canon-800px

Belanda Kalah Di Selangor

28 Jun 1785 – Pada tahun 1785, tentera Belanda kalah di Selangor setelah diserang oleh angkatan Sultan Ibrahim Shah. Orang-orang Belanda di bawah pimpinan Komander Gerardus Zwykhardt dan August Gravensteyn terpaksa lari meninggalkan kubu-kubu mereka di Kuala Selangor, balik ke Melaka.

Orang-orang Belanda itu telah dapat dikalahkan oleh angkatan Sultan Ibrahim Shah, (Sultan Selangor ke 2) yang diketuai oleh Baginda sendiri dengan bantuan dua ribu orang Pahang yang diberikan oleh Bendahara Abdul Majid. Serangan ke atas kubu-kubu itu dilakukan pada waktu malam (27 Jun 1785).

Ketika Kompeni Belanda berkuasa di Kuala Selangor mereka mengambil alih kubu-kubu pertahanan Sultan Ibrahim di Kuala Selangor dan melantik Raja Muhammad Ali Siak sebagai Pemangku Yang Dipertuan Selangor.

Tetapi pada hari ini dalam tahun 1785, Sultan Ibrahim dan pengikut-pengikutnya dan dengan bantuan orang-orang Pahang telah berjaya menawan kembali kubu Kuala Selangor. Belanda telah diusir keluar dari situ.

Apabila Sultan Ibrahim berkuasa semula baginda telah memperbaiki dan membina kubu-kubu di atas kawasan bukit di Kuala Selangor.

Melihatkan kekuatan kerajaan Sultan Ibrahim, Kompeni Belanda memutuskan untuk berbaik-baik. Ekoran daripada itu, pada 29 Jun 1786, satu perjanjian telah ditandatangani oleh kedua belah pihak.

Kemenangan yang dicapai pada hari ini dalam tahun 1785, mampu menebus kembali kekalahan Selangor dan semangat bersatu yang tertinggi di kalangan rakyat merupakan faktor penyumbang kepada kejayaan tersebut.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.