najib_razak-800px
Sejarah

Dato’ Seri Mohd Najib Dilantik Sebagai Timbalan Perdana Menteri

07 Januari 2004 – Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2004. Pengumuman mengenai pelantikan itu telah dibuat oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pada satu sidang berita khas selepas mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Datuk Seri Najib dilahirkan pada 23 Julai 1953 di Kuala Lipis, Pahang dan merupakan anak sulong kepada Perdana Menteri, Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein dan Tun Rahah binti Mohd Noah.

Penglibatan Dato’ Seri Mohd Najib dalam politik bermula apabila beliau diminta untuk bertanding di kawasan Parlimen Pekan berikutan kepulangan Allahyarham Tun Abdul Razak ke rahmatullah pada 14 Januari 1976. Beliau telah menang tanpa bertanding dalam pilihan Raya Kecil Parlimen Pekan pada 21 Febuari 1976, dan dilantik sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Pos.

Pada 22 April 1982, Dato’ Seri Mohd. Najib bertanding dikawasan Dewan Undangan Negeri Bandar Pekan dan berjaya memenangi kerusi tersebut. Berikutan itu, beliau dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ke 12.

Karier politiknya terus menyinar dan beliau telah menjawat pelbagai jawatan dalam kabinet termasuk sebagai Timbalan Menteri dan Menteri dan pada 3 April 2009, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Razak telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri yang keenam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
telegraf-800px
Sejarah

Litar Telegraf Pertama Di Negeri-Negeri Melayu

16 April 1876 – Pada tahun 1876, Perhubungan telekomunikasi pertama telah diadakan dengan pemasangan litar telegraf pertama di Kuala Kangsar, Perak. Litar sepanjang 39.2 kilometer ini telah dipasang bagi menghubungkan Pejabat Residen British di Kuala Kangsar dan Pejabat Penolong Residen di Taiping terus ke Pejabat Majistret di Matang. Penggunaan litar telegraf ini diperlukan untuk membantu mempercepatkan Residen dalam mengendalikan urusan pentadbirannya serta menyokong pembangunan kegiataan ekonomi yang berkembang pesat di Taiping pada ketika itu.

Berikutan daripada pengenalan talian telegraf pertama ini, Jabatan Pos dan Telegraf telah diwujudkan pada tahun 1882 dan diletakkan di bawah kawalan juruaudit negeri. Lanjutan daripada itu juga sistem perhubungan dan telekomunikasi telah berkembang lagi dengan pemasangan ibusawat pertama di Kuala Lumpur pada tahun 1891.

Pada tahun 1930 ibusawat automatik telah diperkenalkan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin bertambah dan ianya telah ditempatkan di bangunan Ibusawat Melayu Telefon di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur sekarang.

Sistem telekomunikasi negara telah berkembang dengan pesatnya selepas negara mencapai kemerdekaan sejajar dengan pembangunan dan perkembangan dunia telekomunikasi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
satelit_bumi_kuantan-800px
Sejarah

Perasmian Satelit Bumi Di Kuantan

06 April 1970 – Pada tahun 1970, Perdana Menteri, Y.T.M Tunku Abdul Rahman telah merasmikan Stesen Satelit Bumi di Kuantan. Dalam ucapan perasmiannya, Tunku menyifatkan peristiwa ini sebagai satu detik gilang – gemilang bagi Malaysia. Ini kerana Stesen yang bernilai RM9 juta ini telah menandakan satu kemajuan yang telah dicapai oleh negara dalam bidang telekomunikasi dan perhubungan dengan dunia luar.

Stesen yang mula dibina pada bulan Februari tahun 1969 ini dihubungkan dengan satelit diruang angkasa Laut Hindi iaitu INTELSAT 3 yang merentasi dengan India, Indonesia, United Kingdom dan Australia. Berikutan wujudnya Stesen Satelit Bumi ini seluruh rakyat Malaysia telah dapat menyaksikan siaran secara langsung pelancaran dan pendaratan kapal angkasa APOLLO di bulan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Perasmian stesen bumi di Kuantan ini telah membuka lembaran baru kepada negara dalam sejarah telekomunikasi negara sejajar dengan perkembangan dan pengisian bagi sebuah negara yang merdeka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard