Sir_Frank_Swettenham_1904-800px
Sejarah

Frank Swettenham Menamatkan Tugasnya Sebagai Residen General Negeri-Negeri Melayu Bersekutu

12 Disember 1901 – Frank Swettenham telah menamatkan tugasnya sebagai Residen General Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang meliputi Negeri-negeri Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang pada tahun 1901. Beliau telah memulakan perkhidmatan pada 1 Januari 1901 sebagai Residen General pertama Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang ditubuhkan dalam tahun 1896.

frank swettenham

Sir Frank Athelstane Swettenham dilahirkan di Belper, Derbyshire, England sebagai anak keempat James Oldham Swettenham, Swettenham menjadi kadet Perkhidmatan Awam Negeri-Negeri Selat pada tahun 1870. Tiba di Singapura pada Januari 1871, beliau lulus dalam peperiksaan akhir pengajian Melayu pada Julai 1872 dan menjadi Penolong Pemungut Hasil Tanah. Beliau merupakan salah satu daripada hampir empat puluh orang pegawai Empayar British yang menentang Malayan Union.

Sebelum beliau dilantik sebagai Residen General Negeri-negeri Melayu Bersekutu, beliau juga pernah memangku dan memegang jawatan Residen Selangor dari 2 Oktober 1882 sehingga 31 Mei 1889. Beliau turut memangku jawatan Residan Perak pada masa yang sama juga iaitu dari 22 Mac 1884 sehingga Januari 1886. Manakala dari 1 Jun 1889 hingga 30 Jun, Frank Swettenham telah dilantik sebagai Residen Perak. Beliau kemudiannya telah digantikan oleh W.H. Treacher yang mula bertugas pada 13 Disember 1901.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jata_johor-800px
Sejarah

Perjanjian Persahabatan Kerajaan Johor Dengan Inggeris

11 Disember 1885 – Pada tahun 1885, satu perjanjian persahabatan di antara kerajaan Johor dengan Inggeris telah ditandatangani di Pejabat Tanah Jajahan Inggeris di London. Perjanjian itu dimeterai oleh Maharaja Abu Bakar bagi pihak kerajaan Johor dan Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan, Frederick Arthur Stanley, yang mewakili kerajaan Inggeris.

Dengan termaktubnya perjanjian itu negeri Johor bersetuju menerima seorang pegawai Inggeris yang berjawatan sebagai kaunselor di negeri itu. Apabila Frederick Weld dilantik menjadi Gabenor Negeri-negeri Selat pada tahun 1880, beliau telah berusaha untuk meluaskan dan menguatkan lagi dasar penjajahan Inggeris di negeri-negeri Melayu. Tumpuan perhatiannya adalah ke atas negeri Johor.

Johor-AbuBakar

Pada tahun 1884, beliau telah mencadangkan kepada kerajaan Inggeris supaya memperbaharui dasar Inggeris ke atas negeri Johor yang merdeka dan menjalankan pemerintahan sendiri. Beliau juga mencadangkan supaya dilantik seorang Residen Inggeris untuk mentadbir negeri itu, seperti yang terdapat di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

Maharaja Abu Bakar merasa terkejut mendengar cadangan Gabenor Federick Weld itu, lalu baginda membuat keputusan berangkat segera ke England untuk menemui Setiausaha Jajahan British di London. Pada bulan Mei, 1885 Maharaja Abu Bakar dan rombongannya tiba di London. Sepanjang rundingannya dengan kerajaan Inggeris di London, baginda telah dibantu oleh Setiausaha baginda, Datuk Seri Amar Diraja Abdul Rahman yang fasih berbahasa Inggeris dan sungguh faham dengan tipu muslihat penjajah Inggeris.

Rundingan berjalan sehingga enam bulan dan akhirnya pada hari ini dalam tahun 1885, perjanjian persahabatan tersebut telah ditandatangani. Antara lain perjanjian itu menyatakan bahawa Johor tidak akan mencampuri urusan politik dan pentadbiran di negeri-negeri Melayu yang lain dan Inggeris mengakui Maharaja Johor dan keturunan baginda sebagai waris takhta Johor. Dengan termeterainya perjanjian ini, maka terselamatlah Johor dibawah pemerintahan secara Residen.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
bendera_negeri_negeri_bersekutu-800px
Sejarah

Perjanjian Mengenai Pembentukan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu

12 Jun 1895 – Pada tahun 1895, satu perjanjian telah ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu, empat buah negeri iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan dengan pihak British bagi membentuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan bernaung di bawah panji-panji British. Perjanjian ini dibuat akibat daripada tercetusnya beberapa kekacauan dan perebutan kuasa yang berlaku di keempat-empat buah negeri tersebut.

Mohor_Negeri-negeri_Melayu_Bersekutu

Perjanjian yang mengandungi enam fasal ini antaranya menyentuh tentang persetiaan dan perakuan Raja-Raja Melayu menjadikan negerinya sebagai satu jemaah yang bernama Negeri-negeri Melayu yang bernaung di bawah bendera dan nasihat Kerajaan Queen. Raja-raja Melayu juga tidak boleh menjalankan kuasanya dalam negeri lain selain negerinya.

Di samping itu Raja-Raja Melayu diminta menerima pegawai Inggeris bergelar Residen-Jeneral sebagai penasihat dan mereka hendaklah memberi pertolongan kepada pihak Inggeris apabila diminta berbuat demikian. Pihak Inggeris juga menegaskan bahawa perjanjian ini tidak akan mengubah atau mengurangkan kuasa mana-mana Raja Melayu dalam negerinya.

Berikutan termeterainya perjanjian Pembentukan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ini maka bermulalah campur tangan Inggeris ke atas negeri-negeri Melayu hingga Tanah Melayu mendapat kemerdekaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Coat_of_arms_of_Perak-800px
Sejarah

Perjanjian Tambahan Perak Dengan Belanda 1759

03 Jun 1759 – Pada tahun 1759, perjanjian tambahan Perak dengan Belanda mengenai perdagangan telah ditandatangani di Kota Lumut di antara Sultan Perak yang ke 15, Sultan Sri Iskandar Zulkarnain dengan Syarikat Hindia Timur Belanda yang diwakili oleh Kapten Jansz Visboom.

Perjanjian ini merupakan tambahan 2 fasal baru kepada perjanjian asal yang telah ditandatangani pada 13 Mac 1753, di antara Sultan Sri Iskandar Zulkarnain dengan Thomas Schippers, seorang saudagar yang juga merupakan Pesuruhjaya Syarikat Hindia Timur Belanda. Dua fasal baru yang telah dikemukakan adalah seperti berikut:

  • Fasal 1 – Sultan Perak serta semua pembekal dan saudagar bijih timah akan menghantar bekalan mereka ke Kubu Belanda untuk ditimbang dengan menggunakan alat penimbang dan alat pengukur syarikat.
  • Fasal 2 – adalah Fasal tambahan kepada artikel 6 dalam perjanjian asal di mana Sultan diminta supaya membenarkan kapal kepunyaan baginda diperiksa oleh Belanda bagi mengelakkan penyeludupan. Jika sekiranya dijumpai bijih timah di dalamnya, tanpa persetujuan pihak Belanda, bijih timah itu akan dirampas tetapi kapal baginda dikembalikan.

Perjanjian tambahan ini menyelesaikan perselisihan faham di antara Sultan Perak dan Gabenor Belanda di Melaka yang terjadi selepas perjanjian pada tahun 1753.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
voc-800px
Sejarah

Orang-Orang Perak Menyerang Angkatan Laut Belanda

27 Mei 1658 – Pada tahun 1658, satu pertempuran telah berlaku apabila orang-orang Perak menyerang angkatan laut Belanda. Pertempuran ini berlaku ketika kapal-kapal laut Belanda yang diketuai oleh Joan Truitmans sedang menghalang Perak daripada menjalankan perdagangan dengan saudagar-saudagar asing. Belanda mengambil tindakan demikian kerana tidak berpuashati terhadap orang-orang Perak yang kerap melanggar syarat-syarat perjanjian persahabatan dan perdagangan yang dibuat di antara kedua pihak dalam tahun-tahun 1650, 1653 dan 1655.

Orang-orang Perak menganggap perjanjian-perjanjian itu adalah tidak sah kerana perjanjian itu dibuat secara paksa dan juga kerana perbezaan agama. Perjanjian-perjanjian yang ditandatangani oleh Sultan Perak adalah kerana desakan Acheh dan mereka menganggap campur tangan Belanda telah menggugat kepentingan mereka yang mengamalkan perdagangan bercorak bebas. Syarat-syarat perjanjian perdagangan bijih timah misalnya hanya menguntungkan Belanda. Belanda telah mengenakan harga dagangan yang rendah dan gantirugi yang dibayar tidak menyenangkan orang-orang Perak.

Secara senyap mereka terus menjalankan perdagangan dengan saudagar-saudagar asing. Oleh kerana tidak puas hati orang-orang Perak kerap kali menyerang loji-loji perniagaan dan kapal-kapal Belanda di Kuala Sungai Perak dalam tahun-tahun 1651 hingga 1657.

Akibat dari itu, Belanda telah mengepung dan mengawasi perairan Perak untuk menghalang sebarang perdagangan tempatan. Ini menyebabkan orang-orang Perak menyerang dan membakar loji-loji perniagaan Belanda pada 23 April 1658 di Kuala Bernam dan berjaya melumpuhkan kegiatan Belanda di situ.

Pada hari ini dalam tahun 1658, dengan tujuh buah kapal perang dan 30 buah kapal-kapal kecil, orang-orang Perak menyerang angkatan laut Belanda yang sedang mengepung perairan Perak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
ipoh-800px
Sejarah

Sultan Azlan Isytihar Ipoh Sebagai Bandaraya

27 Mei 1988 – Pada tahun 1988 DYMM Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan telah mengisytiharkan Bandar Ipoh sebagai bandaraya.

Sejarah pentadbiran bandar Ipoh bermula apabila pada tahun 1889, hospital mula dibina di antara kawasan stesen keretapi dan Balai Polis Pusat. Pada tahun 1893, akibat kepesatan pembangunan berlaku dan ‘Ipoh Sanitary Board’ diwujudkan dan Ipoh merupakan bandar yang terbesar di negeri Perak dan kedua besarnya di Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1895. Di antara tahun 1905-1914, kawasan pentadbiran bandar Ipoh berkembang hingga menyeberangi sungai kinta dan wujudnya Ipoh New Town ke jalan Anderson.

Pada tahun 1905-1915, ‘Kinta Saitary Board North’ telah diwujudkan dan pada tahun 1916-1941 ‘Kinta District Board’ diwujudkan, diketuai oleh A.S Jelf di bawah pentadbiran ‘British Military Administration’. Manakala dalam tahun 1946-1954, ‘Kinta Town Board’ telah wujud bermula di bawah penyelarasan Major J.S Drake dan pada tahun 1954-1956, G.S Walker menjadi pengerusi. ‘Ipoh Mengelembu Town Council’ ditubuhkan pada tahun 1957-1962 diketuai oleh Encik Abdullah Bin Uni.

Pada 31 Mei 1962, Ipoh dinaikkan ke taraf perbandaran dan dikenali sebagai Majlis Perbandaran Ipoh dan diisytiharkan oleh DYMM Sultan Yusuf Izzudin. Sebagai Ibu negeri, Ipoh merupakan pusat pentadbiran, perdagangan, sukan, kebudayaan, kewangan, politik,keagamaan dan juga pendidikan dan kini Majlis Bandaraya Ipoh terus berusaha untuk menjadikan Bandaraya Ipoh sebagai bandaraya yang dinamik dan unggul.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
sekolah_pertanian_serdang-800px
Sejarah

Pembukaan Sekolah Pertanian Serdang

21 Mei 1931 – Pada tahun 1931, Sekolah Pertanian Serdang telah dibuka dengan rasminya oleh Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Bersekutu Tuan John Scott. Turut hadir menyaksikan upacara ini ialah Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Raja Muda Perak, dan Undang Rembau.

Penubuhan Sekolah Pertanian yang berkeluasan 8.8 hektar di kawasan Serdang, Selangor ini bertujuan untuk menyediakan pegawai-pegawai bagi Jabatan Pertanian. Perancangan pembinaan sekolah yang berharga RM370,000 ini mengambil masa selama 18 tahun. Bangunan yang direkabentuk oleh arkitek dari Jabatan Kerja Raya Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ini mampu menampung seramai 80 orang penuntut dan mengendalikan kursus di peringkat diploma selama 3 tahun dan kursus sijil selama setahun.

sekolah_pertanian_serdang-800px

Sekolah Pertanian Serdang

Pada 23 Jun 1942, Sekolah Pertanian ini telah dinaikkan taraf menjadi Maktab Pertanian Malaya dengan upacara pengisytiharannya telah dilakukan oleh Gabenor Sir Edward Gent. Akhirnya pada 4 Oktober 1971, maktab ini telah dinaikkan taraf dan diisytiharkan menjadi Universiti Pertanian Malaysia.

Perkembangan sekolah pertanian ini adalah sejajar dengan sumbangan besar sektor pertanian kepada ekonomi negara pada peringkat awal kemerdekaan negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
pilihanraya_1969-800px
Sejarah

Penentuan Lambang Parti-Parti Politik

14 Mei 1955 – Pada tahun 1955 parti-parti politik yang akan bertanding dalam pilihanraya Persekutuan Tanah Melayu yang pertama pada 27 Julai 1955 telah menentukan pemilihan lambang parti masing-masing.

Lambang Parti Negara

Lambang Parti Negara

Di dalam pemilihan lambang-lambang parti ini parti Perikatan UMNO-MCA telah memilih Kapal Layar sebagai lambangnya; Parti Negara memilih Tangkai Padi; Parti Islam Se Tanah Melayu berlambangkan Bulan Sabit dengan Bintang; manakala Parti Buruh Malaya memilih lambang Cangkul dan Pen yang berpalang.

Lambang Parti Buruh Malaya

Lambang Parti Buruh Malaya

Parti Kebangsaan Perak (Perak National Party) iaitu parti pimpinan Menteri Besar Perak, Dato’ Panglima Bukit Gantang Hj. Abd. Wahab, dan Parti Buruh Province Wellesley yang dipimpin oleh Puan B. H. Onn seorang peguam dan ahli Majlis Perundangan Persekutuan memilih Harimau dan Jambatan sebagai lambang parti masing-masing.

pilihanraya_1955-800px

Untuk menjayakan pilihanraya ini Pendaftar Pilihanraya Persekutuan telah menyiapkan daftar senarai pengundi-pengundi bagi Majlis Perundangan Persekutuan yang dianggarkan berjumlah lebih sedikit 1,280,000 orang. Selain daripada itu, Johor, Melaka, Perak dan Pulau Pinang telah mengeluarkan sendiri daftar pengundi masing-masing; manakala bagi negeri-negeri yang lain telah dihantarkan salinan stensil.

Inilah pertama kalinya lambang-lambang parti telah dipilih untuk pilihanraya di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Bahasa Melayu Pertama Kali Digunakan Sepenuhnya Di Dewan Undangan Negeri Perak

02 Mei 1967 – Pada tahun 1967, buat pertama kalinya persidangan di Dewan Undangan Negeri Perak menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya. Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Dato’ Mohamed Ali Zaini bin Haji Mohamed Zain meminta supaya ahli-ahli dewan menggunakan Bahasa Melayu walaupun dalam bahasa pasar. Beliau juga telah menggantung peraturan-peraturan tetap supaya ahli-ahli dewan boleh membaca ucapan-ucapan yang disediakan dalam bahasa Melayu.

Ahli-ahli dewan daripada parti pembangkang iaitu daripada Parti Progresif Rakyat hanya 3 dari 5 orang ahlinya yang hadir. Bagaimanapun mereka meninggalkan dewan selepas rehat tanpa mengambil bahagian dalam perbahasan.

 

Dalam perbahasan pada hari tersebut, dewan juga telah meluluskan anggaran belanjawan tambahan pembangunan negeri yang dibentangkan oleh Menteri Besar Perak Dato’ Ahmad Said. Sewaktu menangguhkan persidangan pada hari tersebut, Speaker Dato’ Mohamed Ali Zaini telah menyatakan rasa sukacitanya kerana ahli-ahli dewan telah menggunakan Bahasa Melayu dalam perbahasan di dewan yang mulia itu.

Dengan ini bermakna bahasa kebangsaan sebenarnya dapat digunakan dalam semua perbahasan di dalam dewan sekiranya ada kesungguhan di kalangan ahli-ahli dewan tersebut.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Sejarah

Haji Abdullah Fahim Meninggal Dunia

28 April 1961 – Seorang ulama dan pemimpin besar tanahair Tuan Haji Abdullah Fahim bin Syeikh Ibrahim yang juga merupakan datuk kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1961. Allahyarham yang dilahirkan pada tahun 1880 di Mekah merupakan tokoh ulama yang tidak dapat disangkal ketinggian ilmunya.

Tuan_Haji_Abdullah_Fahim

Haji Abdullah Fahim telah banyak memberi jasa dan sumbangan kepada perkembangan Islam dan politik di Seberang Perai, Pulau Pinang. Pada tahun 1932 sehingga 1948, beliau pernah menjadi Pengetua di Madrasah Idrisiah yang terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak. Beliau juga menjadi Mufti Pulau Pinang yang pertama iaitu pada tahun 1951 hingga 1956. Dalam sejarah kemerdekaan negara, Haji Abdullah Fahim merupakan ulama yang telah menentukan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Tunku Abdul Rahman beranggapan bahawa beliau perlu berjumpa dengan Haji Abdullah Fahim yang pada pendapatnya mempunyai firasat dan kasyaf agar tarikh yang baik dapat dipilih bagi kemerdekaan Tanah Melayu. Di samping itu beliau juga telah mengambil bahagian yang cergas dalam perjuangan untuk memerdekakan Malaya. Tuan Haji Abdullah Fahim telah mencadangkan 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan selepas membuat pengiraan hisab berdasarkan takwim Hijrah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard