antara persatuan-persatuan Melayu yang telah ditubuhkan ialah Persatuan Sahabat Pena Melayu (PASPAM) pada tahun 1934 diikuti dengan Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada tahun 1937.

Kongres Melayu Se Tanah Melayu ini dilangsungkan atas daya usaha Tengku Ismail bin Tengku Mohd. Yasin, Yang Dipertua Persatuan Melayu Selangor dengan tujuan untuk mempersekutukan Persatuan-persatuan Melayu yang wujud pada ketika itu.

Kongres Melayu Pertama ini, telah dihadiri oleh enam buah Persatuan di antaranya Persatuan Melayu Singapura, Pahang, Negeri Sembilan, dan Seberang Perai.

Kongres Melayu Se Tanah Melayu yang pertama kali diadakan ini telah menjadi pencetus kepada kebangkitan kesedaran kebangsaan orang-orang Melayu untuk memerdekakan tanah air daripada cengkaman penjajahan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
umno_logo-800px
Sejarah

Persidangan Perikatan Pemuda Umno Se Malaya

30 Julai 1950 – Pada tahun 1950, Raja Muda Selangor DYMM Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah Ibni Sultan Hisamuddin Alam Shah telah merasmikan Persidangan Perikatan Pemuda UMNO Se Malaya. Persidangan ini telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Bharu, Kuala Lumpur.

Dalam titah ucapan perasmian baginda, Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah telah menzahirkan rasa sukacita baginda dapat bertemu dengan sekelian ahli Perikatan Pemuda UMNO. Baginda bertitah Perikatan Pemuda UMNO adalah satu bahagian dalam UMNO yang sangat mustahak dan baginda menyeru agar para pemuda akan bersatu-padu dan taat setia kepada Pertubuhan UMNO.

Perikatan Pemuda UMNO dalam persidangannya antara lain telah bersetuju mengadakan pakaian seragam jenis Kebangsaan dan jenis pakaian Barat bagi ahli-ahli Perikatan Pemuda UMNO Se Malaya setelah diperbincangkan dengan panjang lebarnya.

Ketetapan mengadakan pakaian seragam ini telah dicadangkan di Persidangan Majlis Mesyuarat Perikatan Pemuda UMNO yang telah diadakan di Butterworth Seberang Perai pada 26 Ogos 1949.

Rangka cadangan yang telah dibuat oleh jawatankuasa kecil yang menaja rancangan untuk mengadakan pakaian seragam ini telah dibentangkan dengan tiga syarat iaitu :-

  • pakaian seragam itu hendaklah dari bahan yang tidak mahal
  • bahan-bahan itu senang didapati dan
  • reka bentuk pakaian seragam ini senang dibuat.

Ketika keputusan muktamad diambil Persidangan Perikatan Pemuda UMNO telah meminda beberapa perkara dan keputusannya adalah seperti berikut :-

Pakaian cara Barat :-

1) Bagi kemeja, kain warna putih, lengan pendek dengan dua kocek di kiri dan kanan dengan butang dibahu

2) Seluar panjang kain kaki berwarna putih

3) Songkok Melayu warna hitam

4) Lencana UMNO disemat di sebelah atas luar kocek kiri baju kemeja

5) Sepatu getah jenis canverse bertumit rendah warna putih

6) Kain merah tulisan pemuda UMNO

7) Tali pinggang warna putih

Pakaian seragam jenis kebangsaan pula ialah :-

1) kain putih dengan reka bentuk potongan mengikut negeri masing-masing, baju berkocek tiga, dua di bawah kanan dan kiri dan saku di atas sebelah kiri

2) kain sarung tiga warna dipakai di luar baju

3) Lencana UMNO disemat dibaju luar kocek atas

4) Songkok Melayu warna hitam

5) Sepatu kulit warna kuning

Ketetapan pakaian seragam bagi Pemuda UMNO ini telah diterima dengan sebulat suara di Persidangan Perikatan Pemuda UMNO yang diadakan pada hari ini dalam tahun 1950.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
seberang_prai-800px
Sejarah

Pemajakan Seberang Perai Oleh British

15 Julai 1800 – Pada tahun 1800, Sir George Leith Bart, Leftenan Gabenor Pulau Pinang telah memajak sebuah kawasan di daratan negeri Kedah, bertentangan dengan Pulau Pinang yang dikenali sebagai Seberang Perai daripada Sultan pemerintah negeri Kedah.

Urusan pemajakan Seberang Perai itu dibuat tanpa perbincangan yang sewajarnya dengan mana-mana pihak termasuk Sultan Dhiauddin yang menjadi Raja Kedah ketika itu.

Apa yang diketahui hanyalah pertemuan seorang wakil yang dihantar oleh Sir George Leith bernama Caunter untuk menemui Sultan Dhiauddin pada akhir Jun tahun 1800 bagi memajak kawasan tersebut. Malah tidak boleh dinafikan kemungkinan adanya pujukan dengan janji yang manis atau desakan yang memaksa Sultan menyetujui kehendak British itu.

Berikutan dari pertemuan wakil Leith dengan Sultan Dhiauddin, British telah menghantar orang-orangnya untuk membuat penempatan di Seberang Perai yang kemudiannya dinamakan Province Wellesley.

Spekulasi dari setengah pihak pula menyatakan bahawa Sultan Kedah telah menjual kawasan tersebut dengan harga 2,000 pisos. Hakikat sebenarnya kawasan ini hanyalah dipajakkan sahaja kepada British dengan bayaran saguhati sebanyak empat ribu ringgit tiap-tiap tahun kepada Sultan Kedah.

Ini bermakna Kompeni Inggeris mesti membayar 10,000 ribu ringgit kepada Sultan Kedah kerana memajak Pulau Pinang dan Seberang Perai.

Surat persetujuan pemajakan Seberang Perai itu berbunyi :

  • Fasal yang pertama: Kompeni Inggeris perlu membayar setiap tahun kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Muda Perlis Kedah 10,000 rial semasa Inggeris menguasai dan menduduki Pulau Pinang dan negeri yang di seberang.
  • Fasal yang kedua: Duli Yang Maha Mulia janji beri kepada Kompeni Inggeris selama-lamanya jajahan dari Kuala Kerian sampai ke Kuala Muda dan ukurannya dari tepi laut ke darat enam puluh relung serta panjang dan lebar yang tersebut ini. Kemudian hendaklah diukur oleh Orang Duli Yang Maha Mulia bersama-sama dengan orang dan kompeni. Kompeni Inggeris sanggup menjaga jajahan laut ini daripada pencuri dan perompak-perompak yang menyerang dari laut dari sebelah utara atau dari sebelah selatan.
  • Fasal yang ketiga: Duli Yang Maha Mulia berjanji segala jenis makanan yang kurang di Pulau Pinang atau untuk kapal perang atau untuk kapal Kompeni boleh diberi di Perlis dan Kedah dengan memberi surat pas.
  • Fasal yang keempat: Segala budak yang lari dari Perlis dan Kedah ke Pulau Pinang atau dari Pulau Pinang dan ke Perlis dan ke Kedah tiada mahu dipulangkan kepada negeri asal mereka.
  • Fasal yang kelima: Segala orang berhutang yang lari daripada tuan hutangnya dari Perlis dan Kedah ke Pulau Pinang atau dari Pulau Pinang ke Perlis dan Kedah jikalau tiada dibayar hutangnya hendaklah dipulangkan kepada tuannya.
  • Fasal yang keenam: Duli Yang Maha Mulia tidak boleh membenarkan orang Eropah tinggal di dalam negeri yang di bawah perintah Duli Tuanku.
  • Fasal yang ketujuh: Kompeni tidak boleh menerima orang sudah nyata salah melawan Raja atau kesalahan besar yang lain.
  • Fasal yang kelapan: Orang yang bersalah membunuh orang lari dari Perlis dan Kedah ke Pulau Pinang hendaklah ditangkap dan dipulangkan ke tempatnya.
  • Fasal yang kesembilan: Orang yang mencuri cap atau menipu hendaklah dipulangkan juga.
  • Fasal yang kesepuluh: Bangsa yang menjadi musuh Kompeni Duli Yang Maha Mulia tiada boleh bantuan.
  • Fasal yang sebelas: Semua rakyat Duli Yang Maha Mulia membawa segala jenis barang-barang turun sungai tiada boleh diusik atau ditahan oleh Kompeni atau orangnya.
  • Fasal dua belas: Apa-apa jenis barang Duli Yang Maha Mulia yang kekurangan dan Kompeni mahu mencarinya, harga hendaklah ditolak dari sewa Pulau Pinang.
  • Fasal tiga belas: Apabila telah dinyatakan dan diterangkan perjanjian dan kahul ini segala sewa yang tinggal atas perjanjian yang dahulu kepada Duli Yang Maha Mulia di Perlis dan Kedah hendaklah dibayar habis.
  • Fasal empat belas: Perjanjian dan kahul yang telah dibuat oleh kedua pihak penghulu negeri batal dan tidak boleh digunakan lagi.

Pemajakan Seberang Perai ini dibuat bukanlah berdasarkan minat British untuk memajukan Seberang Perai. Demi menjaga kepentingan perdagangan Pulau Pinang kawasan di seberang itu diambil supaya dapat menyekat kemungkinan wujud sebuah pelabuhan saingan yang berdekatan.

Pada masa yang sama British mengesyaki bahawa Seberang Perai menjadi tempat persembunyian lanun-lanun yang sentiasa mengganggu keamanan Pulau Pinang. Keadaan Seberang Perai yang berhutan dan berpaya dengan penduduk yang kurang memudahkan penjenayah yang lari dari Pulau Pinang melepaskan diri dari hukuman.

Tambahan pula British ingin menjadikan Seberang Perai sebagai kawasan bercucuk tanam supaya British di Pulau Pinang tidak terlalu mengharap bekalan makanan dari negeri Kedah.

British hanya memajak Seberang Perai demi kepentingan perdagangan di Pulau Pinang. Dengan janji yang manis Pulau Pinang dan Seberang Perai dikuasai seolah-olah miliknya sendiri malah di satu masa yang lain sejarah mencatatkan keingkaran British menepati janjinya dan persetujuan yang dimeterai.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard