Sejarah

Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Pertama

9 Mac 1961 – Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Antarabangsa kali pertama diadakan pada 22 Ramadhan 1380 bersamaan 9 Mac 1961 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Hasrat dan cita-cita untuk mengadakan majlis tilawah al-Qur’an peringkat antarabangsa ini telah diluahkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman al-Haj semasa penutup Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Kebangsaan kali pertama.

Pertandingan Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Antarabangsa kali Pertama yang dianjurkan oleh Malaya ini merupakan majlis tilawah yang julung-julung kalinya dianjurkan di dunia. Belum ada Negara yang menganjurkan majlis seumpama ini sebelumnya. Dalam majlis kali pertama ini, sebanyak tujuh buah Negara iaitu Singapura, Brunei, Thailand, Sarawak, Indonesia, Filipina dan Malaya dengan 13 orang peserta telah mengambil bahagian.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ketiga, Tuanku Syed Putra Alhaj Ibni Almarhum Syed Hasan Jamalullai berkenan merasmikan Pertandingan Membaca al-Qur’an Peringkat Antarabangsa kali Pertama pada 9 Mac 1961.

Johan Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Antarabangsa kali pertama ini dimenangi oleh peserta dari Malaya, iaitu Tuan Haji Ahmad bin Mat Som, naib johan disandang oleh Encik Ismail juga peserta Malaya, manakala tempat ketiga dimenangi oleh peserta dari Indonesia. Pada masa itu belum lagi dibuka kepada peserta qariah.

darul quran

Kelas Hafaz Al-Quran

Pada 1 Mac 1966 hasrat dan kenyataan YAB Tun Abdul Razak untuk mengadakan kursus mempelajari dan menghafaz al-Qur’an telah menjadi kenyataan dengan pembukaan Kelas Tahfiz al-Quran di Masjid Negara. Kelas ini di bawah bimbingan Sahibul Fadhilah Dato’ Haji Mohammad Haji Ibrahim, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan ketika itu. Selepas itu kelas tahfiz al-Quran ini telah berkembang dan dikenali dengan nama Institut Tahfiz al-Quran wa al-Qiraat, Jabatan Perdana Menteri.

Institut ini berpindah beberapa kali ke kampus sementara, antaranya di Kompleks Pusat Islam Malaysia, Jalan Perdana; di Jalan Ledang; di Pinggiran Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur dan di Hulu Langat, Selangor. Kini institut ini berada di kampus tetapnya di Ampang Pecah, Kuala Kubu dengan nama Darul Quran di bawah pentadbiran Jabatan Islam Malaysia (JAKIM) yang mula beroperasi pada Januari 1997.

Sumber : Majlis Tilawah Al-Quran Malaysia

Standard
Sejarah

Pelancaran Perodua Rusa

06 Mac 1996 – Pelancaran Perodua Rusa telah dilakukan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 6 Mac 1996. Pengerusi Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd, YM Raja Tun Mohar Bin Raja Badiozaman turut sama hadir pada majlis pelancaran tersebut.

Perodua keluaran pertama

Perodua keluaran pertama

Perodua Rusa merupakan sebuah mikrovan pertama Perodua dan negara. Rekaannya diambil dari model Daihatsu D-130 Jumbo (Indonesia) yang memiliki rekabentuk seperti Daihatsu Hijet Maxx. Pelancaran pertama pada tahun 1996 Perodua Rusa 1.3CX merupakan model biasa 2 tempat duduk dengan enjin 1.3 liter.

Perodua keluaran kedua

Perodua keluaran kedua

Pada tahun 1997 Perodua Rusa 1.3 GX dilancarkan dengan 7 tempat duduk dan enjin 1.6 liter. Sebelum digantikan dengan lambang Perodua, lambang asal van ini adalah gambar rusa melompat.

Perodua keluaran facelift

Perodua keluaran facelift

Maklumat Perodua Rusa

  • Pengilang Perodua
  • Pengeluaran 1996-2007
  • Kelas Mikrovan
  • Stail badan Van 5-pintu
  • Pelantar Susun atur FR
  • Enjin Enjin petrol HD-C, disejukkan air, 4-silinder sebaris, 4-kitar, 16-injap, SOHC.
  • Jarak roda 2,080 mm (81.9 in)
  • Panjang 3,880 mm (152.8 in)
  • Lebar 1,560 mm (61.4 in)
  • Tinggi 1,845 mm (72.6 in)
  • Berat Curb 935 kg (2,061 lb) — 1,145 kg (2,524 lb)
  • Berkait Daihatsu Atrai, Daihatsu Hijet

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
damai_malaysia
Sejarah

Sidang Damai Antara Malaysia Indonesia Dan Filipina

05 Februari 1964 – Pada tahun 1964 Menteri Luar Thailand, Tun Thanat Khoman telah mengadakan
satu rundingan damai Sidang Damai Antara Malaysia Indonesia Dan Filipina yang dihadiri oleh ketiga-tiga Menteri Luar negara tersebut.

Tun Thanat Khoman

Tun Thanat Khoman

Rundingan ini adalah hasil usaha damai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menjamin keselamatan dan kestabilan di rantau ini. Menteri-menteri Luar yang mewakili 3 negara itu ialah Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein dari Malaysia, Dr Subandrio dari Indonesia dan Encik Salvador Lopez dari Filipina.

damai_indonesia_malaysia_filipina

Salvador Lopez (kiri), Tun Abdul Razak (tengah), Dr Subandrio (kanan)

Hubungan di antara ketiga-tiga negara jiran ini telah retak kerana tuntutan Kerajaan Filipina di bawah pimpinan Presiden Macapagal ke atas Sabah dan salah faham Kerajaan Indonesia di bawah Presiden Sukarno mengenai konsep penubuhan Malaysia.

Walaubagaimanapun sidang damai antara Malaysia Indonesia Dan Filipina yang dianjurkan oleh pihak Thailand ini tidak menghasilkan sebarang kejayaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
mal-indo-map-800px
Sejarah

Usaha Damai Malaysia Dan Indonesia

26 Januari 1965 – Pada tahun 1965, Duta-duta British di Asia Tenggara telah bertemu untuk mengadakan persidangan mengenai masalah politik dan pertahanan yang semakin genting antara Malaysia dan Indonesia. Persidangan yang berlangsung selama empat hari di Kuala Lumpur ini merupakan di antara beberapa usaha pihak kerajaan British untuk mendamaikan kedua negara di samping menjamin keamanan di rantau ini.

Bagi menjamin keamanan serantau persefahaman yang lebih erat dalam bidang ekonomi sosial dan budaya perlu dicapai dan dipertingkatkan. Kedua negara seharusnya disatukan, untuk bersama berusaha memelihara keselamatan negara dari anasir subversif demi mengekalkan keperibadian nasional negara masing-masing. Tambahan pula, Malaysia dan Indonesia adalah dua negara yang mempunyai ikatan sejarah yang serupa dari segi keturunan dan kebudayaan.

kuala_lumpur_1964

Persidangan Duta-duta British yang berlangsung buat pertama kali di Kuala Lumpur ini telah dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur, Lord Head. Di antara tokoh penting yang hadir di majlis tersebut ialah Duta British di Indonesia, Sir Andrew Gilchrist, Bakal Duta Besar British ke Thailand Sir Anthony Rumbold, Ketua Diplomat British di Australia, New Zealand, Filipina, Vietnam Selatan dan Indonesia.

Turut hadir ialah Penasihat Politik Panglima Turus Agong Pasukan Bersenjata di Timor Jauh, Tuan A.C.S Adams, pegawai-pegawai pejabat luar dan pejabat perhubungan Commonwealth.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
royal-malaysia-air-force-800px
Sejarah

Rancangan Baharu Pengunduran Tentera Britain Dari Malaysia

08 Januari 1968 – Pada tahun 1968, Malaysia dan Britain telah mencapai persetujuan mengenai rancangan baru pengunduran tentera Britain dari kawasan ini. Kenyataan ini telah diberitahu oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dalam perundingannya dengan Setiausaha Komanwel, Tuan George Thomson.

George_Thomson_1966

Walaupun Tunku tidak menyebut rancangan-rancangan baru yang telah dipersetujui itu tapi adalah difahami bahawa pengunduran tentera Britain itu berkait rapat dari kemerosotan ekonomi yang dialami oleh Britain. Setiausaha Komanwel itu pula telah memberi jaminan bahawa Britain tidak berniat hendak membelakangkan Malaysia ataupun negara-negara Komanwel lain. Tetapi disebabkan Britain sedang berusaha memperbaiki ekonominya maka adalah rumit baginya untuk menempatkan tenteranya di luar negeri.

700_royal-malaysia-air-force

Perundingan

Walaupun Malaysia dan Britain telah membuat perjanjian keluar tentera Britain dari Malaysia pada 20 Mac 1965, tetapi sehingga hari ini pengunduran tentera Britain telah dilakukan secara berperingkat-peringkat. Kemudiannya Tuan Thomson juga telah berunding dengan Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, Menteri Kewangan, Tun Tan Siew Sin dan Menteri Pelajaran, Encik Mohamed Khir Johari. Tun Abdul Razak telah memberitahu bahawa Malaysia memandang berat rancangan baru Britain itu kerana Malaysia mempunyai perjanjian Pertahanan dengan Britain iaitu pada 3 Oktober 1957.

Bagaimanapun, dengan pengunduran tentera British ini maka pada 10 Jun 1968, satu persidangan pertahanan lima negara yang terdiri dari Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan Britain telah diadakan. Tujuan persidangan ini ialah untuk membincangkan pertahanan Malaysia dan Singapura bagi menghadapi sebarang pencerobohan dari luar setelah pengunduran tentera Britain di rantau ini.

Dengan persetujuan yang telah tercapai mengenai rancangan baru pengunduran Britain dari Malaysia pada hari ini dalam tahun 1968, keselamatan Malaysia tetap terjamin setelah bekerjasama dengan negara sahabat seperti Indonesia dan Thailand.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
tsunami_aceh-800px
Sejarah

Tragedi Bencana Ombak Besar Tsunami

26 Disember 2004 – Pada tahun 2004, bencana ombak besar tsunami telah melanda negara-negara Asia terutamanya penduduk di antaranya ialah Malaysia, Acheh, Sri Lanka, India, Maldives, dan Thailand.

Di Malaysia, kawasan-kawasan yang terjejas adalah di persisiran pantai Pulau Pinang, Kedah, Perak, dan Perlis. Di Pulau Pinang kawasan yang terlibat ialah pantai Miami, Tanjong Tokong di Batu Feringgi, Pantai Pasir Panjang, Pulau Betong, Teluk Bahang, Balik Pulau dan Pantai Kuala Bekah.

Di negeri Kedah, kawasan yang dilanda tsunami adalah Kota Kuala Muda dan perkampungan nelayan di Pulau Langkawi. Manakala kawasan di negeri Perak sekitar Tanjung Piandang dan Kuala Sanglang di Perlis turut terjejas.

tsunami

Tragedi tersebut berpunca dari gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter di barat Sumatera dan disifatkan paling dahsyat di dunia dalam tempoh 40 tahun. Gempa bumi yang berlaku di bawah dasar laut dengan gegaran dapat di rasai beribu-ribu kilometer jauhnya menyebabkan ombak besar tsunami berlaku pada paras kelajuan 700 kilometer sejam menyapu bersih bangunan, rumah-rumah dan sebagainya.

Angka mangsa yang terkorban dan hilang dalam tragedi ombak besar tsunami di Indonesia, Sri Lanka, India, Maldives, Somalia, Myanmar, Tanzania, Bangladesh, Seychelles, Kenya dan Thailand ini dilaporkan berjumlah 216,858 orang termasuk 68 orang di Malaysia.

Sesungguhnya melalui tragedi ini, pelbagai pihak telah mengambil insiatif dengan menghulurkan bantuan kemanusiaan untuk meringankan beban yang di tanggung oleh mangsa-mangsa tsunami terutama di negara-nergara yang terlibat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
selat_melaka-800px
Sejarah

Perjanjian Sempadan Perairan Selat Melaka

21 Disember 1971 – Pada tahun 1971, satu perjanjian mengenai sempadan perairan Selat Melaka telah ditandatangani di antara kerajaan Malaysia, Indonesia dan Thailand di Kuala Lumpur. Malaysia telah diwakili oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Kadir Yusof, sementara Indonesia diwakili oleh Menteri Galiannya Professor Dr. Sumatri Brodjonegoro dan Thailand pula oleh Setiausaha Rendah Negeri bagi Pembangunan Negara di Kementerian Pembangunan Negara Thailand, Encik Vijaya Sethapat.

Perjanjian ini menetapkan garis batas laut di perairan Selat Melaka untuk ketiga-ketiga buah negara. Ianya terhasil daripada rundingan yang diadakan di Bangkok bermula pada bulan Oktober.

Berikutan daripada termeterainya perjanjian ini, usaha untuk meneroka sumber kekayaan di kawasan yang melampaui sempadan negara masing-masing bagi faedah bersama dapat dilaksanakan. Justeru itu sebarang pertikaian mengenai dasar laut dan lapisan bumi di bawahnya yang mengandungi sumber kekayaan yang belum lagi diterokai dapat dihapuskan.

Sesungguhnya, perjanjian ini merupakan sumbangan positif ke arah keamanan dan kestabilan rantau ini. Secara tidak langsung, ia merupakan langkah tegas ke arah merapatkan kerjasama dalam usaha mencari kekayaan dasar laut untuk kemakmuran bersama ketiga-tiga buah negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
perjanjian_haadyai-800px
Sejarah

Rundingan Damai Haadyai

2 Disember 1989 – Rundingan Damai Haadyai ditandatangani pada 2 Disember 1989 jam 11.30 pagi waktu Malaysia di antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM). Perjanjian damai bersejarah ini diadakan di Hotel Le Garden , Haadyai, Thailand.

Wakil Malaysia :

  • Datuk Wan Sidek Wan Abdul Rahman, Setiausaha Kementerian Dalam Negeri
  • Tan Sri Mohd. Hanif Omar – Ketua Polis Negara
  • Jeneral Hashim Mohd Ali – Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia

Wakil Thailand :

  • Jeneral Yodhana Yamphundi – Timbalan Pengarah Operasi Keselamatan Bahagian ke-4
  • Jeneral Chavalit Yongchaiyudh – Pengarah Operasi Keselamatan
  • Jeneral Sawaeng Therasawat – Ketua Pengarah Polis diraja Thailand.

Wakil PKM :

  • Chin Peng – Setiausaha Agung PKM
  • Abdullah C.D – Pengerusi PKM
  • Rashid Maidin – Komander Regimen ke-10

Turut hadir ialah :

  • Dato Megat Junid Megat Ayub – Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia
  • Ai Ying atau Zainon – isteri Chin Peng
  • Chan Tien – Komander Regimen ke-12 PKM
Wakil Parti Komunis Malaya

Wakil Parti Komunis Malaya

Isi Kandungan Rundingan Damai Haadyai

Antara kandungan utama Perjanjian Damai Haadyai ialah :

  • PKM berjanji untuk menamatkan perjuangan bersenjata mereka.
  • Parti Komunis Malaya dibubarkan
  • Senjata api hendaklah diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia atau Thailand atau dimusnahkan di hadapan pihak keselamatan.
  • Chin Peng selaku wakil ahi PKM berikrar taat setia kepada Yang diPertuan Agung Malaysia.
  • Ahli PKM akan mematuhi undang-undang negara Malaysia.
  • Artikel 3 perjanjian menetapkan bahawa Kerajaan Malaysia akan membenarkan bekas anggota Parti Komunis Malaya yang dilucutkan senjata untuk menetap di Malaysia sekiranya mereka mahu.
  • Artikel 3.1 menetapkan bekas anggota Parti Komunis Malaya yang memang berasal dari Malaysia akan dibenarkan menetap di Malaysia mengikut undang-undang Malaysia.
  • Artikel 4 perjanjian menetapkan bahawa kerajaan Malaysia akan membantu bekas bekas anggota Parti Komunis Malaya untuk memulakan hidup baru di Malaysia.

Di bawah perjanjian rundingan damai Haadyai ini, mana-mana ahli PKM yang ingin kembali ke Malaysia perlu mematuhi beberapa syarat seperti:

  • Memaklumkan hasrat untuk kembali ke Malaysia kepada pihak berkuasa di dalam tempoh tidak lebih setahun dari tarikh perjanjian ditandatangani;
  • Mengemukakan butir-butir berkaitan dengan pemohon;
  • Menjalani proses temuduga serta dokumentasi

Kerajaan tidak memaksa mana-mana anggota komunis untuk pulang ke negara ini. Mereka diberi kebebasan memilih sama ada untuk pulang atau terus tinggal di Selatan Thailand. Dengan pilihan tersebut, ternyata tidak semua bekas anggota komunis menerima tawaran untuk pulang ke Malaysia, malah ramai yang memilih untuk terus tinggal di Selatan Thailand.

Pelaksanaan Rundingan Damai Haadyai

Selepas perjanjian Rundingan Damai Haadyai dimeterai :

  • Kira-kira 1,188 anggota pasukan keselamatan bersenjata PKM yang berada di hutan sempadan Malaysia – Thailand akan keluar dari hutan dan memulakan hidup baru.
  • Di hutan Malaysia – Thailand terdapat 694 rakyat Malaysia, Indonesia, Singapura dan 2 bekas anggota tentera Jepun.
  • Kerajaan Malaysia membenarkan 380 338 bekas anggota komunis untuk pulang ke Malaysia sepanjang tempoh tawaran sekali sahaja di bawah perjanjian untuk menghentikan peperangan di antara kerajaan dan Parti Komunis Malaya (PKM). Seramai 431 ahli PKM memohon pulang ke Malaysia. Tetapi 338 diluluskan dan 93 ditolak kerana tidak memenuhi syarat perjanjian dan masalah daripada segi status kewarganegaraan. Nama mereka yang dibenarkan pulang tidak akan didedahkan demi keselamatan.
  • Kerajaan Malaysia berjanji untuk membayar subsidi kehidupan sebanyak RM 8,000 sekembali ke Malaysia dan wang saranan hidup sebanyak RM300 untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan di tanahair.

Dengan termetrinya Rundingan Damai Haadyai yang ditandatangani pada 2 Disember 1989, maka tamatlah permusuhan dan kegiatan-kegiatan bersenjata oleh Parti Komunis Malaya yang telah berjalan selama 40 tahun, 5 bulan dan 26 hari sejak bermulanya Darurat Tanah Melayu iaitu dari 16 Jun 1948 hingga 2 Disember 1989.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Bunga Bangkai
Hobi

Bunga Bangkai – Antara Bunga Terbesar Didunia

Pokok Bunga Bangkai atau nama botaninya (Amorphophallus titanum) merupakan tumbuhan dari famili (Araceae) tempatan di Sumatera, Indonesia, yang terkenal sebagai tumbuhan dengan bunga (majmuk) terbesar di dunia, meskipun catatan menyebutkan bahawa kerabatnya, A.gigas (juga tempatan di Sumatera) boleh menghasilkan bunga setinggi 5m.

Namanya berasal dari bunganya yang mengeluarkan bau seperti bangkai yang membusuk, yang bertujuan sebenarnya untuk menarik kumbang dan lalat bagi pendebungaan bunganya. Di alam tumbuhan ini hidup di kawasan hutan hujan basah. Bunga bangkai adalah bunga rasmi bagi Provinsi Bengkulu.

Tumbuhan ini memiliki dua fasa dalam kehidupannya yang muncul secara bergilir, fasa vegetatif dan fasa generatif. Pada fasa vegetatif muncul daun dan batang semunya. Tingginya dapat mencecah 6m. Setelah beberapa tahun, organ vegetatif ini layu dan umbinya dorman. Apabila makanan di umbi mencukupi dan kitarannya cukup, bunga majmuknya akan muncul. Apabila jumlah makanan kurang daunnya tumbuh kembali.

Pokok Bunga Bangkai

Pokok Bunga Bangkai

Bunganya sangat besar dan tinggi, yang dikelilingi oleh seludang bunga yang juga berukuran besar. Bunganya berumah satu dan protogini : bunga betina matang terlebih dahulu, lalu diikuti matangnya bunga jantan, sebagai mekanisme untuk mencegah pendebungaan diri.

Hingga tahun 2005, rekod bunga tertinggi dipegang oleh Kebun Raya Bonn, Jerman yang menghasilkan bunga setinggi 2,74m pada tahun 2003. Pada 20 Oktober 2005, mekar bunga dengan ketinggian 2,91m di Kebun Botani dan Hewan Wilhelma, Stuttgart, juga di Jerman. Namun demikian, Kebun Raya Cibodas, Indonesia mendakwa bahawa bunga yang mekar di sana mencapai ketinggian 3,17m pada tahun 2003.

Bunga akan mekar untuk sekitar seminggu, kemudian layu. Apabila buah terbentuk, akan terbentuk buah-buahan berwarna merah dengan biji pada bahagian bekas pangkal bunga. Biji benih ini dapat ditanam. Setelah bunga masak, seluruh bahagian generatif layu. Pada saat itu umbi mengempis dan dorman. Apabila mendapat cukup air, akan tumbuh tunas daun dan dimulailah fasa vegetatif kembali.

Bunga bangkai sekarang telah tersebar di berbagai tempat di penjuru dunia, terutama dimiliki oleh kebun botani atau penanam khusus. Di Amerika, bunga yang muncul seringkali diberi julukan atau nama tertentu dan selalu menarik perhatian banyak pengunjung. Uniknya banyak pengunjung datang untuk “menikmati bau”nya.

Video di bawah memaparkan kitar hidupnya bermula dari tunas hingga menghasilkan bunga.

Standard
telefon_lama-800px
Sejarah

Hubungan Telefon Antara Tanah Melayu Dengan London Dimulakan

22 Mei 1950 – Pada tahun 1950 satu era baru dalam bidang telefon telah bermula di Persekutuan Tanah Melayu dan London, melalui Singapura. Pihak BBC telah memasang alat perhubungan khas tersebut di Singapura dengan tujuan program Perkhidmatan Penyiaran Timur jauhnya.

Pada tahun 1939 perkhidmatan seperti ini pernah digunakan di Stesen Radio Jalan Cochrane Kuala Lumpur ke Bandung, di Indonesia. Stesen Bandung pula menerima panggilan dari London melalui Amsterdam. Perkhidmatan ini terus berjalan sehingga timbulnya perselisihan faham antara Kerajaan Indonesia dengan Britain pada tahun 1939.

telefon

Atas sebab-sebab keselamatan perkhidmatan ini terpaksa dihentikan. Setelah dihentikan, usaha-usaha lain telah dijalankan untuk menghidupkan semula perkhidmatan tersebut. Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1950 perhubungan telefon di antara Persekutuan Tanah Melayu dengan London telah disambung semula melalui Singapura.

Hubungan telefon di antara Persekutuan Tanah Melayu dengan London ini telah dibahagikan kepada panggilan persendirian, panggilan rasmi, dan panggilan perniagaan. Kemajuan Perkhidmatan ini dapat dilihat 6 tahun kemudian iaitu pada tahun 1956 apabila sebanyak 19,500 panggilan luar negeri telah dapat dikendalikan.

Pada tahun 1957 angka ini telah meningkat lagi kepada 24,000 panggilan. Perkhidmatan telefon yang disambung semula pada hari ini dalam tahun 1950, telah menjadikan perhubungan telefon satu alat yang penting untuk berkomunikasi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard