malacca_dutch-800px
Sejarah

Belanda Mula Menyerang Melaka Hingga Berjaya

02 Ogos 1640 – Pada tahun 1640, angkatan perang Belanda mula menyerang Melaka sehinggalah mereka berjaya menewaskan orang-orang Portugis menakluk Melaka pada 16 Januari 1641.

Sebelum Belanda menyerang Portugis di Melaka, mereka telah menakluk beberapa pusat perdagangan yang dikuasai oleh Portugis di Sri Lanka. Kejayaan Belanda ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi kekuatan Belanda untuk menakluk Portugis di Melaka yang merupakan musuh warisan mereka.

Belanda juga ingin menebus kegagalan Admiral Matalief menakluk Melaka dalam tahun 1606 dan juga kegagalan Van Der Haghen dalam tahun 1615.

Mulai dari tahun 1653, angkatan laut Belanda telah mengepung Selat Melaka dengan pertolongan orang-orang Selat (Sea gypsies). Dalam masa yang sama angkatan Belanda juga telah berjaya menyerang dan menawan kapal-kapal Portugis di Selat Melaka.

Seterusnya Gabenor General Belanda di Betawi, Antonio Van Diemen telah membuat rancangan untuk menakluk Melaka secara besar-besaran pada bulan Mei 1640.

Angkatan Belanda tiba di Melaka pada awal bulan Jun dan setelah membuat perancangan yang teliti mereka mula menyerang Portugis di Melaka pada hari ini dalam tahun 1640.

Dalam serangan Belanda ke atas Portugis di Melaka ini Kerajaan Johor sebagaimana yang telah dijanjikan telah membantu Belanda dengan menghantar 40 buah perahu membawa seramai lebih kurang 1,500 orang askar Melayu di bawah pimpinan Laksamana Tun Abdul Jamil.

Setelah lebih kurang enam bulan lamanya Kota Melaka dikepung dan diserang oleh askar-askar Belanda yang dibantu oleh askar-askar Johor itu hingga berlakunya kekurangan makanan dalam Kota Melaka, maka akhirnya pada 14 Januari 1641 angkatan perang Belanda pun berjaya menakluk Melaka.

Dengan kejayaan Belanda ini maka berakhirlah pemerintahan Portugis di Melaka selama lebih kurang 130 tahun di bumi Melayu itu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
dutch_war1-800px
Sejarah

Selangor Ditawan Oleh Belanda

02 Ogos 1784 – Pada tahun 1784, Selangor ditawan oleh Belanda yang memulakan serangan pada 13 Julai 1784. Kemenangan Belanda ke atas pusat pemerintahan di Kuala Selangor itu menyebabkan Sultan Ibrahim, Sultan Selangor pada masa itu bersama para pembesar dan pengikutnya berundur ke negeri Pahang.

Serangan Belanda ke atas Selangor ini adalah sebagai membalas serangan Selangor ke atas kedudukan Belanda di Melaka.

Ini kerana semasa peperangan Kerajaan Melayu Johor-Riau dengan Belanda, Sultan Ibrahim yang bersimpati dengan Johor telah membantu menyerang Belanda di Melaka di mana Belanda hampir-hampir tewas dalam tahun 1783 sekiranya tidak mendapat bantuan dari Betawi, Jawa.

Dengan penguasaan Belanda ke atas Selangor selepas mengharungi peperangan sengit, Belanda telah memperkuatkan lagi Kota di Kuala Selangor yang terletak di atas Bukit Melawati.

Untuk beberapa waktu Belanda juga menguasai perjalanan lalulintas Selat Melaka dan menguasai perdagangan bijih timah dan gambir.

Walau bagaimanapun dengan bantuan tentera Bendahara Pahang, Sultan Ibrahim telah menyerang dan menawan semula ibu negerinya Kuala Selangor dari tangan Belanda dalam tahun 1785.

Dengan kekalahan Belanda ini, Sultan Ibrahim dapat menegakkan kembali Kerajaan Melayu Selangor. Baginda juga kemudiannya telah memperbaiki dan memperkuatkan lagi Kota Melawati sebagai tempat kawalan dan pertahanan kerajaannya dari sebarang serangan dari luar dan masa hadapan.

Kemenangan Belanda ke atas Selangor pada hari ini dalam tahun 1784 adalah bersifat sementara sahaja kerana pada 28 Jun 1785 Selangor telah menewaskan Belanda semula dan mengusir penceroboh itu dari tanah airnya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
voc-800px
Sejarah

Pembaharuan Perjanjian Perdagangan Selangor – Belanda

29 Julai 1790 – Pada tahun 1790 Sultan Selangor, Sultan Ibrahim telah membuat pembaharuan perjanjian perdagangan Selangor – Belanda sebagai lanjutan daripada perjanjian yang telah ditandatangani empat tahun terdahulu.

Dalam tahun 1786 itu Sultan Ibrahim telah terpaksa menandatangani perjanjian ini setelah Kuala Selangor dikepung oleh kapal-kapal Belanda selama lebih kurang setahun.

Pengepungan orang-orang Belanda ke atas Kuala Selangor adalah bertujuan untuk mendapatkan kembali Kuala Selangor setelah dikalahkan oleh Sultan Ibrahim pada 28hb Jun 1785.

Kedudukan Belanda mula tergugat apabila pihak Inggeris telah mula bertapak di Pulau Pinang dan mula menumpukan perhatiannya kepada negeri-negeri di pantai barat Tanah Melayu.

Keadaan ini amat membimbangkan Belanda dan menggugat pengaruhnya di Selat Melaka. Ini juga secara tidak langsung akan mempengaruhi kedudukan Belanda di Selangor dan Perak.

Dalam keadaan yang demikian itu Gabenor Belanda di Melaka, Timmerman Thyssen telah menghantar Pesuruhjayanya, John Hendrik Stecker, ke Kuala Selangor untuk memperbaharui perjanjian perdagangan Selangor-Belanda, yang telah ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1790, (iaitu antara Sultan Ibrahim dan John Stecker).

Dan pada hari ini dalam tahun 1790 Sultan Ibrahim dan John Stecker telah menandatangani semua perjanjian tahun 1786 itu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
raja_haji_war-800px
Sejarah

Belanda Menyerang Kubu Raja Haji Di Tanjung Palas, Telok Ketapang

18 Jun 1784 – Pada tahun 1784, angkatan kapal-kapal Perang yang diketuai oleh Admiral Jacobs Peter Van Braam dari Belanda menyerang kubu Raja Haji di Tanjung Palas, Telok Ketapang yang jauhnya kira-kira 8 kilometer dari bandar Melaka.

Sebelum berlakunya serangan tersebut, orang-orang Riau, terutama Bugis dari Telok Ketapang dan orang-orang Selangor yang bersekutu dengan orang-orang Rembau dari Batang Tiga telah berkubu di Telok Ketapang dan telah memulakan serangan ke atas tempat-tempat di sekitar bandar Melaka seperti Punggor, Duyung, Pernu, Semabok, Ujung Pasir, Bunga Raya, Bandar Hilir, Bukit Cina, Tanjung Keling dan Tengkera.

Perselisihan antara Bugis dengan Belanda bermula disebabkan pembahagian harta rampasan yang diperolehi dari kapal Inggeris bernama ‘Betsy’ yang membawa muatan sebanyak 1,154 buah peti berisi candu antara pihak Belanda dan nakhoda Perancis tanpa pengetahuan Bugis.

Ini telah melanggar perjanjian yang telah dipersetujui bersama antara Bugis dengan Kompeni Belanda yang memberi hak kepada Bugis untuk mendapatkan pembahagian yang sama dari harta rampasan tersebut tambahan pula rampasan tersebut dilakukan di perairan Riau.

Bermula dari itu Raja Haji memusuhi Belanda dengan membuat serangan-serangan yang mengganggu perniagaan Belanda di Selat Melaka. Gabenor Belanda di Melaka telah meminta bantuan dari Gabenor Jeneral Belanda di Betawi supaya menghantar bantuan ke Melaka.

Kedatangan angkatan kapal-kapal perang Belanda dari Betawi diketuai oleh Panglima Perang Belanda bernama Peter Van Braam. Angkatan itu terdiri dari 6 buah kapal besar dan beberapa buah kapal kecil, 2,130 orang askar dan 326 pucuk meriam telah berlabuh di Telok Ketapang.

Pertempuran hebat antara kedua belah pihak berakhir dengan kemangkatan Raja Haji bersama dengan panglima-panglima perangnya bernama Arong Lenga, Daing Salikang dan Raja Ahmad.

Walaupun askar-askar Bugis telah berperang dengan penuh keberanian namun mereka gagal melawan askar-askar Belanda yang bersenjatakan senjata-senjata moden.

Serangan Belanda ke atas kubu Raja Haji di Tanjung Palas, Telok Ketapang ini memulakan siri-siri pertempuran di antara Bugis dengan Belanda di sekitar Selat Melaka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard