Sejarah

Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Pertama

9 Mac 1961 – Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Antarabangsa kali pertama diadakan pada 22 Ramadhan 1380 bersamaan 9 Mac 1961 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Hasrat dan cita-cita untuk mengadakan majlis tilawah al-Qur’an peringkat antarabangsa ini telah diluahkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman al-Haj semasa penutup Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Kebangsaan kali pertama.

Pertandingan Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Antarabangsa kali Pertama yang dianjurkan oleh Malaya ini merupakan majlis tilawah yang julung-julung kalinya dianjurkan di dunia. Belum ada Negara yang menganjurkan majlis seumpama ini sebelumnya. Dalam majlis kali pertama ini, sebanyak tujuh buah Negara iaitu Singapura, Brunei, Thailand, Sarawak, Indonesia, Filipina dan Malaya dengan 13 orang peserta telah mengambil bahagian.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ketiga, Tuanku Syed Putra Alhaj Ibni Almarhum Syed Hasan Jamalullai berkenan merasmikan Pertandingan Membaca al-Qur’an Peringkat Antarabangsa kali Pertama pada 9 Mac 1961.

Johan Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Antarabangsa kali pertama ini dimenangi oleh peserta dari Malaya, iaitu Tuan Haji Ahmad bin Mat Som, naib johan disandang oleh Encik Ismail juga peserta Malaya, manakala tempat ketiga dimenangi oleh peserta dari Indonesia. Pada masa itu belum lagi dibuka kepada peserta qariah.

darul quran

Kelas Hafaz Al-Quran

Pada 1 Mac 1966 hasrat dan kenyataan YAB Tun Abdul Razak untuk mengadakan kursus mempelajari dan menghafaz al-Qur’an telah menjadi kenyataan dengan pembukaan Kelas Tahfiz al-Quran di Masjid Negara. Kelas ini di bawah bimbingan Sahibul Fadhilah Dato’ Haji Mohammad Haji Ibrahim, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan ketika itu. Selepas itu kelas tahfiz al-Quran ini telah berkembang dan dikenali dengan nama Institut Tahfiz al-Quran wa al-Qiraat, Jabatan Perdana Menteri.

Institut ini berpindah beberapa kali ke kampus sementara, antaranya di Kompleks Pusat Islam Malaysia, Jalan Perdana; di Jalan Ledang; di Pinggiran Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur dan di Hulu Langat, Selangor. Kini institut ini berada di kampus tetapnya di Ampang Pecah, Kuala Kubu dengan nama Darul Quran di bawah pentadbiran Jabatan Islam Malaysia (JAKIM) yang mula beroperasi pada Januari 1997.

Sumber : Majlis Tilawah Al-Quran Malaysia

Standard
empang_pecah_kuala_kubu
Sejarah

Empangan Kuala Kubu Pecah

29 Oktober 1883 – Pada tahun 1883, banjir besar telah berlaku di Sungai Selangor. Banjir ini telah menyebabkan Empangan Kuala Kubu pecah lalu menenggelamkan seluruh pekan Kuala Kubu. Peristiwa penting ini dicatatkan dalam sejarah kerana bertolak dari peristiwa inilah lahirnya pekan Kuala Kubu Bharu yang ada sekarang.

Empangan ini terletak dekat Kampung Asam Lenggong sekarang dikenali sebagai Kampung Ampang Pecah kira-kira 2.4 km dari pekan Kuala Kubu. Empangan yang roboh itu panjangnya kira-kira 1.6 kilometer dan lebarnya melebihi 91.4 meter. la dibuat dari batang-batang kayu dan ditambak dengan tanah merentangi Sungai Kubu iaitu anak Sungai Selangor. Daerah Kuala Kubu sering dilanda hujan. Ini menyebabkan kerap berlaku bah di Sungai Selangor.

kuala kubu

Sungai ini pula menjadi cetek oleh takungan tanah dan pasir yang mengalir akibat hujan dan kegiatan melombong di bahagian hulu sungai. Lama-kelamaan Sungai Selangor menjadi sebak dan apabila hujan lebat turun dan sungai ini banjir, empangannya tidak berdaya lagi membendung arus air yang deras, lalu roboh dan menenggelamkan seluruh pekan Kuala Kubu serta kawasan-kawasan sekitarnya.

Kejadian ini telah mengorbankan nyawa dan harta benda. Seramai 33 orang termasuk Cecil Ranking, Pegawai Daerah dan Majistret pertama Inggeris di daerah itu telah terkorban manakala 38 buah rumah hanyut. Satu-satunya mata pencarian penduduk kawasan itu iaitu mendulang bijih timah juga turut terjejas.

Tragedi pecahnya Empangan Kuala Kubu ini juga dikenali sebagai ‘Sejarah Kuala Kubu’. Akibat dari kejadian ini, Kuala Kubu sebagai sebuah mukim, pekan dan pusat pentadbiran jajahan Hulu Selangor tidak lagi wujud dalam sejarah. Pusat tersebut dipindahkan ke Rasa buat sementara.

Kuala Kubu dibuka pada kurun kelapan belas oleh orang-orang Melayu dan mereka merupakan perintis kepada kegiatan melombong bijih di daerah itu, sehingga dapat membina empangan besar untuk kerja-kerja mendulang bijih. Daerah ini juga pernah menjadi kubu pertahanan Raja Mahadi dan Syed Mashor menentang angkatan perang Tengku Kudin dalam Perang Saudara di Selangor pada tahun 1867-1874.

Usaha-usaha untuk membangunkan semula Kuala Kubu telah dibuat dan pada tahun 1931, lahirlah pekan Kuala Kubu Bharu yang kekal hingga ke hari ini sebagai pusat pentadbiran daerah Hulu Selangor, menggantikan Kuala Kubu Lama yang kini tinggal dalam kenangan. Kini Kuala Kubu Bharu ini terkenal dengan pusat latihan yang penting di Malaysia seperti Maktab Latihan Bomba Malaysia, Maktab Polis Diraja Malaysia dan Pusat Latihan Belia Negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard