quran-800px

Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Kebangsaan Yang Pertama

18 Mac 1960 – Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Kebangsaan yang pertama telah diadakan pada 20 Ramadhan 1379H bersamaan 18 Mac 1960. Majlis ini telah diadakan di Stadium Merdeka.

Pertandingan selama empat hari ini yang disertai oleh 44 peserta dari sebelas buah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu. 11 orang peserta telah membacakan ayat al-Quran setiap malam selama empat malam berturut-turut. Malam yang kelima dikhususkan untuk upacara penyampaian hadiah kepada pemenang.

Pada malam bersejarah itu berlaku satu peristiwa, iaitu kebetulan keempat-empat buah lampu limpah dari empat penjuru Stadium Merdeka tiba-tiba terpadam seketika semasa salah seorang peserta sedang memperdengarkan bacaan. Namun demikian, kelunakan suara merdu yang mengumandangkan bacaan ayat-ayat suci al-Qur’an terus memukau dan memecah kesepian malam, mempesona beribu-ribu orang yang membanjiri stadium bersejarah itu. Peserta itulah yang telah menjuarai bahagian qariah pada majlis kali pertama itu.

Majlis_Tilawah_Al-Quran_Malaysia

Sejarah Pertandingan Membaca al-Quran

Pertandingan Membaca al-Quran se-Malaya pertama telah dianjurkan oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) pada 4 September 1947 di Masjid Jami’ Abu Bakar, Johor Baharu. Pada masa itu hanya peserta qari sahaja yang mengambil bahagian. Sultan Johor telah berkenan untuk menyampaikan hadiah dalam satu majlis jamuan teh di Istana Besar Johor pada 5 September 1947.

Pada tahun 1951, YTM Tunku Abdul Rahman telah mengambil inisiatif mengadakan pertandingan membaca al-Qur’an di negeri Kedah dan seterusnya menjadi tradisi tahunan di Kedah. Selepas negara mencapai kemerdekaan Tunku telah menganjurkan pertandingan membaca al-Qur’an antara negeri Kedah dan Johor pada bulan Ramadhan tahun 1378H bersamaan tahun 1959.

Hasrat dan cita-cita untuk mengadakan majlis membaca al-Quran peringkat antarabangsa telah diluahkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman al-Haj semasa penutup Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Kebangsaan kali Pertama. Hasrat Tunku tercapai apabila Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Antarabangsa kali Pertama telah diadakan pada 22 Ramadhan 1380 bersamaan 9 Mac 1961.

Nama pertandingan ini telah ditukarkan kepada Musabaqah Al-Quran sebelum ditukar menjadi Majlis Tilawah al-Quran.

Sumber : Arkib Negara MalaysiaMajlis Tilawah Al-Quran Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen