Coat_of_arms_of_Perak-800px
Sejarah

Istiadat Pemasyhuran Pindaan Undang-Undang Tubuh Perak

27 September 1954 – DYMM Sultan Perak Sultan Yussuf Izzudin Shah Ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Radzialah telah berkenan melakukan istiadat pemasyhuran pindaan Undang-Undang Tubuh Perak pada tahun 1954.

Istiadat tersebut berlangsung di Istana Iskandariah Kuala Kangsar dengan disaksikan oleh seramai 100 orang kaum kerabat Diraja, Pembesar-Pembesar Negeri, Ahli-Ahli Mesyuarat Negeri serta Konsul Muda Indonesia di Pulau Pinang.

Sultan Yusuf Izzuddin Shah

Sebelum istiadat pemasyhuran ini dijalankan, segala pindaan yang hendak dibuat terhadap Undang Tubuh Perak ini telah dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Negeri pada 1 hb Julai, 1954. Setelah dipersetujui barulah upacara menandatangani pemasyhuran dijalankan pada hari ini dalam tahun 1954.

Istiadat tersebut didahului oleh DYMM Sultan dan kemudian diikuti oleh 23 orang lain iaitu 7 orang dari Kerabat Diraja, 3 Orang Besar Berempat, 7 Orang Besar Delapan, 2 Orang Tok Muda dan 4 Orang pihak Tua-Tua. Pindaan Undang Tubuh Perak ini banyak melibatkan Majlis Mesyuarat Negeri.

Antara lain pindaan ini menetapkan anggota Majlis Mesyuarat Negeri mestilah mengandungi ahli rasmi dan ahli-ahli bukan rasmi. Di samping itu ia juga mesti mempunyai 20 orang ahli yang dilantik oleh ramai.

Calon-calon yang boleh dilantik tertakluk kepada 2 syarat kelayakan :-

  • Berumur 21 tahun ke atas.
  • Telah menetapkan dalam negeri lebih dari 6 bulan berturut-turut dari tempoh pendaftaran pemilihan dibuat.

Pemasyhuran pindaan Undang Tubuh Perak yang dibuat pada hari ini dalam tahun 1954 ini boleh disifatkan sebagai langkah positif ke arah berkerajaan sendiri. Dengan pindaan ini, kuasa Sultan telah diperkuatkan. Ahli-ahli tidak rasmi mendapat kedudukan yang lebih sempurna manakala orang Melayu pula mendapat kedudukan lebih suara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard