Proton_Tanjung_malim_plant
Sejarah

Perasmian Kilang Proton Tanjung Malim

26 Februari 2005 – Kilang Proton Tanjung Malim telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 26 Februari 2005. Kilang baharu Perusahaan Otomobil Nasional Bhd. (Proton) Tanjung Malim ini berharga RM1.8 billion. Ia dibina di atas kawasan seluas 517 hektar.

Kilang ini dijangka dibuka pada Ogos 1998 ini ditangguhkan kerana krisis kewangan Asia 1997. Ia disambung semula pada tahun 2001 dan siap pada tahun 2003. Kilang ini mula beroperasi pada November 2003.

perasmian proton tg malim

Kilang Proton Tanjung Malim adalah sebahagian daripada projek Bandar Raya Proton yang meliputi kawasan seluas 4,000 ekar di Tanjung Malim dan terdiri daripada kawasan perumahan, komersial, institusi, industri dan rekreasi.

Kilang itu mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 150,000 kenderaan tetapi boleh dipertingkatkan kepada 1 juta unit pada masa akan datang. Kilang ini terdiri daripada lima bangunan utama iaitu Enjin & Transmisi (ETM), Tekan Tera, Pemasangan Badan, Mengecat dan Trim dan Pemasangan Akhir. Kilang Proton Tanjung Malim ini melengkapi kilang asal Proton beroperasi sejak 1985 yang terletak di Shah Alam, Selangor.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
aminuddin_baki
Sejarah

Aminuddin Baki Meninggal Dunia

24 Februari 1965 – Dato’ Seri Aminuddin Baki adalah anak Melayu pertama dan termuda (berusia 36 tahun ketika itu) yang menjadi Ketua Pengarah Pendidikan. Beliau juga diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai perancang pendidik yang bijaksana dan berpandangan jauh di Asia oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO). Dato’ Seri Aminuddin Baki telah kembali kerahmatullah pada 24 Disember 1965.

Aminuddin Baki

Sejarah Awal Pendidikan

Allahyarham Aminuddin Baki dilahirkan di Chemor, Perak pada 26 Januari 1926. Beliau memulakan alam persekolahan pada tahun 1932 di Sekolah Melayu Chemor hingga darjah lima. Seterusnya beliau meneruskan pendidikan di Special Malay Class dan Sekolah Anderson, Ipoh yang merupakan sekolah Inggeris terbaik di Ipoh pada masa itu.

Pada Oktober 1947 setelah lulus peperiksaan Cambridge School Certificate, Aminuddin telah melanjutkan pelajarannya di Raffles College, Singapura.

Pada tahun 1949 beliau masuk ke Universiti Malaya, Singapura dan memperolehi Ijazah Sarjana Sastera dengan Kepujian pada tahun 1951.

Pada tahun 1951 Aminuddin Baki kembali ke Perak dan menjadi guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusuf di Batu Gajah dan kemudiannya berkhidmat di Sekolah Anderson hingga Julai 1952.

Pada Oktober 1952, Aminuddin Baki ditawarkan Queen’s Scholaship bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan di Institute of Education, University of London dan lulus dengan Master of Methods julai 1953.

aminuddin_baki

Kerjaya Dan Sumbangan

Sekembalinya ke tanah air, beliau bertugas sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris. Beliau juga menjadi pensyarah sambilan di Kolej Islam dan berkhidmat sebagai Pegawai Pelajaran di Selangor.

Pada September 1955, Aminuddin Baki terlibat dalam menyediakan Laporan Pendidikan Razak. Pada tahun 1960 pula beliau telah dipilih sebagai ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Abdul Rahman Talib.

Pada tahun 1962 beliau telah dilantik menjadi Ketua Pegawai Pendidikan Selangor. Seterusnya dilantik menjadi Ketua Penasihat Pendidikan Malaysia (kini dikenali sebagai Ketua Pengarah Pendidikan).

Antara sumbangan Aminuddin Baki :

  • Memperkenalkan Sejarah Islam kepada guru-guru pelatih di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. (tetapi tidak termasuk dalam sukatan pelajaran)
  • Melibatkan diri dalam penyediaan Penyata Razak pada tahun 1955.
  • Menjadi ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Rahman Talib pada tahun 1960:
  • Mewujudkan Sijil rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
  • Menubuhkan Lembaga Peperiksaan Malaysia.

institut_aminuddin_baki

Allahyarham Dato’ Seri Aminuddin Baki meninggal dunia pada 24 Disember 1965 ketika berusia 39 tahun kerana diserang penyakit jantung selepas menunaikan sembahyang. Sebagai mengenang jasa beliau banyak sekolah dan institusi di Malaysia telah dinamakan sempena namanya. Salah satu daripadanya adalah Yayasan Aminuddin Baki telah ditubuhkan dan dilancarkan pada 5 Februari 1966.

Pada 26 November 2015, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengurniakan darjah kebesaran Darjah Seri Paduka Mahkota Perak secara anumerta sempena hari keputeraan Sultan Perak bagi mengenang jasa Allahyarham Dato’ Seri Aminuddin Baki.

Tiada miskin seorang pelajar kerana sedikit harta dan keluarga

Tetapi miskin seorang pelajar kerana sedikit ilmu dan amal

Tiada kaya seorang hartawan kerana banyak harta dan keluarga

Tetapi kaya seorang hartawan kerana banyak ilmu dan amal

– Allahyarham Dato’ Seri Aminuddin Baki

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
upsi-800px
Sejarah

Pembukaan Maktab Perguruan Sultan Idris

29 November 1922 – Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim telah dirasmikan pembukaannya oleh Ketua Setiausaha bagi Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, W.G. Maxwell pada tahun 1922. Pembukaan Maktab Perguruan Sultan Idris merupakan puncak pelajaran anak-anak Melayu ketika itu, terutama bagi pelajar-pelajar lepasan sekolah-sekolah Melayu yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi dari setakat darjah enam. Keputusan untuk menubuhkan Maktab ini dibuat dalam Mesyuarat Residen-residen British pada 10 Mei 1917.

Keputusan tersebut diambil berdasarkan laporan mengenai perkara itu yang dicadangkan oleh Penolong Pengarah Pelajaran Negeri-negeri Selat dan Negeri-negcri Melayu Bersekutu, R.O. Winstedt. Beliau juga mencadangkan maktab ini diberi nama Maktab Perguruan Sultan Idris, sebagai satu penghormatan kepada DYMM Sultan Idris, iaitu Sultan Perak kerana minat yang ditunjukkan oleh Baginda dalam perkembangan pelajaran di negeri itu khususnya bagi pelajaran anak-anak Melayu.

Kerja-kerja membina maktab ini bermula dalam tahun 1919 dan siap pada tahun 1922. Sekumpulan 120 orang telah menjadi pelajar perintis maktab ini. Pengetuanya yang pertama ialah O.T. Dussek dan tenaga pengajar lain terdiri daripada tujuh orang guru Melayu, tiga orang Eropah dan seorang guru anyaman berbangsa Filipina. Tujuan utama penubuhan maktab ini ialah untuk menyediakan guru-guru yang dapat memajukan bidang pertanian, pertukangan dan anyaman apabila mereka pulang ke kampung. Pelajaran pertanian asas merupakan matapelajaran utama.

Walau bagaimanapun, pelatih-pelatih lepasan MPSI telah mencapai kejayaan lebih jauh dari matlamat penubuhannya. Pengaruh buku-buku Indonesia dan Sejarah Alam Melayu yang terdapat di maktab itu telah menanam bibit-bibit kesedaran kebangsaan di kalangan beberapa orang pelajar hingga melahirkan tokoh-tokoh politik yang terkemuka seperti Ibrahim Yaakub, Senu Abdul Rahman, Abdul Ghaffar Baba, Abdul Rahman Talib dan lain-lain lagi.

Di samping tokoh-tokoh politik, MPSI juga telah melahirkan sasterawan terkenal tanahair dan juga tokoh-tokoh dalam bidang pendidikan seperti Harun Aminurrashid, Abdullah Sidik, Masuri, S.N. Kemala, A. Wahab Ali, Awang Had Salleh dan Atan Long.

Jabatan Karang-Mengarang yang ditubuhkan di maktab tersebut dalam tahun 1925, membantu melahirkan tokoh-tokoh berkenaan khususnya di bidang kesusasteraan. Jabatan ini bergiat cergas menerbitkan berbagai- bagai jenis buku pelajaran, buku-buku terjemahan dan karya asli pelajar-pelajar sendiri.

MPSI terus berkembang dari semasa ke semasa mengikut peredaran zaman. la kini membuka pintunya kepada pelajar-pelajar perempuan, memecahkan tradisi lama maktab yang hanya mengambil pelajar lelaki.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Gerakan Menentang Komunis Terbesar Di Tanjung Malim

25 Ogos 1957 – Pada tahun 1957, dua ribu orang penduduk Tanjung Malim telah mengadakan satu gerakan menentang komunis.

Ia merupakan gerakan menentang komunis terbesar yang pernah diadakan di Tanah Melayu sejak ia dilancarkan.

Di dalam gerakan ini juga seramai dua ribu orang awam telah memasuki hutan belantara dan telah berjaya menyerbu lima orang pengganas komunis yang terdapat di hutan Tanjung Malim.

Pada masa yang sama juga pihak berkuasa telah menggunakan kapal terbang dan pembesar suara bagi mengarahkan pengganas komunis ini untuk menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Gerakan menentang komunis terbesar ini telah dilaksanakan selama 4 jam dari 9.00 pagi sehinggalah pukul 12.00 tengah hari melibatkan kawasan seluas 30,000 ela persegi.

Ia telah disertai oleh anggota-anggota Jawatankuasa Rakyat Setia Tanjung Malim dan mendapat perlindungan daripada askar-askar dari Batalion ke-5 Askar Melayu serta 13 unit Pasukan Polis Persekutuan serta tentera udara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
upsi-800px
Sejarah

Kongres Melayu Se Tanah Melayu

06 Ogos 1939 – Pada tahun 1939, Kongres Melayu Se Tanah Melayu telah diadakan di Kuala Lumpur. Persidangan yang julung-julung kalinya diadakan ini telah berjaya menghimpunkan Persatuan-Persatuan Melayu dari seluruh Tanah Melayu.

Penubuhan Maktab Sultan Idris Tanjung Malim pada tahun 1922 telah berjaya melahirkan ramai pemimpin-pemimpin dikalangan orang-orang Melayu, dan telah menjadi pemangkin kepada munculnya Persatuan-persatuan Melayu yang bersifat politik dan kebangsaan pada tahun 30-an.

Antara persatuan-persatuan Melayu yang telah ditubuhkan ialah Persatuan Sahabat Pena Melayu (PASPAM) pada tahun 1934 diikuti dengan Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada tahun 1937.

Kongres Melayu Se Tanah Melayu ini dilangsungkan atas daya usaha Tengku Ismail bin Tengku Mohd. Yasin, Yang Dipertua Persatuan Melayu Selangor dengan tujuan untuk mempersekutukan Persatuan-persatuan Melayu yang wujud pada ketika itu.

Kongres Melayu Pertama ini, telah dihadiri oleh enam buah Persatuan di antaranya Persatuan Melayu Singapura, Pahang, Negeri Sembilan, dan Seberang Perai.

Kongres Melayu Se Tanah Melayu yang pertama kali diadakan ini telah menjadi pencetus kepada kebangkitan kesedaran kebangsaan orang-orang Melayu untuk memerdekakan tanah air daripada cengkaman penjajahan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard