aminuddin_baki

Aminuddin Baki Meninggal Dunia

24 Februari 1965 – Dato’ Seri Aminuddin Baki adalah anak Melayu pertama dan termuda (berusia 36 tahun ketika itu) yang menjadi Ketua Pengarah Pendidikan. Beliau juga diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai perancang pendidik yang bijaksana dan berpandangan jauh di Asia oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO). Dato’ Seri Aminuddin Baki telah kembali kerahmatullah pada 24 Disember 1965.

Aminuddin Baki

Sejarah Awal Pendidikan

Allahyarham Aminuddin Baki dilahirkan di Chemor, Perak pada 26 Januari 1926. Beliau memulakan alam persekolahan pada tahun 1932 di Sekolah Melayu Chemor hingga darjah lima. Seterusnya beliau meneruskan pendidikan di Special Malay Class dan Sekolah Anderson, Ipoh yang merupakan sekolah Inggeris terbaik di Ipoh pada masa itu.

Pada Oktober 1947 setelah lulus peperiksaan Cambridge School Certificate, Aminuddin telah melanjutkan pelajarannya di Raffles College, Singapura.

Pada tahun 1949 beliau masuk ke Universiti Malaya, Singapura dan memperolehi Ijazah Sarjana Sastera dengan Kepujian pada tahun 1951.

Pada tahun 1951 Aminuddin Baki kembali ke Perak dan menjadi guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusuf di Batu Gajah dan kemudiannya berkhidmat di Sekolah Anderson hingga Julai 1952.

Pada Oktober 1952, Aminuddin Baki ditawarkan Queen’s Scholaship bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan di Institute of Education, University of London dan lulus dengan Master of Methods julai 1953.

aminuddin_baki

Kerjaya Dan Sumbangan

Sekembalinya ke tanah air, beliau bertugas sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris. Beliau juga menjadi pensyarah sambilan di Kolej Islam dan berkhidmat sebagai Pegawai Pelajaran di Selangor.

Pada September 1955, Aminuddin Baki terlibat dalam menyediakan Laporan Pendidikan Razak. Pada tahun 1960 pula beliau telah dipilih sebagai ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Abdul Rahman Talib.

Pada tahun 1962 beliau telah dilantik menjadi Ketua Pegawai Pendidikan Selangor. Seterusnya dilantik menjadi Ketua Penasihat Pendidikan Malaysia (kini dikenali sebagai Ketua Pengarah Pendidikan).

Antara sumbangan Aminuddin Baki :

  • Memperkenalkan Sejarah Islam kepada guru-guru pelatih di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. (tetapi tidak termasuk dalam sukatan pelajaran)
  • Melibatkan diri dalam penyediaan Penyata Razak pada tahun 1955.
  • Menjadi ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Rahman Talib pada tahun 1960:
  • Mewujudkan Sijil rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
  • Menubuhkan Lembaga Peperiksaan Malaysia.

institut_aminuddin_baki

Allahyarham Dato’ Seri Aminuddin Baki meninggal dunia pada 24 Disember 1965 ketika berusia 39 tahun kerana diserang penyakit jantung selepas menunaikan sembahyang. Sebagai mengenang jasa beliau banyak sekolah dan institusi di Malaysia telah dinamakan sempena namanya. Salah satu daripadanya adalah Yayasan Aminuddin Baki telah ditubuhkan dan dilancarkan pada 5 Februari 1966.

Pada 26 November 2015, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengurniakan darjah kebesaran Darjah Seri Paduka Mahkota Perak secara anumerta sempena hari keputeraan Sultan Perak bagi mengenang jasa Allahyarham Dato’ Seri Aminuddin Baki.

Tiada miskin seorang pelajar kerana sedikit harta dan keluarga

Tetapi miskin seorang pelajar kerana sedikit ilmu dan amal

Tiada kaya seorang hartawan kerana banyak harta dan keluarga

Tetapi kaya seorang hartawan kerana banyak ilmu dan amal

– Allahyarham Dato’ Seri Aminuddin Baki

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.