Coat_of_arms_of_Sarawak-800px
Sejarah

Majlis Negeri Sarawak Ditubuhkan

24 Mei 1867 – Majlis Negeri Sarawak yang sekarang dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri Sarawak telah ditubuhkan oleh James Brooke pada tahun 1867. Ia merupakan Dewan Undangan Negeri yang tertua di Malaysia.

Sebelum itu, pada tahun 1865 ‘General Council’ yang juga dikenali sebagai ‘Supreme Council’ telah ditubuhkan. Pada asal penubuhan Majlis Negeri Sarawak ini bertujuan untuk membawa semua kaum bumiputera dalam satu perjumpaan yang terbesar. Disamping bagi mendengar ucapan dasar untuk menyuarakan pandangan serta bertukar-tukar fikiran.

Persidangan Majlis Negeri yang pertama telah diadakan pada 8 September 1867, bertempat disebuah perkampungan nelayan kecil di Bintulu, Sarawak. Sejak ditubuhkan sehinggalah tahun 1941, Majlis Negeri tidak mempunyai sebarang peraturan tetap sehinggalah pada bulan September 1941, Raja Vnyer Brooke telah menggubal satu perlembagaan baru bagi Majlis Negeri. Perlembagaan baru ini telah mengurangkan suara bumiputera kerana 14 dari 25 orang ahlinya mestilah terdiri daripada pegawai kerajaan bangsa Eropah, manakala sebelas lagi ahlinya terdiri daripada wakil-wakil kaum bumiputera dan bukan bumiputera.

Sesungguhnya, Dewan ini telah menempuh tiga zaman yang penting iaitu zaman Raja Putih Keluarga Brooke, diikuti dengan zaman koloni atau zaman penjajahan British dan ketiga zaman kemerdekaannya menerusi Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
uia-800px
Sejarah

Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa

20 Mei 1983 – Pada tahun 1983, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, Tuanku Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Mu’adzam Shah telah berkenan menandatangani ’Surat Cara’ Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kuala Lumpur.

universiti_islam_antarabangsa

Sejarah cadangan penubuhan UIAM bermula pada tahun 1977 dengan penerimaan resolusi ‘Konfenderasi Pendidikan Muslim Sedunia’ di Makkah anjuran Universiti Raja Abdul Aziz. Pada awal tahun 1982, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir bin Mohamad merancang untuk menubuhkan Universiti Islam dengan kos perbelanjaan ditaja oleh Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan beberapa negara Islam. Setelah dipersetujui kabinet, UIAM ditubuhkan secara rasmi dengan menumpang di Maktab Perguruan Islam, Petaling Jaya.

UIAM memulakan sesi pengajian buat pertama kali pada 18 Julai 1983 dengan pengambilan seramai 153 orang pelajar. Pada 24 Ogos 1993, YAB Datuk Seri Dr Mahathir bin Mohamad telah merasmikan upacara meletakkan batu asas kampus UIAM di Gombak dan pada 17 April 2001, beliau merasmikan kampus UIAM yang menelan belanja sebanyak RM672 juta. Kampus tersebut mempunyai reka bentuk seni bina Islam dan tradisional Melayu terletak di kawasan seluas 272 hektar.

Sesungguhnya UIAM terus berkembang dan kini mempunyai dua kampus cawangan di Kuantan dan Kuala Lumpur serta Pusat Asasi UIAM yang terletak di Petaling Jaya, Selangor dan di Nilai, Negeri Sembilan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
merdeka-800px
Sejarah

Rombongan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu Berlepas Ke London

09 Mei 1957 – Pada tahun 1957, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman beserta rombongan telah berlepas ke London. Antara yang turut serta dalam rombongan itu ialah Dato’ Abdul Razak Hussein (Menteri Pelajaran), Tuan V.T. Sambanthan (Menteri Buruh), Encik Shamsuddin bin Nain (Menteri Besar Negeri Sembilan), YM Tengku Ismail bin Tengku Yahya (Menteri Besar Kedah) dan Tuan Haji Mustaffa Al-Bakri (Penyimpan Mohor Raja-raja Melayu).

Tujuan rombongan ini ke London adalah untuk mengadakan rundingan perkara-perkara yang berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu Merdeka dengan Kerajaan British. Hasil keputusan rundingan berkenaan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Melaka dan Pulau Pinang telah dibawa ke Persidangan Raja-Raja pada bulan Jun 1957.

Berikutan daripada itu, kertas putih Rangka Perlembagaan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah dihasilkan dan dibincangkan oleh Majlis Mesyuarat Undangan dan Majlis Mesyuarat Negeri di negeri-negeri. Ianya telah diterbitkan di Persekutuan Tanah Melayu dan di London pada 2 Julai 1957.

Sesungguhnya, rombongan rundingan ini merupakan usaha terakhir dalam menuntut Kemerdekaan Tanah Melayu daripada Kerajaan British.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Commonwealth_Flag-800px
Sejarah

Persekutuan Tanah Melayu Sertai Persidangan Perdana Menteri Komanwel Kali Pertama

03 Mei 1960 – Pada tahun 1960 Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah menyertai Persidangan Perdana Menteri-Perdana Menteri Komanwel buat pertama kalinya selepas mencapai negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957.

Persidangan yang berlangsung di London dihadiri oleh Ketua-Ketua Negara Britain, Canada, Afrika Selatan, India, Pakistan, Ceylon, Ghana, Persekutuan Tanah Melayu dan Persekutuan Rhodesia Nyasaland.

commonwealth logo

Perwakilan Persekutuan Tanah Melayu diketuai oleh Perdana Menteri Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra bersama-sama dengan pegawai-pegawai kanan termasuk Encik Ghazali bin Shafie Setiausaha Tetap Kementerian Luar Negeri, Tengku Yaakub Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu di United Kingdom dan Tengku Jaafar Penasihat di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu di London.

Persidangan berlangsung selama 10 hari dan dirasmi oleh Perdana Menteri British Tuan Harold McMillon. Perbincangan utama dalam persidangan ini tertumpu kepada soal-soal keamanan dunia seperti soal perhubungan antara blok komunis dengan dunia bebas, masalah hubungan timur barat, soal perlucutan senjata, pengharaman ujian-ujian senjata Nuklear dan soal dasar apartheid di Afrika Selatan.

Sesungguhnya disekitar awal tahun 1960-an Persekutuan Tanah Melayu mempunyai hubungan yang rapat dan kukuh dengan Pertubuhan Komanwel terutamanya dalam soal keselamatan Negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Bahasa Melayu Pertama Kali Digunakan Sepenuhnya Di Dewan Undangan Negeri Perak

02 Mei 1967 – Pada tahun 1967, buat pertama kalinya persidangan di Dewan Undangan Negeri Perak menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya. Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Dato’ Mohamed Ali Zaini bin Haji Mohamed Zain meminta supaya ahli-ahli dewan menggunakan Bahasa Melayu walaupun dalam bahasa pasar. Beliau juga telah menggantung peraturan-peraturan tetap supaya ahli-ahli dewan boleh membaca ucapan-ucapan yang disediakan dalam bahasa Melayu.

Ahli-ahli dewan daripada parti pembangkang iaitu daripada Parti Progresif Rakyat hanya 3 dari 5 orang ahlinya yang hadir. Bagaimanapun mereka meninggalkan dewan selepas rehat tanpa mengambil bahagian dalam perbahasan.

 

Dalam perbahasan pada hari tersebut, dewan juga telah meluluskan anggaran belanjawan tambahan pembangunan negeri yang dibentangkan oleh Menteri Besar Perak Dato’ Ahmad Said. Sewaktu menangguhkan persidangan pada hari tersebut, Speaker Dato’ Mohamed Ali Zaini telah menyatakan rasa sukacitanya kerana ahli-ahli dewan telah menggunakan Bahasa Melayu dalam perbahasan di dewan yang mulia itu.

Dengan ini bermakna bahasa kebangsaan sebenarnya dapat digunakan dalam semua perbahasan di dalam dewan sekiranya ada kesungguhan di kalangan ahli-ahli dewan tersebut.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
masjid-800px
Sejarah

Persidangan Islam Antarabangsa Pertama

21 April 1969 – DYMM Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin telah berkenan merasmikan pembukaan Persidangan Islam Antarabangsa pertama yang berlangsung di Kuala Lumpur pada tahun 1969. Persidangan anjuran kerajaan Malaysia ini yang telah berlangsung selama seminggu dan disertai oleh seramai 100 orang perwakilan daripada 23 buah negara Islam.

Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin

Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin

Persidangan yang julung-julung kali diadakan ini bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan umat Islam dalam usaha mencari kemajuan dan menghapuskan kejahilan. Satu perkara penting yang telah dibincangkan pada persidangan ini ialah mengenai isu pembebasan Palestin dan penentangan terhadap kekejaman Yahudi.

Antara ketetapan yang telah dicapai secara bersama dalam persidangan ini ialah pembentukan jawatankuasa bagi menggiat dan menyelaras urusan perdagangan dikalangan negara – negara Islam. Turut disyorkan, penubuhan sebuah Pusat Penyelidikan Islam di Kuala Lumpur bagi mengadakan hubungan raya dengan pusat penyelidikan dan Institusi Pengajian Tinggi.

Persidangan ini telah dianggap sebagai permulaan kebangkitan dan kerjasama dikalangan negara-negara Islam yang merdeka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
terengganu_dewan_undangan-800px
Sejarah

Pindaan Perlembagaan Negeri Terengganu Diluluskan

24 Mac 1959 – Majlis Mesyuarat Negeri Terengganu telah melangsungkan Persidangan dan telah meluluskan dengan sebulat suara pindaan kepada perlembagaan negeri Terengganu untuk mengadakan cara-cara baru dalam pentadbiran negeri itu.

Menurut sistem yang baru dan bakal diperkenalkan itu, negeri Terengganu akan mempunyai sebuah Dewan Undangan Negeri yang kesemua sekali ahli-ahlinya dipilih oleh rakyat bukannya dengan lantikan seperti sebelum ini. Perlembagaan negeri Terengganu yang dipinda ini akan berkuatkuasa pada 30 April 1959 apabila Majlis Mesyuarat Negeri yang ada sekarang yang diketuai oleh Menteri Besar Dato’ Haji Kamaruddin Idris dibubarkan.

Apabila Majlis Mesyuarat Negeri dibubarkan, sebuah kerajaan sementara akan dibentuk untuk menjalankan urusan pentadbiran negeri dari 30 April sehinggalah Dewan Undangan yang baru ditubuhkan. Dengan pembubaran majlis Mesyuarat Negeri itu juga membolehkan satu pilihanraya diadakan dan rakyat akan memilih wakil-wakil mereka sendiri dalam Dewan Undangan berdasarkan prinsip demokrasi yang diamalkan oleh kerajaan.

Dengan lulusnya pindaan Perlembagaan Negeri Terengganu pada hari ini dalam tahun 1959 telah membawa satu era baru dalam pentadbiran negeri tersebut iaitu memberi kebebasan kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang akan menerajui negeri Terengganu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
dewan_parlimen-800px
Sejarah

Cokmar Dipersembahkan Di Majlis Perundangan Persekutuan

19 Mac 1952 – Pada tahun 1952, buat pertama kalinya cokmar dipersembahkan di Majlis Perundangan Persekutuan. Cokmar itu akan dipersembahkan oleh wakil Raja-raja Melayu di upacara pembukaan persidangan Majlis Perundangan yang dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi, Sir Gerald Templer.

cokmar

Cokmar itu diperbuat di Kota Bharu, Kelantan dengan bantuan Persatuan Seni Kraf Kelantan. Bentuk cokmar adalah hasil karya Encik Nik Mahmud bin Idrus dari Jabatan Pelajaran negeri Kelantan. Ianya diperbuat daripada emas dan perak; panjangnya 4 kaki berbentuk tongkat berkepala besar.

cokmar_dewan_negara

Foto : FB Parlimen Malaysia

Di atas kepala tongkat itu terukir daripada emas bentuk bulan sabit dengan bintang pecah sebelas sebagai simbol sebelas buah kerajaan yang membentuk Kerajaan Persekutuan. Di sekeliling bulatan kepala cokmar diterapkan dalam nama emas, lambang sembilan buah negeri Persekutuan dan dua buah negeri Selat.

cokmar_dewan_rakyat

Foto : FB Parlimen Malaysia

Kepala cokmar ditanggung oleh empat lembaga kepala harimau, manakala bahagian tongkat dihiasi dengan ukiran enam tangkai padi daripada emas sebagai simbol hasil pengeluaran negara yang utama. Di atas dua belah permukaan kepala cokmar diukir pula lambang Kerajaan Persekutuan yang bermotto “Bersatu Bertambah Mutu”. Satu kotak khas untuk menyimpan cokmar ini juga dicipta dan ianya diperbuat daripada kayu Kulim.

Cokmar yang dipersembahkan di Majlis Perundangan itu adalah merupakan simbol kuasa Kerajaan Persekutuan yang berparlimen, berdemokrasi dan berperlembagaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
istana_negara-800px
Sejarah

Persidangan Terakhir Majlis Raja-Raja Melayu Sebelum Merdeka

14 Mac 1957 – Persidangan terakhir Majlis Raja-Raja Melayu sebelum merdeka telah diadakan di Kuala Lumpur pada 14 Mac 1957. Di antara perkara-perkara penting yang dipersetujui dalam persidangan itu ialah pelantikan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan Pengerusi Tetap bagi Majlis Raja-Raja setelah negara mencapai kemerdekaan.

Isteri Yang di-Pertuan Agong pula akan diisytiharkan sebagai Permaisuri Agong dan Wanita Pertama Negara. Pengisytiharan kemerdekaan dilakukan selepas upacara penyerahan kuasa secara rasmi oleh wakil Diraja Inggeris kepada pihak Persekutuan Tanah Melayu di Stadium Merdeka.

Pengisytiharan kemerdekaan akan dilakukan sama ada oleh Yang di-Pertuan Agong, wakil keluarga Diraja Inggeris atau Ketua Menteri. Manakala negara-negara berhaluan kiri tidak akan dijemput semasa perayaan kemerdekaan dan rangka cadangan perjanjian pertahanan dan kerjasama perayaan kemerdekaan dan rangka cadangan perjanjian pertahanan dan kerjasama antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British diluluskan.

Perjanjian_Persekutuan-800px

Persidangan terakhir Majlis Raja-raja Melayu sebelum merdeka ini amat penting dalam menentukan persiapan bagi upacara menyambut kemerdekaan negara dan pengukuhan kedaulatan Raja-raja Melayu selepas negara merdeka.

Persidangan pertama Majlis Raja-raja Melayu diadakan pada 18 Februari 1948 di Dewan Majlis Perundangan Persekutuan, Kuala Lumpur. Persidangan  pertama ini dihadiri oleh semua Sembilan orang Raja-Raja Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tun_abdul_razak_1968-800px
Sejarah

Tun Abdul Razak Dilantik Sebagai Perdana Menteri

22 September 1970 – YAB Tun Abdul Razak dilantik sebagai Perdana Menteri yang kedua bagi menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra yang bersara dari arena politik pada tahun 1970. Upacara pelantikan ini telah berlangsung di Istana Negara dalam satu majlis ringkas di hadapan DYMM Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Tunku Abdul Rahman Putra.

Semasa menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah memperkenalkan beberapa dasar, seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), iaitu satu strategi pembangunan ekonomi bagi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat Malaysia dari segi pengenalan kaum mengikut kegiatan ekonomi.

Bagi memupuk perpaduan rakyat, Tun Abdul Razak telah memesatkan lagi pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan dengan menambah bilangan sekolah dan institusi pengajian kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar serta menggubal Rukunegara.

Bagi memantapkan politik Malaysia, beliau telah mengembangkan gagasan dan gabungan Parti Perikatan melalui gabungan dan kerjasama dengan lebih banyak parti politik sehingga tertubuhnya Barisan Nasional pada 1 Januari 1973.

Di peringkat antarabangsa, beliau mengukuhkan lagi ASEAN dengan mengemukakan gagasan Rantau Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) dalam persidangan ASEAN di Kuala Lumpur pada tahun 1971.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard