Tun_Hussein_Onn_portrait
Sejarah

Kelahiran Tun Hussein Onn

12 Februari 1922 – Tun Hussein bin Dato’ Seri Onn merupakan Perdana Menteri Malaysia ketiga yang berkhidmat dari tahun 1976 sehingga 1981. Beliau dilihat sebagai seorang yang amat ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum dan mempunyai reputasi untuk bertindak keras kepada sesiapa yang mencuba membangkitkan kekacauan perkauman di dalam negara. Oleh sebab usahanya dalam pemupukan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia, Tun Hussein Onn telah dikenang sebagai “Bapa Perpaduan”.

Garis Masa Tun Hussein Onn

1922 – Dilahirkan di Johor Bahru pada 12 Februari. Anak sulung kepada pengasas UMNO Dato` Onn bin Jaafar dan Datin Halimah binti Hussein.

1941 – Berkhidmat dalam Angkatan Timbalan Setia Negeri Johor sebagai Kadet dan telah dipilih untuk mengikuti latihan ketenteraan secara intensif di Akademi Tentera India di Dehradun.

1942 – Terlibat secara aktif dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestin dan Iraq.

1945 – Pulang ke tanah air dan dilantik sebagai Komandan Polis Johor Bahru.

1946 – Menyertai ayahandanya dalam bidang politik apabila Dato’ Onn bin Jaafar menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung dan dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO.

1949 – Menjadi Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang pertama

1950 – Dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO; juga dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan disamping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.

1951 – Menyertai ayahandanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Independent of Malaya Party (IMP) dan kemudiannya Parti Negara.

1951 – Melanjutkan pelajarannya ke Lincolns Inn, England

1958 – Mendapat ijazah undang-undang di Lincoln’s Inn, England.

1964 – Menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Tun Abdul Razak, Yang DiPertua UMNO

1969 – Dilantik sebagai ahli jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO) pada Jun.

Mei 1969 – Memenangi Pilihan raya umum 1969 kerusi Parlimen Johor Bahru Timur.

1970 – Menjadi Menteri Pelajaran pada September.

1972 – Dipilih sebagai Naib Presiden UMNO.

1973 – Dilantik sebagai pemangku Timbalan Presiden pada 8 Ogos oleh Majlis Tertinggi UMNO berikutan kematian Tun Dr. Ismail. Juga dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos dan memegang portfolio Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

14 Januari 1976 – Disahkan sebagai pemangku Presiden UMNO berikutan kematian Tun Razak. Menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga pada 15 Januari.

1978 – Menang jawatan Presiden UMNO tanpa bertanding.

20 April 1981 – Melancarkan Rancangan Malaysia Keempat dan Skim Amanah Saham Nasional (ASN).

1981 – Menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO sekaligus mengundurkan diri dari kepimpinan negara. Beliau pernah menjalani rawatan jantung atau pintasan koronari pada awal 1981.

15 Mei 1981 – Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri negara pada Julai 1981 atas sebab kesihatan dan diambil alih oleh Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad.

1990Pulang ke Rahmatullah pada 29 Mei 1990 sewaktu berumur 68 tahun di Pusat Perubatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung. Allahyarham disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
LogoRTMBaru-800px
Sejarah

Pelancaran Televisyen Warna Malaysia

28 Disember 1978 – Pelancaran televisyen warna Malaysia merupakan satu lagi detik penting dalam sejarah penyiaran Malaysia. Ianya telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Hussein Onn pada tahun 1978.

Majlis bersejarah itu diadakan di Auditorium Besar Angkasapuri. Majlis pelancaran yang dilangsungkan sempena genapnya 15 tahun usia TV Malaysia turut dihadiri beratus-ratus para jemputan termasuk Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Ketua-ketua Perwakilan Asing dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Penerangan.

Dalam ucapannya pada majlis tersebut, beliau berharap Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) memainkan peranan penting dan bertanggungjawab untuk mengikis gejala-gejala yang cuba memisahkan perpaduan kaum. Beliau juga dengan memasuki era baru ini TV Malaysia sebagai alat penting dapat memainkan peranan utama untuk mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang cekap, terlatih dan berdisiplin.

rtm

Sejarah Awal

Perkhidmatan Televisiyen Malaysia pertama dilancarkan oleh Perdana Menteri, YTM Tunku Abdul Rahman Putra yang juga Menteri Penerangan pada 28 Disember 1963 . Ia dilangsungkan di Studio sementara Televisyen Malaysia di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Pada peringkat awal pelancarannya, ia bersiaran lima setengah jam sehari atau 44 jam seminggu dengan tambahan masa siaran pada hujung minggu. 50 peratus daripada rancangan yang disiarkan dibuat secara langsung dari studio manakala selebihnya merupakan filem-filem sumbangan daripada Filem Negara dan lain-lain sumber luar.

rtm_logo_all

Penambahan Rancangan

Pengenalan perkhidmatan televisyen warna Malaysia bukan sahaja dapat memenuhi citarasa penonton yang kian bertambah tetapi juga dapat meningkatkan kualiti penerbitan rancangan. Disamping membeli rancangan-rancangan dari luar negeri, penerbitan di peringkat dalaman terus diperbanyakkan termasuk memperkenalkan pelbagai jenis pertandingan berbentuk muzik, bakat dan kuiz yang melibatkan penyertaan penonton dengan hadiah-hadiah yang menarik.

Rancangan seperti Juara Kugiran, Bakat Televisyen, Bintang RTM, Tekaria dan sebagainya bukan sahaja popular kepada penonton tetapi berjaya mencungkil bakat dan melahirkan ramai artis terkenal.

Perkhidmatan Televisiyen Malaysia kini boleh berbangga kerana menggunakan pelbagai peralatan canggih setanding dengan negara-negara maju yang lain. Ini termasuklah penggunaan komputer sepenuhnya dalam operasi siaran yang dikendalikan dari Pusat Operasi Siaran (TOC) dan penggunaan satelit penerimaan siaran (KOMSAR).

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
rtm_logo-old-800px
Sejarah

Pelancaran Perkhidmatan Televisyen Malaysia

28 Disember 1963 – Pada tahun 1963, Perdana Menteri, YTM Tunku Abdul Rahman Putra yang juga Menteri Penerangan melancarkan Perkhidmatan Televisyen Malaysia bertempat di Studio sementara Televisyen Malaysia di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Pada peringkat awal pelancarannya, ia bersiaran lima setengah jam sehari atau 44 jam seminggu dengan tambahan masa siaran pada hujung minggu.

50 peratus daripada rancangan yang disiarkan dibuat secara langsung dari studio manakala selebihnya merupakan filem-filem sumbangan daripada Filem Negara dan lain-lain sumber luar.

RTM_logo

Kejayaan kepada pelancaran perkhidmatan ini ialah hasil daripada bantuan daripada Suruhanjaya Penyiaran Kanada kepada kerajaan melalui bantuan teknikal dalam bidang kejuruteraan, latihan, rancangan dan pentadbiran. Sebagai permulaan, penerimaan siaran adalah terhad kepada ibu negara dan kawasan-kawasan berhampiran.

Berikutan itu, mulai tahun 1964 beberapa buah stesen pemancar telah dibina bagi meningkatkan liputan kawasan siaran iaitu di Gunung Keledang, Perak; Gunung Tampin, Negeri Sembilan dan Gunung Jerai, Kedah dan diikuti dengan pemancar di Gunung Pulai, Johor dan Bukit Maxwell, Perak.

Rangkaian Kedua

Operasi siaran kemudiannya berpindah ke Kompleks Angkasapuri dan memulakan siaran pada 6 Oktober 1969. Enam hari selepas itu, iaitu pada 11 Oktober 1969, radio dan televisyen bergabung dan diletakkan di bawah Jabatan Penyiaran Malaysia. Perkhidmatan Televisyen mengorak selangkah lagi apabila rangkaian kedua dilancarkan pada 17 November 1969.

Pada 28 Disember 1978 pelancaran televisyen warna pula dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Hussein Onn dalam satu Majlis bersejarah yang diadakan di Auditorium Besar Angkasapuri.

Sesungguhnya dengan pelancaran perkhidmatan televisyen Malaysia ini telah dapat menjalinkan hubungan rakyat negara ini dengan segenap pelusuk negara. Dasar dan rancangan-rancangan pembangunan negara telah dapat disampaikan kepada rakyat dengan lebih cepat dan berkesan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Tun_Hussein_Onn_portrait
Sejarah

Tun Hussein Onn Meninggal Dunia

29 Mei 1990 – Pada hari ini dalam tahun 1990, Y.A.B. Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ketiga telah meninggal dunia di Pusat Rawatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat pada pukul 7.15 pagi waktu Malaysia kerana sakit jantung pada usia 68 tahun. Jenazah Allahyarham Tun Hussein Onn telah diterbangkan semula ke tanah air dan diberi penghormatan pengkebumian negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Tun Hussein Onn, dilahirkan pada 12 Februari 1922 di Johor Bahru dan merupakan anak sulung kepada pasangan Dato’ Onn Ja’afar dan Datin Halimah Hussein. Allahyarham telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketiga pada 15 Januari 1976. Di bawah pimpinan Tun Hussein Onn asas dan kemajuan ekonomi Malaysia yang dijana oleh Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada tahun 1970an juga telah mula menampakkan hasilnya. Dasar Tun Hussein Onn yang berbelanja dengan cermat dan menanamkan sifat suka menabung di kalangan rakyat telah memberi asas yang sangat kuat dalam pembangunan ekonomi negara.

Pada 17 Julai 1981, Tun Hussein Onn secara rasmi telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang atas sebab kesihatan. Sebagai seorang pemimpin negara, Tun Hussein Onn dikenali sebagai ‘Bapa Perpaduan’ bagi mengenang segala jasa dan usahanya dalam memupuk perpaduan di Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Tun_Hussein_Onn_portrait
Sejarah

Pelantikan Datuk Hussein Onn Sebagai Timbalan Perdana Menteri Ketiga

13 Ogos 1973 – Pada tahun 1973, Datuk Hussein Onn telah diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri ketiga oleh Perdana Menteri Y.A.B Tun Abdul Razak bin Dato Hussein di Bilik Gerakan, Pejabat Perdana Menteri.

Pengumuman tersebut dibuat ketika beliau mengumumkan susunan baru jemaah kabinet berikutan Tun Dr. Ismail meninggal dunia pada 2 Ogos 1973.

Selain dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn juga diberi mandat untuk menerajui portfolio Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Peranan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan pada masa menerajui beberapa kementerian yang lain sememangnya memberikan pengalaman dan ilmu pengetahuan yang amat penting kepada Datuk Hussein Onn sebagai seorang pemimpin apabila beliau telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ketiga pada 15 Januari 1976.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
mahathir_mohamad-800px
Sejarah

Perlantikan Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad Sebagai Perdana Menteri

16 Julai 1981 – Perlantikan Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri yang ke-4 dibuat setelah Perdana Menteri, Tun Hussein Onn meletakkan jawatan pada 16 Julai 1981. Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad telah mengangkat sumpah jawatan di depan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Istiadat penuh rasmi itu telah disaksikan oleh Bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn serta dihadiri oleh para Menteri Kabinet, Ketua Polis Negara (Tan Sri Haniff Omar), Panglima Angkatan Tentera (Tan Sri Mohamed Ghazali), dan Peguam Negara (Tan Sri Abu Talib Othman).

Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad lahir pada 20 Disember 1925 di Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak, kemudian ke Kolej Sultan Abdul Halim, Alor Setar, seterusnya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Universiti Malaya Singapura dan lulus dengan ijazah M.B.B.S pada tahun 1952.

Penglibatan beliau dalam politik bermula pada tahun 1974, di mana beliau telah menang tanpa bertanding di kawasan Parlimen Kubang Pasu.

Beliau dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada 6 Oktober 1974. Manakala pada 5 Mac 1976, beliau telah diberi kepercayaan dan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia disamping memegang portfolio pelajaran.

Sepanjang pemerintahannya, Dr. Mahathir boleh disifatkan sebagai jaguh dan pemimpin Asia yang dinamik dan terkemuka. Malah beliau adalah satu-satunya pemimpin yang berjaya meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai sebuah negara industri baru yang berpotensi dan berkembang maju.

Pada peringkat antarabangsa pula beliau memperkenalkan dasar luar Malaysia yang proaktif serta membolehkan Malaysia dikenali di dunia. Yakni membina dasar luar yang bersifat global tertumpu kepada diplomasi ekonomi dan ketegasan dalam komunikasi politik antarabangsa.

Pelantikan Dr. Mahathir Mohamad pada hari ini dalam tahun 1981, membuktikan Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad adalah tokoh politik yang tiada tandingan malah beliau telah menyusun impian dan gagasan masa depan Malaysia melalui Wawasan 2020.

Pada 31 Oktober 2003 Tun Dr Mahathir Mohamad telah berudur dan melepaskan jawatan sebagai perdana menteri Malaysia lalu digantikan oleh Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi sebagai perdana menteri Malaysia yang kelima.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard