19 November 1824 – Pada tahun 1824, perjanjian antara Kompeni Inggeris atau yang disebut sebagai East India Company (E.I.C.) dengan Sultan Hussain Mohamed Shah dan Temenggong Abdul Rahman telah disahkan. Perjanjian E.I.C. – Johor disahkan oleh Gabenor General Inggeris di Fort William, India.
Dalam perjanjian ini pihak Kompeni Inggeris telah diwakili oleh John Crawford iaitu Residen Inggeris di Singapura. Mengikut perjanjian yang mengandungi 14 perkara ini, Sultan Hussain dan Temenggong Abdul Rahman bersetuju menyerahkan Pulau Singapura serta pulau-pulau yang di dalam lingkungan sepuluh batu dari pantainya kepada pihak Inggeris.
Sebagai gantinya Sultan Johor itu menerima wang hadiah sebanyak 33, 200 dollar Sepanyol dan gaji bulanan selagi ada hayat baginda sebanyak 1,300 dollar. Manakala Temenggong Abdul Rahman Sri Maharaja menerima wang hadiah sebanyak 26, 800 dollar Sepanyol dengan gaji bulanan sebanyak 700 dollar sepanjang hayatnya.
Selain daripada itu, jika Sultan Hussain dan Temenggong mahu berpindah keluar dari Singapura, Kompeni Inggeris akan membayar lagi kepada Sultan atau penggantinya sebanyak 20,000 dollar dan kepada Temenggong atau penggantinya 15,000 dollar Sepanyol. Terdahulu yang telah dibuat di antara Kompeni Inggeris dengan Sultan Hussain dan Temenggong Abdul Rahman adalah dianggap batal.
Akibat dari perjanjian ini Sultan Hussain telah kehilangan kuasa dan kedaulatan baginda ke atas Singapura.
Sumber : Arkib Negara Malaysia