raja_haji_war-800px

Raja Haji Menyerang Bukit Cina

16 Mei 1784 – Pada tahun 1784, seorang pahlawan Bugis yang terkenal iaitu Raja Haji menyerang Bukit Cina manakala Tengkera pula diserang oleh askar Sultan Ibrahim yang ketika itu di bawah penguasaan Belanda.

Mulai tahun 1782, Raja Haji telah bermusuh dengan Belanda. Belanda telah mungkir janji tidak mahu membahagi dua harta rampasan yang mereka dapati, iaitu candu yang telah dirampasnya daripada sebuah kapal Inggeris di perairan laut Riau. Sejak itu Raja Haji mula menyerang kapal-kapal Belanda yang belayar di Selat Melaka dan mengganggu perniagaan orang-orang Belanda. Sementara itu Belanda juga selalu menyerang Riau dan angkatan perang Raja Haji.

Permusuhan antara kedua belah pihak ini telah berlanjutan dari tahun 1782 hingga 1784. Pada bulan Februari 1784, Raja Haji membuat serangan belas ke atas Melaka, dengan bantuan dari orang-orang Bugis dan Sultan Ibrahim dari Selangor.

Pada hari ini dalam tahun 1784, Raja Haji menyerang Bukit Cina, sementara askar Sultan Ibrahim serta orang-orang Rembau pula menyerang Tengkera. Serangan juga dilakukan ke atas tempat-tempat seperti Punggor, Duyung, Pernu, Ujong Pasir, Bunga Raya, Bandar Hilir dan Tanjung Keling, menyebabkan Melaka terkepung dan bantuan makanan terputus. Melaka hampir jatuh ke tangan Bugis, tetapi Belanda dapat mempertahankan Melaka dengan bantuan seramai 2,130 orang askar dari Betawi yang diketuai oleh Jacob Peter Van Braam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.