29 September 1962 – Pada tahun 1962, perjanjian untuk membekalkan air dari Sungai Johor ke Singapura telah ditandatangani di antara Kerajaan Johor dengan Majlis Bandaran Singapura.
Dengan perjanjian pembekalan air ini, Kerajaan Johor memberikan hak untuk mendapatkan bekalan air selama 99 tahun kepada Singapura. Dengan perjanjian ini juga, Majlis Bandaran Singapura dibenarkan mendirikan loji dan memasang paip yang diperlukan untuk bekalan air.
Untuk mendapatkan bekalan air tersebut, Majlis Bandaran Singapura akan membayar kepada Kerajaan Johor, 3 sen bagi setiap 4,550 liter air yang diambil dari Sungai Johor. Selain dari itu, Singapura juga diberi hak untuk menggunakan bekalan air dari Sungai Johor sehingga kira-kira 1,137.5 juta liter sehari.
Manakala Kerajaan Johor pula akan membayar kepada Majlis Bandaran Singapura, 50 sen bagi setiap 4,550 liter air bersih yang dibekalkan oleh Majlis Bandaran tersebut.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Abdul Rahman bin Jaafar telah menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak Kerajaan Johor. Manakala Majlis Bandaran Singapuran pula diwakili oleh Pemangku Pegawai Tadbirnya, Encik W.S. Woon.
Lain-lain wakil dari Malaya yang turut hadir semasa upacara menandatangani perjanjian tersebut ialah Penasihat Undang-undang Johor, Raja Azlan Shah; Pegawai Kewangan Negeri, Encik C. J. Lowe dan Pesuruhanjaya Tanah dan lombong, Encik Ghazali bin Dato’ Mahmood. Manakala wakil dari Singapura ialah Peguam Negaranya, Encik Ahmad Ibrahim.
Dengan termeterainya perjanjian ini pada hari ini dalam tahun 1962, Singapura akan memperolehi bekalan air dari Johor sehingga tahun 2061.
Sumber : Arkib Negara Malaysia