perjanjian_haadyai-800px

Rundingan Damai Haadyai

2 Disember 1989 – Rundingan Damai Haadyai ditandatangani pada 2 Disember 1989 jam 11.30 pagi waktu Malaysia di antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM). Perjanjian damai bersejarah ini diadakan di Hotel Le Garden , Haadyai, Thailand.

Wakil Malaysia :

  • Datuk Wan Sidek Wan Abdul Rahman, Setiausaha Kementerian Dalam Negeri
  • Tan Sri Mohd. Hanif Omar – Ketua Polis Negara
  • Jeneral Hashim Mohd Ali – Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia

Wakil Thailand :

  • Jeneral Yodhana Yamphundi – Timbalan Pengarah Operasi Keselamatan Bahagian ke-4
  • Jeneral Chavalit Yongchaiyudh – Pengarah Operasi Keselamatan
  • Jeneral Sawaeng Therasawat – Ketua Pengarah Polis diraja Thailand.

Wakil PKM :

  • Chin Peng – Setiausaha Agung PKM
  • Abdullah C.D – Pengerusi PKM
  • Rashid Maidin – Komander Regimen ke-10

Turut hadir ialah :

  • Dato Megat Junid Megat Ayub – Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia
  • Ai Ying atau Zainon – isteri Chin Peng
  • Chan Tien – Komander Regimen ke-12 PKM
Wakil Parti Komunis Malaya
Wakil Parti Komunis Malaya

Isi Kandungan Rundingan Damai Haadyai

Antara kandungan utama Perjanjian Damai Haadyai ialah :

  • PKM berjanji untuk menamatkan perjuangan bersenjata mereka.
  • Parti Komunis Malaya dibubarkan
  • Senjata api hendaklah diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia atau Thailand atau dimusnahkan di hadapan pihak keselamatan.
  • Chin Peng selaku wakil ahi PKM berikrar taat setia kepada Yang diPertuan Agung Malaysia.
  • Ahli PKM akan mematuhi undang-undang negara Malaysia.
  • Artikel 3 perjanjian menetapkan bahawa Kerajaan Malaysia akan membenarkan bekas anggota Parti Komunis Malaya yang dilucutkan senjata untuk menetap di Malaysia sekiranya mereka mahu.
  • Artikel 3.1 menetapkan bekas anggota Parti Komunis Malaya yang memang berasal dari Malaysia akan dibenarkan menetap di Malaysia mengikut undang-undang Malaysia.
  • Artikel 4 perjanjian menetapkan bahawa kerajaan Malaysia akan membantu bekas bekas anggota Parti Komunis Malaya untuk memulakan hidup baru di Malaysia.

Di bawah perjanjian rundingan damai Haadyai ini, mana-mana ahli PKM yang ingin kembali ke Malaysia perlu mematuhi beberapa syarat seperti:

  • Memaklumkan hasrat untuk kembali ke Malaysia kepada pihak berkuasa di dalam tempoh tidak lebih setahun dari tarikh perjanjian ditandatangani;
  • Mengemukakan butir-butir berkaitan dengan pemohon;
  • Menjalani proses temuduga serta dokumentasi

Kerajaan tidak memaksa mana-mana anggota komunis untuk pulang ke negara ini. Mereka diberi kebebasan memilih sama ada untuk pulang atau terus tinggal di Selatan Thailand. Dengan pilihan tersebut, ternyata tidak semua bekas anggota komunis menerima tawaran untuk pulang ke Malaysia, malah ramai yang memilih untuk terus tinggal di Selatan Thailand.

Pelaksanaan Rundingan Damai Haadyai

Selepas perjanjian Rundingan Damai Haadyai dimeterai :

  • Kira-kira 1,188 anggota pasukan keselamatan bersenjata PKM yang berada di hutan sempadan Malaysia – Thailand akan keluar dari hutan dan memulakan hidup baru.
  • Di hutan Malaysia – Thailand terdapat 694 rakyat Malaysia, Indonesia, Singapura dan 2 bekas anggota tentera Jepun.
  • Kerajaan Malaysia membenarkan 380 338 bekas anggota komunis untuk pulang ke Malaysia sepanjang tempoh tawaran sekali sahaja di bawah perjanjian untuk menghentikan peperangan di antara kerajaan dan Parti Komunis Malaya (PKM). Seramai 431 ahli PKM memohon pulang ke Malaysia. Tetapi 338 diluluskan dan 93 ditolak kerana tidak memenuhi syarat perjanjian dan masalah daripada segi status kewarganegaraan. Nama mereka yang dibenarkan pulang tidak akan didedahkan demi keselamatan.
  • Kerajaan Malaysia berjanji untuk membayar subsidi kehidupan sebanyak RM 8,000 sekembali ke Malaysia dan wang saranan hidup sebanyak RM300 untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan di tanahair.

Dengan termetrinya Rundingan Damai Haadyai yang ditandatangani pada 2 Disember 1989, maka tamatlah permusuhan dan kegiatan-kegiatan bersenjata oleh Parti Komunis Malaya yang telah berjalan selama 40 tahun, 5 bulan dan 26 hari sejak bermulanya Darurat Tanah Melayu iaitu dari 16 Jun 1948 hingga 2 Disember 1989.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.