12 Februari 1922 – Tun Hussein bin Dato’ Seri Onn merupakan Perdana Menteri Malaysia ketiga yang berkhidmat dari tahun 1976 sehingga 1981. Beliau dilihat sebagai seorang yang amat ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum dan mempunyai reputasi untuk bertindak keras kepada sesiapa yang mencuba membangkitkan kekacauan perkauman di dalam negara. Oleh sebab usahanya dalam pemupukan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia, Tun Hussein Onn telah dikenang sebagai “Bapa Perpaduan”.
Garis Masa Tun Hussein Onn
1922 – Dilahirkan di Johor Bahru pada 12 Februari. Anak sulung kepada pengasas UMNO Dato` Onn bin Jaafar dan Datin Halimah binti Hussein.
1941 – Berkhidmat dalam Angkatan Timbalan Setia Negeri Johor sebagai Kadet dan telah dipilih untuk mengikuti latihan ketenteraan secara intensif di Akademi Tentera India di Dehradun.
1942 – Terlibat secara aktif dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestin dan Iraq.
1945 – Pulang ke tanah air dan dilantik sebagai Komandan Polis Johor Bahru.
1946 – Menyertai ayahandanya dalam bidang politik apabila Dato’ Onn bin Jaafar menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung dan dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO.
1949 – Menjadi Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang pertama
1950 – Dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO; juga dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan disamping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.
1951 – Menyertai ayahandanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Independent of Malaya Party (IMP) dan kemudiannya Parti Negara.
1951 – Melanjutkan pelajarannya ke Lincolns Inn, England
1958 – Mendapat ijazah undang-undang di Lincoln’s Inn, England.
1964 – Menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Tun Abdul Razak, Yang DiPertua UMNO
1969 – Dilantik sebagai ahli jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO) pada Jun.
Mei 1969 – Memenangi Pilihan raya umum 1969 kerusi Parlimen Johor Bahru Timur.
1970 – Menjadi Menteri Pelajaran pada September.
1972 – Dipilih sebagai Naib Presiden UMNO.
1973 – Dilantik sebagai pemangku Timbalan Presiden pada 8 Ogos oleh Majlis Tertinggi UMNO berikutan kematian Tun Dr. Ismail. Juga dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos dan memegang portfolio Menteri Perdagangan dan Perindustrian.
14 Januari 1976 – Disahkan sebagai pemangku Presiden UMNO berikutan kematian Tun Razak. Menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga pada 15 Januari.
1978 – Menang jawatan Presiden UMNO tanpa bertanding.
20 April 1981 – Melancarkan Rancangan Malaysia Keempat dan Skim Amanah Saham Nasional (ASN).
1981 – Menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO sekaligus mengundurkan diri dari kepimpinan negara. Beliau pernah menjalani rawatan jantung atau pintasan koronari pada awal 1981.
15 Mei 1981 – Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri negara pada Julai 1981 atas sebab kesihatan dan diambil alih oleh Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad.
1990 – Pulang ke Rahmatullah pada 29 Mei 1990 sewaktu berumur 68 tahun di Pusat Perubatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung. Allahyarham disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.
Sumber : Arkib Negara Malaysia